Laman ini berpindah….

laman ini telah berpindah ke http://ahmadfadhli.com.my/

Hukum Orang Bukan Islam Memasuki Masjid

Sehari dua ini saya dihujani pertanyaan ekoran kontroversi yang berlaku di Selangor berkaitan isu non-muslim masuk ke masjid. Saya merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang dilaporkan berkata seseorang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid. (Berita di sini)

Benarkah demikian? Apakah sebenarnya pandangan para fuqaha berkenaan dengan isu ini? Jika dikaji sebenarnya terdapat perbezaan pandangan yang ketara di dalam isu ini ekoran tiadanya nas mutlak yang melarang orang-orang bukan Islam memasuki masjid. Perbezaan itu bolehlah diringkaskan sebagaimana berikut :

Pertama : Pandangan yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi. Mereka berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah menerima tetamu dari Thaqif yang masih kafir pada masa itu di masjidnya. Ini kerana apa yang menjadi najis bukan tubuh badan mereka tetapi iktikad mereka. Berkenaan firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 28 yang bermaksud : ”Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, Maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini..”

Mereka berhujah bahawa ayat ini menegah orang-orang kafir memasuki Masjidil Haram dalam keadaan telanjang sebagaimana adat mereka ketika jahiliyyah dan perbuatan ini menghina Masjidil Haram. Oleh yang demikian, ’illah larangan bukanlah kekufuran mereka tetapi penghinaan terhadap masjid.

Kedua : Dibolehkan orang-orang kafir memasuki masjid dengan izin kaum muslimin kecuali majidil Haram dan masjid-masjid yang ada di Tanah Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Syafie (Lihat Raudhah Tolibin, jilid 1 / ms 296). Pandangan ini merupakan salah satu pandangan Imam Ahmad dan juga pandangan sebahagian ulama Mazhab Hambali.

Hujah mereka ialah kata-kata Said bin Musayyib : Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia kafir namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram. (Rujuk Tafsir Ibnu Abi Hatim di dalam pentafsiran ayat 28, surah al-Taubah)

Pandangan yang ketiga : Diharamkan sama sekali bagi orang-orang kafir untuk memasuki masjid. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan majoriti fuqaha yang bermazhab Hambali. Mereka berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah memerintahkan seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar RA tidak membantah kata-kata Abu Musa. Ini menunjukkan pandangan bahwa orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid merupakan pandangan yang masyhur di kalangan sahabat. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi semasa menafsirkan ayat 28 surah al-Taubah dengan beberapa hujah yang lain).

Pandangan keempat : Tidak dibenarkan orang-orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan di dalam keadaan dharurat. Jika mereka memasuki masjid sekalipun hendaklah dengan pengawasan orang-orang Islam kerana dibimbangi akan membuat perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Ini merupakan pandangan mazhab Malik (Rujuk Hasyiah al-Showi dan Hasyiah al-Dusuki).

Selain itu, ada juga pandangan para ulama yang membezakan hukum menurut perbezaan jenis kafir itu sendiri samada harbi, zimmi atau ’ahdi.

Perbezaan-perbezaan pandangan ini menunjukkan keluasan fiqh di dalam masalah non-muslim memasuki masjid. Oleh yang demikian, tidaklah wajar mana-mana pihak menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas apatah lagi jika sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi, sudah tentu pandangan yang wajar diambil ialah harus. Di dalam medan dakwah untuk mengajak orang-orang bukan Islam bersama-sama kaum muslimin dan melembutkan hati mereka, pandangan ini wajar diambil selagi mana mereka tidak melakukan perkara-perkara yang menghina kesucian masjid.

Wallahu a’lam.

07 November 2009

Delegasi KIAS ke Selatan Thailand

04 November 2009 – Kami berempat merentasi sempadan Malaysia-Thailand dengan misi untuk mempromosi KIAS sekaligus membuat kunjungan balas ke beberapa buah madrasah di Selatan Thailand. Bersama dengan Toyota Unser yang dipandu oleh Ustaz Zahari Sulaiman, saya bersama-sama Encik Mustapha, pegawai promosi dan Ustaz Azmin Daud, Ketua Jabatan Bahasa Arab bertolak sekitar jam 6.45 pagi ke sempadan melalui Rantau Panjang.

