Anuar Safian Terus Keliru dan Mengelirukan

sh300609Hari ini (30 Jun 2009), tersiar serangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan terhadap Menteri Besar, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz di dalam Sinar Harian (Edisi Kelantan). Kata Anuar, Nik Aziz usah beretorik lagi dengan rakyat Kelantan dengan menyamakan UMNO seperti komunis, sosialis, Chin Peng dan ajaran sesat Ayah Pin sebagai kata-kata kiasan.

Anuar Safian nyata keliru lagi atau sengaja memilih untuk mengelirukan. Mungkinkah Pemuda UMNO Kelantan khususnya tertekan untuk memenangi pilihanraya kecil di Manek Urai? Ini kerana terlampau hebat benar serangan kebelakangan ini terhadap Menteri Besar secara peribadi dan juga kepada pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Siapakah yang beretorik? Baiklah, apa maksud retorik? Kamus Dewan menyenaraikan tiga makna bagi retorik :- 1. Kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan ; 2. Seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah atau menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar, seni berpidato. 3. bahasa yang dibuat-buat atau dibesar-besarkan, bahasa retorik

Itulah riwayat Kamus Dewan berkenaan dengan retorik. Apa pula maksud Anuar Safian bila menuduh Nik Aziz beretorik? Rasanya makna 1 dan 2 agak tidak sesuai. Mungkin juga makna ketiga, iaitu bahasa yang dibuat-buat atau diperbesar-besarkan.

Anuar Safian dan pemuda UMNO perlu menyedari. Siapakah yang kuat beretorik? Tentu sekali jika dijawab dengan jujur, jawapan yang keluar ialah pemimpin-pemimpin UMNO. Pada saat mereka menjulang keris yang mereka gelarkan sebagai Sang Saka Bangsa untuk membela bangsa Melayu, mereka bersungguh-sungguh pula membunuh bahasa Melayu melalui PPSMI. Pada masa mereka berdegar-degar menyeru kepada perpaduan Melayu, mereka mengubah status banyak tanah rizab Melayu kepada pegangan bebas semasa mereka memerintah Kelantan. Pada masa mereka berkata ingin membelas rakyat Kelantan, mereka menyekat bantuan kepada rakyat Kelantan ketika ingin disalurkan oleh kerajaan pusat. Fakta ini telah disahkan oleh bos Anuar Safian, Datuk Mustapha Muhammad sendiri di dalam Sidang DUN Kelantan satu ketika dulu! Banyak lagi senarai kezaliman UMNO jika ingin dihuraikan.

Mengenai retorik UMNO untuk membela Islam, cukuplah dengan meluluskan lesen judi sahaja untuk mengesahkan parti Anuar Safian gagal mendapat gelaran gerakan Islam! Jika Islam tidak menjadi perjuangan UMNO, maka atas asas apa UMNO berjuang? Tidakkah hanya Islam sahaja yang selamat dan selainnya ialah sesat?

Di antara kata-kata Anuar, ”Adakah wujud kerajaan Islam yang sebenarnya di sebalik banyak premis haram arak dan judi yang ditutup mata oleh kerajaan negeri…” Saya kurang faham dengan dakwaan Anuar ini. Adakah Anuar bermaksud bahawa wujudnya premis haram arak dan judi di Kelantan dengan jumlah yang banyak? Jika ya, sila datangkan bukti, jangan bercakap sahaja. Dan pastinya tindakan akan diambil. Ini kerana, premis judi semuanya sudah ditarik lesennya dan arak juga dikawal hanya untuk bukan Islam sahaja. Bahkan Anuar sendiri menyebut ia adalah premis haram. Jika premis haram, bermakna ia beroperasi bukan dengan izin kerajaan negeri. Soalnya, bagaimana pula dengan premis halal arak dan judi yang diizinkan oleh UMNO dan Barisan Nasional?

