Kesal Atau Kecut?

Dari jauh, menatap gambar perhimpunan raksasa solat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV memberikan kepuasan kepada hati yang menyayangi perjuangan ini. Tanpa retorik dan kata-kata kosong, sebenarnya hati rakyat Kelantan masih bersama PAS selagi mana hasrat untuk mendaulatkan agama Allah s.w.t masih menjadi matlamat di dalam perjuangan. Puluhan ribu rakyat Kelantan yang membanjiri ruang stadium memberikan petunjuk kepada UMNO bahawa mimpi mereka untuk menawan Kelantan masih tinggal mimpi dan angan-angan.

Sedikit terhibur lagi apabila membaca komentar bakal Menteri Besar Kelantan edisi simulasi, Dato’ Mustapha Mohamed. Kononnya, UMNO Kelantan kesal dengan tindakan PAS menganjurkan majlis solat hajat tersebut (rujuk Utusan Malaysia, 28 Februari 2004). Kenyataan ini pada hakikatnya satu petanda jelas betapa kecutnya pemimpin yang disifatkan sebagai mutiara baru UMNO Kelantan terhadap kekuatan sebenar PAS. Nampaknya, jauh lagilah mimpi bakal Menteri Besar Kelantan ini untuk menduduki kerusi di SUK.

Di dalam Islam, sesiapa pun berhak melakukan solat hajat,. UMNO pun berhak. Buatlah program solat hajat untuk menjatuhkan PAS. Allah Yang Maha Berkuasa berhak menentukan segala-galanya. Namun, sedikit simpati kepada Dato’ Pa yang kelihatan benar-benar gelisah dengan tindakan PAS mengadakan majlis solat hajat. Hakikatnya, Dato’ Pa perlulah sedikit rasional dalam berfikir. PAS sebelum ini telahpun merancang untuk mengadakan Ijtimak PAS Kelantan di Bukit Nangka, Jeli pada 21 Februari 2004 namun tidak berjaya kerana tidak mendapat permit dari pihak polis. Dalam masa yang sama, kedatangan Perdana Menteri pada 23 Februari lalu mendapat ‘permit besar-besaran’ oleh pihak polis. Ya, untuk UMNO, mereka bebas menggunakan segala-galanya. Dato’ Seri Abdullah khabarnya disambut oleh 30,000 orang penduduk Kelantan yang kononnya inginkan perubahan. Majlis pula diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Perdana, sesuatu yang amat jelek jika dilakukan oleh PAS. Bukankah satu double standard yang amat jelas di dalam soal kebenaran dan permit di antara dua program yang hanya berbeza dua hari tersebut?

PAS kemudiannya memindahkan programnya ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan ditukar kepada solat hajat serta ceramah perdana. Namun, Dato’ Pa tidak perlu runsing sebenarnya. Bukankah UMNO Kelantan sudah berada di tahap yang benar-benar terbaik sekarang? Program Selamat Tinggal PAS pun khabarnya telah menarik berbelas-belas ribu ahli PAS ke dalam UMNO. Malah, PAS sebenarnya sudah kehilangan sokongan dari rakyat Kelantan dan menunggu masa sahaja untuk jatuh (rujuk kenyataan Zaid Ibrahim, Utusan Malaysia, 9 Februari 2004). Lalu apa yang dikecutkan oleh Dato’ Pa? Peliknya, kalau benar PAS sudah ditinggalkan oleh ahli-ahlinya, siapa pula yang membanjiri ruang stadium pada malam bersejarah itu? Hantukah? Kalau benar hantu, maka tak perlulah Dato’ Pa kecut.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah UMNO Kelantan dilihat masih suka bermain dengan bayang-bayang hingga sanggup menipu diri sendiri. Lihat sahaja kes anak-anak Allahyarham Bunyamin Yaakub yang didakwa memasuki UMNO telahpun dinafikan sendiri oleh mereka. Selamba sahaja budaya menipu ini diamalkan oleh UMNO tanpa malu-malu semata-mata mencari publisiti. Ya, mereka tahu mereka sebenarnya menipu, tapi itulah UMNO. Kalau tidak menipu, bukanlah UMNO namanya.

