Utusan Malaysia Kena Insaf, Berhentilah Jadi Lidah Fitnah

utusan290709

Kesan Pegawai Kontrak Kepada Masyarakat

Oleh : Profesor Dr Abdul Aziz Bari

Dua minggu lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sekali lagi menjadi perhatian di parlimen apabila kedudukan dan prestasinya dipersoalkan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang. Ahli Parlimen Ipoh Timur itu meminta kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tidak melanjutkan kontrak perkhidmatan Musa yang dijadualkan bersara September ini.

Musa dilantik ke jawatan itu ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Beliau yang dilantik pada 2006 sepatutnya bersara wajib pada 2007. bagaimanpun beliau terus berkhidmat apabila kerajaan memberi kontrak dua tahun apabila tarikh bersara wajib Musa tiba. Sehari selepas Lim Kit Siang membuat bising Suruhanjaya Pasukan Polis mengesyorkan kepada kerajaan agar perkhidmatan Musa disambung lagi. Selain Lim veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah juga turut sama memberi komen.

Suruhanjaya perkhidmatan – yang dalam konteks pasukan polis ialah suruhanjaya tersebut di atas – mempunyai peranan dan kuasa untuk melantik, menikkan pangkat, mendisiplinkan dan seterusnya bagi ahli-ahli perkhidmatan berkenaan. Di sisi perlembagaan peranan suruhanjaya perkhidmatan ini penting kerana ia memainkan pernan bagi memastikan bahawa hal-hal pelantikan dan seumpamanya dilaksanakan secara objektif dan tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan kedudukan berkecuali perkhidmatan awam.

Kedudukan dan kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis diperincikan dengan jelas oleh Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh seorang menteri kabinet; selaunya Menteri Dalam Negeri. Ini sudah cukup untuk menjelaskan mengapa suruhanjaya mengesyorkan agar perkhidmatan Musa disambung.

Berbalik kepada penasihat DAP tadi apa yang menjadi fokos penting gesaan beliau ialah apa yang beliau daka sebagai kegagalan Musa untuk membenters jenayah. Beliau memberi beberapa ststistik untuk menyokong hujah beliau. Secara kebetulan hujung minggu lalu Timbalan Pengurusi DAP Tuanku Abdul Aziz Ibrahim juga menyebut soal prestasi Musa meskipun ia tidak disebut secara terus terang. Tengku Razaleigh pula membangkitkan soal kesan buruk tindakan kerajaan menyambung perkhidmatan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang akan bersara kepada anggota-anggota perkhidmatan, khusnya peluang kenaikan pangkat mereka. Ini tidak sukar difahami kerana apabila pegawai paling atas tidak bergerak maka pegawai-pegawai lain di bawah hierarki itu pastinya tidak dapat bergerak ke atas. Dan kebayakanya akan bersara kerana bukan semua akan dilanjutkan perkhidmatan oleh kerajaan melalui kontrak.

Sepanjang ingatan saya, tindakan menyambung perkhidmatan pegawai-pegawai  kanan kerajaan yang bersara itu bermula di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan antara 1981 dan 2003. ketika itu bermula amalan yang berbeza dengan amalan sebelumnya. Sebagai contohnya pegawai awam nombor satu – yakni Ketua Setiausaha Negera yang juga Setiausaha Kabinet – tidak semestinya dilantik daripada kelangan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam sebagaimana sebelum ini. Buat masa ini di universiti , naib canselor  dan rector tidak semestinya dilantik dari kalangan timbalan naib canselor akademik.

Seperti yang disebutkan tadi. Tengku Razaleigh menyentuh soal kesan tindakan kerajaan itu kepada perkhidmatan awam khususnya semangat dan moral para pegawai yang lain di bawah jawatan itu. Penyambungan itu dilihat ada hubung kaitnya dengan keakraban antara pegawai dengan menteri. Dan ini tidak boleh berlaku kepada semua kakitangan. Maka timbullah budaya mengampu dan berpuak-puak. Ini semua menyebabkan moral dan komitmen pegawai-pegawai kerajaan jadi rendah dan mungkin hilang terus.

Budaya mengampu wujud di kalangan kakitangan awam kerana masing-masing hendak menunjukkna kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada menteri dan kerajaan. Ini berbahaya kerana ia akan menyebabkan kedudukan berkecuali perkhidmatan awam terjejas. Kita telah lihat bagaimana di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu pegawai-pegawai tertentu sanggup melanggar undang-undang etika perkhidmatan kerana menurutkan kehendak orang politik.

