Rakaman Ceramah di Chetok, Pasir Mas

1 November 2009 – Malam semalam sekali lagi saya mempengerusikan majlis ceramah umum anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Chetok, Pasir Mas. Kehadiran agak kurang memberansangkan, berkemungkinan kerana perlawanan separuh akhir kedua Kelantan vs Perlis sedang ke udara melalui RTM1. Apapun, rakaman ceramah sempat saya muat naik untuk sahabat-sahabat yang berminat.

1. Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

2. Ustaz Kamal Ashaari, AJK Dewan Pemuda PAS Pusat

3. Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi (Ust Jaa), AJk Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Advertisements

Ceramah Umum sempena perayaaan Jubli Perak PASTI

31 Oktober 2009 – Baru sebentar tadi saya diamanahkan untuk mempengerusikan majlis ceramah umum sempena perayaan Jubli Perak 25 Tahun PASTI yang diadakan di perkarangan stadium Sultan Muhammad IV. Alhamdulillah, sekalipun hujan turun renyai-renyai tetapi bilangan kehadiran agak menggalakkan. Berikut ialah rakaman ceramah untuk dimuat turun oleh peminat-peminat yang tidak sempat datang :

1. Ucapan YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

2. Ucapan YB Datuk Mahfuz Omar

3. Ucapan Ustaz Nasrudin Tantawi

4. Ucapan YAB Datuk Seri Nizar
5. Ucapan alu-aluan Yb Ahmad Baihaki Atiqullah

Bajet Kelantan 2010 Bajet Berkebajikan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan Bajet Kelantan 2010 yang bertema “Bajet Memacu Dalam Hemat” sebagai suatu bajet berkebajikan yang lahir dari cetusan pimpinan yang beriman dan bertaqwa. Perkara ini jelas dapat dilihat berdasarkan kepada pembelaan kepada golongan dhaif, miskin, orang kelainan upaya (OKU), armalah (ibu tunggal) dan warga emas yang diperuntukkan di dalam bajet tersebut.

DPPNK juga berbangga dengan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus menunjukkan komitmen membina insan kamil yang berteraskan taqwa dengan mengadakan program memartabatkan Islam seperti mengadakan program membudayakan Al-Quran di dalam masyarakat. Langkah ini dilihat sebagai satu ciri yang penting bagi sebuah kerajaan yang berhasrat menerapkan Islam di dalam kehidupan rakyat.

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu pada hari ini, langkah kerajaan negeri mengekalkan dasar berkebajikan seperti RM2 juta bagi golongan armalah, RM2 juta untuk anak yatim, RM5 juta bagi Skim perlindungan Sosial Tengku Anis-KIFAALAH dan RM4.7 juta bagi program membaiki rumah uzur melalui skim bantuan Rumah Dhuafa adalah merupakan satu langkah yang terpuji.

Disamping itu, peningkatan anggaran hasil tahunan 2010 sebanyak RM387.38juta jika dibandingkan dengan tahun 2009 merupakan suatu bentuk penafian secara tidak langsung terhadap tohmahan sesetengah pihak yang menganggap PAS gagal mentadbir negeri Kelantan dengan bijak dan mengakibatkan kemunduran. Jika Kelantan mundur, bagaimana perolehan saban tahun semakin meningkat?

DPPNK menyelar kenyataan ketua pembangkang DUN Kelantan, Dato’ Md Alwi Che Ahmad yang menganggap bajet Kelantan 2010 sebagai sebuah bajet ala kadar kerana mengalami defisit. Ini adalah kerana bajet defisit ini bukan berlaku di Kelantan, bahkan bajet kerajaan negeri yang diperintah Barisan Nasional termasuklah kerajaan persekutuan sendiri pun mengalami defisit. Beranikah beliau turut menyifatkan bajet negeri-negeri tersebut, termasuklah kerajaan persekutuan sebagai bajet ala kadar?

DPPNK juga mencabar UMNO sekiranya UMNO benar-benar ingin melihat Kelantan maju dan tidak mengalami defisit dalam perbelanjaan, berikan royalti minyak yang diperjuangkan oleh kerajaan Kelantan dan insyaAllah ianya pasti akan membantu memacu perkembangan ekonomi negeri Kelantan dengan lebih pesat lagi. DPPNK juga mengajak  Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan agar bersuara menyokong bersama-sama DPPNK agar Kelantan menerima royalti  minyak tersebut demi kebaikan negeri secara keseluruhannya.

