Ujian…. Memartbatkan Hamba Di SisiNya

Hari ini Jumaat, 29 Mei 2009. Sudah beberapa hari tangan saya tidak mencoretkan sesuatu di dalam blog usang ini. Hari ini masa yang agak lapang sekalipun dikejar oleh beberapa tanggungjawab yang mendesak. Selepas kuliah Subuh di Masjid Kg Sireh, ditambah pula dengan kuliah pagi di Kg. Baloh, Kok Lanas, keletihan semakin menguasai urat dan sendi. Masih menunggu untuk disempurnakan ialah kuliah maghrib dan juga tanggungjawab sebagai pengerusi di Majlis Sambutan Hari Guru PASTI peringkat negeri Kelantan di Hotel Raudhah malam ini.

Minggu ini merupakan minggu yang agak berat dan menguji kesabaran. Kesibukan menempuhi ujian inilah yang antaranya menyebabkan kelambatan di dalam mengemaskinikan blog ini. Ia bermula pada hari Isnin lepas di mana kereta saya dikunci tayarnya oleh pihak MPKB-BRI. Saya tidak mempunyai pilihan untuk meletakkan kereta untuk berurusan dengan pejabat Telekom. Hujan yang renyai-renyai membuatkan saya tidak berani meletakkan kereta agak jauh. Ini kerana saya punya anak untuk didukung. Hanya saya dan anak sulung sahaja yang ada. Mengambil kira keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, saya memberanikan diri meletakkan kereta di tempat yang tidak dibenarkan. Hanya untuk seketika, niat saya. Namun, seketika itulah yang mengundang kereta saya dikunci. Tengah hari itu sahaja, RM170 wang saya terbang untuk membayar denda dan melangsaikan hutang denda parking… Tak apalah, untuk agensi kerajaan negeri. Harapnya sewaktu membayar saguhati iman tarawih di khemah MPKB nanti, adalah duit saya ini termasuk di dalamnya. Harapnya tidaklah termasuk pula di dalam bayaran bil eletrik skrin besar yang terletak berhampiran dengan bulatan kijang. Bukan apa, rasanya skrin itu tidak banyak mendatangkan manfaat kecuali promosi untuk individu-individu tertentu sahaja.

Rupanya, ujian Allah masih belum usai untuk minggu ini. Hari Rabu dua hari kemudian, sewaktu meletakkan kereta di tempat parking yang betul dan dengan penuh tanggungjawab saya memasukkan syiling bagi mengelakkan disaman atau dikunci, cerminnya pula dipecahkan oleh entah siapa. Hanya seketika saya meninggalkan kereta di belakang Maybank Jalan Mahmood, tetapi tenaga profeisonal ini lebih cepat. Ia tidak menunggu masa yang lama untuk memecahkan tingkap kereta saya. Sungguh pantas!

Dan kini, beberapa hak milik saya telah bertukar tangan secara zalim. Sebuah laptop, kamera Sony A20 DSLR, modem broadband, wireless pointer dan juga sejumlah wang tunai yang saya sediakan untuk membeli jubin melengkapkan pembinaan tangga rumah saya. Barangkali sekitar RM4500 kerugian yang saya alami. Itu masih belum sadis lagi dibandingkan dengan kehilangan segala maklumat berharga yang saya simpan di dalam laptop tersebut. Saya pernah membuat salinan dokumen yang penting ke dalam hardisk external, sayangnya hard disk itu juga dilarikan bersama dengan laptop….. kejamnya hati seorang pencuri. Bayangkanlah, segala modul ceramah saya beberapa tahun kebelakangan ini, tulisan-tulisan peribadi, rekod-rekod perbankan, koleksi e-book beratus-ratus kitab ilmiah kini hanya menjadi kenangan. Saya tidak menangis, kerana bagi saya tangisan tidak akan mengembalikan semula apa yang hilang. Namun, hati yang kecewa siapa yang tahu…