Selain melanjutkan perkhidmatan mereka yang bersara, kerajaan juga sudah mula melantik orang dari luar perkhidmatan untuk memimpin agensi-agensi kerajaan. Beberapa tahun lalu seorang yang diketahui rapat dengan Perdana Menteri tiba-tiba dilantik menjadi Ketua Pengarah  sebuah agensi di bawah Kementerian Pelajaran. Apa yang melucukan ialah ketua pengarah baru ini lebih tua dari ketua pengarah yang baru bersara dan digantikannya! Ketua pengarah ini kemudiannya terbukti tidak popular di kalangan pegawai dan kakitangan agensi berkenaan.

Di atas kertas alasan kerajaan menyambung perkhidmatan secara kontrak memang baik dan cantik bunyinya. Ini termasuklah untuk meneruskan khidmat baik yang tidak kepadatan kepada kerajaan. Apakah ini betul atau tidak perlulah kita nilai dengan melihat setiap pelantikan dan penyambungan itu secara dekat. Daripada rungutan dan sindiran yang kedengaran nampaknya apa yang disebut di atas kertas itu tidaklah meyakinkan. Apatah lagi apabila kelemahan dan kegagalan pegawai berkenaan dipaparkan kepada umum.

Saya fikir amalan menyambung perkhidmatan melalui kontrak tidak baik dan membawa kesan yang negative kepada kedudukan perkhidmatan awam. Tidak secara langsung ia mengheret perkhidmatan ke kancah politik. Ini berlaku kerana mereka yang hendak terus berkhidmat akan mengampu orang politik yang mempunyai kedudukan di dalam kerajaan.

Di dalam keadaan perkhidmatan awanm tidak dibentuk dan tidak dilatih untuk berpolitik fenomena itu akan menyebabkan sebahagian besar daripada pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam patah semangat kerana amalan dan etika perkhidmatan tidak lagi penting; sebaliknya sikap mengampu dan menunjuk setia kepada Perdana Menteri dan para menterinya menjadi-jadi.

Fenomena itu bukan sahaja menyedihkan tetapi juga merosakkan jentera birokrasi awam. Perlembagaan menetapkan bahawa kakitangan awam tidak perlu setia kepada kerajaan – tetapi hanya kepada Negara dan yang di – Pertuan Agong – dengan tujuan supaya perkhidmatan tetap dan tegak di atas prinsip. Biar apa dan siapa pun menjadi tidak menjadi hal kerana mereka tidak di benarkan berubah dan meminda perlembagaan sesuka hati. Ini semua diperkuatkan dengan penubuhan suruhanjaya perkhidmatan yamg disebut di atas tadi.

Pelantikan, kenaikan pangkat dan tindakan disiplin kesemuanya dijalankan melalui undang-undang dan peraturan perkhidmatan yang jelas dan tetap. Dengan amalan perkhidmatan melalui kontrak sejak era Mahathir itu, apa yang dibina sejak zaman pentadbiran British – yang sebenarnya menjadi kekuatan dan punca kestabilan  – kian terhakis.

Hari ini perkhidmatan awam dianggotai oleh lebih satu juta orang. Suku juta terdiri daripada angkatan tentera dan pasukan polis. Amalan menyambung khidmat secara kontrak lama kelamaan, selain menghakis kedudukan berkecuali perkhidmatan, akan mengkompromikan kualiti dan profesionalisme kakitangan awam kita.

Saya tidak terfikir Barisan Nasional akan menghentikan amalan itu kerana ia terbukti menguntungkan kedudukan mereka yang makin kritikal. Apakah Pakatan Rakyat bersedia untuk membuat perubahan dan mengembalikan perkhidmatn awam kepada kedudukan asal mereka? Apa pun yang mereka akan lakukan Pakatan perlu sedar bahawa mereka sudah berjanji untuk menjunjung perlembagaan dan ini termasuk dan peranan sebenar perkhidmatan awam.

*** Profesor Dr Abdul Aziz Bari (Mengajar undang-undang di UIAM Gombak).***

sumber : Sinar Harian, 27 Julai 2009

Pemuda PAS Pasir Mas Jawab Mohamed Farezz

hanifPasir Mas 21 Julai 2009 – Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mempertikaikan tindakan Dewan Pemuda PAS yang membuat laporan polis berhubung dakwaan berlakunya kegiatan membeli undi semasa pilihanraya kecil Manek Urai yang lepas.Ini kerana mana-mana pihak di Malaysia berhak membuat apa jua laporan polis jika mempunyai maklumat tentang  kegiatan yang menyalahi undang-undang, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas (DPPKPM), Muhammad Hanif Wan Ahmad (gambar).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan yang dibuat oleh Naib Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Mohamed Farezz Noor Amran yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian semalam. Farezz  dilaporkan berkata laporan itu seolah-olah menunjukkan Pemuda PAS Kelantan gagal menerima hakikat keputusan yang dibuat oleh pengundi yang menyaksikan PAS menang dengan majoriti yang tipis.

