Hukum Orang Bukan Islam Memasuki Masjid

Sehari dua ini saya dihujani pertanyaan ekoran kontroversi yang berlaku di Selangor berkaitan isu non-muslim masuk ke masjid. Saya merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang dilaporkan berkata seseorang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid. (Berita di sini)

Benarkah demikian? Apakah sebenarnya pandangan para fuqaha berkenaan dengan isu ini? Jika dikaji sebenarnya terdapat perbezaan pandangan yang ketara di dalam isu ini ekoran tiadanya nas mutlak yang melarang orang-orang bukan Islam memasuki masjid. Perbezaan itu bolehlah diringkaskan sebagaimana berikut :

Pertama : Pandangan yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi. Mereka berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah menerima tetamu dari Thaqif yang masih kafir pada masa itu di masjidnya. Ini kerana apa yang menjadi najis bukan tubuh badan mereka tetapi iktikad mereka. Berkenaan firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 28 yang bermaksud : ”Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, Maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini..”

Mereka berhujah bahawa ayat ini menegah orang-orang kafir memasuki Masjidil Haram dalam keadaan telanjang sebagaimana adat mereka ketika jahiliyyah dan perbuatan ini menghina Masjidil Haram. Oleh yang demikian, ’illah larangan bukanlah kekufuran mereka tetapi penghinaan terhadap masjid.

Kedua : Dibolehkan orang-orang kafir memasuki masjid dengan izin kaum muslimin kecuali majidil Haram dan masjid-masjid yang ada di Tanah Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Syafie (Lihat Raudhah Tolibin, jilid 1 / ms 296). Pandangan ini merupakan salah satu pandangan Imam Ahmad dan juga pandangan sebahagian ulama Mazhab Hambali.

Hujah mereka ialah kata-kata Said bin Musayyib : Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia kafir namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram. (Rujuk Tafsir Ibnu Abi Hatim di dalam pentafsiran ayat 28, surah al-Taubah)

Pandangan yang ketiga : Diharamkan sama sekali bagi orang-orang kafir untuk memasuki masjid. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan majoriti fuqaha yang bermazhab Hambali. Mereka berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah memerintahkan seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar RA tidak membantah kata-kata Abu Musa. Ini menunjukkan pandangan bahwa orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid merupakan pandangan yang masyhur di kalangan sahabat. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi semasa menafsirkan ayat 28 surah al-Taubah dengan beberapa hujah yang lain).

Pandangan keempat : Tidak dibenarkan orang-orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan di dalam keadaan dharurat. Jika mereka memasuki masjid sekalipun hendaklah dengan pengawasan orang-orang Islam kerana dibimbangi akan membuat perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Ini merupakan pandangan mazhab Malik (Rujuk Hasyiah al-Showi dan Hasyiah al-Dusuki).

Selain itu, ada juga pandangan para ulama yang membezakan hukum menurut perbezaan jenis kafir itu sendiri samada harbi, zimmi atau ’ahdi.

Perbezaan-perbezaan pandangan ini menunjukkan keluasan fiqh di dalam masalah non-muslim memasuki masjid. Oleh yang demikian, tidaklah wajar mana-mana pihak menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas apatah lagi jika sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi, sudah tentu pandangan yang wajar diambil ialah harus. Di dalam medan dakwah untuk mengajak orang-orang bukan Islam bersama-sama kaum muslimin dan melembutkan hati mereka, pandangan ini wajar diambil selagi mana mereka tidak melakukan perkara-perkara yang menghina kesucian masjid.

Wallahu a’lam.

07 November 2009

Advertisements

Rakaman Ceramah di Chetok, Pasir Mas

1 November 2009 – Malam semalam sekali lagi saya mempengerusikan majlis ceramah umum anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Chetok, Pasir Mas. Kehadiran agak kurang memberansangkan, berkemungkinan kerana perlawanan separuh akhir kedua Kelantan vs Perlis sedang ke udara melalui RTM1. Apapun, rakaman ceramah sempat saya muat naik untuk sahabat-sahabat yang berminat.

1. Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

2. Ustaz Kamal Ashaari, AJK Dewan Pemuda PAS Pusat

3. Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi (Ust Jaa), AJk Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Ceramah Umum sempena perayaaan Jubli Perak PASTI

31 Oktober 2009 – Baru sebentar tadi saya diamanahkan untuk mempengerusikan majlis ceramah umum sempena perayaan Jubli Perak 25 Tahun PASTI yang diadakan di perkarangan stadium Sultan Muhammad IV. Alhamdulillah, sekalipun hujan turun renyai-renyai tetapi bilangan kehadiran agak menggalakkan. Berikut ialah rakaman ceramah untuk dimuat turun oleh peminat-peminat yang tidak sempat datang :

1. Ucapan YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

2. Ucapan YB Datuk Mahfuz Omar

3. Ucapan Ustaz Nasrudin Tantawi

4. Ucapan YAB Datuk Seri Nizar
5. Ucapan alu-aluan Yb Ahmad Baihaki Atiqullah

Rakaman Ceramah di Pohon Buluh, Pasir Mas

Baru sekejap tadi saya mempengerusikan majlis ceramah umum di Pusat Tarbiah PAS Pohon Buluh, Pasir Mas. Asalnya YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar sendiri yang sepatutnya hadir menyampaikan ceramah, tetapi khabarnya terpaksa dibatalkan di saat akhir kerana Tuan Guru menghadiri majlis hari raya di Konsul Thailand di Kota Bharu. Apapun, ceramah malam ini yang dibarisi oleh Ustaz Kamal Ashaari, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan YB Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Machang sudah cukup bertenaga dan memaku hadirin hingga ke tengah malam. Kepada yang berminat untuk mendapatkan rakaman ceramah tersebut boleh dimuat turun di http://www.mediafire.com/download.php?myjcqgqtvye (Ustaz Kamal Ashaari) dan di http://www.mediafire.com/download.php?mn4zyj1ydjr (YB Saifudin Nasution).

Takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)

Isu Ronnie Liu di Selangor : Pandangan Prof Dr Abdul Aziz Bari

PRINSIP YANG MAKIN MENGELIRUKAN

Umum mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap kenyataan Datuk Dr Hassan Ali dalam isu penjualan arak di Selangor Selasa lalu. Begitu juga dengan anggota-anggota DAP dan Pas sendiri yang masing-masing menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor. Kekecohan yang melibatkan perbezaan pendapat antara Hassan dengan Ronnie Liu itu kemudiannya mengundang kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan meminta kedua-dua anggota Exco itu menutup mulut dan mengambil tanggungjawab untuk membuat kenyataan berhubung dengan isu berkenaan. Bagaimanapun setakat ini Liu masih berdiam diri. Hanya Hassan yang banyak bercakap.

Seperti yang diketahui kekecohan yang berlaku di Selangor itu bukanlah yang pertama kali. Ia telah berlaku sebelum ini dan melibatkan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Ia juga pernah dan kerap berlaku dalam Barisan Nasional. Contoh yang terbaik dan paling jelas ialah sikap anggota cabinet Tan Sri Bernard Dompok yang tiga tahun lalu menyanggah kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam soal kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.

Continue reading

Utusan Malaysia Kena Insaf, Berhentilah Jadi Lidah Fitnah

utusan290709