Isu Sejadah Berdiri

Umat Islam diseru agar menjauhi kepercayaan khurafat dan tahyul apabila berlakunya kejadian-kejadian yang didakwa luar biasa dan pelik di dalam masyarakat. Tambahan pula jika kejadian tersebut belum pasti merupakan kejadian yang benar-benar berlaku atau hanya merupakan perbuatan manusia yang bertujuan mahu menggemparkan masyarakat.

Seruan ini berikutan kejadian beberapa sejadah yang berdiri yang dilaporkan berlaku di musalla sebuah sekolah di Pasir Mas semalam. Menurut, Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri, Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari, perkara-perkara yang pelik dan menyalahi hukum adat manusia sewajarnya tidak perlu disebarkan dengan meluas kerana ia hanya akan mengakibatkan kontroversi yang tidak berfaedah dan dibimbangi boleh menyebabkan perbuatan khurafat di dalam masyarakat.

“Islam mengajar dengan jelas bahawa setiap berita hendaklah diselidiki terlebih dahulu sebelum dipercayai dan disebarkan. Di dalam isu ini, saya yakin banyak kemungkinan lain boleh berlaku termasuklah perbuatan manusia yang sengaja ingin mencetuskan suasana yang gempar dan kontroversi.”, katanya.

Continue reading

Ibrahim Sudah Mula Tidak Dipercayai

19 Oktober 2009 – Karier politik ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali disifatkan sudah tiba di penghujung apabila beliau sendiri sudah tidak dipercayai oleh sebahagian pimpinan UMNO untuk diterima menjaddi ahli parti tersebut. Di dalam masa yang sama, PAS yang telah memberikan peluang kepadanya bertanding di dalam pilihanraya umum yang lalu juga pastinya sudah ‘berkerat rotan’ dengannya yang disifatkan mengkhianati parti yang memberinya laluan.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ahmad Fadhli bin Shaari berkata, inilah nasib yang terpaksa ditempuhi oleh Ibrahim apabila seringkali mengubah pendirian politiknya dan pastinya beliau tidak akan dipercayai lagi samada oleh PAS atau UMNO. Suasana seperti ini akan meletakkannya dalam situasi yang tidak selesa khususnya untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 nanti.

“Kita percaya, ahli politik seperti Ibrahim tidak akan membawa apa-apa faedah kepada mana-mana parti yang disertainya. Namun, jika UMNO masih lagi sudi untuk menerima Ibrahim, kita alu-alukan kerana itu lebih memudahkan PAS di Pasir Mas ekoran kebencian pengundi-pengundi di Pasir Mas terhadap Ibrahim,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian semasa mengulas kenyataan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Bazlan Baharuddin yang meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bagi mengelak “pisang berbuat dua kali”.

Bazlan seperti yang dilaporkan semalam turut mengingatkan bahawa apa yang dialami oleh UMNO sebelum ini cukup menyedarkan apabila anggota parlimen Pasir Mas itu sanggup menentang calon BN dalam pilihan raya kecil 2005. Ibrahim kini disifatkan berada di awang-awangan ekoran kedudukannya dipertikaikan oleh PAS kerana sering memberi reaksi negatif kepada parti itu.

“Pihak DPPKPM melahirkan simpati kepada nasib Ibrahim yang tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun. Sekalipun kami tidak mahu campur tangan dalam urusan UMNO, namun dalam masa yang sama kami ingin mengingatan Ibrahim bahawa beliau mendapat kemenangan di Pasir Mas di dalam pilihanraya umum yang lalu di atas tiket PAS, maka tindakan yang bermaruah yang boleh dilakukan olehnya sebelum menyertai UMNO ialah dengan meletakkan jawatan sebagai ahli parimen,” ujar beliau lagi.

Khidmat Guaman Untuk Pengundi Luar

SH080709-2

KUALA KRAI – Dewan Pemuda Pas Kelantan sedia menyediakan khidmat guaman kepada mana-mana pengundi luar yang tidak dibenarkan pulang untuk mengundi oleh majikan mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memberikan perkhidmatan itu kerana empat daripada ahli jawaatn kuasa Dewan Pemuda termasuk Naib Ketua, Hisyam Fauzi sendiri adalah peguam dan pengamal undang-undang.

Justeru katanya, pengundi luar yang berjumlah hamper 2,000 orang dinasihatkan agar tidak bimbang untuk pulang dan membuat aduan kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan jika dihalang oleh majikan mereka daripada menunaikan kewajipan mengundi pada hari berkenaan.

“Saya nasihatkan kepada pengundi luar sama ada yang bekerja kerajaan atau swasta supa memohon cuti dan minta kebenaran daripada majikan untuk pulang pada hari mengundi 14 Julai nanti.

“Saya juga harap cuti yang diberikan majikan bersesuaian dengan lokasi pengundi luar berkerja termasuk mengambil kira masa perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke tempat kerja,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ada dalam kalangan majikan yang tidak membenarkan kakitangan mereka pulang mengundi pada 14 Julai ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka pulang melaksanakan tanggungjawab itu kerana ia termaktub dalam undang-undang dan tindakan akan diambil terhadap majikan yang melanggar peraturan tersebut.

SPR meminta pengundi Manek Urai yang tidak dibenarkan oleh majikan utnuk pulang mengundi supaya membuat laporan polis dan menyerahkan laporan tersebut kepada suruhanjaya itu.

Abdul Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang sebelum itu menyampaikan bantuan kepada satu keluarga tujuh beranak yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Keroh, dekat sini, kelmarin.

Pada majlis dihadiri sama Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zin itu, sumbangan disampaikan kepada mangsa, Dollah Deraman, 73, sebagai mewakili anak, menantu dan empat cucu yang tinggal bersama di rumah berkenaan.

Sumber : Sinar Harian, 8 Julai 2009

Dakwa Rakyat Kelantan Hidup Dalam Kemunduran : Pemuda Pas Kesal Kenyataan Shahrizat

SH070709-2

KOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan kesal dengan kenyataan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai rakyat kelantan yang hidup dalam kemunduran dan kemiskinan sejak 20 tahun lalu.

Naib Ketuanya, Hisham Fauzi berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu didakwa tidak bercakap berdasarkan fakta yang sebenar dan sepatutnya membuat semakan dahulu dengan jabatan berkaitan negeri mana termiskin di Negara ini.

“Jika di bawah pembangkang akan jadi miskin dan papa kedana adalah satu fahaman lapuk yang sudah lama rakyat Kelantan tidak mempercayainya.

Beliau juga berkata, Manek Urai mundur tanpa disedari antara 2004 hingga 2008 DUN Manek Urai di bawah Barisan Nasional. Sepanjang tempoh itu adakah Manek Urai menjadi maju sekejap dan kemudian mundur semula selepas Pas menang pada Mac 2008,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Pemuda Pas Tanah Merah itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Shahrizat pada muka depan akhbar ini kelmarin mengenai keadaan Kelantan yang masih mundur dan tahap kemiskinan tegar masih membelenggu penduduk.

Menurutnya, dalam keadaan kemampuan kerajaan negeri tetap menjaga kebajikan rakyatnya termasuk melalui program Takaful Kifalah, Ladang Rakyat, Rumah Dhu’afat, Takaful Armalah dan sebagainya.

Katanya, jika beliau ikhlas hendak melihat Kelantan maju seperti Selangor atau Kuala Lumpur, pihaknya mencabar menteri terbabit menyatakan sokongan terbuka terhadap tuntutan royalti minyak oleh Kelantan kepada Kerajaan Pusat.

“Jika Kerajaan Persekutuan membayar wang royalti tersebut, sudah tentu wang tersebut boleh digunakan untuk mambangunkan Kelantan dengan lebih pesat lagi dan lebih banyak program kebajikan untuk rakyat Kelantan dapat ditawarkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan pula berkata, tiada sebab kerajaan Kelantan membuat tuntutam pembayaran wang royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.

“Ini kerana kawasan-kawasan yang disebut sebagai kawasan pengeluaran minyak seperti dakwaan Pas sebenarnya kawasan bertindih antara tiga Negara iaitu Malaysia, Thailand dan Vietnam.

“Oleh itu itu royalti minyak tidak perlu dijadikan isu utama untuk berkempen sempena pilihanraya kecil Manek Urai seperti yang dinyatakan Pengarah Piihan Raya Pas Kelantan Abdul Fatah,” katanya.

sumber : Sinar Harian, 7 Julai 2009

Pemuda UMNO Tidak Perlu Melenting Teguran PAS

SH040709

Kota Bharu – Pemuda UMNO Kelanta tidak perlu melenting dengan teguran yang disuarakan Pemuda PAS supaya ketuanya meletakkann jawatan dan mendalami ilmu agama di pondok, sebaliknya mereka perlu melihatnya dari sudut positif.