“Pemuda PAS menasihatkan mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan kami membuat laporan ini dan kita sama-sama menunggu keputusan siasatan yang dibuat olehh pihak berkuasa. Kita pun tidak pernah mempertikaikan hak Pemuda UMNO membuat laporan polis khususnya dalam isu kenyataan Menteri Besar baru-baru ini, Biarlah pihak polis membuat siasatan,” ujar beliau lagi.

“Saya ingin bertanya kepada Farezz yang mendakwa bahawa BN boleh menerima hakikat jika menerima kekalahan, bagaimana dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan sebaik saja PAS membentuk kerajaan? Tidakkan penubuhan agensi tersebut di samping kerajaan negeri yang sah dipilih oleh rakyat menunjukkan UMNO/BN gagal menerima hakikat kekalahan? Di Terengganu pada tahun 1999 ketika PAS membentuk kerajaan negeri, kenapa UMNO/BN bertindak menarik balik royalti sedangkan itu hak rakyat, sekarang wang itu dikembalikan semula setelah Terengganu kembali kepada UMNO. Tidakkah tindakan itu jelas menunjukkan UMNO/BN gagal menerima hakikat kekalahan?”

“Saya juga ingin menasihatkan kepada Pemuda UMNO khususnya di Pasir Mas agar menumpukan agenda kepada pemerkasaan agama dan bangsa sebagaimana yang mereka laung-laungkan. Suarakan pandangan yang membela rakyat agar perjuangan membela agama dan bangsa tidak hanya dipandang retorik semata-mata”, kata beliau lagi.

Malaysia vs Manchester United : Kenyataan Ketua DPP Pusat

tantawi6Saya harap Malaysia tunjukkan komitmen dan keupayaan melawan yg tinggi apabila berdepan dgn MU pd malam ini. Biarpun saingan kali jauh lebih hebat reputasinya d peringkat antarabangsa tetapi semangat juang yg tinggi mampu melonjak keupayaan Malaysia. DPP Pusat mengharapkan kemenangan dan paling tidak seri berpihak kpd Malaysia. Malaysia Boleh!

Saya kesal kenyataan Dato’ Seri Najib yang tidak patriotik biarpun berseloroh apabila mengatakan harapan beliau agar Malaysia kalah 6 – 0 dgn Manchester United. Kenyataan Najib tentunya mengguris perasaan presiden FAM Sultan Pahang dan timbalannya Khairi Jamaludin, pengurus pasukan, jurulatih, pemain dan seluruh peminat bola sepak tanahair.

Najib Sangka Akan Tewas Teruk!

metro200709

Perdana Menteri menyangka akan tewas teruk. Jadi, kalau tewas tipis tu, kira-kiranya oklah sikit dari tewas teruk. Namun, tewas tetap tewas. Dengan tewas tipis, tidaklah menjadikan Malaysia sama hebat dengan Manchester United. Bahkan dengan Zimbabwe baru-baru ini pun, Malaysia hanya menang tipis.  Menang atau kalah dengan kadar yang tipis, bukanlah ukuran hebat atau tidak, menang tetap menang dan kalah tetap dikira kalah walaupun tipis. Walaupun tewas tipis, tidak bermakna semua liga yang dimasuki oleh Manchester United (MU) boleh dimasuki oleh Malaysia!

Najib berkata, beliau menjangka tewas 6-0 dengan MU (Manchester United) dan juga sebenarnya menjangka akan tewas teruk juga di MU (Manek Urai). Kerana itu, di MU (Manek Urai), PAS terkejut, BN lagi-lagilah terkejut….

Sekadar catatan santai… Apapun, tahniah kepada Malaysia kerana cuma tewas tipis.

Statistik Penuh Keputusan PRKN41 Dun Manek Urai

utusan160709

Manek Urai : UMNO Dakwa Menang, Bolehlah Janji Dilaksanakan Segera!

