Istilah Baru : Tahap Amalan Demokrasi Yang Bertanggungjawab (akauntabiliti)

Mari kita berbicara tentang tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab (akauntabiliti). Saya tidak menemui rangkai kata perkataan ini sehinggalah hari ini apabila membelek akhbar Utusan Malaysia, ia diungkapkan oleh seorang yang disifatkan sebagai pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Beliau berkata demikian semasa mengulas isu gambar tidak senonoh yang membabitkan Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Elizabeth Wong. link

          Alhamdulillah, rupanya masih wujud di Malaysia istilah tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab. Saya sangkakan ia sudah dimuziumkan dan dipatenkan sebagai warisan sejarah dan akan diletakkan sebaris dengan fosil dinosour.

          Rupanya apabila heboh tentang gambar Elizabeth Wong, istilah ini disiarkan kembali oleh akhbar Utusan Malaysia. Mungkinkah editor, wartawan atau Rais sendiri terpaksa membelek kamus bagi mencari istilah yang sesuai untuk mengungkapkan pandangan ini?

          Kenapa saya berkata demikian? Ya, bukan setakat saya, bahkan rakyat Malaysia yang waras pastinya akan tercengang kehairanan atau setidak-tidaknya tersenyum sinis bila membaca istilah ini. Apatah lagi, ia diungkap ialah seorang pemimpin parti yang tentunya paling menghargai demokrasi iaitu UMNO!

          Hakikatnya, UMNO sama sekali tidak layak bercakap soal tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab. Ia boleh disebut tetapi tidak melalui lidah kotor UMNO. Kebusukan dan kenajisan yang melumuri UMNO sama sekali tidak membenarkan mereka menuturkan kata-kata ini.

          Apa tidaknya, dua minggu sebelum isu Elizabeth ini timbul, bukankah UMNO yang memperkosa demokrasi di Perak? Bukankah pemimpin UMNO yang bernama Najib itulah yang timbul bersama dua orang ADUN Perak selepas kehilangan mereka selama beberapa hari? Lantas, kemunculan tiba-tiba itu diiringi dengan pengumuman lompat parti. Bukan sekadar itu, bahkan UMNO jugalah yang membelakangkan prinsip demokrasi dan undang-undang tubuh negeri dengan menafikan jawatan menteri besar Perak yang sah yang disandang oleh YAB Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

          Tindakan ini pada hemat UMNO ialah satu langkah bijaksana. Padahal mereka lupa, generasi muda hari ini akan menaruh dendam kesumat yang berpanjangan terhadap pemerkosaan UMNO ke atas demokrasi. UMNO yang memijak-mijak demokrasi itulah yang hari ini bercakap tentang tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab! Aduuh loyanya.

          Kalaulah disenaraikan tindakan-tindakan tidak demokratik UMNO sepanjang sejarah, ternyata tidak mencukup dakwat dan pena. Apatah lagi jika bercakap soal moral sebagai satu prinsip akauntabiliti yang sepatutnya dijunjung oleh pemimpin, UMNO ternyata berada di galaksi yang lain.

          Saya menyokong penuh jika Elizabeth Wong meletakkan jawatan sebagai menandakan sikap bertanggungjawab beliau dan untuk tidak menjadi bebanan kepada perjuangan yang didokong oleh rakyat. Tapi maaflah, saya bimbang akan termuntah jika yang mendesak perletakan jawatan itu ialah UMNO di atas dasar moral, akhlak dan tahap amalan demokrasi yang bertanggungjawab!

 

18 Februari 2009

YAB Nizar Tidak Sesuai Menjadi Calon Di Bukit Gantang

Apabila DAP dan beberapa pihak dari dalam PAS sendiri mengeluarkan cadangan bahawa calon yang paling sesuai untuk diketengahkan di PRK Bukit Gantang nanti ialah YAB Ir Nizar Jamaluddin, ia kelihatan sebagai satu cadangan yang baik. Apatah lagi di tengah-tengah kemelut kerajaan haram yang tertegak di Perak, langkah mengetengahkan Nizar dianggap sebagai langkah terbaik menguji sokongan rakyat Perak terhadap Pakatan Rakyat.

 

Namun, sekali lagi nampaknya YAB Tuan Guru Nik Aziz melontarkan pandangan bernasnya. Menurut laporan Buletin Utama TV3 malam tadi, Nik Aziz berpandangan langkah demikian tidak sesuai kerana Nizar merupakan seorang menteri besar dan tentu sekali dengan bertanding di kawasan parlimen akan menyebabkannya kehilangan sedikit tumpuan dari tugasnya yang asal.

 

Pandangan saya, YAB Tuan Guru sebenarnya ingin menyebut kepada umum bahawa Nizar masih tetap seorang MB dan PAS serta rakyat jelata sama sekali tidak akan mengiktiraf kerajaan haram UMNO di Perak yang didirikan di luar daripada pagar perlembagaan dan undang-undang negeri. Oleh itu, Nizar bukan bekas MB, beliau masih seorang MB. Manakala Zambry mungkin lebih teruk daripada Awang Adek di Kelantan yang hanya sekadar mengangkat sumpah di tepi jalan sebelum pilihan raya umum yang lalu. Zambry pula mengangkat sumpah haram di dalam istana.

 

Saya sependapat dengan Tuan Guru, meletakkan Nizar sebagai calon PRK Bukit Gantang seolah-olah ingin memberitahu kepada umum bahawa kita telah menerima hakikat bahawa Nizar sudah dilucutkan jawatan. Apa pun yang berlaku, beliau tetap merupakan MB. Biar sejarah akan menghakimi apa yang dilakukan oleh pengkhianat-pengkhianat undang-undang pada hari ini. Kalau Tun Salleh Abas dan rakan-rakan pun dibersihkan juga nama mereka sekalipun selepas dua dekad, maka apa peliknya kalau satu hari nanti Nizar juga akan mendapat keadilan.

 

Kecuali… UMNO dan PAS masing-masing memeterai perjanjian, bahawa UMNO akan meletakkan MB haram, Zambry sebagai calon manakala PAS meletakkan MB Halal, Ir. Nizar, mungkin boleh dipertimbangkan.