Apapun, saya berharap agar di sebalik ujian ini ada hikmah yang berharga. Saya tidak tahu, apakah ini proses Allah ingin mengganjari saya, atau menghukum saya kerana kesalahan saya? Biarlah apa jua sekalipun, yang penting saya harap Allah mengurniakan ganjaran yang lebih berharga darpada apa yang telah hilang.
Terima kasih kepada Lajnah Tarbiyah DPPNK yang melancarkan kutipan derma di dalam program usrah malam kelmarin. Terima kasih Ustaz Azariza yang mengambil inisiatif membuat pengumuman terhadap insiden yang saya alami. Tidaklah saya tahu tangan yang mana menghulurkan derma tersebut untuk memudahkan saya berterima kasih. Namun, yang pasti, ukhuwwah kerana Allah menjadikan anda sahabat-sahabat yang sungguh prihatin. Percayalah, sahabat ketika sukar itulah sahabat yang sebenar.

29 Mei 2009

Dato’ Husam Musa Mengesahkan Bertanding Timbalan Presiden

Berikut ialah kenyataan rasmi YB Dato’ Husam Musa yang mengesahkan kesediaan bertanding Timbalan Presiden PAS 2009/2011

Dengan Nama Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang Maha Berkuasa Atas Semua Perkara
Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang mulia.

1. Saya terlebih dahulu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana sekali lagi mendapat kepercayaan ahli-ahli untuk terus memimpin Parti Islam SeMalaysia PAS sebagai Presidennya. Beliau mempunyai tsiqah dan kepercayaan yang tinggi dari ahli-ahli untuk memimpin  PAS berasaskan Islam yang komprehensif dengan pendekatan yang mampu melonjakkan sokongan masyarakat silang budaya dan agama di Malaysia.

2. Sebagai sebuah parti yang mengamalkan kepimpinan kolektif, lengkap melengkapkan antara satu sama lain dan dipandu oleh Majlis Syura Ulama’, saya yakin bahawa gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memimpin PAS terus menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat UMNO sebagai teraju utama negara pada masa akan datang.

3. Setelah mempertimbangkan semua aspek; termasuk pengharapan yang dinyatakan oleh Kawasan-Kawasan PAS di seluruh negara, baik yang mencalonkan saya atau pun tidak, serta keputusan Majlis Syura yang bersidang pada 10 Mei 2009 yang menyatakan tidak ada ketetapan bahawa jawatan yang saya akan tandingi adalah khusus, tertutup dan eksklusif, serta, pengurusan dan kepimpinan pada peringkat tertentu yang memerlukan satu semakan untuk keperluan semasa yang mendesak, saya dengan segala rendah diri, tawadhu’ dan semangat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w untuk tegur menegur baik dengan lisan mahupun tindakan, mengumumkan  menerima pencalonan sebagai Timbalan Presiden PAS bagi sesi 2009/2011.

4. Saya yakin, kawasan-kawasan yang mencalonkan saya, melaksanakan pencalonan itu dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan yang tidak harus diperkecilkan oleh mana-mana pihak atas kematangan dan pengharapan mereka. Melalui semangat tarbiyyah Islamiyyah yang telah dijalani oleh semua peringkat parti, terutama selepas Kepimpinan Ulama’ mengambil alih teraju kepimpinan PAS sejak 1982, serta amal Islami dan adab jamai’ie yang berteraskan ukuran ukhrawi yang menjadikan PAS berbeza dari parti politik yang lain, saya sangat berharap bahawa  keputusan saya ini diterima dengan dada yang terbuka dan pertandingan ini berlangsung dalam semangat ukhuwwah Islamiyyah dan ethika persahabatan yang tinggi. Semoga segalanya berjalan sebagai ubudiyyah dengan segala tertib dan rukunnya.

Sesungguhnya, saya bersetia dan menyatakan wala’ saya yang tidak berbelah bahagi kepada PAS, Presiden Parti, Mursyidul Am dan Majlis Syura seperti sepatutnya dilakukan oleh ahli parti yang terdidik.

