Delegasi KIAS ke Selatan Thailand

04 November 2009 – Kami berempat merentasi sempadan Malaysia-Thailand dengan misi untuk mempromosi KIAS sekaligus membuat kunjungan balas ke beberapa buah madrasah di Selatan Thailand. Bersama dengan Toyota Unser yang dipandu oleh Ustaz Zahari Sulaiman, saya bersama-sama Encik Mustapha, pegawai promosi dan Ustaz Azmin Daud, Ketua Jabatan Bahasa Arab bertolak sekitar jam 6.45 pagi ke sempadan melalui Rantau Panjang.

Jam 7.40 pagi selepas sarapan nasi dagang ayam kampung di Pasir Mas, kami sampai di Imigresen Rantau Panjang-Sungai Golok. Kami disambut oleh Ustaz Sanusi, seorang guru di Sekolah Menengah Alor Pasir, Tanah Merah yang menjadi ’broker’ kami untuk ke Thailanda pada kali ini. Kami terhalang seketika untuk memasuki Thailand kerana ketiadaan surat pengesahan dari KIAS Darul Naim Sdn Bhd (KDSB) membenarkan kenderaan syarikat dibawa merentasi Thailand. Apapun, terima kasih kepada Pengetua SMU (A) Banggol Kulim, Rantau Panjang yang membenarkan kami mencetak surat yang ditaip di atas kenderaan. Hampir terbayang kami terpaksa meninggalkan Toyota Unser beriktikaf di Kompleks Imigresen. Alhamdulillah, berjaya juga Unser milik KIAS ini bermusafir bersama-sama Selatan Thailand hari ini.

Ekoran biokrasi yang sedikit memakan masa, kami tiba di Maahad Darul Salam, Sungai Golok yang jaraknya hanya kira-kia 3 kilometer dari sempadan sekitar jam 9.00 pagi (8.00 pagi waktu Thailand). Kata orang, masyarakat Melayu di Selatan Thailand baik-baik orangnya, ada juga kebenarannya di sini. Kami ’dipaksa’ untuk makan sekali lagi nasi dagang dan nasi berlauk yang dihidangkan. Sambil disambut oleh Ustaz Mohd Hilmi bin Haji Yaacob (Baba Li) selaku pengetua Maahad Darul Salam, kami bertukar-tukar pandangan berkenaan mengenai situasi di negara masing-masing.

Maahad Darul Salam ialah sebuah sekolah agama yang agak besar dengan jumlah skitar 2,700 orang pelajar. Sekolah ini ditubuhkan pada 1971 dengan jumlah pelajar 40 orang. Sekarang beroperasi di Kampung Tok Lebir, Sungai Golok di atas tapak tanah seluas 7.5 ekar. Menurut Baba Li, sekolah ini ditubuhkan oleh arwah bapanya dengan bermula dari sebuah pondok pengajian dan bertransformasi menjadi sekolah menengah agama. Dengan usia sekolah 38 tahun, Maahad Darul Salam kini menjadi antara pilihan utama pelajar-pelajar untuk mendalami ilmu akademik dan agama. Jumlah tenaga pengajar ialah seramai 176 orang (98 akademik, 78 ugama).Maahad Darul Salam menerima bantuan perkapita dari kerajaan Thailad sebanyak RM1000 setiap tahun. Jumlah yang agak besar ini membolehkan pihak sekolah mengendalikan sekolah tanpa mengenakan sebarang yuran kepada para pelajar. Bagi pihak KIAS, taklimat disampaikan oleh Ustaz Azmin bin Daud, Ketua Jabatan Bahasa Arab.

Dari Maahad Darul Salam, kami bertolak ke sebuah sekolah lain yang agak kecil iaitu Nahdatul Islahiah yang hanya terletak 1km dari pasar mundok. Sekolah ini yang mempunyai bilangan pelajar lebih kurang 500 orang bolehlah diumpamakan seperti sekolah agama rakyat di Malaysia. Infranstruktur dan keadaan sekolah agak sederhana jika dibandingkan dengan Maahad Darul Salam. Mengikut maklumat yang disampaikan kepada kami, bilangan tenaga pengajar ialah 34 orang (17 akademik dan 17 agama). Memandangkan masa yang agak suntuk, saya menyampaikan taklimat ringkas kepada para pelajar kelas 10 (jika di Malaysia, tingkatan enam atas).

Seterusnya, kami bergerak ke Narathiwat. Destinasi kami ialah At-Tarkiah Al-Islamiah Institute dengan jarak perjalanan sekitar 40 km. Sekolah ini merupakan sekolah agama yang paling besar di Narathiwat dengan jumlah pelajar melebihi 5000 orang. Pengetua sekolah, Ustaz Najib bin Yahya menyambut kami bersama dengan para guru. Terharu juga dengan sambutan di sini, ternyata pihak sekolah amat berbangga dengan kehadiran delegasi dari Malaysia. Kami dipersembahkan dengan bacaan al-Quran dan pertunjukan nasyid di dewan utama sekolah. Jika dilihat kepada infranstruktur sekolah, ternyata At-Tarkiah mengatasi kebanyakan sekolah agama di Malaysia. Kelihatannya At-Tarkiah sesuai menjadi destinasi tetap untuk KIAS menjalankan promosi saban tahun.

Sekitar jam 4.30 petang waktu Malaysia, kami tiba di destinasi terakhir iaitu Madrasah Ahmadiah, Pondok Sala Anak Ayam di Narathiwat. Mudir, Ustaz Muhammad Lutfi Haji Samin merupakan lulusan Jordan yang masih muda mewarisi amanah dari allahyarham bapanya. Dengan bilangan pelajar hampir mencecah 800 orang, 300 daripanya menetap di dalam pondok. Sekali lagi, kami terpaksa meluangkan masa seringkas mungkin kerana hambatan masa. Namun, pihak sekolah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk menghantar lulusan mereka ke KIAS. Jaminan dari Ustaz Lutfi dan guru-guru menjadikan kami selesa untuk meyakini kedatangan pelajar-pelajar dari Selatan Thailand dalam kemasukan pelajar KIAS yang akan datang.

Kami bersolat jama’ zohor dan asar di rumah Ustaz Lutfi sebelum bertolak pulang ke Kelantan. Bersungguh-sungguh pihak sekolah meminta kami menginap semalaman untuk bercerita lebih lanjut tetapi terpaksa ditolak dengan baik.

Kami tiba akhirnya ke Kompleks Imigresen Rantau Panjang kira-kira pukul 7.15 malam untuk sesi makan malam di sebuah restoran. Kenangan bersama saudara seagama di Selatan Thailand sungguh-sungguh merupakan kenangan yang berharga. Insya-Allah, ukhuwwah ini akan dipupuk selamanya. Doa kami untuk perjuangan umat Islam di Thailand.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: