Cahaya Di Hujung Terowong…?

Muhibbuddin (kanan) dan adiknya Mujiburrahman (kiri)

 

Jarang sekali saya mahu membuat catatan berbentuk peribadi di dalam blog ini. Bukannya tidak ingin berkongsi, tetapi saya kurang gemar untuk mendedahkan perkara-perkara berkaitan dengan kehidupan peribadi ke seluruh dunia melalui ruang blog ini.

 

Namun, hari ini saya ingin berkongsi sesuatu dengan pembaca sekalian. Ini berikutan diagnosis terhadap anak sulung saya, Muhibbuddin –kami memanggilnya Muhib– yang disahkan menghidap autisme – sejenis sindrom ketidakpupayaan yang wujud semenjak lahir pada diri seseorang. Tentunya sebagai seorang bapa yang mengharapkan perjuangannya diwarisi oleh anak-anak, perasaan hampa tidak dapat tidak menghantui diri saya. Apatah lagi isteri saya yang merupakan ibunya, mengandung dan melahirkan anak itu, tentunya lebih berat bebanan yang diterima.

 

Bagaimanapun, hakikat perlu juga diterima. Inilah ujian daripada Allah SWT. Hanya Dialah yang mengetahui betapa sukarnya untuk menjaga seorang anak yang menghidap sindrom ini. Walaupun umurnya sudah mencecah 3 tahun, namun masih belum mampu untuk mengungkapkan walaupun sepatah katapun. Muhib gemar bermain dengan dunianya sendiri. Suka menyusun barang dan melihatnya dari pelbagai sudut. Pengurusan tandas masih belum dapat dikuasai berbeza dengan sepupu-sepupunya yang sebaya dan lebih muda daripadapnya. Jika berada bersama dengan rakan-rakan sebaya, jarang sekali Muhib dapat bermain bersama sebagaimana kanak-kanak yang lain. Dia lebih gemar menyendiri dan bermain dengan caranya sendiri.

 

Semuanya ialah satu bebanan bagi ibubapa. Apatah lagi dengan tidur malamnya yang lewat. Tidurnya pula pantang terganggu, Muhib akan menangis dengan kuat. Dalam soal makan juga menambah lagi kepeningan apabila Muhib sukar untuk berselera secara normal. Dia hilang selera terhadap makanan seperti nasi, mee dan sebagainya. Apa yang diminati hanyalah minuman yogurt dan kalsium serta gula-gula. Kadang-kadang sampai ke peringkat memaksa untuk makan.

 

Sekarang, Muhib menjalani rawatan terapi OT (occupation therapy) dan speech di HUSM, Kubang Kerian. Dengan kekerapan dua kali seminggu, terpaksalah kami bergilir-gilir membawanya ke sana di tengah-tengah kesibukan kerja. Walaupun menurut doktor, sindrom autism ini tidak akan dapat dirawat selama-lamanya, saya optimis terhadap jalan penyelesaian yang pastinya akan muncul jua.

 

Minggu lepas, selepas membaca satu artikel di dalam akhbar, saya menjumpai satu laman web http://www.bcro-stemcells.com/ yang memperkenalkan rawatan terhadap pelbagai jenis penyakit dengan menggunakan stem sel daripada arnab. Mengikut apa yang didakwa oleh pihak ini, autism ialah salah satu penyakit yang dapat dirawat menggunakan kaedah ini. Bila saya bertanya mengenai kos, untuk satu suntikan sahaja ia menelan belanja sebanyak RM27,000.00! Kebiasaannya untuk membuat rawatan autism, ibubapa dicadangkan mengambil pakej tiga suntikan dengan kos RM70,000.00.

 

Mahal.. memang terlampau mahal. Tetapi kalau benar ia merupakan kaedah yang menyembuhkan, saya kira apa salahnya jika kita berikhtiar. Walaupun untuk mendapatkan wang sebanyak itu satu perkara yang memeningkan, namun untuk masa depan anak yang Allah SWT anugerahkan, saya kira ia berbaloi. Buat masa ini, saya tidak memikirkan soal kos, apa yang lebih penting, logikkan kaedah ini boleh menyembutkan autism?

 

Benarkah ia boleh merawat penyakit autism? Saya membuat posting ini untuk berkongsi pengalaman dengan para pembaca sekiranya mempunyai pandangan mengenai kaedah ini. Atau jika para pembaca pernah berdepan dengan kaedah rawatan penyakit autism, saya benar-benar berharap agar dapat diberikan pandangan yang sewajarnya.