Kasihan sebenarnya Dato’ Pa yang terus dijulang hingga ke kayangan oleh media perdana milik UMNO. Dato’ Pa malah disifatkan sebagai ‘seekor naga yang harus dilumpuhkan’. (Lihat tulisan Zulkifle Bakar, Utusan Malaysia, 27 Februari 2004). Sedangkan dalam masa yang sama, UMNO sebenarnya cuba menyembunyikan krisis dalaman yang timbul akibat pemecatan Dato’ Paduka  Ibrahim Ali dan gengnya tempoh hari.

Kasihan UMNO.. kasihan Dato’ Pa. Sekali lagi. kita cadangkan supaya UMNO Kelantan turut mengadakan solat hajat untuk menjatuhkan kerajaan PAS. Jemputlah Perdana Menteri untuk menjadi imam. Tanpa kerahan, tanpa upah dan tanpa jentera kerajaan, tentu berpuluh-puluh ribu akan hadir. Maklumlah, Dato’ Pa ibarat sebutir mutiara.. (Lihat tulisan Zulkifle Bakar, Utusan Malaysia, 27 Februari 2004).

Ahmad Fadhli bin Shaari.

Kaherah, Mesir.

29 Februari 2004.

Puasa 9 dan 10 Muharram

Di antara ibadat puasa yang disunatkan kepada umat Islam ialah berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri di dalam sejarah manusia khususnya umat Islam. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Di antara perkara penting yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menyelamatkan Bani Israel dari kekejaman Firaun dan tentera-tenteranya serta menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keingkaran dan keangkuhannya. Oelh yang demikian tarikh 10 Muharram ialah merupakan tarikh di mana bermulanya episod baru dalam kehidupan Bani Israel setelah berabad lamanya ditindas oleh rejim Firaun di bumi Mesir. Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. – Surah Yunus, ayat 90.

Manakala hujah yang menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada tarikh 10 Muharram ialah hadis yang bermaksud : Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Kesemuanya di dalam Kitab Puasa.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Nabi SAW tidak menolak dakwaan Bani Israel bahawa pada tarikh 10 Muharram itu ialah tarikh di mana nabi Musa dan kaumnya diselamatkan oleh Allah SWT. Secara tidak langsung, perintah baginda supaya para sahabat berpuasa pada hari tersebut ialah satu pengiktirafan kepada dakwaan Bani Israel.

Manakala peristiwa lain yang berlaku pada 10 Muharram juga ialah pembunuhan Hussein RA di Karbala semasa perselisihan faham dengan tentera Yazid bin Muawiyah. Persitiwa ini membawa kesan besar di dalam sejarah yang seterusnya menjadi amalan penganut-penganut mazhab Syiah untuk merayakannya setiap tahun. Perayaan ini dapat dilihat dengan jelas di Iran dan sebahagian besar kawasan di Iraq.

Peristiwa lain yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram ialah mendaratnya kapal Nabi Nuh as di atas bukit Judi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi Nuh kemudiannya berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT. – Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, http://www.islamonline.net

Mengenai ibadat puasa pada hari ‘asyura ini, Syeikh Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqhus-Sunnah menyenaraikan beberapa hadis yang menyatakan kelebihan berpuasa pada hari tersebut. Antaranya :