5. Saya yakin, ahli-ahli tidak terpengaruh dengan percaturan UMNO/media-media tertentu atau mana-mana pihak luar untuk mencorakkan keputusan ahli dalam pemilihan saf kepimpinan PAS nanti.

6. Berdasarkan waqi’ atau realiti politik negara pada hari ini, saya berkeyakinan bahawa sudah sampai masanya PAS berusaha menggantikan tempat UMNO sebagai teraju utama politik negara dan ini hanya boleh dilakukan dengan PAS menjadi pesaing UMNO dan bukan rakan dalam apa bentuk ikatan.

Penolakan ke atas UMNO adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerentahan dari hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya UMNO dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia.

Segala keburukan yang berlaku dalam negara ini, baik amalan demokrasi yang tempang, kehilangan rule of law dan runtuhnya kepercayaan terhadap semua institusi utama dalam negara, peningkatan jenayah, keruntuhan akhlak dan kepincangan-kepincangan yang lain memerlukan islah yang menyeluruh dengan kedudukan PAS sebagai teraju perubahan, dengan izin Allah.

7. Kepercayaan masyarakat bukan Islam yang semakin subur terhadap PAS kini tidak harus sama sekali dipersia-siakan baik dalam konteks dakwah mahu pun pengukuhan politik menuju kedudukan sebagai parti yang paling dipercayai, bersekali dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dengan kedudukan PAS yang mampu berdiri sama tinggi.

Saya, Husam Haji Musa, dengan ini, mengumumkan menerima pencalonan sebagai Timbalan Presiden PAS.

Kepada Allah saya bertawakkal.

30 Jumad Al Ulaa 1430

25 Mei 2009

Pejabat Agung Pas,

Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

dipetik dari : http://cetusan-hati.blogspot.com/2009/05/penerimaan-pencalonan.html

HUFFAZ GENERASI PELAPIS HARAPAN NEGARA

Kelahiran instituti tahfiz yang tumbuh dengan rancak pada hari ini ialah satu fenomena baru dalam masyarakat umat Islam di Malaysia. Jika diundur kembali 10 hingga 20 tahun ke belakang, kita akan menyaksikan senario yang tentu sekali berlainan degan apa yang disaksikan pada hari ini. Mungkin di waktu itu, ibu bapa khususnya masih lagi memandang masa depan sebagai seorang hafiz tidak sesuai untuk anak-anak mereka yang diharapkan untuk terjun ke bidang profesional semata-mata. Ditambah pula dengan sikap prejudis sebahagian warga masyarakat yang memandang bahawa menjadi seorang hafiz sangat kurang berpotensi dari sudut kerjaya dan sebagainya

Hari ini, keadaan sama sekali sudah berubah. Satu demi satu madrasah-madrasah dan maahad-maahad tahfiz ditubuhkan di seluruh negara ekoran minat yang semakin tinggi di kalangan masyarakat untuk mendalami ilmu al-Quran. Ditambah pula dengan kejayaan generasi huffaz menempatkan diri di tengah-tengah masyarakat bukan sahaja sebagai seorang ulama tetapi tidak kurang juga di bidang-bidang yang dianggap profesional. Lahirnya sistem pendidikan yang menggunakan kaedah serampang dua mata (tahfiz + akademik) sekitar dua dekad lalu telah mencatat rekod cemerlang di kalangan masyarakat akhirnya membuka mata dan meruntuhkan tembok prejudis yang terbina selama ini. Bahkan tidak pelik jika hari ini kita imam-imam hafiz solat tarawih di masjid-masjid turut menjadi pelajar cemerlang yang menghiasi dada-dada akhbar ketika pengumuman keputusan peperiksaan.

Continue reading

Mahkamah Rayuan Membacakan Talkin Untuk UMNO….