 

Saya tidak mahu masa berlalu seterusnya Muhib semakin membesar dengan sindrom ini. Hari ini dia berumur 3 tahun, selepas ini dia akan meningkat remaja dan dewasa. Biarlah   sindrom ini dirawat lebih awal. Para pembaca yang mempunyai pengalaman, saya pohon dapat memberikan pandangan. Atau sekurang-kurangnya mengirimkan doa. Kerana doa seorang saudara kepada saudara seislamnya yang lain tanpa saudara tersebut mengetahui ialah di antara doa yang mudah dimakbulkan oleh Allah SWT.

 

Di antara laman web yang memperkatakan mengenai kaedah ini :

http://www.stem-cell-transplantation.com/how_to_get_stem_cell_therapy.html

www.bcro-asia.com/home.html

 

01 November 2008

11 Responses

  1. saya tidak tahu pasal sindrom ini
    ataupun melihat dgn lebih dekat..

    bagaimana dgn Darulshifa yg di
    terajui Ust Harun Din itu saya rasa ia
    adalah alternatif terbaik… buleh di cuba kot…

    sekadar memberi cadangan sajer….

    semoga anak saudara akan sembuh jua…
    amin…

  2. terima kasih zaidjaffar di atas cadangan.. ada juga yang telah bagi cadangan tu sebelum ini, saya cuba untuk pertimbangkan…

  3. semoga Allah kurniakan eribu satu kesabaran buat ust n zaujah tuk mghadapi ujian ini..amin

  4. salam..mbaca posting ni buat saya dapat merasai keperitan dan ketabahan ust dan isteri menghadapi ujian Allah swt dengan penuh keyakinan bahawa setiap penyakit ada ubatnya..Menatap wajah senyum Muhib disamping wajah comel Mujib buat saya rasa tersentuh..ada sinar kekuatan nun jauh di lubuk hati si kecil..Moga terus tabah dan jangan berputus asa..sesungguhnya dengan setiap kesusahan pasti ada kesenangan..i/allah.

  5. salam buat semua yg memberi semangat utk suami dan saya di sini.saya doakan kalian mendapat ganjarannya.insyaallah..
    tersentuh dan sebak membaca komen dari retiredLoyar, seolah-olah memahami kesulitan kami, terima kasih.. walaupun besar ujian ini bagi kami, saya yakin pasti akan ada cahaya di hujung terowong..

  6. Assalamualikum….
    saya blh cadangkan supaya saudara mencuba TRANSFER FACTOR. Alhamdulillah setakat ini dah ada satu kes mengenai penyakit ini. maklumat lanjut
    blh lihat web saya dah hubungi saya. T.Q

  7. Assalammualaikum,

    Kami juga mempunyai dua anak autistic (Asperger) 13 tahun dan 8 tahun. Banyak halangan yang kami tempuhi dan kami telah 2 tahun menghantar mereka menjalani NASOM Inclusion Program. Alhamdullilah dgn program ini mereka telah menunjukkan perubahan yang amat ketara dari segi tingkah laku dan social. Anak ustaz masih kecil dan perlu didedahkan dgn intervensi awal. Intervensi dan modifikasi kelakuan akan membantu mereka di alam persekolahan. Jangan berputus harap

    Dari Hidayati dan Zainudin

  8. salam ummu muhib n ust..sama2..hanya doa dan hrpn utk lihat ust n ummu muhib kekal bsemangat mampu saya hulurkan..i/allah saat n waktu cahaya itu akan muncul juga..kita lah yang mdorong cahaya itu dgn izin Allah swt jua..sblm ni saya pnh tbaca artikel psl autism dlm The Star..slh satu utk mcegah..bila lihat sj si anak leka dgn sesuatu aktiviti reflek dr autis tsebut, ibubapa perlu cpt btindak mhalang agr ia tak mjadi satu tabiat yg kekal dlm diri anak2..skdr bkongsi..Tabahkan hati!..wslm

  9. Anak ke tiga saya (dari 4 beradik) adalah seorang autistik. Kini beliau berusia 6 tahun. Saya mula menghantarnya ke NASOM ketika umurnya 3 tahun. Selain itu, beliau juga hadir kelas speech theraphy dan occupational theraphy. Banyak perubahan telah berlaku kepada beliau. Dulu anak saya tiada speech. Sekarang ini, beliau ada pertuturan tetapi vocab masih terhad. Program intervensi awal akan meningkatkan keupayaan kanak-kanak autistik. Percayalah, pelbagai cara telah saya cuba. Tentang stem cell, saya ada baca artikel diakhbar mengenainya tetapi setakat ini tiada sebarang bukti perubatan / data statistik yang ditunjukkan bagi membuktikan kebenaran kaedah rawatan ini. saya ada bercakap dengan seorang doktor mengenai kaedah rawatan ini tetapi tanya makin menambahkan keraguan saya. Persoalannya, bolehkah stem arnab “blend” dengan manusia?

  10. tentunya ada cahaya di mana-mana:

    http://ppkiskss19sj.blogspot.com/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: