Kolej Universiti : Perlu Ada Sasaran

Saya tertarik membaca jawapan yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, YB Ustaz Mohd Amar Abdullah di dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini berkenaan dengan perancangan kerajaan di dalam menaiktaraf Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sebagai kolej universiti. Kenyataan tersebut dilaporkan di dalam web harakahdaily di alamat berikut :

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17482&Itemid=96

 

YB Ustaz Mohd Amar selaku bekas pengerusi Lembaga Pengarah KDSB (KIAS Darul Naim Sdn Bhd) yang juga di dalam masa yang sama merupakan Exco yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal pendidikan tentunya merupakan orang yang paling layak untuk bercakap mengenai KIAS di kalangan wakil-wakil rakyat yang ada di dalam DUN Kelantan. Maka sangat patutlah apabila soalan dikemukakan oleh ADUN Demit, Ustaz Muhammad Mustapha berkenaan perancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Institut Pengajian Tinggi Al-Quran, maka YB Ustaz Mohd Amarlah orangnya untuk bangun menjawab.

 

Bagaimanpun apabila Harakahdaily meletakkan tajuk beritanya sebagai ”KIAS naik taraf jadi kolej universiti”, ianya benar-benar menarik minat saya untuk mengulas. Tajuk tersebut mengundang persepsi bahawa “KIAS telah menjadi kolej universiti” atau “KIAS Hampir Menjadi Kolej Universiti” yang bagi saya kedua-duanya tidak tepat sama sekali. Saya berpandangan bahawa tajuk yang mungkin lebih tepat ialah “KIAS Sedang Dinaiktaraf Menjadi Kolej Universiti”. Bagaimanapun kita memahami keadaan rakan-rakan di Harakahdaily yang sentiasa perlu mengejar masa untuk menyiapkan berita bagi tatapan umum.

 

Adakah ia merupakan satu perkara yang kecil. Bagi saya tidak. Khususnya saya yang berada di dalam organisasi KIAS, tentulah menjadi harapan saya untuk melihat organisasi ini maju ke depan dan melangkah sebagai Kolej Universiti khususnya menjelang ulang tahun ke 10 penubuhannya pada tahun hadapan. Bagaimanapun, apa yang dapat dilihat sekarang hanyalah harapan yang masih belum berpijak di bumi nyata.

 

Kedhaifan infranstruktur, bilangan pelajar yang sedikit, kebajikan pensyarah yang perlu dinaiktaraf, bilangan kursus pengajian yang sedikit dan lain-lain lagi merupakan penghalang yang besar untuk muncul sebagai Kolej Universiti. Bagaimanakah KIAS mahu menarik kehadiran pelajar yang ramai sedangkan jumlah pelajar yang ada pun tidak mempunyai penempatan yang mencukupi?

                                                  

Dalam masa yang sama, kita menyedari keterbatasan yang dialami oleh kerajaan negeri. Dengan kantung kewangan yang terhada apatah lagi sebagai sebuah negeri pembangkang, tentulah tidak patut untuk memohon secara berlebih-lebihan. Namun, kalau kita mahu berbicara soal Kolej Universiti, pastikan kita serius untuk menjayakannya. Kampus KIAS perlu diperbesar. Langkah untuk memindahkan Yayasan Islam Kelantan (YIK) ke lokasi lain bagi memberi laluan kepada KIAS perlu dipercepatkan. Ceritanya sudah lama kedengaran, bilakah ia menjadi hakikat masih menjadi mimpi.

 

Oleh yang demikian, saya benar-benar bersetuju dengan jawapan YB Mohd Amar, namun perlulah dilengkapkan dengan sasaran. Pada tarikh manakah sasaran diletakkan untuk menjayakan KIAS menjadi Kolej Universiti. Tidak salah untuk meletakkan sasaran. Soal ia menjadi kenyataan atau tidak ialah soal yang kesepuluh. Bahkan ’16 September’ yang dirancang oleh Pakatan Rakyatpun tidak menjadi kenyataan, tetapi langkah-langkah untuk menjayakannya sedang diambil. Kita tidak mahu lagi hanya memasang cita-cita tetapi tidak ada kesungguhan untuk menjayakannya.

 

Apa yang saya bimbang ialah jika masyarakat bertanya, di manakah bukti PAS benar-benar mengutamakan pembangunan pendidikan? Kalau KIAS yang menjadi buktinya, maka saya bimbang ia hanya akan memalukan kita.