  1. Daripada Abu Hurairah RA : Rasulullah SAW ditanya, apakah solat yang paling afdhal selepas solat fardhu? Baginda menjawab, “Solat pada pertengahan malam.” Kemudian ditanya lagi, apakah puasa yang paling afdhal selepas puasa Ramadhan? Baginda menjawab, “(Puasa pada) bulan Allah yang kamu gelarkan sebagai Muharram” – Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan Abu Daud.
  2. Daripada Muawiyah bin Abu Sufian bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Hari ini ialah hari ‘asyura dan tidak diwajibkan ke tas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah manakala barangsiapa yang ingin berbuka, berbukalah.”
  3. Daripada Aisyah RA berkata, “Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Adapaun Rasulullah SAW juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Barangsiapa yang ingin berpuasa, teruskan. Barangsiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan). – Muttafaq ‘Alaih
  4. Daripada Ibnu Abbas RA berkata :  Nabi SAW memasuki Madinah dan melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘asyura. Baginda bertanya, “Apakah ini?” Mereka menjawab, “Ini ialah hari yang baik, Allah menyelamatkan di dalamnya Musa dan Babi Israel daripada musuh mereka, lalu Musa berpuasa.” Maka Rasulullah bersabda, “Kami lebih layak terhadap Musa daripada kamu.” Baginda kemudiannya berpuasa dan memerintahkan para sahabat berpuasa. – Muttafaq ‘alaih
  5. Daripada Abi Musa Al-Asy’ari RA berkata, : “Ini ialah hari ‘asyura yang dimuliakan oleh kaum Yahudi dan dijadikan hari raya. Maka Rasulullah SAW berkata, “Berpuasalah kamu semua.” – Muttafaq ‘alaih
  6. Daripada Ibnu Abbas RA berkata : Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah ahri yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah SAW. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud. Di dalam lafaz yang lain disebut sabda Rasulullah SAW : “Seandainya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan (iaitu bersama hari ‘asyura) – riwayat Ahmad dan Muslim.

Berdasarkan kepada hadis-hadis di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa disunatkan berpuasa pada hari ‘asyura di dalam tiga kaedah :

  1. Puasa pada tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharram.
  2. Puasa pada hari ke 9 dan 10 Muharram
  3. Puasa pada hari ke 10 sahaja.

Seandainya timbul persoalan, bagaimanakah Nabi SAW menyontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya, “Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin..”. Maka kita menjawab bahawa puasa Nabi SAW pada 10 Muharram bukanlah semata-mata menyontohi kaum Yahudi bahkan kaum Quraisy telah terlebih dahulu berpuasa pada hari tersebut sebagaimana yang disebut di dalam hadis di atas yang diriwayatkan oleh Aisyah RA. Oleh yang demikian, dapat diambil kesimpulan bahawa sunnah berpuasa 10 Muharram dimulakan oleh syariat Nabi Ibrahim sebelum diamalkan oleh kaum Yahudi. – Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, http://www.islamonline.net

Manakala kelebihan beramal pada 10 Muharram disebut di dalam satu hadis yang bermaksud : “Sesiapa yang meluaskan (memudahkan urusan) ke atas dirinya serta ahlinya pada hari ‘asyura, Allah SWT akan meluaskan padanya sepanjang tahun..” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Ibnu Abdil Barr. Hadis ini mempunyai sanad-sanad yang lain namun dikatakan kesemuanya ialah sanad yang dhoif. Bagaimanapun jika digabungkan sebahagiannya dengan yang lain, ia boleh diterima sebagai hadis yang kuat. – Syeikh Sayyd Sabiq, Fiqhus-Sunnah.

Adapun amalan masyarakat Melayu kita yang merayakan hari ‘asyura dengan mengadakan program membuat bubur ‘ayura adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh baginda SAW. Apatah lagi jika dinisbahkan perbuatan tersebut kepada Nabi Nuh AS dengan mendakwa bahawa Nabi Nuh AS membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah satu dakwaan yang sama sekali tidak mempunyai sandaran di dalam agama. Oleh yang demikian, jika tetap mahu diadakan program membuat bubur tersbeut, perlulah diyakini bahawa ia tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Manakala membuat bubur itu sendiri seandainya diyakini datang daripada sunnah Rasulullah SAW atau Nabi Nuh, maka ia adalah kepercayaan yang karut dan perlu diperbetulkan. Wallahu a’lam.

Ahmad Fadhli bin Shaari

Kaherah, Mesir.

