Kelebihan 10 Hari Pertama di Bulan Zulhijjah

Sepuluh hari yang pertama di bulam Zulhijjah jarang-jarang sekali diperkatakan mengenai kelebihannya. Sedangkan tempoh ini mempunyai nilai yang sangat besar kemuliannya berbanding dengan masa-masa yang lain. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fajr, ayat 1-3 :

وَالْفَجْرِ . وَلَيَالٍ عَشْرٍ . وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ

yang bermaksud : Demi fajar,  Dan malam yang sepuluh, Dan yang genap dan yang ganjil

 

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil tersebut ialah hari arafah.

 

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Nabi SAW telah bersabda :

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام (يعني العشر)، قالوا: “يا رسول الله، ولا الجهاد في سبيل الله؟” قال -صلى الله عليه وسلم-: “ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء”.

Yang bermaksud :

Tidak ada amalan soleh yang lebih disukai oleh Allah SWT lebih daripada (amalan) pada hari-hari ini (iaitu sepuluh hari bulan zulhijjah). Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, sekalipun dengan jihad di jalan Allah?”. Rasulullah SAW menjawab, ”Sekalipun dengan jihad. Kecuali jika seseorang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak kembali lagi (mati syahid)”

 

Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah ini sehingga tidah dapat ditandingi oleh mana-mana amalan pun kecuali mati syahid.

 

Manakala kelebihan hari arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah SAW ketika menafsirkan ayat ke 3 dari Surah al-Buruj :

الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ

Yang bermaksud : Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat. (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

 

Di dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda :

أفضل الأيام يوم عرفة

Yang bermaksud : Sebaik-baik hari ialah hari arafah (Riwayat Ibnu Hibban di dalam sahihnya)

 

Di dalam hadis yang lain pula, sabda baginda SAW lagi :

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Yang bermaksud : Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SAW akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari arafah. (Riwayat Muslim)

 

Bagaimana beribadat pada 10 Hari Pertama Zulhijjah Ini?

 

Di antara ibadat yang boleh diperbanyakkan pada tempoh ini ialah puasa sunat khususnya pada hari wukuf di arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Yang bermaksud : Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang (Riwayat Muslim)

 

Selain itu, seseorang muslim digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, bacaan al-Quran, qiyam dan sebagainya untuk mendapatkan ganjaran sebanyak mungkin di dalam tempoh yang amat berharga ini.

 

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

29 November 2008

 

Advertisements

Demi Sesuap Rezeki

nenek

24 November.. Mengenang Perginya Syeikh Abdullah Azzam

Sumber : http://tamanulama.blogspot.com

Setelah lengkap berpakaian, pada tengah hari Jumaat, 24 November 1989, Abdullah Azzam bersama 2 orang anaknya, Muhammad dan Ibrahim melangkah keluar dari rumahnya untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sab’ul lail di Pakistan.

Mereka menggunakan kenderaan untuk ke masjid tersebut. Perjalanan ke masjid dari rumah beliau tidaklah jauh. Hanya kira-kira 10 minit menaiki kenderaan. Setelah lima minit Abdullah Azzam dan 2 orang anaknya meninggalkan rumah kediaman mereka, satu letupan kuat dan menggegarkan mengejutkan orang ramai di sekitar kawasan tersebut.

Orang-orang berhamburan keluar dari masjid dan menyaksikan pemandangan yang mengerikan. Hanya sedikit saja yang tersisa dari kendaraan yang hancur lebur. Tubuh anaknya yang kecil, Ibrahim, terlempar ke udara sejauh 100 meter, demikian pula anaknya seorang lagi, beterbangan pada jarak yang hampir sama. Potongan-potongan tubuh mereka tersebar di pohon-pohon dan kawat-kawat listrik. Sementara tubuh As-Syahid Syeikh Abdullah Azzam tersandar di dinding, tetap utuh dan tidak cacat sama sekali, kecuali sedikit darah terlihat mengalir dari mulut beliau.

“Kecintaan pada jihad telah menguasai hidupku, jiwaku, perasaanku, hatiku, dan segenap inderaku.”
Continue reading

Islam Hadhari yang Mengkagumkan Obama

Di tengah-tengah konflik politik yang memuncak selepas pilihan raya umum ke 12 pada 8 Mac yang lalu, kita menyaksikan bagaimana idea Islam Hadhari sudah mula ditinggalkan khususnya oleh pimpinan negara. Tidak lagi kedengaran berdegar-degar di sana sini penghayatan Islam Hadhari sebagaimana ketika ia mula diperkenalkan dahulu. Jika dahulu, agensi-agensi kerajaan berlumba-lumba mereka-reka slogan dan merangka program untuk menghayati Islam Hadhari, namun kini susasana tersebut sudah tiada. Ditambah pula dengan pengasas Islam Hadhari yang kini meniti masa penghujung kuasa, masyarakat seolah-olah ternanti-nanti pula model Islam manakah yang akan dibawa oleh penggantinya, Datuk Seri Najib Razak. Islam yang bagaimana pulakah akan menjadi slogan baru dalam pentadbirannya nanti? Sudah tentu bukan Islam Hadhari yang sudah semakin ketinggalan.