 

30 Oktober 2008

 

Benar, UMNO Belum Matang

Hari ini terpampang di muka depan akhbar Sinar Harian kenyataan dari Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamed yang menegaskan bahawa UMNO masih belum matang untuk membenarkan debat terbuka. Bahkan katanya, sekiranya debat terbuka diadakan dalam keadaan UMNO masih belum matang (akil baligh?) ini, ia akan mengundang perpecahan dan mendedahkan masalah dalaman UMNO kepada masyarakat umum.

 

Saya fikir kenyataan yang dibuat oleh beliau itu sungguh tepat sekali dengan realiti parti nasionalis sempit seperti UMNO ini. Inilah barangkali pandangan yang paling jujur pernah lahir dari seorang menteri kabinet seperti beliau. Datuk Mustapha bagi saya seorang ahli politik UMNO yang masih lagi boleh dipercayai sebahagian kejujurannya. Malah sebelum pilihanraya umum lepas, beliau pernah mendedahkan di dalam sidang DUN Kelantan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan pernah berperanan dalam menyekat bantuan dan peruntukan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

 

Berbalik kepada kenyataan yang dibuat oleh Mustapha tersebut. Bagi saya, UMNO sememangnya belum matang dan tidak akan matang selama-lamanya. Ini kerana dasar yang dipegang oleh UMNO sendiri ialah dasar perkauman sempit yang selama-lamanya tidak akan membawa kepada perpaduan. Siapakah yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk perkauman kalau tidak pemimpin UMNO? Tetapi siapakah yang dikenakan ISA? Seringkali pihak pembangkang yang dikambinghitamkan.

 

Bahkan di dalam UMNO sendiri, sesiapa sahaja yang ingin mendaki ke puncak kuasa seharusnya mempunyai kekuatan wang. Tanpa wang ringgit untuk disumbat ke perut perwakilan, jangan harap untuk menaiki ke puncak kuasa. Persetankan sahaja perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Apatah lagi keramat sang saka bangsa yang menjadi kiblat perjuangan UMNO, semuanya sudah tinggal slogan semata-mata.

 

Selain itu, kenyataan Mustapha tersebut membawa maksud UMNO benar-benar mengalami perpecahan dalaman. Dan Mustapha percaya, dengan debat terbuka, perpecahan dalaman ini akan dihidu oleh masyarakat. Mustapha betul apabila mengesahkan kewujudan krisis dalaman ini, tetapi silap apabila menyatakan dengan debat terbuka akan mendedahkan luka dalaman UMNO. Hakikatnya, rakyat keseluruhannya sudah mengetahui sememangnya UMNO parti yang bermasalah dan penuh dengan krisis. Bukan menjadi rahsia lagi di seluruh Malaysia gelora rumahtangga UMNO yang hampir berkecai.

 

Sebaik-baiknya, kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang masih punya sedikit keikhlasan dan kejujuran, marilah menyeberang ke bahtera yang selamat ini. Buatlah keputusan sebelum terlambat.

 

28 Oktober 2008

 

Laporan Utusan Malaysia Berunsur Prejudis

Hari ini terpampang di muka depan akhbar Utusan Malaysia gambar seorang petani di Afghanistan yang dikatakan telah dicungkil matanya oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai pejuang Taliban kerana disyaki sebagai perisik kerajaan dan tentera antarabangsa. Petani dari wilayah Helmand itu, Sayed Ghulam memberitahu, matanya dicungkil dengan pisau lewat Khamis lalu di depan ahli keluarganya.

 

Dengan tajuk berita ‘Taliban cungkil mata petani dituduh perisik kerajaan’, Utusan Malaysia sebenar telah cuba menanam prejudis khususnya kepada pergerakan Taliban agar dituduh sebagai pergerakan ganas, kejam dan sadis. Sedarkah Utusan Malaysia bahawa tajuk berita sedemikian telah menggambarkan bahawa pihak Taliban telah dipastikan dengan sebenar-benarnya telah melakukan jenayah tersebut. Mungkin bersumberkan daripada agensi berita barat yang sering kali bersikap bias, Utusan Malaysia tanpa sebarang penapisan terus memuatkannya di muka hadapan tanpa memikirkan kesan terhadap psikologi rakyat Malaysia yang berbilang agama.

 

Pergerakan Taliban tentunya tidaklah mewakili Islam. Namun, setidak-tidaknya Taliban sentiasa mendakwa mereka berjuang untuk ketuanan Islam di tanah tempat lahir mereka. Sebarang prejudis terhadap mereka boleh membawa kepada prejudis terhadap Islam itu sendiri. Bukankah Utusan Malaysia sendiri pun berusaha untuk menjadi pejuang Islam yang sejati sehingga menubuhkan Tabung Azan semata-mata untuk memastikan laungan azan dapat terus dikumandangkan?