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hisham Fauzi berkata, beliau kesal kerana teguran yang diberikan sebelum ini disalahfahami oleh Pemuda UMNO Kelantan.

”Saya terkilan atas kegagalan mereka memahami isu sebenar di sebalik teguran saya apabila Naib Ketua Pemuda Pasir Mas, Mohamed Fareez Nor berkata ’pondok tempat mendalami ilmu agama dan bukannya untuk dicampur adukkan dengan politik”.

”Kenyataan itu jelas menunjukkan pegangan UMNO yang memisahkan Islam dan politik yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang tidak memisahkan antara politik dan agama,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ketua Pemuda PAS Tanah Merah itu berkata, fahaman memisahkan agama dan politik berasal dari Barat yang bermula semasa zaman ’reformation’ sekitar 1510 yang dipelopori individu seperti Martin Luther, Huldreich Zwingli dan John Calvin.

Menurutnya, fahaman iti di Tanah Melayu melalui penjajah dan kini jelas UMNO mewarisi fahaman salah ini dari mereka.

Hisham berkata, beliau juga kesal atas perbuatan Setiausaha Pemuda UMNO Kelantan yang Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Bazlan Baharuddin yang menghina calon PAS di Manek Urai sebagai tidak berpelajaran dan jahil sejarah.

”Sepatutnya beliau selidik.. calon PAS (Mohd Fauzi Abdullah) terpaksa berhenti sekolah awal berikutan kesusahan hidup dan terpaksa bekerja bagi menyara adik-adiknya.

”Berkat kerja kerasnya, adik-adiknya kini berjaya sehingga ada yang elanjutkan pengajian ke luar negeri,” katanya.

Menurutnya, UMNO sepatutnya bangga kerana Mohd Fauzi adalah Bumiputera yang tidak berpendidikan tinggi tetapi menjadi usahawan berdikari tanpa perlu mengharapkan  Kerajaan Persekutuan untuk berjaya.

Sumber : Sinar Harian, 04 Julai 2009

Pemuda Luar Diminta Turut Kempen

SH010709-4

Manek Urai – Golongan muda penyokong PAS di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai diharap dapat turut memberikan sokongan dan kerjasaman kepada jentera parti bagi menghadapi pilihan raya keci DUN itu pada 14 Julai ini.

Yang diPertua  PAS Kawasan Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul rahman berkatam walaupun tidak mengundi pada pilihan raya kecil itu nanti, golongan berkenaan masih boleh memainkan peranan penting membantu jentera parti dan rakan-rakan mereka di Manek Urai.

“Walaupun sebagai orang luar dan tidak boleh mengundi, tetapi saya harap pemuda dari DUN lain dapat turut serta membantu jentera dan kempen parti terutama dalam usaha menarik sokongan pengundi muda,” katanya.

Abdul Latiff yang juda Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Bakat Baru DUN Manek Urai anjuran Pemuda PAS Lepan Kabu, dekat sini semalam.

Hadir sama Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan, Wan Azimin Wan Adnan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai,  Mahadi Mat Zain dan Ketua Pemuda PAS Cawangan Lepan Kabu, Mohd Nasir Ibrahim.

Turut hadir pada perasmian kejohanan yang disertai 16 pasukan itu Penghulu Mukim Pahi, Ahmad Mohd Ariffin dan penganjur, Abang Kob atau nama sebenarnya, Ahmad Salleh.

Pada ucapan sama, Abdul Latiff yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan berkata, seperti juga kejohanan Sepak Takraw yang memerlukan kerjasama semua ahli pasukan, kejayaan memerintah sebuah negeri juga memerlukan semangat yang sama.

Menurutnya, hanya dengan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk golongan muda sebagai golongan pewaris kepimpinan, pemerintahan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama sekarang akan lebih kukuh dan mantap.