Jam 7.40 pagi selepas sarapan nasi dagang ayam kampung di Pasir Mas, kami sampai di Imigresen Rantau Panjang-Sungai Golok. Kami disambut oleh Ustaz Sanusi, seorang guru di Sekolah Menengah Alor Pasir, Tanah Merah yang menjadi ’broker’ kami untuk ke Thailanda pada kali ini. Kami terhalang seketika untuk memasuki Thailand kerana ketiadaan surat pengesahan dari KIAS Darul Naim Sdn Bhd (KDSB) membenarkan kenderaan syarikat dibawa merentasi Thailand. Apapun, terima kasih kepada Pengetua SMU (A) Banggol Kulim, Rantau Panjang yang membenarkan kami mencetak surat yang ditaip di atas kenderaan. Hampir terbayang kami terpaksa meninggalkan Toyota Unser beriktikaf di Kompleks Imigresen. Alhamdulillah, berjaya juga Unser milik KIAS ini bermusafir bersama-sama Selatan Thailand hari ini.

Ekoran biokrasi yang sedikit memakan masa, kami tiba di Maahad Darul Salam, Sungai Golok yang jaraknya hanya kira-kia 3 kilometer dari sempadan sekitar jam 9.00 pagi (8.00 pagi waktu Thailand). Kata orang, masyarakat Melayu di Selatan Thailand baik-baik orangnya, ada juga kebenarannya di sini. Kami ’dipaksa’ untuk makan sekali lagi nasi dagang dan nasi berlauk yang dihidangkan. Sambil disambut oleh Ustaz Mohd Hilmi bin Haji Yaacob (Baba Li) selaku pengetua Maahad Darul Salam, kami bertukar-tukar pandangan berkenaan mengenai situasi di negara masing-masing.

Maahad Darul Salam ialah sebuah sekolah agama yang agak besar dengan jumlah skitar 2,700 orang pelajar. Sekolah ini ditubuhkan pada 1971 dengan jumlah pelajar 40 orang. Sekarang beroperasi di Kampung Tok Lebir, Sungai Golok di atas tapak tanah seluas 7.5 ekar. Menurut Baba Li, sekolah ini ditubuhkan oleh arwah bapanya dengan bermula dari sebuah pondok pengajian dan bertransformasi menjadi sekolah menengah agama. Dengan usia sekolah 38 tahun, Maahad Darul Salam kini menjadi antara pilihan utama pelajar-pelajar untuk mendalami ilmu akademik dan agama. Jumlah tenaga pengajar ialah seramai 176 orang (98 akademik, 78 ugama).Maahad Darul Salam menerima bantuan perkapita dari kerajaan Thailad sebanyak RM1000 setiap tahun. Jumlah yang agak besar ini membolehkan pihak sekolah mengendalikan sekolah tanpa mengenakan sebarang yuran kepada para pelajar. Bagi pihak KIAS, taklimat disampaikan oleh Ustaz Azmin bin Daud, Ketua Jabatan Bahasa Arab.

Dari Maahad Darul Salam, kami bertolak ke sebuah sekolah lain yang agak kecil iaitu Nahdatul Islahiah yang hanya terletak 1km dari pasar mundok. Sekolah ini yang mempunyai bilangan pelajar lebih kurang 500 orang bolehlah diumpamakan seperti sekolah agama rakyat di Malaysia. Infranstruktur dan keadaan sekolah agak sederhana jika dibandingkan dengan Maahad Darul Salam. Mengikut maklumat yang disampaikan kepada kami, bilangan tenaga pengajar ialah 34 orang (17 akademik dan 17 agama). Memandangkan masa yang agak suntuk, saya menyampaikan taklimat ringkas kepada para pelajar kelas 10 (jika di Malaysia, tingkatan enam atas).

Seterusnya, kami bergerak ke Narathiwat. Destinasi kami ialah At-Tarkiah Al-Islamiah Institute dengan jarak perjalanan sekitar 40 km. Sekolah ini merupakan sekolah agama yang paling besar di Narathiwat dengan jumlah pelajar melebihi 5000 orang. Pengetua sekolah, Ustaz Najib bin Yahya menyambut kami bersama dengan para guru. Terharu juga dengan sambutan di sini, ternyata pihak sekolah amat berbangga dengan kehadiran delegasi dari Malaysia. Kami dipersembahkan dengan bacaan al-Quran dan pertunjukan nasyid di dewan utama sekolah. Jika dilihat kepada infranstruktur sekolah, ternyata At-Tarkiah mengatasi kebanyakan sekolah agama di Malaysia. Kelihatannya At-Tarkiah sesuai menjadi destinasi tetap untuk KIAS menjalankan promosi saban tahun.