 

Taliban hanya disyaki sahaja. Itu pun oleh pihak ketiga. Petani tersebut sendiri pun enggan membuat pendedahan siapakah yang bertanggungjawab. Bahkan pihak Taliban sendiri telah membuat penafian sekeras-kerasnya terhadap insiden tersebut. Sila rujuk http://wtop.com/?nid=105&sid=1479035 bahkan menurut kenyataan Taliban, “ “Whenever we carry out an attack we claim responsibility, we didn’t gouge out this man’s eyes.”

 

Jika penjenayah yang bertanggungjawab pun masih belum dapat dipastikan, maka wajarkah Utusan Malaysia memuatkan tajuk seperti itu di muka hadapan? Atau Utusan Malaysia benar-benar mempunyai agenda laiin yang tersembunyi?

 

7.00 am. 27 Oktober 2008

Masjid Cina : Tuan Guru Nik Aziz Telah Mendahului

Tertarik saya apabila membaca komen Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang menyatakan sokongan kerajaan kepada pembinaan masjid Cina Muslim di negara ini. Kenyataan itu dibuat ekoran cadangan Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Noordin di Dewan Rakyat kelmarin mencadangkan agar dibina sebuah masjid untuk kaum itu di atas tapak Penjara Pudu di sini bagi menarik minat masyarakat Tionghua di sekitar kawasan Bukit Bintang memeluk Islam.

 

Ekoran kenyataan Zulkifli, timbullah pandangan yang berupa pro dan kontra di dada-dada akhbar. Ada pihak yang menyatakan pembinaan masjid ini akan membawa kepada perpecahan kerana berunsur perkauman. Bagaimanapun, mungkin dengan kenyataan Zahid hari ini membawa pendirian kerajaan yang bersetuju pada asasnya dengan cadangan Zulkifli tersebut.

 

Untuk rekod, YAB Menteri Besar Kelantan telah lama menimbulkan isu ini. Bahkan, kerajaan negeri Kelantan telah mendahului dengan membina sebuah masjid yang berunsurkan senibina kaum cina di Rantau Panjang. Dengan peruntukan sebanyak RM7.2 juta, Kelantan mengorak langkah yang tidak terlintas di benak pemikiran pemimpin-pemimpin yang lain. Masakah tidak, sewaktu Tuan Guru memikirkan apakah yang dapat disumbangkan kepada Islam, ramai orang lain hanya memikirkan bagaimana mengekalkan kuasa dan mendapatkan pencalonan yang terbanyak!

 

Benar… Islam bukan untuk Melayu sahaja. Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum di Malaysia hanya boleh bersatu di atas nama Islam. Jika masing-masing bertekak dan berbalah atas nama ketuanan bangsa, sampai bila pun tidak akan berlaku perpaduan yang sejati di negara ini. Atas asas itulah, Tuan Guru seringkali menegaskan bahawa orang cina boleh menjadi Menteri Besar Kelantan asalkan beriman dan mempunyai kelayakan sepenuhnya. Sekali lagi pemikiran Tuan Guru terbukti berada di hadapan!

 

Untuk maklumat mengenai masjid ini, boleh dirujuk kepada alamat-alamat berikut :

 

http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=37057&start=all&postdays=0&postorder=asc&sid=fe447fdea2612b2b4224551e79b61eb2

http://demoloni.wordpress.com/2008/10/07/masjid-pagoda-di-rantau-panjang/

http://www.youtube.com/watch?v=T-BILxx5pjc

 

26 Oktober 2008

Pandanglah Ke Atas.. Dan Pasanglah Cita-cita

“Walau setinggi mana cita-cita yang kau pasangkan, ingatlah kakimu yang masih berpijak di bumi..”

Pemilihan Secara Tender (Lelong) : Mudah Dan Menjimatkan

Saya kira cadangan yang dikemukakan oleh calon Naib Presiden UMNO yang masih kekurangan pencalonan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim adalah sangat praktikal dan bersesuaian dengan budaya UMNO pada hari ini. Beliau dilaporkan menyarankan agar semua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan secara ‘tender’. Katanya, wang yang digunakan untuk mendapatkan jawatan tertinggi parti itu kelak boleh digunakan oleh parti untuk apa jua tujuan yang difikirkan perlu. Katanya, ”Saya kira (jika) mereka nak menyumbang, adalah lebih baik UMNO mengadakan sistem tender iaitu siapa yang menyumbang lebih tinggi, dia jadi ketua dan UMNO akan ambil duitnya itu. Siapa yang banyak duit, bolehlah mengemukakan tawaran.”