Anuar Safian dan pemuda UMNO terus keliru nampaknya.

Pemuda PAS Pilih Muzakarah

utusan300609

Kuala Lumpur 29 Jun – Dewan Pemuda PAS mahu bermuzakarah dengan Pergerakan Pemuda UMNO bagi membincangkan dakwaan yang dibangkitkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat bahawa UMNO sama dengan parti komunis dan ajaran sesat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, muzakarah adalah medan terbaik berbanding dengan pendekatan lain seperti berdebat kerana pelaksanaannya berdasarkan semangat musyawarah.

Beliau berkata, melalui muzakarah mereka yang terbabit dengan perbincangan itu boleh mengemukakan hujah serta pendapat masing-masing dengan lebih selesa dan kondusif.

“Apabila disebut muzakarah, masing-masing boleh kemukakan hujah dan pendapat masing-masing dengan berpaksikan kebenaran. Maksud saya melalui muzakarah tiada pihak yang cuba menegakkan benang yang basah.

“Ketika bermuzakarah kebenaranan tetap kebenaran dan ia tidak berubah. bagi kami muzakarah lebih berbentuk wacana keilmuan yang sepatutnya disebarkan demi kepentingan ummah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Nik Aziz dalam ceramahnya di Kuala Krai baru-baru ini telah menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat Ajaran Ayah Pin.

Selain itu,, Nasrudin berkata, perbincangan melalui muzakarah lebih rasional tanpa ada pihak yang bertindak secara emosional mengikut perasaan.

“Ini yang menyebabkan kami memilih pendekatan untuk bermuzakarah dengan Pemuda UMNO bagi menyelesaikan isu yang timbul ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, sekiranya muzakarah itu berjaya, ia merupakan satu titik permulaan bagi pemuda PAS untuk mengadakan lebih banyak perbincangan berbentuk keilmuan antara kedua-dua belah pihak.


Sumber : Utusan Malaysia, 30 Jun 2009

Instituti Masjid Dan Peranan Pendakwah Terhadapnya

Pendahuluan

Persepsi sesetengah individu Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di tempat itu.

Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam untuk mengunjungi masjid-masjid.

Masyarakat perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat.

Continue reading

Afandi Yang Perlu Lepasi Saringan

SH290609

Hari ini di dalam akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan tersiar kenyaaan Mohd Afandi Yusoff, Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Malah kata Afandi, untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Nik Aziz perlu melalui ujian saringan terlebih dahulu iaitu dengan berdebat dengan Pemuda UMNO. Kata Afandi lagi, kalau debat dengan Pemuda UMNO pun tidak berjaya, maka usah berangan untuk berdebat (dengan PM).

Bagaikan kelab Liga Kampung Manek Urai B yang mencabar Chelsea, Afandi nampaknya tidak berpaling ke belakang lagi semasa membuat cabaran ini. Pemimpin UMNO dari Rantau Panjang yang menang dengan penuh kontroversi ketika pemilihan UMNO tahun lepas ini memang merupakan seorang penceramah UMNO yang sering kedengaran suaranya di Radio Kelantan khususnya pada waktu malam. Lepasan Jordan yang dulunya merupakan orang kuat PAS di sana tetapi akhirnya pulang ke Malaysia untuk mencari makan dengan UMNO.

Dengan sejarahnya yang pernah mencabar Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi berdebat, maka ajakannya pada hari ini bukan suatu perkara yang menghairankan. Cuma yang agak mengejutkan apabila Afandi menyifatkan bahawa perdebatan dengan Pemuda UMNO ialah satu saringan. Mungkin Afandi sendiri sedar taraf Pemuda UMNO yang hanya layak berada di pusingan saringan.

Bagi saya, Pemuda UMNO boleh berada pusingan saringan tetapi hanyalah sebagai pengutip bola sahaja. Bukan ingin memperlekehkan Afandi, tetapi dengan kelayakannya di dalam bidang agama, berada dalam lubuk UMNO yang penuh dengan skandal bukan tempatnya. Ditambah dengan kenyataannya seperti hari ini, Afandi nampaknya memang nekad untuk mati bersama-sama dengan UMNO!