ISLAM MENERAJUI PERUBAHAN

MEMPERSADA PERJUANGAN

5 DEKAD PEMUDA MENERAJUI PERUBAHAN

HISHAM BIN FAUZI

NAIB KETUA,

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KELANTAN

Pemuda PAS Pasir Mas Jawab Mohamed Farezz

hanifPasir Mas 21 Julai 2009 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mempertikaikan tindakan Dewan Pemuda PAS yang membuat laporan polis berhubung dakwaan berlakunya kegiatan membeli undi semasa pilihanraya kecil Manek Urai yang lepas.Ini kerana mana-mana pihak di Malaysia berhak membuat apa jua laporan polis jika mempunyai maklumat tentang  kegiatan yang menyalahi undang-undang, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas (DPPKPM), Muhammad Hanif Wan Ahmad (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan yang dibuat oleh Naib Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Mohamed Farezz Noor Amran yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian semalam. Farezz  dilaporkan berkata laporan itu seolah-olah menunjukkan Pemuda PAS Kelantan gagal menerima hakikat keputusan yang dibuat oleh pengundi yang menyaksikan PAS menang dengan majoriti yang tipis.

“Pemuda PAS menasihatkan mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan kami membuat laporan ini dan kita sama-sama menunggu keputusan siasatan yang dibuat olehh pihak berkuasa. Kita pun tidak pernah mempertikaikan hak Pemuda UMNO membuat laporan polis khususnya dalam isu kenyataan Menteri Besar baru-baru ini, Biarlah pihak polis membuat siasatan,” ujar beliau lagi.

“Saya ingin bertanya kepada Farezz yang mendakwa bahawa BN boleh menerima hakikat jika menerima kekalahan, bagaimana dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan sebaik saja PAS membentuk kerajaan? Tidakkan penubuhan agensi tersebut di samping kerajaan negeri yang sah dipilih oleh rakyat menunjukkan UMNO/BN gagal menerima hakikat kekalahan? Di Terengganu pada tahun 1999 ketika PAS membentuk kerajaan negeri, kenapa UMNO/BN bertindak menarik balik royalti sedangkan itu hak rakyat, sekarang wang itu dikembalikan semula setelah Terengganu kembali kepada UMNO. Tidakkah tindakan itu jelas menunjukkan UMNO/BN gagal menerima hakikat kekalahan?”

“Saya juga ingin menasihatkan kepada Pemuda UMNO khususnya di Pasir Mas agar menumpukan agenda kepada pemerkasaan agama dan bangsa sebagaimana yang mereka laung-laungkan. Suarakan pandangan yang membela rakyat agar perjuangan membela agama dan bangsa tidak hanya dipandang retorik semata-mata”, kata beliau lagi.

PAS Dituduh Takabbur : Tuduhan Shahrizat Tidak Berasas

sh080709-1

Membaca tuduhan yang dilemparkan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada hari ini memanggil saya untuk memberikan sedikit ulasan. Kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang tewas dalam pilihanraya umum yang lalu itu, PAS Kelantan sudah bersifat takkabur (ejaan di dalam akhbar : takbur) kerana mengkritik UMNO secara total. Menurutnya seperti yang dilaporkan di dalam Sinar Harian hari ini (08 Julai 2009), PAS Kelantan bukannya turun buat kerja dan  ekoran itulah, beliau sampai menitiskan air mata melihat kemiskinan rakyat Manek Urai.

Pertama, tuduhan takabbur. Kalau maksudnya membesarkan diri, maka tuduhan itu lebih layak sebenarnya untuk UMNO. Shahrizat perlu tahu bahawa menjelang kempen pilihanraya umum ke 12 yang lalu, tatkala Shahrizat sibuk berhempas pulas mempertahankan Lembah Pantai dari diserang oleh Nurul Izzah, di Kelantan dijalankan kempen yang sangat agresif untuk menawan negeri Serambi Mekah ini. Ada seorang Timbalan Menteri dari Bachok yang diwar-warkan sebagai bakal Menteri Besar jika UMNO berjaya menawan Kelantan. Gambarnya ditampal merata-rata, membayangkan seolah-olah UMNO sudah tahu apa yang tertulis di lembaran qadha’ qadar bahawa mereka akan bersemayam di pejabat SUK pada 9 Mac 2008.

Rakyat Kelantan bukan buta melihat perbuatan ini. Apa jenis kerja macam ni. Pilihanraya belum lagi berlaku, Menteri Besar sudah ditabalkan. Siapa yang takabbur dalam soal ini, PAS Kelantan atau UMNO Kelantan? Itu belum lagi dicampur kempen Pemuda UMNO yang berslogankan ’18 tahun Pade Doh’ dicetak di atas baju tshirt berwarna hitam membayangkan kelam gelapnya hati mereka di kala itu. Seluruh Kelantan menyaksikan perarakan motosikal membawa bendera UMNO sebesar suku padang bola bagi membayangkan kesungguhan UMNO menawan Kelantan.

Rakyat Kelantan bukan tuli mendengar hiruk pikul suara deruman motosikal mat-mat rempit yang membawa slogan ’18 tahun pade doh’ itu. Akhirnya, kempen agresif BN Kelantan makan diri, tinggal enam kerusi di DUN Kelantan yang kebanyakannya sebelah hulu.