Sekitar jam 4.30 petang waktu Malaysia, kami tiba di destinasi terakhir iaitu Madrasah Ahmadiah, Pondok Sala Anak Ayam di Narathiwat. Mudir, Ustaz Muhammad Lutfi Haji Samin merupakan lulusan Jordan yang masih muda mewarisi amanah dari allahyarham bapanya. Dengan bilangan pelajar hampir mencecah 800 orang, 300 daripanya menetap di dalam pondok. Sekali lagi, kami terpaksa meluangkan masa seringkas mungkin kerana hambatan masa. Namun, pihak sekolah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk menghantar lulusan mereka ke KIAS. Jaminan dari Ustaz Lutfi dan guru-guru menjadikan kami selesa untuk meyakini kedatangan pelajar-pelajar dari Selatan Thailand dalam kemasukan pelajar KIAS yang akan datang.

Kami bersolat jama’ zohor dan asar di rumah Ustaz Lutfi sebelum bertolak pulang ke Kelantan. Bersungguh-sungguh pihak sekolah meminta kami menginap semalaman untuk bercerita lebih lanjut tetapi terpaksa ditolak dengan baik.

Kami tiba akhirnya ke Kompleks Imigresen Rantau Panjang kira-kira pukul 7.15 malam untuk sesi makan malam di sebuah restoran. Kenangan bersama saudara seagama di Selatan Thailand sungguh-sungguh merupakan kenangan yang berharga. Insya-Allah, ukhuwwah ini akan dipupuk selamanya. Doa kami untuk perjuangan umat Islam di Thailand.

Rakaman Ceramah di Chetok, Pasir Mas

1 November 2009 – Malam semalam sekali lagi saya mempengerusikan majlis ceramah umum anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Chetok, Pasir Mas. Kehadiran agak kurang memberansangkan, berkemungkinan kerana perlawanan separuh akhir kedua Kelantan vs Perlis sedang ke udara melalui RTM1. Apapun, rakaman ceramah sempat saya muat naik untuk sahabat-sahabat yang berminat.

1. Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

2. Ustaz Kamal Ashaari, AJK Dewan Pemuda PAS Pusat

3. Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi (Ust Jaa), AJk Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Ceramah Umum sempena perayaaan Jubli Perak PASTI

31 Oktober 2009 – Baru sebentar tadi saya diamanahkan untuk mempengerusikan majlis ceramah umum sempena perayaan Jubli Perak 25 Tahun PASTI yang diadakan di perkarangan stadium Sultan Muhammad IV. Alhamdulillah, sekalipun hujan turun renyai-renyai tetapi bilangan kehadiran agak menggalakkan. Berikut ialah rakaman ceramah untuk dimuat turun oleh peminat-peminat yang tidak sempat datang :

1. Ucapan YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

2. Ucapan YB Datuk Mahfuz Omar

3. Ucapan Ustaz Nasrudin Tantawi

4. Ucapan YAB Datuk Seri Nizar
5. Ucapan alu-aluan Yb Ahmad Baihaki Atiqullah

Sekitar Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PASTI Malaysia


YAB Tuan Guru, Encik Azrin dan YB Ustaz Latif bersama buku kurikulum KAFFAH

YAB Tuan Guru Nik Aziz menyampaikan ucapan perasmian

Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Pusat dan Kelantan menunggu kehadiran YAB Tuan Guru

Anugerah perintis PASTI dimenangi oleh PAS Kelantan. YB Ustaz Baihaqi, Ketua Penerangan PAS Kelantan mewakili Badan Perhubungan PAS Kelantan menerima anugerah.

Sambutan Jubli Perak : 25 Tahun PASTI Malaysia

Tarikh : 30 & 31 Oktober 2009

Tempat : Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu

Perasmian oleh : YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (10.30 pagi, 30 Oktober 2009)

Forum Bicara Hati “Love Is Cinta”

27 Oktober 2009 – Semalam saya diundang berforum di Dewan Nurani Kampus USM Kubang Kerian dengan tajuk “Love Is Cinta? Hmmm..” Tajuk sebegini bukanlah saya orang yang pakar berbicara tentangnya.  Nasib baik ditemani novelis yang sedang meningkat naik, Ustaz Ubaidillah Alias, pengarang novel “Warkah Cinta Berbau Syurga” dan “Mengintai Cinta Khalifah”.

“Hari ini orang lebih kenal Adam, Aidil, Nur dan Sara…” Muqaddimah kata-kata saya itu disambut dengan sorakan pelajar-pelajar USM menunjukkan prihatinnya mereka terhadap perjalanan drama Nur Kasih yang sedang membadai pada hari ini. Hebatnya bercakap di depan orang yang cerdik, sepatah kata keluar, seribu makna diitafsir.

Apapun, terima kasih akhi Solihin di atas jemputan ini.