Afandi dan pemuda UMNO boleh berada di padang sebagai pengutip bola. Tetapi kalau bercita-cita untuk memasuki padang, tidak payah Dewan Pemuda PAS Pusat atau negeri turun, kami dari Pemuda PAS Pasir Mas bila-bila masa bersedia untuk melihat bakat Afandi sejauh manakah mampu menendang bola.

Apakata kata Dewan Pemuda PAS Pasir Mas menjual, Afandi sanggup membeli? Dewan Majlis Daerah Pasir Mas boleh memuatkan ramai pendengar rasanya.

Suara Masjid Februari 2009 : Ekonomi Yahudi Menjerat Umat Islam

suaramasjidfeb2009

Serangan Israel ke Tebing Gaza kini sedang memasuki minggu keempat. Sewaktu artikel ini ditulis, korban di Palestin sudah hampir mencecah 1000 orang dengan Israel terus menerus memperhebatkan serangan termasuk menggunakan bom fosforus putih yang diharamkan di seluruh dunia. Ia tarmasuklah dengan menjadikan penempatan awam di Gaza sebagai sasaran di atas alasan untuk mencari aktivis-aktivis Hamas.

Tentangan masyarakat antarabangsa yang meledak di seluruh dunia adalah merupakan sesuatu yang langsung tidak dipedulikan oleh Israel. Dr Hussein Ashour, pengarah hospital Al Shifa berkata yang sejumlah mayat telah tiba di hospital itu dengan kesan terbakar dan terputus yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini. Ditambah pula dengan bukti kekejaman tentera Yahudi yang dirakamkan dan disebarkan di seluruh dunia. Namun, hari ini mereka yang merampas bumi Palestin secara haram itu seolah-olah menjadi raja yang tidak mampu disentuh oleh sesiapapun di seluruh dunia.

Walaupun senario ini berlaku di Asia Barat yang begitu jauh dari negara kita, namun di atas dasar akidah yang sama menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk turut sama bertanggungjawab melindungi saudara seagama di Palestin. Bahkan jika tidak beragama Islam sekalipun, pembelaan untuk rakyat Palestin sepatutnya turut sama diperjuangkan di atas nama keadilan sejagat.

Continue reading

DPPKPM Kesal Insiden Sabotaj Sepanduk

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM)

Berikutan Insiden Sabotaj Sepanduk Program Liga DUN

Di Gelang Mas, Tendong, Pasir Mas

  • Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM) telah menerima maklumat dari orang ramai berkenaan dengan sabotaj yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap sepanduk DPPKPM yang digantung di hadapan Masjid Gelang Mas, Tendong, Pasir Mas.

  • Sepanduk tersebut merupakan sepanduk iklan dan pemakluman program pertandingan bola sepak Liga Dun yang diseliakan oleh Dewan Pemuda di semua kawasan di negeri Kelantan.

  • Melalui tinjauan yang dibuat, sepanduk tersebut telah disabotaj dengan membuang gambar Ketua DPPKPM, Ustaz Mohd Su Azhar bin Abdullah sementara dua lagi gambar iaitu Ketua Pemuda DUN, Saudara Mukhriz dan ADUN Tendong, YB Dr Muhammad bin Daud tidak diusik.

  • DPPKPM memandang perbuatan ini sebagai satu sabotaj yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk menjatuhkan maruah kepimpinan DPPKPM khususnya peribadi Ketua DPPKPM sendiri.

  • DPPKPM ingin melahirkan rasa kesal dengan perbuatan sabotaj berkenaan dan berharap jika ia dilakukan oleh unsur-unsur dalaman parti, ia dapat diselesaikan dengan rundingan dan perbincangan.

  • Tidak ada masalah dan konflik yang tidak dapat diselesaikan melalui rundingan. Berikutan itu, DPPKPM mengajak pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap apa jua isu supaya dapat tampil ke hadapan dan berunding dengan cara yang terbaik dengan kepimpinan parti di peringkat DUN atau kawasan khususnya kepimpinan DPPKPM sendiri.

  • Manakala jika sabotaj berkenaan dilakukan oleh pihak-pihak luar dari parti, DPPKPM ingin mengingatkan bahawa perbuatan tersebut ialah satu tindakan yang tidak melambangkan amalan demokrasi yang sihat.

  • DPPKPM juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan lanjut melalui apa jua cara yang dibolehkan jika bagi mengelakkan insiden ini berulang di masa-masa akan datang.

    Sekian.

    AHMAD FADHLI BIN SHAARI

    Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM)

    Bertarikh : 28 Jun 2009 / 5 Rejab 1430

  • Impian Memiliki Rumah Akhirnya Tercapai

    SH280609

    Manek Urai – Impian sebuah keluarga susah untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila seorang dermawan menghulurkan sumbangan bagi membina sebuah rumah baru untuk mereka di Kampung Peria, dekat sini.

    Mohd Zulkifli Hussin, 33 dan isteri, Haiza Suzanna Mohd Nawi, 29 yang mempunyai tiga anak yang berusia antara sembilan hinga 12 tahun selama ini terpaksa tinggal di rumah sewa di kampung itu sejak mula mendirikan rumah tangga.

     

    Mohd Zulkifli berkata, dia ada membuat permohonan untuk mendapatkan bantuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) tetapi sehinga kini masih tiada jawapan.

     

    “Saya sudah minta rumah PPRT sejak lapan tahun lalu dan kali terakhir saya bertanyakan tentang status permohonan itu pada tahun lepas, mereka (KESEDAR) kata sudah lulus tetapi sampai sekarang tidak ada apa-apa.

    “Semenjak saya buat permohonan, bolah katakan dua tiga bulan sekali saya pergi ke pejabat KESEDAR untuk bertanyakan perkara ini kerana orang kata kalau nak cepat dapat, kena pergi kerap ke pejabat, tetapi semuanya sia-sia,” katanya kepada Sinar Harian.

     

    Mohd Zulkifli yang menyara keluarganya dengan bekerja sebagai penoreh berkata demikian ketika ditemui pada program gotong royong membina rumah barunya di Kampung Peria, dekat sini, semalam.

    Turut hadir Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan, Wan Azimin Wan Adnan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zain dan Penghulu Mukim Peria, Mohamad Zain Rani.

    Hadir sama dermawan yang menampung sepenuhnya kos pembinaa rumah baru untuk Mohd Zulkifli sekeluarga, Suhaimi Mat, 50.

     

    Mohd Zulkifli berkata, dia merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Suhaimi kerana sanggup membiayai kos pembinaan serta penduduk kampung yang bergotong royong membina rumah barunya.

     

    Sementara itu, Suhaimi berkata, rumah Mohd Zulkifli itu ialah kediaman ke 46 yang menerima sumbangan untuk membina rumah bau dan membaiki rumah lama daripadanya.

     

    Menurutnya, dia terus bersetuju untuk menampung kos pembinaan rumah baru itu selepas Mohd Zulkifli datang berjumpa dan mengadu masalah yang dihadapinya tiga hari lalu.

     

    Katanya, dia sanggup mengeluarkan wang sendiri kerana berasa malu apabila dimaklumkan sudah empat kali Mohd Zulkifli membuat permohonan kepada KESEDAR untuk mendapatkan rumah PPRT tetapi gagal sedangkan ibunya (Mohd Zulkifli) merupakan Ketua Wanita UMNO cawangan kampung itu.

    Sumber : Sinar Harian, 28 Jun 2009