28 Februari 2004

Khilafah Rasyidah dan Lahirnya Mahdi Yang Ditunggu

Di dalam dunia yang bergolak panas hari ini, menyaksikan satu persatu negara umat Islam jatuh berguguran ke tangan penjajah. Selepas kejatuhan Afghanistan dan Iraq, tiada yang mampu meramalkan berhentinya serigala buas bernama Amerika dari terus memburu mangsa. Pilihanraya hujung tahun ini mungkin menjadi penyebab Bush dan armadanya berkampung di sekeliling White House bagi memastikan kelangsungan kuasa yang diberikan rakyat. Namun, bagaimana pula dengan masa-masa yang mendatang? Kejatuhan Iraq dan tertangkapnya Saddam Hussein adalah satu bukti kukuh bahawa kekuatan Amerika sebenarnya tiada tolok bandingnya. Waktu-waktu inilah, umat Islam kembali mengetuk pintu munajat mencari dan menyelongkar semula janji-janji Allah dan rasulNya tentang kemenangan dan pertolongan. Bicara umat Islam kembali berkisar sekitar kedatangan Mahdi Al-Muntazar dan zahirnya era pemerintahan khalifah rasyidin.

Sesungguhnya khilafah rasyidah pasti akan berlaku dengan izin Allah SWT. Ia adalah perkara hakikat yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa saja. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Berlaku zaman nubuwwah ke atas kamu selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian Allah menamatkannya apabila Dia kehendaki, kemudian berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian ditamatkan apabila dikehendaki olehNya. Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan yang zalim selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki. Kemudian akan berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah..” – Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani serta disahkan oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dan Albani dan selain dari keduanya.

Hadis ini jika diperhatikan mengesahkan secara jelas bahawa akan lahirnya zaman di mana dunia ini sekali lagi akan diperintah oleh sistem khilafah yang berjalan bersama manhaj nubuwwah. Zaman ini saling tidak tumpah dengan zaman pemerintahan khalifah rasyidah yang wujud selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW. Rasulullah SAW mengisyaratkan akan lahirnya zaman ini tanpa ditentukan bilakah waktunya secara tepat. Sebahagian besar ulama berpendapat bahawa zaman khilafah rasyidah ini bukannya merupakan zaman Al-Mahdi Al-Muntazar bahkan kedua-duanya ialah dua zaman yang berlainan. Seorang pensyarah Fiqh Wal-Usul di Universiti Quds, Palestin, Doktor Hisamuddin bin Musa menegaskan, kedatangan Al-Mahdi Al-Muntazar ialah salah satu tanda-tanda kiamat yang akan berlaku sebelum daripada  kedatangan Nabi Isa ‘alahissalam. Adapun lahirnya zaman khilafah rasyidah bukan menunjukkan waktu kiamat yang hampir tiba. http://www.islamonline.net

Memperkatakan tentang Imam Mahdi pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa mempercayai kedatangan Imam Mahdi ialah sebahagian daripada aqidah orang Islam. Ini disahkan oleh banyak hadis-hadis Rasulullah SAW. Cuma, sifat-sifat al-Mahdi yang diperselisih di kalangan ulama menjadikan isu Mahdi ini sebagai isu khilafiah yang wajib diimami secara umum sahaja.

Berkata Syeikh Al-Bani Rahimahullah, “Sesungguhnya ramai dari kalangan orang Islam yang menyeleweng dari landasan kebenaran di dalam masalah Al-Mahdi. Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa daulah Islamiah tidak akan tertegak kecuali apabila datangnya Al-Mahdi terlebih dahulu. Ini adalah khurafat dan kesesatan yang dilemparkan oleh syaitan..” – dinukilkan dari http://www.islamonline.net.

Sebenarnya, khilafah rasyidah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW itu semakin menghampiri kita setapak demi setapak. Di dalam suasana dunia yang menyaksikan tiada lagi negara yang benar-benar komited dengan undang-undang Islam, suara-suara yang mahukan syariat Islam dijulang semula bergema di seluruh dunia. Cuma, kadang-kadang gelombang yang melanda hebat melambung dan ada kalanya sunyi sepi tidak berombak. Tetapi, nadi perjuangan sebenarnya terus berdenyut dari masa ke semasa. Selepas kejatuhan khilafah Uthmaiyyah di Turki pada tahun 1924, suara yang mendambakan kembali syariat Islam bergema semula di Iran pada tahun 1978, diikuti dengan kemenangan satu demi satu parti-parti politik Islam di rata-rata tempat di seluruh dunia. Di Turki, Algeria, Pakistan dan tempat-tempat lain menyaksikan kesedaran Islam semakin memuncak hari demi hari. Tetapi, aliran demokrasi yang dianut oleh sebahagian besar umat Islam kadang-kala menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan semula cahaya kegemilangan ummah.

Satu kesilapan besar yang berlaku di kalangan orang Islam yang bertuhankan demokrasi ialah menganggap dengan jalan inilah kemenangan akan dianugerahkan oleh Allah SWT. Benar, dalam keadaan sekarang, demokrasi mungkin merupakan satu-satunya jalan yang paling selamat dan paling kecil dharuratnya jika dibandingkan dengan kaedah-kaedah lain. Namun, untuk mengembalikan semula nur Islam kepada cahayanya seperti di zaman Rasulullah SAW maka demokrasi bukannya jalan yang terbaik.Bahkan, satu kemustahilan khilafah rasyidah ditegakkan melalui pilihanraya! Lantas, satu misi perjuangan melalui jalan dakwah yang sebenar wajar dirintis oleh generasi yang benar-benar ingin melihat tertegaknya kembali bendera Islam yang ingin dijulang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tidak akan sunyi dari umatku satu kelompok – yang berjuang – ditolong dan tidak akan mendapat mudaharat dari sesiapa yang menentang mereka, hinggalah datangnya ketentuan Allah!” – Hadis riwayat Bukhari (Kitab Ilmu, no. 69). Turut diriwayatkan oleh Imam Daud, Ibnu Majah, Tirmizi dan Ahmad.

26 Februari 2004

Masalah Moral : Celarunya Pemimpin Kita

Pendedahan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Berita Harian, 5 Februari 2004) melalui laporan Kajian Kesihatan Seksual Reproduktif Remaja di Malaysia 2003 memperlihatkan permasalahan sosial yang berlaku di kalangan pelajar terlalu membimbangkan. Kajian yang menunjukkan ramai di kalangan remaja di negara Islam Malaysia sudah terlibat dengan seks sewal usia 9 tahun sebenarnya membuktikan bahawa kita masih jauh dari impian untuk melihat generasi muda muncul sebagai pencorak masa depan negara.

Siapa yang dapat menafikan kepentingan golongan muda dalam memikul amanah agama dan negara? Bagaimanapun, dalam hiruk pikuk suasana yang kucar kacir pada hari ini, dasar yang tidak menentu dalam membentuk acuan akhlak generasi muda tambah memeningkan kepala. Masih belum tamat lagi isu laporan Kementerian Kesihatan tersebut, muncul pula laporan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu yang mendapati kira-kira 80 peratus murid tahun 6 pernah terlibat dengan kegiatan buli (rujuk Utusan Malaysia, 8 Februari 2004). Golongan remaja perempuan pula turut diwarnai dengan senario yang meruncing apabila kita menatap laporan laporan di muka depan Berita Harian Khamis lalu yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Zakaria Nordin bahawa tingkah laku seks mencurigakan atau ‘miang keterlaluan’ menjadi sebahagian daripada faktor pelajar di negeri itu dibuang sekolah. Sebahagian besar pelajar miang itu pula, ialah pelajar perempuan di sekolah bandar. Tahun lalu saja, 492 pelajar dikenakan tindakan buang sekolah atas pelbagai kesalahan termasuk ‘miang keterlaluan’. (Rujuk Berita Haian, 5 Februari 2004).

Cukuplah dengan beberapa laporan yang menghiasi ruang paparan akhbar-akhbar kita sendiri untuk kita mengukur tahap manakah letak duduknya anak-anak kita sekarang. Soalnya, setakat manakah keperihatinan pemimpin kita di dalam soal akhlak anak-anak muda kita atau mereka turut sama memberikan saham dan membuka seribu satu peluang agar senario sebegini berterusan? Kita bimbang sebenarnya, tatkala heboh isu moral di negara kita, maka berebut-rebutlah pemimpin memberikan komen, namun dalam masa yang sama tidak mengambil sebarang langkah menangani masalah ini. Bidalan melayu sudah merakamkan sifat ini dengan kata-kata ‘telunjuk lurus kelingking berkait’.