Dari kiri, Akhi Solihin (pengerusi), Ustaz Ubaidillah Alias, saya dan Ustazah Mazidah


Bersama-sama Dr Wan Nudri, Pengarah Pusat Islam HUSM Kubang Kerian


<p class=”MsoNormal” style=”line-height:150%;text-align:justify;margin:0;”><span style=”font-size:10pt;line-height:150%;font-family:Verdana;”>

Bajet Kelantan 2010 Bajet Berkebajikan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan Bajet Kelantan 2010 yang bertema “Bajet Memacu Dalam Hemat” sebagai suatu bajet berkebajikan yang lahir dari cetusan pimpinan yang beriman dan bertaqwa. Perkara ini jelas dapat dilihat berdasarkan kepada pembelaan kepada golongan dhaif, miskin, orang kelainan upaya (OKU), armalah (ibu tunggal) dan warga emas yang diperuntukkan di dalam bajet tersebut.

DPPNK juga berbangga dengan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus menunjukkan komitmen membina insan kamil yang berteraskan taqwa dengan mengadakan program memartabatkan Islam seperti mengadakan program membudayakan Al-Quran di dalam masyarakat. Langkah ini dilihat sebagai satu ciri yang penting bagi sebuah kerajaan yang berhasrat menerapkan Islam di dalam kehidupan rakyat.

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu pada hari ini, langkah kerajaan negeri mengekalkan dasar berkebajikan seperti RM2 juta bagi golongan armalah, RM2 juta untuk anak yatim, RM5 juta bagi Skim perlindungan Sosial Tengku Anis-KIFAALAH dan RM4.7 juta bagi program membaiki rumah uzur melalui skim bantuan Rumah Dhuafa adalah merupakan satu langkah yang terpuji.

Disamping itu, peningkatan anggaran hasil tahunan 2010 sebanyak RM387.38juta jika dibandingkan dengan tahun 2009 merupakan suatu bentuk penafian secara tidak langsung terhadap tohmahan sesetengah pihak yang menganggap PAS gagal mentadbir negeri Kelantan dengan bijak dan mengakibatkan kemunduran. Jika Kelantan mundur, bagaimana perolehan saban tahun semakin meningkat?

DPPNK menyelar kenyataan ketua pembangkang DUN Kelantan, Dato’ Md Alwi Che Ahmad yang menganggap bajet Kelantan 2010 sebagai sebuah bajet ala kadar kerana mengalami defisit. Ini adalah kerana bajet defisit ini bukan berlaku di Kelantan, bahkan bajet kerajaan negeri yang diperintah Barisan Nasional termasuklah kerajaan persekutuan sendiri pun mengalami defisit. Beranikah beliau turut menyifatkan bajet negeri-negeri tersebut, termasuklah kerajaan persekutuan sebagai bajet ala kadar?

DPPNK juga mencabar UMNO sekiranya UMNO benar-benar ingin melihat Kelantan maju dan tidak mengalami defisit dalam perbelanjaan, berikan royalti minyak yang diperjuangkan oleh kerajaan Kelantan dan insyaAllah ianya pasti akan membantu memacu perkembangan ekonomi negeri Kelantan dengan lebih pesat lagi. DPPNK juga mengajak  Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan agar bersuara menyokong bersama-sama DPPNK agar Kelantan menerima royalti  minyak tersebut demi kebaikan negeri secara keseluruhannya.

ISLAM MENERAJUI PERUBAHAN

MEMPERSADA PERJUANGAN

5 DEKAD PEMUDA MENERAJUI PERUBAHAN

HISHAM BIN FAUZI

NAIB KETUA,

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KELANTAN

Isu Sejadah Berdiri

Umat Islam diseru agar menjauhi kepercayaan khurafat dan tahyul apabila berlakunya kejadian-kejadian yang didakwa luar biasa dan pelik di dalam masyarakat. Tambahan pula jika kejadian tersebut belum pasti merupakan kejadian yang benar-benar berlaku atau hanya merupakan perbuatan manusia yang bertujuan mahu menggemparkan masyarakat.

Seruan ini berikutan kejadian beberapa sejadah yang berdiri yang dilaporkan berlaku di musalla sebuah sekolah di Pasir Mas semalam. Menurut, Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri, Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari, perkara-perkara yang pelik dan menyalahi hukum adat manusia sewajarnya tidak perlu disebarkan dengan meluas kerana ia hanya akan mengakibatkan kontroversi yang tidak berfaedah dan dibimbangi boleh menyebabkan perbuatan khurafat di dalam masyarakat.

“Islam mengajar dengan jelas bahawa setiap berita hendaklah diselidiki terlebih dahulu sebelum dipercayai dan disebarkan. Di dalam isu ini, saya yakin banyak kemungkinan lain boleh berlaku termasuklah perbuatan manusia yang sengaja ingin mencetuskan suasana yang gempar dan kontroversi.”, katanya.

Continue reading