Sumber : Sinar Harian edisi Kelantan, 1 Julai 2009

Anuar Safian Dinasihat Belajar Sekolah Pondok

SH010709-3Kota Bharu – Pemuda PAS Kelantan Anuar Safian meletak jawatan dan memasuki mana-mana pondok untuk mendalami ilmu agama berikutan kekeliruannya terhadap perkara asas yang dimaksudkan Mursyidul Am PAS baru-baru ini.

Saranan itu dibuat oleh Naib Ketuanya Hisham Fauzi yang merujuk kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan yang disiarkan dalam akhbar ini pada 30 Jun muka surat K3 bertajuk : ”Nik Aziz Usah Beretorik”.

”Kenyataan yang dikeluarkan Anuar seolah-olah tidak faham dengan segala penjelasan yang diberikan oleh Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

”Beliau juga seolah-olah ingin terus berdegil, apa yang difahaminya itulah yang betul tanpa langsung ingin menyelami maksud ucapan Menteri Besar itu,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Hisham berkata, perkara yang ditimbulkan Nik Abdul Aziz adalah perkara asas dalam akidah islam dan jika isu itu pun Anuar masih keliru beliau dicadangkan meletak jawatan dan mendaftarkan diri ke mana-mana pondok di Kelantan.

“Dalam kata lain, yang benar ialah fikrah Islam, selain fikrah Islam, tak kiralah ia fikrah kebangsaan, fikrah komunis, fikrah ayah pin atau fikrah-fikrah lain, semuanya dikira sama dan tertolak daripada ajaran Islam yang sebenar”

“Lebih baik beliau (Anuar) mendaftar di Pondok Sungai Durian  dan menjadi anak murid kepada Ketua Pemuda PAS Kelantan yang merupakan pengerusi pondok berkenaan.” Katanya.

Hisham turut meminta Pemuda UMNO menunjukkan pembangunan yang berlaku sejak Barisan Nasional (BN) memegang kerusi DUN Manek Urai dari 2004 hingga 2008.

Menurutnya banyak lagi perkarra yang lebih berfaedah boleh dilakukan Pemuda UMNO seperti isu tuntutan royalti minyak dan dengan sikap itu menunjukkan Pemuda UMNO kelantan sebenarnya yang lebih berminat beretorik.

Sumber  : Sinar Harian Edisi Kelantan, 1 Julai 2009

SH010709-2

Jangan Berdolak Dalik Isu Royalti : Pemuda PAS

SH010709-1

Kota Bharu – Dewan Pemuda PAS Kelantan mendesak Kerajaan Pusat supaya tidak berdolak dalik dalam isu pembayaran royalti minyak kepada negeri Kelantan yang kini didakwa mencecah RM1 billion.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya hairan kenapa pembayaran boleh dibuat kepada negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain sedangkan Kelantan dianak tirikan sejak sekian lama.

“Pemuda PAS berpendapat tidak wajar Kerajaan Pusat memberi bermacam-macam alasan semata-mata mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab memberikan royalti ini.

“Wang yang dituntut adalah wang rakyat dan bukannya haki milik kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia sepatutnya diagihkan kepada rakyat dengan adil dan bukannya dijadikan alat politik BN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, melalui sayap perundangannya iaitu Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)  dipengerusikan Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan yang  juga seorang peguam, mereka sedang meneliti perkara itu dari sudut perundangan.

Katanya, pihaknya tidak mahu rakyat Kelantan menjadi mangsa sentimen politik BN kerana laporan yang diperolehi menunjukkan Kelantan antara negeri pengeluar minyak negara.

Abdul Latif yang juga ADUN Mengkebang berkata, pihaknya kesal dengan sikap Ketua Perhubungan UMNO Kelantan yang secara jelas menentang pembayaran royalti tersebut sedangkan pada masa yang sama beliau bercakap mengenai pembelaan hak rakyat Kelantan khususnya di Manek Urai.

“Oleh itu, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Kelantan bangkit tanpa mengira fahaman politik mendesak kerajaan Pusat menyegerakan pembayaran royalti minyak, “ katanya.

Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan, 1 Julai 2009

Pemuda PAS Pilih Muzakarah

utusan300609

Kuala Lumpur 29 Jun – Dewan Pemuda PAS mahu bermuzakarah dengan Pergerakan Pemuda UMNO bagi membincangkan dakwaan yang dibangkitkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat bahawa UMNO sama dengan parti komunis dan ajaran sesat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, muzakarah adalah medan terbaik berbanding dengan pendekatan lain seperti berdebat kerana pelaksanaannya berdasarkan semangat musyawarah.