Islam memandang golongan remaja yang bakal muncul sebagai bakal pemimpin ummah sebagai golongan yang wajar dipelihara sebaik mungkin. Al-Quran sekiranya diperhatikan menyifatkan golongan pemuda ashbaul kahfi sebagai “orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk..” –Surah Al-Kahfi, ayat 13. Bukan rahsia lagi bahawa orang muda merupakan aset yang sepatutnya dijaga dan ditatang sebaik yang mungkin. Bahkan Rasulullah SAW sendiri telah menggariskan panduan yang sewajarnya diikuti dalam mendidik anak-anak. Di dalam masalah solat contohnya, Rasulullah SAW bersabda : “Ajarlah anak-anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan pukullah mereka (seandainya enggan) apabila umurnya 10 tahun” – Sunan Tirmizi, Kitab Solat.

Dua contoh di atas daripada ribuan contoh-contoh lain sebenarnya meletakkan betapa Islam memandang serius terhadap didikan anak-anak. Namun, apa yang berlaku pada hari ini cukup meresahkan kita. Andainya baginda SAW memerintahkan anak-anak diajar solat ketika umurnya 7 tahun dan berhak dipukul ketika umurnya 10 tahun, maka anak-anak kita pula telah mengenal erti seks ketika umurnya 9 tahun. Jauh benar anak-anak kita dari apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Layakkah anak-anak ini dipikulkan harapan untuk menjadi pemimpin negara? Atau sekurang-kurangnya memanjatkan doa kepada arwah ibu dan bapa mereka nanti?

Dalam kekalutan ini, muncul pula Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman yang memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada ibubapa untuk membaiki keadaan ini (rujuk Berita Harian, Isnin, 9 Februari 2004). Soalnya, setakat manakah ibubapa boleh mengawal anak-anak andainya di luar tangga sahaja sudah berlambak kemaksiatan dan kemungkaran? Benar, ibubapa masih boleh mengawal anak-anak sedari ketika usia kecil, bagaimanapun masuk sahaja umur 7 tahun dan anak-anak disekolahkan,  mereka akan bertemu dengan rakan-rakan yang membesar dalam suasana yang pelbagai. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sekolah sudah menjadi tempat bertukar-tukar fikiran dan saling mempengaruhi untuk menjadi lebih kreatif dalam melakukan kegiatan yang tidak senonoh.

Lihat pula televisyen selaku alat penyiaran utama dalam negara. Dalam asyik kita terkejut dengan perangai anak-anak kita yang sudah pandai bermain seks ketika usia muda, bagaimana pula dengan rancangan-rancangan tv? Tidak cukupkah aksi-aksi Hollywood dan Bollywood yang disiarkan sepanjang minggu mengajar anak-anak kaedah bercinta dan bermesra? Kita juga masih belum lupa kecelaruan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan yang mebidas teruk langkah Kerajaan Negeri Trengganu yang tidak membenarkan pelancong berpakaian bikini. Malah, kita juga tidak pernah lupa kata-kata bekas Perdana Menteri, “Apakah kalau kita tidak tutup (aurat) kita tidak Islam? Banyak benda yang disuruh oleh agama Islam yang kita tidak buat, tetapi kita masih Islam”. (Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997).

Nah sekarang, mana dia keberkesanan langkah-langkah pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan. Apa yang kita nampak ialah, saban hari konsert demi konsert terus dianjurkan untuk terus memusnahkan masa depan remaja Malaysia kita. Malah, dalam asyik kita riuh sekampung mahu mencegah krisis sosial, kita juga yang membenarkan konsert Mariah Carey diadakan serentak dengan 1 Muharram! Walaupun mendapat bantahan, konsert itu hingga hari ini dijadualkan tetap berlangsung kerana jadual penyanyi tersebut sudah tidak boleh diubah. Amboi, kita menghormati penyanyi hingga lupa kepada agama kita sendiri? Kalau KDN boleh mengarahkan polis menyekat dan mengepung majlis ceramah, bagaimana pula dengan konsert yang menampilkan penyanyi yang sudah terkenal dengan aksi beraninya itu? Bukankah Malaysia negara Islam?

Dalam hal ini, apa kata Nakhaie, Dasuki dan Astora?

Ahmad Fadhli bin Shaari,

Kaherah, Mesir.

9 Februari 2004