Kejutan Selepas 100 Hari

Kalau di kampung-kampung, selepas 100 hari kematian seseorang diadakan tahlil khusus sebagai penamat. Itupun didahului dengan tahlil 7 hari, 40 hari dan kemudiannya 100 hari. Tahlil hari ke seratus ini merupakan tahlil yang istimewa kerana berakhirlah ingatan kepada si mati. Anak beranak sudah mula balik ke bandar. Itupun kadang-kadang sejak dari hari ketiga lagi sudah tidak nampak batang hidung untuk turut sama menganggukkan kepala di waktu tahlil. Biasalah, cuti yang tidak diluluskan dan sebagainya. Selepas hari ke 100 ini, harta pusaka sudah mula dibahagikan. Jika sebelumnya dibimbangi tanah kubur masih lagi merah, nanti berkecil hati pula mayat di dalam sana…. Aduuh..klasiknya.

Hari ini, selepas genap 100 hari BN mula ditalkinkan di beberapa buah negeri pada PRU 12 yang lalu, ‘tahlil khusus’ mula diadakan oleh Parti Maju Sabah (SAPP). Ia sebenarnya tidak mengejutkan sangat, tetapi jika dibandingkan dengan penafian demi penafian yang dibuat oleh Abdullah Badawi sebelum ini, menampakkan seolah-olah Barisan Nasional berada dalam kedudukan yang sangat selesa dan mantap. Apatah lagi apabila amaran yang dibuat oleh Anwar Ibrahim mengenai kehadiran malaikat maut untuk Barisan Nasional sebelum 16 September dipermainkan oleh Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya.

Namun, perkembangan hari ini ternyata mengejutkan. Belum habis lagi kejutan akibat keputusan songsang yang dibuat oleh sebuah mahkamah di Perlis kerana memutuskan ‘tiada pemenang’ di DUN Sangglang, tiba-tiba datang kejutan kedua selepas genap 100 hari ini dengan pengumuman usul tidak percaya terhadap Pak Lah yang akan disokong oleh SAPP.

Adakah ini merupakan ‘tahlil penutup’? Kalau mengikut laporan meloyakan dari agensi media UMNO/BN, bukankah mereka semakin mantap? Bahkan pengumuman harga minyak naik pun diterima dengan penuh syukur oleh rakyat jelata. Dan pemotongan 10% daripada elaun bapak-bapak menteri menunjukkan sungguh mereka bersama-sama dengan rakyat menghadapi krisis ini. Rakyat seluruhnya bersyukur dengan rebat yang diberi. RM625 itu sudah cukup untuk menghadapi kenaikan harga minyak. Ini kerana harga barang keperluan tidak akan naik kerana pemantauan yang cukup berkesan dari agensi kerajaan. Begitukah?

Hakikatnya, gambaran yang dipaparkan di televisyen tidak lebih hanya sekadar filem hindustan yang memaparkan tarian dan bunga-bunga cinta yang berakhir dengan perkahwinan, sedangkan rakyat negaranya hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan. Media terus memaparkan lakonan unggul para pemimpin sedangkan mereka lupa bahawa bahana kebangkitan rakyat dalam pilihanraya umum ke12 masih belum lagi surut. Gelombang anti UMNO/BN masih cukup kuat membadai, bukan sahaja di sebelah pantai barat, bahkan Malaysia Timur pun hampir tenggelam dengan arus ini nanti.

Lantas, kita yakin kejutan hari ini sebenarnya hanyalah gear pertama sebelum sampai ke kemuncaknya dengan mengusung keranda UMNO/BN ke tanah perkuburan nanti. Kalau tidak cukup bumi di Malaysia sebagai tanah kubur, sama-sama kita hanyutkan nanti ke Luat China Selatan atau di Pulau Pisang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: