Saddam : Pengajaran Kepada Manusia Bernama ‘Pemerintah’

          Daripada seorang pemimpin yang hidup dikelilingi kemewahan dan kekuasaan, akhirnya terperosok jauh ke ‘lubang tikus’ lalu ditangkap dengan penuh kehinaan. Siapa sangka seorang diktator kejam yang boleh menjatuhkan hukuman bunuh kepada sesiapa sahaja terpaksa menyembah kaki Amerika Syarikat di penghujung hidupnya untuk memohon belas ihsan penyambung hayat. Bagaimanapun itulah resam hidup dunia, tiada yang kekal selamanya di atas dan tiada yang selamanya berada di bawah.

Itulah Saddam Hussein, anak kelahiran Tikrit dari keluarga petani dan dibesarkan oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang bekas pegawai tentera. Pada tahun 1957 ketika umurnya baru 20 tahun, dia menyertai Parti Baath. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1959, dia menyertai satu misi untuk membunuh Perdana Menteri Iraq pada masa itu. Namun, dia ditembak di kaki lalu ditahan seterusnya dijatuhkan hukuman mati. Bagaimanapun, Saddam berjaya melarikan diri ke Syria dan seterusnya ke Mesir.

Pada tahun 1962, Saddam memasuki College Of  Law di Kaherah dan seterusnya pulang ke Mesir setahun kemudian di zaman pemerintahan Parti Baath. Dia seterusnya menyambung pengajian di Baghdad Law College dan berkahwin dengan Sajida Khairallah dan memperolehi lima orang anak. Pergolakan hidup Saddam tidak terhenti setakat itu apabila dia ditahan sekali lagi kerana terlibat dengan komplot untuk menjatuhkan Presiden Abdul Salam Arif pada tahun 1964. Bagaimanapun sekali lagi juga dia berjaya melarikan diri dari penjara selepas dua tahun merengkok di dalam tahanan. Pendakian Saddam ke puncak kekuasaan diteruskan dengan keterlibatannya bersama komplot rampasan kuasa untuk menggulingkan Presiden Abdul Rahman Auf. Pada tahun 1969, Saddam dilantik sebagai Naib Pengerusi Majlis Pemerintah Revolusi Iraq dan tidak menunggu lama untuk melakukan tindakan yang berani ; mengarah supaya dimiliknegarakan industri minyak di Iraq. Melalui tekanan dan strategi halus Saddam juga, dia berjaya mendaki hingga ke puncak pada tahun 1979 apabila menjawat jawatan Presiden Republik Iraq, Perdana Menteri dan sekaligu sebagai Pengerusi Majlis Pemerintah Revolusi ; tiga jawatan yang menjadikannya sebagai seorang yang paling berkuasa di bumi Iraq.

Pada tahun 1980, dengan restu rakan baiknya pada masa itu, Amerika Syarikat, Saddam mengarahkan bala tenteranya mencerobohi Iran dan menyerang simpanan minyak hingga mengakibatkan peperangan selama 8 tahun yang memakan korban berjuta-juta nyawa dari kedua-dua belah pihak. Sejurus selepas gencatan senjata dipersetujui pada tahun 1988, Saddam mengarahkan serangan senjata kimia kepada rakyatnya sendiri . Ia termasuklah kempen pembunuhan Anfal terhadap puak Kurdish di mana 100,000 orang awam terbunuh; penggunaan senjata kimia terhadap tentera Iran dan Kurdish; pembunuhan beramai-ramai penduduk Syiah dan Kurdish; serta penyingkiran secara paksa etnik minoriti di utara Iraq. Kekejaman Saddam ini menjadikan dirinya sebagai ‘pemimpin Arab yang paling hauskan darah.’

Persahabatan Saddam dengan Amerika Syarikat tidak bertahan lama apabila Iraq menyerang Kuwait pada tahun 1990. Amerika Syarikat yang selama ini menjadi sekutu Iraq tiba-tiba mengetuai operasi deserta storm untuk menghalau tentera Iraq dari bumi Kuwait. Tentera Iraq dipaksa berundur dari Kuwait pada Februari. Suruhanjaya Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diarah memulakan pemeriksaan pertama ke atas senjata berbahaya besar-besaran Iraq.

Bermula dari tahun 1990, Iraq ditekan dan dikenakan sekatan ekonomi biarpun Saddam masih terus bermewah di istananya malah masih sempat mengarahkan pembunuhan dua orang menantunya pada tahun 1996 di atas alasan disyaki membelot. Ia berakhir pada Mei 2003 apabila kerajaan Saddam tumbang selepas kedaulatannya dicabul oleh Amerika Syarikat dan Britain. Dan selepas hampir lapan bulan Saddam diburu, dia akhirnya ditangkap di lubang sempit dalam rumah persembunyiannya yang tidak begitu jauh dari bandar Tikrit, di seberang Sungai Tigris di mana terletaknya salah sebuah istananya. Saddam kini dalam keadaan yang berjambang dan berambut panjang tidak terurus seperti gaya kutu rayau berbeza sekali dengan gayanya ketika berkuasa di istananya, lengkap dengan serba-serbi kemudahan mewah dan dikelilingi beratus-ratus pengawal.

          Begitulah nasib Saddam, seorang pemimpin diktator yang pernah berada di puncak kekuasaannya dan berkuasa ke atas apa saja urusan di Iraq. Sekalipun dikelilingi oleh limpahan harta yang begitu banyak, namun ia belum tentu menjamin kesetiaan para pengikutnya terhadap dirinya. Bagaimana mungkin seorang diktator boleh mengharapkan kesetiaan dan ketaatan mutlak daripada orang lain sedangkan dirinya sendiri tidak taat dan setia kepada Allah Yang Maha Kuasa. Malah, inilah bukti yang paling utuh bahawa kesetiaan pengikut andainya dibina di atas dasar kepentingan pangkat dan harta, ia pasti tidak akan bertahan lama. Apabila tiba masanya, kesetiaan ini akan goyah dan luntur. Begitulah Saddam yang tertangkap disebabkan pengkhianatan salah seorang pengawalnya yang peling dipercayai.

          Pemimpin-pemimpin diktator seluruh dunia seharusnya merenungi nasib masing-masing. Kekuasaan dan kesempatan yang diberikan oleh rakyat untuk berada di singgahsana pemerintahan bukanlah peluang untuk mencari sebanyak mungkin kepentingan peribadi dan melakukan penganiyaan terhadap orang lain. Sebesar-besar kuasa yang ada pada makhluk, hebat lagi kuasa Allah Yang Maha Esa. Sejarah menyaksikan bagaimana Namrud yang berjaya memerintah dunia akhirnya tewas hanya kerana seekor serangga yang memasuki kepalanya. Begitu juga Firaun yang gah mendabik dirinya sebagai tuhan, akhirnya tenggelam di laut dalam dan terpaksa mengakui kebenaran Nabi Musa hanya apabila mendapati dirinya sudah tidak mampu untuk menyelamatkan diri. Soalnya, bagaimana dengan pemimpin-pemimpin yang pernah menzalimi orang lain ; memisahkan suami daripada isterinya tanpa bicara, melakukan kezaliman dan penindasan kepada tahanan-tahanan politik, malah merampas hak rakyat secara yang haram? Adakah mereka merasakan dirinya akan terselamat daripada putaran alam yang menjanjikan turun naik putaran roda dalam kehidupan manusia? Lebih jauh dari itu, sekalipun mereka dianugerahi dengan gelaran yang hebat-hebat selepas bersara ataupun dipuji dengan pujian tinggi melangit,  bagaimana mereka mahu mengadap Allah dengan dosa terhadap manusia berhimpun di kaki masing-masing. Atau adakah mereka tidak beriman kepada hari akhirat?

          Saddam hanyalah satu contoh seorang manusia yang pernah berada di puncak kekuasaan lalu di penghujung hidupnya dihina dan di’tikus’kan. Namun, adakah tidak mungkin pemimpin-pemimpin lain yang sibuk membilang harta dan bersandar enak di kerusi malas, sedangkan orang yang dizalimi terus menerus berada di jerjak besi tanpa pengadilan yang sebenar, mereka tidak mungkin menjadi ‘tikus’ seperti Saddam?? Percayalah, hari-hari ini digilirkan oleh Allah SWT. Hari ini seorang Saddam tersungkur dengan penuh kehinaan, esok berpuluh-puluh lagi ‘Saddam’ akan mengalami nasib yang sama… Tunggulah.

 

Ahmad Fadhli bin Shaari,

24 Disember 2003

Kaherah, Mesir

 

Advertisements

Ke Arah Mana Ibrahim Ali?

Dari Kaherah, mendengar berita mengenai pengguguran Dato’ Paduka Ibrahim Ali dari jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas sebenarnya adalah satu perkara yang tidak mengejutkan. Inilah sebenarnya politik. Ia umpama roda yang bergerak ke atas dan ke bawah. Ibrahim Ali tentunya seorang yang cukup arif dengan sepak terajang politik tentunya menganggap ini sebagai perkara biasa di dalam hidup seorang ahli politik. Lagipun, bukankah Ibrahim berjuang untuk ‘agama, bangsa dan negara’ sebagaimana yang sering didakwanya? Pastinya seorang yang ikhlas berjuang tidak akan mementingkan soal jawatan, malah sanggup menjadi seorang gurkha sebagaimana bekas bosnya yang sekian lama ‘beraja’ di Gua Musang?