utusan130709Pulang dari Manek Urai sebentar tadi, saya terus sahaja menyaksikan Nightline TV3 jam 12.00 malam bagi melihat apakah ulasan TV3 saluran UMNO dengan kemenangan tipis PAS di Manek Urai. Tepat sekali jangkaan saya, pemimpin UMNO memang tidak pernah mahu merendah diri dengan pilihan rakyat. Antara kata-kata yang boleh didengar ialah dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapha Mohammad yang menyatakan bahawa PAS sebenarnya kalah dalam pilihanraya ini. Katanya lagi, majoriti yang tipis ini membuktikan rakyat menerima kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Sekali lagi UMNO cuba bermain sandirawa dengan keputusan pilihanraya kecil Manek Urai ini. Kata Mustapha, PAS sebenarnya kalah. Kalau kalah, kenapa tidak Tuan Aziz sahaja diisytihar sebagai pemenang? Kenapa ‘penjual ikan yang tidak berkelulusan tinggi’ itu juga yang mengangkat tangan sebagai pemenang di pusat perjumlahan undi? Sepatutnya Mustapha turut sama berada di atas pentas mengangkat tangan dengan segera dan melaungkan, UMNO menang! Tapi jika begitu yang dibuat oleh Mustapha, bimbang nanti polis-polis yang begitu ramai akan segera mengiringi ke Hospital Kuala Krai yang tidak jauh dari situ!

Mustapha perlu ingat, 65 majoriti tetap merupakan kemenangan. Jika 65 majoriti itupun dianggap sudah kalah, maka bagaimana di Perak yang UMNO/BN memerintah sekarang secara haram tanpa majoriti sokongan dari rakyat pun! PAS menang di Manek Urai secara anak jantan walaupun tipis majoriti, tetapi UMNO/BN merampas Perak dengan gaya pondan dan pengecut!

Baiklah, jika UMNO dianggap menang. Laksanakan segera janji UMNO di Manek Urai. UMNO perlu menghormati 5283 pengundinya yang inginkan jambatan baru berharga RM7 juta. UMNO juga perlu hargai 5283 pengundinya yang mahu Manek Urai menjadi ’anak emas’ kerajaan. Dan juga perlu ingat, 5283 pengundi Manek Urai mahu melihat kampung mereka menjadi daerah agropolitan sebagaimana yang dijanjikan. Bilakah mahu mula laksanakan janji itu? Khabarnya sebelum ayam berkokok esok hari!

Dakwa Mustapha lagi, majoriti tipis ini membuktikan rakyat Manek Urai menerima kepimpinan Datuk Seri Najib Razak. Ini satu lagi dakwaan melucukan. Najib menjadi PM bukan sahaja di Manek Urai bahkan di seluruh Malaysia. Kalau Manek Urai dikatakan menerima, bagaimana pula di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebelum ini, kenapa tidak dikatakan menolak? Perlu diingat, undi PAS hanya merosot 399 undi sahaja! Dan sejarah membuktikan jika PAS kalah tipis dalam pilihanraya kecil, PAS akan menang besar dalam pilihanraya umum. Namun sebaliknya, jika PAS menang tipis dalam pilihanraya kecil, ia akan mencipta kemenangan lebih besar dalam pilihanraya umum. Ini boleh dilihat dalam contoh-contoh berikut :

1. Dun Pengkalan Pasir, Pasir Mas : PAS kalah dengan majoriti 134 undi dalam pilihanraya kecil Disember 2005. Namun dalam pilihanraya umum 2008, PAS menang dengan majoriti 2,348 undi. Rujuk di sini

2. Dun Semerak, Pasir Puteh : PAS kalah dengan majoriti 778 undi dalam pilihanraya kecil Ogos 1997 (rujuk). Namun dalam pilihanraya umum 1999, PAS menang dengam majoriti 1475. (rujuk)

3. Sebaliknya di Dun Pulai Chondong : PAS menang dengam majoriti 118 undi dalam pilihanraya kecil 1996, tetapi dalam pilihanraya umum 1999, PAS menang 2318. (rujuk)

Jika dilihat dalam konteks Pakatan Rakyat sekalipun, sifir ini tidak jauh berbeza sebenarnya. Kita boleh saksikan contohnya dalam pilihanraya kecil Dun Ijok yang menyaksikan Tan Sri Khalid Ibrahim kalah pada tahun 2007 tetapi memenanginya semula dalam pilihanraya umum 2008.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada teori tersebut, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa UMNO akan kempunan lagi untuk menawan Manek Urai dalam pilihanraya umum yang akan datang, Insya-allah. Namun, itu tidak menghalang UMNO melaksanakan janjinya. Apatah lagi, peti undi Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama ditawan oleh UMNO dalam pilihanraya kecil ini. Seharusnya ini boleh dibaca sebagai permintaan rakyat agar jambatan ’emas’ yang dijanjikan Tan Sri Muhyidin Yasin dibina segera!

Jadi, penduduk Manek Urai bolehlah mula membilang hari untuk menerima jambatan baru tersebut. Bermula esok dengan kiraan hari yang pertama. Jangan nanti bila kiraan itu mencecah angka 1000 (3 tahun?), batu asas jambatan pun masih belum kelihatan.

AHMAD FADHLI SHAARI

Pasir Mas, 12.50am