Keputusan Mahkamah Rayuan yang menyebelahi Datuk Seri Zambry hari ini sebenarnya sudah dijangka oleh banyak pihak. Ia bukannya satu perkara yang mengejutkan apatah lagi di saat negara sedang menyaksikan satu demi satu badan bebas merelakan diri untuk diperkuda oleh UMNO/BN.

Keputusan 3-0 hakim-hakim mahkamah rayuan tersebut telah menambahkan satu lagi kaedah yang tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini di dalam melucutkan jawatan Menteri Besar. Ia tidak memerlukan perletakan jawatan, undi tidak percaya dan pembubaran dewan. Ia hanya memerlukan senarai panjang wakil rakyat yang ingin berubah selera dan tempahlah sebuah bas untuk menghantar rombongan ini ke pintu istana. Dan jika esoknya, wakil-wakil rakyat berubah citarasa sekali lagi, Menteri Besar sekali lagi boleh dipecat dan digantikan oleh orang lain. Begitulah ‘undang-undang’ baru yang sedang dipelajari oleh rakyat Malaysia sekarang ini dari krisis politik di Perak.

Jika demikian, di parlimen sekalipun tidak perlulah lagi kepada undi tidak percaya. Cukuplah sekadar mencari mana-mana ahli parlimen untuk mencukupkan bilangan majoriti dan buatlah perjumpaan dengan DYMM Yang Dipertuan Agong. Pandikar Amin tidak boleh berpencak silat lagi sekalipun beliau seorang pendekar. Bahkan, boleh sahaja dihantar mana-mana samseng Pekida untuk diheret Pandikar Amin dari kerusinya. Itulah yang diajar oleh UMNO di Perak.

Walaupun Datuk Seri Nizar Jamaluddin dilaporkan akan membuat rayuan ke mahkamah Persekutuan, apakah harapan yang boleh dibuat? Dalam senario sekarang, rayuan ke Mahkamah Persekutuan pun hanya akan menghabiskan wang dan tenaga kecuali adanya arahan ghaib dari Seri Perdana.

Apapun, sebenarnya keputusan Mahkamah Rayuan hari ini hanyalah pembacaan talkin untuk UMNO/BN. Ia akan disempurnakan upacara pengkebumiannya di dalam PRU ke 13 kelak, insya-Allah.

Bertandingkah BN di Manek Urai?

Saya menerima panggilan telefon dari seorang sahabat sejurus selepas kuliah subuh pagi tadi memaklumkan pemergian Allahyarham Haji Ismail bin Yaacob, ADUN Manek Urai ke rahmatullah pagi ini. Beliau meninggal dunia selepas subuh selepas dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya (penyakit gout dan kencing manis). Beliau yang lebih dikenali dengan Poksu Wei merupakan di antara ADUN yang paling lama bertahan iaitu selama lima penggal bermula 1986. Di Kelantan, beliau dianggap seangkatan dengan ADUN senior seperti YB Dato’ Omar bin Mohamad, ADUN Perupok dan juga YAB Menteri Besar Kelantan sendiri.

Kekentalan Allahyarham di dalam politik khususnya di Kuala Krai boleh dilihat apabila beliau memenangi DUN Manek Urai pada tahun 2008 dengan majoriti 1352 undi. Beliau juga berjaya memenangi jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai di dalam muktamar yang lepas sekalipun sedang terlantar di atas katil hospital! Semoga Allah SWT merahmati segala usaha dan sumbangan yang diberikan oleh Allahyarham kepada perjuangan ini tatkala ia dagang…

Kekosongan DUN Manek Urai akan mengundang satu lagi pilihanraya kecil di Malaysia. Dalam keadaan biasa, PAS dan parti-perti pembangkang akan berada dalam keadaan tertekan untuk memastikan kemenangan. Akan terbayang di benak fikiran kita curahan projek yang turun dari langit tanpa sekatan, serangan-serangan media massa yang akan memainkan pelbagai isu dari yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada isu yang paling besar. Akan bergilir-gilirlah pemimpin-pemimpin UMNO/BN turun ke Manek Urai menaburkan janji manis dan mungkin sehingga kepada peringkat mahu menubuhkan Universiti di Manek Urai!