Menelusuri politik Ibrahim Ali sebenarnya memualkan mata siapa saja yang memandang. Sebagai seorang anak jati Pasir Mas, saya berpeluang melihat sendiri bagaimana Ibrahim Ali bermain politik. Malah sejarah politiknya cukup panjang untuk diceritakan. Seorang bekas juara Parti Berjasa yang kemudiannya memasuki UMNO dan keluar bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 lalu terkenal dengan ungkapannya ‘menjilat punggung’. Inilah sumpah yang dilafazkan seandainya beliau memasuki semula UMNO yang sering dilaung-laungkan di dalam kempen pilihanraya 1990. Waktu itu, saya baru berusia 10 tahun namun bagaikan terngiang-ngiang ucapan berapi-api Ibrahim di dalam telinga saya sewaktu beliau berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri Tendong. Ayah saya membisik, “Inilah pemimpin kita..” Saya hanya terdiam dan menyimpan rasa kagum di dalam hati.

Ibrahim Ali dan UMNO

Namun, rasa kagum itu tidak bertahan lama. Selang hanya beberapa tahun selepas pilihanraya 1990, Ibrahim Ali melompat semula ke dalam UMNO. Habis sudah ‘menjilat punggung’ yang sering dilafazkan satu ketika dulu dan kini tidak siapa tahu adakah sumpah ikrar yang sering dilafazkan dulu sudahpun dilaksanakan atau tidak. Inilah sejarah lompat-melompat yang diamalkan oleh Ibrahim Ali dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Bagaimanapun, kemasukan Ibrahim Ali ke dalam UMNO nampaknya satu perkara yang kurang dialu-alukan oleh UMNO sendiri. Amalan politik UMNO di bawah pimpinan Ibrahim Ali yang berjaya menjawat jawatan Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas hasil dari politik ‘cah keting’ juga adalah satu perkara yang memualkan. Tiada apa yang dibawa oleh Ibrahim Ali kecuali politik pecah belah dan ‘cah keting’ yang diwar-warkan oleh akhbar milik UMNO sendiri. Rakyat Malaysia masih tidak lupa dengan percubaan Bahagian Pasir Mas mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Timbalan Presiden UMNO di dalam pemilihan UMNO beberapa tahun yang lepas. Begitu juga dengan sikap Ibrahim Ali di dalam menerima perlantikan Dato’ Mustapha sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Malah masih ramai yang tidak lupa peranan Ibrahim Ali yang menjayakan perhimpunan di Kuala Lumpur yang bertemakan “Tidak Melayu Hilang Di Dunia” beberapa tahun yang lampau.

Saya pasti banyak pihak di dalam UMNO sendiri terlalu kurang senang dengan pembawaan Ibrahim Ali. Oleh kerana itulah, walaupun sudah kering air mata beliau menangisi pemergian Tun Dr. Mahathir beberapa bulan yang lepas, beliau tetap tidak diberikan sebarang jawatan di dalam rombakan UMNO Kelantan. Masakan tidak, seorang pelakon air mata tentunya dapat menilai lakonan pelakon air mata yang lain!

Ibrahim Ali, MTRK dan Kempen Politik

Namun, beliau juga berjasa di dalam menambahkan rasa meluat rakyat Pasir Mas terhadap UMNO. Sanjungan yang berlebihan terhadap Ibrahim Ali yang dirangkan sendiri oleh beliau dan pengikut-pengikutnya bermatlamat untuk menanam politik taksub yang berlebihan di dalam sanubari orang kampung terhadap wira adi jagat mereka ini, bagaimanapun saban hari menambahkan rasa mual dan meluat di dalam jiwa para pengundi Pasir Mas. Munculnya madrasah yang dinamakan ‘Madrasah IT Ibnu Ali’ di kawasan Dewan Undangan Negeri Tendong adalah satu perkara yang jarang dibuat orang. Siapakah ‘ibnu ali’ kalau tidak Ibrahim Ali? Agak janggal sebenarnya apabila Ibrahim Ali yang bersungguh-sungguh membina madrasah tersebut dengan duit rakyat tiba-tiba menamakannnya dengan namanya sendiri. Ya, tidak salah.. namun ia janggal dan memualkan.