 

Bagaimanapun, dalam suasana tersebut, akhbar Berita Harian hari ini di bawah tajuk Islam Hadhari pilihan Obama melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) dijangka memilih Malaysia sebagai model negara Islam berikutan tertarik dengan pendekatan kesederhanaan dalam beragama atau Islam Hadhari diamalkan negara ini. Continue reading

Kewajipan Bersederhana Di Dalam Dakwah

Sederhana di dalam berdakwah merupakan satu tuntutan penting kepada setiap yang bergelar da’ie. Ia amat berperanan di dalam menjaga kelansungan dakwah dan seterusnya memelihara keamanan masyarakat muslim. Bahkan Islam sendiri meletakkan tiga garis  utama di dalam penyampaian dakwah iaitu hikmah, peringatan yang baik dan perdebatan yang tidak melampau. Jika ditinjau melalui sunah juga akan kita dapati perintah-perintah dan juga contoh yang tidak sedikit yang menceritakan mengenai hikmah Rasulullah SAW di dalam menyampaikan Islam kepada manusia.

 

Sesungguhnya perlulah diingatkan bahawa pendakwah yang sebenar tidaklah mengharapkan apa-apa ganjaran daripada usaha dakwahnya itu. Tidak terlintas untuk dia mengharapkan apa-apa ganjaran duniawi, jauh sekali untuk merebut pangkat dan kuasa. Apa yang menjadi niatnya hanyalah untuk memperkenalkan Islam kepada golongan sasaran. Seterusnya meningkatkan kefahaman manusia terhadap Islam dan memastikan Islam terus syumul dan hidup di tengah-tengah masyarakat. Jika Islam telah diamalkan, hatinya terasa puas hati dan gembira sekalipun dirinya tidak pernah menerima habuan dan upah dari kerjanya. Jauh sekali dia bersedih jika kerja-kerjanya tidak dikenang oleh manusia khususnya yang meraih keuntungan daripada usaha yang dia lakukan.

  Continue reading

Kita Yang Telah Gagal

bh131108

Hari ini Berita Harian melaporkan kenyataan dari Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut yang mendedahkan kes ibu tunggal yang terpaksa melacur demi menyara anak-anak. Pendedahan yang dibuat di Seminar Isu-isu Mahkamah Syariah ke-10 di UIAM itu sepatutnya mengejutkan kita dari tidur dan menyedari segera bahawa masyarakat sudah berada di dalam keadaan yang paling teruk pada masa kini di negara yang tercinta ini.

 

Walau apapun alasan yang digunakan untuk menghalalkan tindakan ini, termasuklah untuk menyara anak-anak, perbuatan melacur tentulah satu langkah yang tidak boleh dimaafkan. Biarpun kaedah fiqh ada menyebut `sesuatu itu dinilai dengan tujuannya’ tetapi ia dikecualikan apabila perbuatan itu ialah maksiat. Maka pelacuran adalah sesuatu yang amat keji bahkan tidak mempunyai ruang untuk dihalalkan di atas apa jua alasan sekalipun.

 

Mungkin kita boleh berkata demikian, tetapi di dalam keadaan si ibu yang terdesak akibat kelalaian pihak suami menyediakan nafkah untuk anak-anak, itulah dia satu-satunya jalan keluar yang dapat diambil. Namun, di manakah instituti masyarakat yang bertanggungjawab? Siapa jua yang kita tudingkan jari, hakikatnya kita telah gagal menyediakan satu ruang selesa untuk rakyat Malaysia bernafas dengan lega di bumi ini.

 

Pemimpin-pemimpin ke mana? Pimpinan wanita dalam masyarakat pula tidak tergerakkan hati membaca isu ini? Atau masih sibuk bercakaran merebut kuasa? Nampaknya sehingga bulan Mac 2009, kita hanya akan menyaksikan episoh perebutan kuasa yang tidak berkesudahan dan juga adegan-adegan pergaduhan yang berpanjangan ekoran kerakusan mencari kedudukan dan pangkat.

 

Dalam kesibukan itulah, kita terlepas isu-isu seperti ini. Kita telah gagal mendidik rakyat menjadi rakyat yang mementingkan maruah dan harga diri. Sehingga untuk menyara anak-anak untuk hidup, pelacuran dipilih sebagai jalan keluar. Barangkali zaman sekarang hampir mustahil mencari pemimpin seperti Umar yang menggalas beban di tengah malam hanya untuk memberikan makan kepada seorang wanita yang tidak mempunyai bahan makanan untuk anak-anaknya!

 

13 November 2008

Jalan Sejahtera Menuju Ke Syurga (Bahagian I)

Jika kelmarin posting saya berkaitan dengan pendorong ke neraka, hari ini marilah pula merenungi nas-nas daripada al-Quran dan Hadis yang menyatakan amalan-amalan yang boleh memasukkan seseorang ke dalam syurga. Hakikatnya, jalan ke syurga sebenarnya jauh lebih luas daripada lorong-lorong ke neraka. Apa yang disenaraikan ini hanyalah sebahagian kecil dari lautan luas rahmat Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Bahkan Nabi SAW sendiri pernah bersabda :

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلاَّ مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

 

yang bermaksud : Semua umatku akan memasuki syurga kecuali sesiapa yang enggan. Para sahabat bertanya, “Siapakah yang enggan?” Rasulullah SAW menjawab, “Sesiapa yang mentaatiku memasuki syurga, sesiapa yang tidak mentaatiku, maka dialah yang enggan. (Hadis riwayat Bukhari, al-Nasa’I dan Ahmad)

  Continue reading