Entahlah sama ada Rais bergurau, menyindir atau benar-benar memaksudkan cadangannya itu. Tetapi saya mengira dalam keghairahan pemimpim membilang pencalonan pada hari ini, cadangan ini amat sesuai agar rakyat dapat diselamatkan dari sibuk membicarakan soal rumah tangga UMNO yang sentiasa bergolak. Kepeningan rakyat menghadapi keperitan hidup ekoran kenaikan harga barang-barang keperluan akan bertambah lagi deritanya apabila saban hari membaca dan menonton sikap tidak bertamadun pihak-pihak yang berebut projek dan jawatan di dalam UMNO.

Dalam kekalutan ini, timbullah cadangan yang bernas ini dari seorang Menteri Luar. Mungkin pengalaman bertugas sebagai Menteri Luar dalam masa beberapa bulan ini telah berjaya mematangkannya lalu menerbitakan cadangan sebijak ini. Cuma, saya kira untuk cadangan Rais ini, perkataan lelong lebih sesuai. Memanglah, UMNO sudah sampai ke peringkat perlu ditender untuk mengiklan jawatan. Saya kira sepatutnya UMNO mula berfikir untuk mempromosikan iklan jawatan kosong ini di dalam media massa. Sebutlah berapa harganya, sesiapa yang membuat tawaran yang paling tinggi, dialah yang akan berjaya mendapatkan jawatan.

Itulah selayaknya UMNO. Ini kerana soal maruah dan intergriti tidak penting lagi dalam perjuangan UMNO. Rais menyatakan bahawa sebab utama politik wang tidak dapat dicegah ialah kerana ketiadaan bukti. Saya katakan tidak. Sebab utamanya ialah kerana semua lapisan di dalam UMNO terlibat dengan politik wang! Bahkan mereka yang terlibat terang-terangan pun hanya diambil tindakan di dalam parti, bukan dihadapkan kepada BPR. Lihatlah apa yang berlaku kepada Isa Samad, sudahkah BPR membuat siasatan sebagaimana apa yang dilakukan dengan penuh tergesa-gesanya di negeri Perak?

Hakikatnya, UMNO dari atas sampai ke bawah sudah pun rosak dan tidak ada lagi peluang untuk dibaiki. Sesiapa sahaja yang ingin naik ke atas perlu menggunakan kuasa wang dan apabila mereka berada di atas, mereka perlu sentiasa memelihara ‘toyol-toyol’ di bawah dengan habuan ‘telur projek’ sepanjang masa. Maka, di manakah lagi ruang untuk membuat bakti secara ikhlas di dalam parti yang rosak bernama UMNO?

Sedarlah wahai saudara-saudaraku yang masih punya waktu untuk kembali ke jalan yang benar.

21 OKTOBER … GENAP 18 TAHUN KELANTAN DIPAYUNGI ULAMA

Hari ini 21 Oktober 2008. Genap 18 tahun setelah pilihanraya umum 1990 pada 20 Oktober 1990 yang menyaksikan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyapu bersih semua kerusi DUN di Kelantan. Genap 18 tahun Kelantan dipayungi oleh pimpinan ulama yang diterajui oleh YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Juga genaplah jua 18 tahun Barisan Nasional melalui pelbagai usaha terus kempunan untuk menawan negeri Serambi Mekah ini.

 

Ketika PRU 1990, saya baru berusia 10 tahun. Masih segar di ingatan ketika ayahanda membawa saya mengikuti beberapa siri ceramah kempen pilihanraya dalam kawasan parlimen Pasir Mas. Ketika itu, sentimen anti-Mahathir sangat hebat selepas berlakunya perpecahan UMNO pada 1987. Penubuhan Semangat 46 dan penyatuan dengan PAS di dalam ikatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) telah diyakini akan dapat menawan Kelantan semenjak sebelum pilihanraya lagi. Bahkan, ramai yang merupakan penyokong UMNO di kampung-kampung beralih angin untuk menyokong Semangat 46 ekoran kekalahan Tengku Razaleigh merebut jawatan Presiden UMNO pada 1987 dalam perlawanan yang disifatkan sebagai berat sebelah.

Continue reading