Begitu juga semasa kunjungan Tun Dr. Mahathir ke Kelantan sempena upacara perasmian Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong pada September yang lepas, jelas kelihatan kain-kain rentang yang menyanjung Ibrahim Ali melebihi bosnya sendiri. Satu sepanduk gergasi bertulis, ‘Keranamu Ibrahim Ali…” melebihi besarnya sepanduk terhadap UMNO dan Presidennya sendiri memualkan bukan sahaja penyokong PAS malah ahli-ahli UMNO sendiri. Pembinaan Jambatan Tendong dicanang sepenuhnya seolah-olah  dibina dengan duit peribadi Ibrahim Ali sehingga ada di kalangan orang-orang kampung menganggap demikian. Bagaimanapun, tidak semua orang boleh ditipu. Dan tiada siapa mengetahui berapa banyak keuntungan Ibrahim Ali dan pengikut-pengikutnya hasil pembinaan jambatan tersebut….

Begitu juga tingkah laku Ibrahim Ali di dalam mengendalikan pertubuhan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MRTK). Di saat bekas orang kuat MRTK, Zaid Ibrahim dicanang dan dijulang sebagai wira baru UMNO Kelantan, Ibrahim Ali terus terpinggir di tepi bendang menunggu masa untuk melompat ke petak padi yang lain. Masakan tidak, karenah MRTK yang lebih merupakan pertubuhan peribadi Ibrahim Ali cukup menggelisahkan UMNO Kelantan. Rakyat Kelantan tentunya masih ingat betapa biadapnya Ibrahim Ali semasa menganjurkan konsert Siti Nurhaliza dan perarakan patung burung petalawati pada tahun lepas yang berselindung di sebalik nama MRTK dan kuasa istana. Tidak ada analisis politik yang menyimpulkan tindakan tersebut memberikan keuntungan kepada UMNO Kelantan. Namun itulah Ibrahim Ali yang tindakannya kadang-kadang lebih kurang sama dengan kanak-kanak berumur lima tahun.  Patung petalawati seterusnya diisytiharkan haram di sisi syariat dan akhirnya hilang terbang entah ke mana.

Namun, Ibrahim Ali tidak pernah belajar dari sejarah. Sekali lagi pada tahun ini, MRTK menganjurkan konsert di tengah-tengah bandar Kota Bharu yang mencetuskan polemik yang hebat dengan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Sekali lagi, rakyat Kelantan ingin bertanya kepada Ibrahim Ali, “Berahim, mun nok rakyat Kelate jadi lagu mano ni..?” Dalam erti kata lain, apa sebenarnya yang ingin dibawa oleh Ibrahim Ali kepada rakyat Kelantan? Dan UMNO Kelantan tentunya sedar bahawa tindakan Ibrahim Ali tentunya membawa palit kepada UMNO sendiri dan memberikan kesan di dalam pilihanraya umum nanti.

Di tengah-tengah perasmian Jambatan Tendong, sekali lagi Ibrahim Ali cuba menonjolkan diri untuk menjadi juara. Seramai lebih kurang 500 orang pelajar dipilih untuk menyertai larian dan memakai t-shirt bertulis Adi Jagat dan MRTK. Siapakah MRTK di tengah-tengah program rasmi kerajaaan seperti itu? Namun, itulah dia politik Ibrahim Ali. Masih terngiang-ngiang tema larian yang berbunyi, Bernafas Di Dalam Debu… dan sekarang masihkah Ibrahim bernafas di dalam debu atau sudah lemas di dalam sungai Tendong..?

Ke Mana Ibrahim Ali Selepas Ini?

“Saya digantikan dengan orang yang lebih tua daripada saya, malah saya ‘disembelih’ dua hari sebelum raya. Apakah saya ni jahat sangat..”  Getusan spontan Ibrahim Ali yang mengulas mengenai pemecatannya membayangkan bagaimana rasa tidak puas hati yang bersarang di dalam sanubarinya.  Dan kerana itulah barangkali sepanduk-sepanduk yang mengecam Dato’ Mustapha dinaikkan di bandar Kota Bharu dan Pasir Mas (harakahdaily.net, 1 Disember 2003). Terima kasih kepada UMNO kerana mengesahkan berita bahawa mereka sedang berpecah belah. Dan tahniah kepada Ibrahim Ali di atas ‘hadiah hari raya’ yang diterima.

Cuma, kita sedang ternanti-nanti ke arah mana Ibrahim Ali akan melompat selepas ini. Mungkinkah kepentingan peribadi Ibrahim Ali yang masih lagi banyak bersama-sama dengan UMNO (rujuk kenyataan Husam Musa, harakahdaily.net, 1 Disember 2003) akan menghalangnya untuk melompat atau beliau akan meneruskan tradisi biasanya iaitu melompat? Andainya beliau melompat ke arah PAS, sudikan PAS menerima kehadiran manusia ini? Harap-harap biarkan saja borang permohonannya tersadai di meja mesyuarat……

Ahmad Fadhli bin Shaari,

2 Disember 2003

Kaherah, Mesir.