Tindakan JAKIM Dipersoal – Ketua Penerangan DPPKPM

30 Mei 2008 – Tindakan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) yang bertegas untuk meneruskan program berkonsepkan Islam Hadhari di Selangor dan Pulau Pinang dipersoal kejujurannya. Ini kerana tindakan pihak JAKIM seolah-olah membayangkan hanya jenama Islam Hadhari sahaja yang mampu memperkenalkan Islam kepada masyarakat, ulas Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pasir Mas (DPPKPM), Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari.

“Adakah tanpa menggunakan jenama Islam Hadhari, program-program keagamaan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya? Bagaimana dengan negeri Selangor yang dilihat rancak menghidupkan aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan forum-forum sekalipun tidak di atas nama ISlam Hadhari?”, ujarnya apabila mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz semalam bahawa Jakim akan meneruskan program berkaitan Islam Hadhari, terutama di masjid kerana yakin ia mampu membawa kesan positif.

“JAKIM perlu menyedari bahawa umat Islam di Malaysia keseluruhannya sudah menolak konsep Islam Hadhari yang ditaja oleh Perdana Menteri di dalam pilihanraya umum yang lepas. Kita menjemput pihak JAKIM supaya bertandang di Kelantan melihat bagaimana program-program keagamaan dan keilmuan berjalan dengan lancar tanpa perlukan nama Islam Hadhari,” tegasnya lagi.

“JAKIM juga perlu memahami bahawa tindakan kerajaan Pakatan Rakyat mengharamkan Islam Hadhari di Selangor dan Pulau PInang hanyalah dengan tujuan supaya rakyat tidak keliru di dalam memahami Islam yang sebenar. Dan Islam yang sebenar itu tidak lain hanyalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.” ujarnya.

Tumbangnya Sang Rajawali

Berita penyertaan Ezam Mohd Nor ke dalam UMNO sebenarnya mampu merentap urat nadi pejuang reformasi. Masakan tidak, masih terngiang-ngian nada Ezam melaungkan slogan anti rasuah dan penyelewengan oleh UMNO/BN. Masih tidak nyanyuk kita untuk mengingati bagaimana manusia bernama Ezam inilah yang sanggup dalam penjara bertahun-tahun semata-mata mendedahkan dokumen bertaraf OSA yang melibatkan skandal Rafidah Aziz.. alih-alih, hari ini, manusia ini menyerahkan borang keahlian UMNO.. sungguh mustahil.

Ya, bukan senang menjadi seorang pejuang tulen. Kadang-kadang kita yang berceramah merata-rata tenggelam dengan arus glamer dan pujian melambung tidaklah lebih mulia dari seorang pakcik tua yang kerjanya hanyalah menyangkut bendera di pohon kelapa. Sanggup ke lokasi ceramah mendengar maklumat terkini dengan berbasikal menempuh hujan. Tapi kadang-kadang sang penceramah masih lagi memikirkan soal projek dan menukar kereta. Kadang-kadang masih tidak lepas dari soal menambah bilangan isteri.

Sebab itu, bukan mudah menjadi pejuang tulen. Masalah Ezam dengan Anwar Ibrahim mungkin di luar pengetahuan kita. Namun, apapun masalah yang melanda, tidak boleh menjadi alasan untuk meninggalkan perjuangan. Mana mungkin sekelumit pertelingkahan peribadi melibatkan soal hati akhirnya UMNO juga jadi pilihan?

Saya tetap beranggapan setakat ini bahawa UMNO ialah parti sesat yang ideologinya langsung bertentangan dengan Islam. Tidak ada sesiapa yang memilih UMNO kecuali mereka yang sedang keliru dan malangnya, orang yang keliru itu ialah yang selama ini di pentas ceramah hebat mengalunkan bait-bait perjuangan.

Selamat berjuang untuk Ezam.

Dilarang Daripada Bercita-cita dan Berdoa untuk Mati Kerana Kemudharatan Yang Menimpa

gambar ihsan dari http://www.bingregory.com

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas katanya : Rasululah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Jangan seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati kerana ditimpa kemudharatan, sekiranya tidak mampu juga (untuk dia menanggungnya) maka katakanlah, Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku..” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati atau berdoa untuknya sebelum kematian itu datang kepadanya. Ini kerana apabila matinya seseorang di kalangan kamu akan terputuslah segala amalannya, sesungguhnya tidaklah bertambahnya umur seorang mukmin melainkan pasti untuk kebaikan.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : ” Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati, sekiranya dia seorang yang baik, kemungkinan hidupnya akan menambahkan lagi kebaikannya. Sekiranya dia seorang yang berdosa, kemungkinan hidupnya akan memberikan peluang pengampunan” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Juga disebut oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah bercita-cita untuk mati sekalipun berdepan dengan dugaan yang dahsyat. Sesungguhnya di antara kebahagiaan itu ialah dipanjangkan umur sehingga Allah memberikan keampunan.” (Riwayat Ahmad, menurut Albani, hadis ini bertaraf dhoif)

Sesungguhnya kematian itu bukanlah hanya bentuk ketiadaan semata-mata bahkan ia merupakan detik terputusnya ruh dari badan dan terpisah buat selamanya. Ia juga merupakan perpindahan dari satu alam ke alam yang lain dan juga merupakan musibah yang paling besar. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran :

Yang bermaksud : “…jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian…” (Surah al-Maidah, ayat 106)

Kematian itu adalah satu bencana yang besar, namun bencana yang lebih besar ialah apabila seseorang itu lupa tentangnya. Kelupaan itu akan membawa dirinya cuai terhadap persediaan untuk menghadapinya serta meninggalkan amalan-amalan sebagai bekal apabila berdepan dengannya. Sesungguhnya pada diri kematian itu terdapat pengajaran yang begitu besar bagi sesiapa yang berfikir. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda : “{Sekiranya binatang ternakan mengetahui apa yang kamu ketahui tentang kematian, nescaya kamu tidak akan dapat memakan dagingnya (kerana kekurusan akibat tidak makan)”[1]


[1] Imam Sayuti mendatangkan hadis ini di dalam kitabnya, al-Jami’ al-Saghir, menurut al-Bani, hadis ini bertaraf sangat dhaif.

Erti Hari Pekerja Buat Mujiburrahman….