Beliau berkata, melalui muzakarah mereka yang terbabit dengan perbincangan itu boleh mengemukakan hujah serta pendapat masing-masing dengan lebih selesa dan kondusif.

“Apabila disebut muzakarah, masing-masing boleh kemukakan hujah dan pendapat masing-masing dengan berpaksikan kebenaran. Maksud saya melalui muzakarah tiada pihak yang cuba menegakkan benang yang basah.

“Ketika bermuzakarah kebenaranan tetap kebenaran dan ia tidak berubah. bagi kami muzakarah lebih berbentuk wacana keilmuan yang sepatutnya disebarkan demi kepentingan ummah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Nik Aziz dalam ceramahnya di Kuala Krai baru-baru ini telah menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat Ajaran Ayah Pin.

Selain itu,, Nasrudin berkata, perbincangan melalui muzakarah lebih rasional tanpa ada pihak yang bertindak secara emosional mengikut perasaan.

“Ini yang menyebabkan kami memilih pendekatan untuk bermuzakarah dengan Pemuda UMNO bagi menyelesaikan isu yang timbul ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, sekiranya muzakarah itu berjaya, ia merupakan satu titik permulaan bagi pemuda PAS untuk mengadakan lebih banyak perbincangan berbentuk keilmuan antara kedua-dua belah pihak.


Sumber : Utusan Malaysia, 30 Jun 2009

Impian Memiliki Rumah Akhirnya Tercapai

SH280609

Manek Urai – Impian sebuah keluarga susah untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila seorang dermawan menghulurkan sumbangan bagi membina sebuah rumah baru untuk mereka di Kampung Peria, dekat sini.

Mohd Zulkifli Hussin, 33 dan isteri, Haiza Suzanna Mohd Nawi, 29 yang mempunyai tiga anak yang berusia antara sembilan hinga 12 tahun selama ini terpaksa tinggal di rumah sewa di kampung itu sejak mula mendirikan rumah tangga.

 

Mohd Zulkifli berkata, dia ada membuat permohonan untuk mendapatkan bantuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) tetapi sehinga kini masih tiada jawapan.

 

“Saya sudah minta rumah PPRT sejak lapan tahun lalu dan kali terakhir saya bertanyakan tentang status permohonan itu pada tahun lepas, mereka (KESEDAR) kata sudah lulus tetapi sampai sekarang tidak ada apa-apa.

“Semenjak saya buat permohonan, bolah katakan dua tiga bulan sekali saya pergi ke pejabat KESEDAR untuk bertanyakan perkara ini kerana orang kata kalau nak cepat dapat, kena pergi kerap ke pejabat, tetapi semuanya sia-sia,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Mohd Zulkifli yang menyara keluarganya dengan bekerja sebagai penoreh berkata demikian ketika ditemui pada program gotong royong membina rumah barunya di Kampung Peria, dekat sini, semalam.

Turut hadir Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan, Wan Azimin Wan Adnan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zain dan Penghulu Mukim Peria, Mohamad Zain Rani.

Hadir sama dermawan yang menampung sepenuhnya kos pembinaa rumah baru untuk Mohd Zulkifli sekeluarga, Suhaimi Mat, 50.

 

Mohd Zulkifli berkata, dia merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Suhaimi kerana sanggup membiayai kos pembinaan serta penduduk kampung yang bergotong royong membina rumah barunya.

 

Sementara itu, Suhaimi berkata, rumah Mohd Zulkifli itu ialah kediaman ke 46 yang menerima sumbangan untuk membina rumah bau dan membaiki rumah lama daripadanya.

 

Menurutnya, dia terus bersetuju untuk menampung kos pembinaan rumah baru itu selepas Mohd Zulkifli datang berjumpa dan mengadu masalah yang dihadapinya tiga hari lalu.

 

Katanya, dia sanggup mengeluarkan wang sendiri kerana berasa malu apabila dimaklumkan sudah empat kali Mohd Zulkifli membuat permohonan kepada KESEDAR untuk mendapatkan rumah PPRT tetapi gagal sedangkan ibunya (Mohd Zulkifli) merupakan Ketua Wanita UMNO cawangan kampung itu.

Sumber : Sinar Harian, 28 Jun 2009