Itu senario sebelum 2008. Tapi kini zaman sudah berubah. UMNO/BN sedang kecut berdepan dengan pilihanraya. Mereka berundur dari bertempur di Penanti, mereka mengelak dari berdada di Perak selepas mengalami kekalahan 4-1 dalam siri-siri pilihanraya kecil selepas PRU 12 yang lalu. Mereka boleh mereka alasan mengelakkan pembaziran tetapi rakyat melihat dengan mata dan berfikir dengan akal. Mereka boleh menipu pada sebahagian masa tetapi tidak pada semua masa!

Lantas, perkembangan seterusnya sangat menarik untuk dinilai. Apakah Datuk Seri Najib akan membuat pengumuman.. ”BN mengambil keputusan untuk tidak bertanding di DUN Manek Urai kerana kematian ADUN tersebut ialah masalah dalaman PAS….” ..??

Tidak Bertanding di Penanti : BN Mengambil Langkah ke Belakang?

Hari ini mungkin tidak ada berita yang paling pelik melainkan langkah buang tabiat Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan untuk tidak bertanding di dalam pilihanraya kecil DUN Penanti. Agak mengejutkan tetapi tidaklah terlalu luar jangka. Apatah lagi dengan gembar-gembur televisyen yang menyiarkan berita kebelakangan ini mengenai pak-pak menteri yang turun berkampung di Penanti untuk menabur budi (atau menagih undi?). Perkembangan ini menunjukkan seolah-olah BN akan mengambil langkah berani untuk turun bertanding, namun keputusan tidak bertanding juga yang diambil.

Sebenarnya, tidak ada yang tergambar di benak fikiran Perdana Menteri melainkan bayangan kekalahan. Gariskanlah sejuta alasan sekalipun, ia sama sekali tidak akan menangkis keyakinan rakyat terhadap ketakutan BN berdepan secara anak jantan dengan Pakatan Rakyat.

Masih terngiang-ngiang tuduhan ’bacul’ dari mulut Tun Abdullah Badawi yang dilemparkan kepada pembangkang di saat pilihanraya kecil Batu Talam dipulau hampir dua tahun yang lalu. Ternyata ia tidak mengambil masa yang lama untuk ludah tersebut jatuh kembali ke pipi BN pada hari ini. Kalau dua tahun lepas, memulau pilihanraya dianggap bacul, maka hari ini langkah dianggap sebagai apa?

Dan sebenarnya kebaculan tersebut bukan sahaja dapat dilihat hasil daripada pemulauan ini sahaja, bahkan pelepasan ekspress seorang Manoharan, ADUN DAP di Selangor dari ISA selepas memberikan ugutan untuk meletakkan jawatan menambahkan lagi keyakinan rakyat bahawa BN telah bertukar menjadi Bacul & Naif. Ketakutan yang maha dahsyat terhadap pilihanraya kecil menyebabkan mereka mengambil langkah segera untuk membebaskan tahanan ISA tersebut yang telah merengkok tanpa sebab dalam tahanan selama dua tahun. Jika hari ini beliau dibebaskan, maka penahanan selama dua tahun disebabkan apa? Atau BN menganggap kecil harga sebuah kebebasan?

Terakhir sekali, bukti kebaculan ini ialah keengganan untuk membubarkan DUN Perak. Jangan dianggap kata-kata Tun Mahathir bahawa DUN Perak tidak perlu dibubarkan sebagai menandakan sokongan terhadap tindakan BN. Bahkan bukan Mahathir kalau tidak bercakap dengan tiga lapis bahasa. Itulah sindiran dari seorang tua yang barangkali terlalu kecewa melihat dayusnya parti yang pernah dipimpinnya dan sempat pula dia menyaksikan kedayusan tersebut di hujung usianya.

BN tidak mampu untuk membuat u-turn. Jalannya hanya sehala iaitu menuju kejatuhan. Tinggal lagi, apakah yang akan mengisi kejatuhan ini?

Masjid Quba’ Taman Wawasan, Tawau.

ybzaki&kapten

YB Zaki Ibrahim dan Kapten Mohd Hashim Ahmad

18 Mei 2009 – Saya bertolak ke Masjid Quba’ , Taman Wawasan, Tawau pada petang 15 Mei 2009 bersama dengan YB Mohd Zaki Ibrahim dan YB. Wan Yusoff Wan Mustapha untuk menyampaikan kuliah maghrib. Sepatutnya YB Zaki yang dijadualkan menyampaikan kuliah dan juga penerangan isu-isu semasa, tetapi entah macam mana, dipassingnya bola kepada saya.

Malam itu saya hanya memberikan kuliah ringkas tafsir Surah al-Takathur bersama sedikit penerangan isu semasa khususnya berkenaan pergolakan di negeri Perak. Apa yang menariknya yang ingin dikongsi ialah kehebatan Masjid Quba’ yang terletak di Taman Wawasan yang pada saya tidak dimiliki oleh masjid-masjid yang lain di seluruh Malaysia.

Sehebat namanya, Masjid Quba’ seolah-olah benar-benar berfungsi sebagaimana Quba’ pada zaman Rasulullah SAW. Di tengah-tengah tekanan dari masyarakat setempat dan jabatan agama, Masjid Quba’ berjaya didirikan di tanah milik pemaju dan diadakan solat jumaat sekalipun tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa agama.

Kami berbicara panjang dengan pengerusi J/K Masjid, Kapten Mohd Hashim Ahmad. Beliau merupakan seorang pemilik syarikat perkapalan yang berjaya. Seorang ahli PAS seumur hidup dan berhasrat menginfakkan seluruh hidupnya demia Islam. Untuk pembinaan Masjid Quba’ yang lengkap berhawa dingin ini, beliau telah menghabiskan hampir RM200,000 dari poket peribadinya ditampung oleh sumbangan dari masyarakat setempat. Bahkan, beliau sekarang bertanggungjawab menyara gaji imam yang diimport khas berkhidmat di masjid tersebut dengan gaji RM1,500.00 sebulan. Apa pun kata beliau, setelah menghabiskan wang begitu banyak, perniagaannya bertambah maju dan lancar. Bahkan baru-baru ini beliau berjaya memberi dua buah kapal yang setiap satunya berharga RM18 juta!

Saya melontarkan pandangan kepadanya, alangkah baiknya jika beliau cuba mendaftarkan masjid tersebut di bawah penyeliaan pihak berkuasa agama apatah lagi beliau pernah diminta berbuat demikian. Namun katanya, langkah itu akan menyebabkan masjid tersebut terikat dengan pelbagai peraturan yang tidak sepatutnya. Berbeza dengan sekarang, sebarang penceramah bebas dijemput, akhbar-akhbar termasuk Harakah digantung di luar untuk bacaan dan masjid tersebut menjadi tumpuan jemaah. Bahkan jika dilihat pada iklan-iklan yang terpampang di luar masjid, ternyata masjid ini benar-benar hidup dengan kelas-kelas pengajian untuk pelbagai peringkat umur. Ia bebas dilakukan tanpa sebarang sekatan. Benar juga pandangan tersebut dan itulah negatifnya pengurusan masjid di negara ini. Termasuk juga di Kelantan yang saya tidak mendengar khutbah khusus (kalaupun ada, ia sangat terlewat) berkenaan isu Palestin sewaktu Palestin hebat diganyang oleh Israel awal tahun ini. Bayangkan, ada teks khutbah berbicara soal kebersihan alam sekitar ketika peluru berpandu Israel melayang ke bumi Gaza!

Lewat makan malam kami di Restoran Kayu Manis, Tawau memahat kenangan dan cerita yang benar-benar mengkagumkan kami mengenai seorang korporat yang berjiwa besar. Ya, bukan senang mencari orang sepertinya pada hari ini.