Kedua, isu kemiskinan di Manek Urai. Shahrizat bercakap seolah-olah penduduk Lembah Pantai kesemuanya memiliki banglo sebesar Khir Toyo miliki tatkala beliau mewakili parlimen tersebut. Lupakah Shahrizat, 2004-2008 UMNO yang bertakhta di Manek Urai. Apakah pembanguan yang dibuat oleh UMNO ketika itu? PAS hanya menawan semula Manek Urai tahun lepas. Ertinya, jika ada kemiskinan tegar di Manek Urai, ia turut menandakan kegagalan UMNO juga. Pada masa itu, kenapa Shahrizat tidak saja bertandang di sini dan titiskanlah air mata suci itu. Atau air mata itu hanya menitis pada musim pilihanraya? Jika demikian, itu bukan air mata yang ikhlas… itu air mata buaya.

Apapun, kepada Datuk Seri Shahrizat, bersabarlah dalam masa enam hari lagi menjelang PRK ini. Selepas ini, Datuk Seri tak perlu menangis lagi di sini……

Bila Ibrahim Ali Mahu Isytihar Masuk UMNO?

utusan050709

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pada hakikatnya sudah merupakan ahli UMNO. Status sebagai ’bebas’ yang dipakai sebenarnya hanyalah tiket untuk menyeberang sedikit demi sedikit ke arah UMNO. Masakan tidak, Manek Urai yang langsung tiada kaitan dengan Pasir Mas pun dijelalahi oleh Ibrahim untuk berkempen memburuk-burukkan parti yang meminjamkan lambang bulan kepadanya.

Lihatlah hari ini Mingguan Malaysia 5 Julai 2009 yang memaparkan kempen Ibrahim di Manek Urai yang menyerang Menteri Besar Kelantan. Katanya, kenyataan Nik Aziz yang mempelawa Perdana Menteri berdebat hanyalah untuk menutup kesilapannya dalam isu kerajaan perpaduan.

Ibrahim samada baru tersedar dari tidur atau masih lagi tidur. Ini kerana umum mengetahui bahawa cadangan debat timbul ekoran laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO di bawah pimpinan Anuar Safian. Ini berikutan kenyataan Nik Aziz yang membuat perumpamaan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan komunis. Nik Aziz mempunyai hujahnya sendiri, dan hujah inilah yang mahu didengar dalam medan debat. Apakah yang menjadi masalah sangat hendak berdebat dengan Nik Aziz? Bukankah selama ini media massa yang dimiliki UMNO/BN sering menghentam Nik Aziz siang dan malam tanpa henti? Takut sangatkah ingin mendengar hujah balas?

Ibrahim berkata, PAS perlu berdebat dulu dengan DAP kerana DAP menolak Islam. Ibrahim lupakah bahawa jalinan PAS dengan DAP masih baru dan muda. Jahil sangatkah Ibrahim untuk mengkaji sejarah bagaimana jalinan persahabatan UMNO dengan parti komponen BN sudah terjalin setengah abad, tetapi sudahkah mereka menerima Islam. Bukan sahaja mereka tidak menerima Islam, bahkan UMNO sendiri pun sudah menjadi sama dengan mereka! Lihat di sini pendirian parti Gerakan sebagai contoh di dalam isu cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan isu hudud.

Saya cadangkan, Ibrahim isytiharkanlah cepat-cepat masuk UMNO. Rakyat Pasir Mas menunggu hari sahaja untuk menghukum Ibrahim dalam pilihanraya umum nanti. Itupun kalau Ibrahim boleh menjadi calon UMNO. Kalau tidak, nampaknya berteduh sekali lagilah Ibrahim di bawah lambang payung….

Pelawaan Rasmi Kepada Saudara Affendi Yusof Untuk Berdebat

surat untuk afendi

Assalamualaikum wmt. wbr.

Kepada,

Sdr.  Mohd Affendi Yusof,

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

PT 72, Seksyen 46,

Kampung Dusun Raja

16400 Kota Bharu, Kelantan.


Tuan,

PELAWAAN MENYERTAI DEBAT DENGAN WAKIL DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PASIR MAS (DPPKPM)

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Pihak kami dengan ini merujuk kepada kenyataan tuan di dalam akhbar Sinar Harian, 29 Jun 2009 dan Berita Harian, 30 Jun 2009 yang menyarankan agar YAB Menteri Besar Kelantan memasuki debat pra-kelayakan dengan Pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum berdebat dengan YAB Perdana Menteri. Kenyataan tersebut juga disiarkan di laman web Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di alamat : http://www.pemudaumno.org.my

Sehubungan dengan itu, pihak kami berbesar hati untuk menjemput tuan agar dapat berdebat secara terbuka dengan wakil kami iaitu naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari di atas isu agama dan politik khususnya melibatkan pertembungan di antara UMNO dan PAS.

Jika pihak tuan bersetuju, tarikh, tempat dan kaedah perdebatan boleh ditentukan selepas ini.  Kami boleh dihubungi di alamat di atas atau talian terus 019-9070868.

Segala kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan, kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Sekian, wassalam.

“ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN”

Dengan hormatnya,

( MOHD SUAZHAR BIN ABDULLAH )

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas.

S.k  :  Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan