Pembentangan Bajet Abdullah Lebih Hebat!

Bajet Pokloh

Ibrahim Sudah Mula Tidak Dipercayai

19 Oktober 2009 – Karier politik ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali disifatkan sudah tiba di penghujung apabila beliau sendiri sudah tidak dipercayai oleh sebahagian pimpinan UMNO untuk diterima menjaddi ahli parti tersebut. Di dalam masa yang sama, PAS yang telah memberikan peluang kepadanya bertanding di dalam pilihanraya umum yang lalu juga pastinya sudah ‘berkerat rotan’ dengannya yang disifatkan mengkhianati parti yang memberinya laluan.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ahmad Fadhli bin Shaari berkata, inilah nasib yang terpaksa ditempuhi oleh Ibrahim apabila seringkali mengubah pendirian politiknya dan pastinya beliau tidak akan dipercayai lagi samada oleh PAS atau UMNO. Suasana seperti ini akan meletakkannya dalam situasi yang tidak selesa khususnya untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 nanti.

“Kita percaya, ahli politik seperti Ibrahim tidak akan membawa apa-apa faedah kepada mana-mana parti yang disertainya. Namun, jika UMNO masih lagi sudi untuk menerima Ibrahim, kita alu-alukan kerana itu lebih memudahkan PAS di Pasir Mas ekoran kebencian pengundi-pengundi di Pasir Mas terhadap Ibrahim,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian semasa mengulas kenyataan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Bazlan Baharuddin yang meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bagi mengelak “pisang berbuat dua kali”.

Bazlan seperti yang dilaporkan semalam turut mengingatkan bahawa apa yang dialami oleh UMNO sebelum ini cukup menyedarkan apabila anggota parlimen Pasir Mas itu sanggup menentang calon BN dalam pilihan raya kecil 2005. Ibrahim kini disifatkan berada di awang-awangan ekoran kedudukannya dipertikaikan oleh PAS kerana sering memberi reaksi negatif kepada parti itu.

“Pihak DPPKPM melahirkan simpati kepada nasib Ibrahim yang tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun. Sekalipun kami tidak mahu campur tangan dalam urusan UMNO, namun dalam masa yang sama kami ingin mengingatan Ibrahim bahawa beliau mendapat kemenangan di Pasir Mas di dalam pilihanraya umum yang lalu di atas tiket PAS, maka tindakan yang bermaruah yang boleh dilakukan olehnya sebelum menyertai UMNO ialah dengan meletakkan jawatan sebagai ahli parimen,” ujar beliau lagi.

Majlis Hariraya Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Kelantan

17 Oktober 2009 – Saya dihubungi oleh Setiauasaha PASTI Kelantan, Cikgu Zuhairi Ismail lewat malam tadi untuk hadir ke Pusat Tarbiyyah Kelantan (PUTIK) hari ini bagi menyampaikan ceramah motivasi mewakili YB Ustaz Abdul Latif, Pengarah PASTI Kelantan. Slot ceramah ini sempena Majlis Aidilfitri dan Penyampaian Cenderahati kepada guru-guru PASTI seluruh negeri Kelantan.

Mengikut maklumat yang diberikan kepada saya, hampir 500 orang guru PASTI telah hadir memeriahkan majlis hari raya ini. Semoga dengan pertemuan ini, meningkatkan semangat guru-guru PASTI mendidik anak-anak di dalam mewujudkan generasi yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Pengerusi MGP Pusat menyampaikan duit raya kepada anak-anak guru PASTI

 

Bersama Cikgu Zuhari Ismail, di sebelah kanan saya ialah ‘bakal’ penceramah, insya-allah. Sayangnya, dia tersengguk tidur di atas kerusi semasa slot ceramah saya.

Rakaman Kuliah di Medan Ilmu

Salam perjuangan. Hari ini 9 Oktober 2009, saya diamanahkan untuk menyampaikan kuliah pagi Jumaat sesi pertama di Medan Ilmu, Pejabat PAS Kelantan. Rakaman kuliah boleh dimuat turun di sini.

Tajuk kuliah pada pagi ini ialah : Amalan-amalan Yang Dijanjikan Rumah Di Dalam Syurga. Antara isu semasa yang disentuh ialah :
1. Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang
2. Isu Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas
3. Isu Kelantan yang dikatakan sebagai mundur.

Sekian.

Jentera Daie : Menyemai Ukhuwwah Menuai Kesatuan

3-5 Oktober 2009 – Dijemput menyertai rombongan Jentera Daie ke Pulau Perhentian pada 3-5 Oktober yang lepas merupakan satu peluang keemasan bagi saya. Bukan kerana destinasinya, tetapi kerana ahli rombongannya yang terdiri daripada para ulama dan masyaikh dari seluruh negeri Kelantan. Ustaz Saibon Ismail, penolong pengarah Jabatal Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK) yang menjadi ‘orang kuat’ di sebalik program ini nampaknya begitu bersungguh sekali ingin merealisasikan hasrat penubuhan apa yang dinamakan sebagai jentera daie.

Bagi saya, ini kunjungan kali kedua ke pulau ini. Kali pertama dua tahun lepas bersama isteri di dalam program ‘berbulan madu pasca perkahwinan’.

Penubuhan jentera daie ini di atas hasrat untuk mengumpulkan tenaga-tenaga pendakwah seluruh negeri Kelantan bagi ditentukan hala tuju yang sama dan bersepadu ke arah menggerakkan dakwah di negeri Serambi Mekah ini. Khabarnya, selama 3 hari itulah masjid-masjid terpaksa kosong dari tenaga penceramah. Mahu dicari pengganti pun, kebanyakan tenaga pengganti yang biasa turut menyertai rombongan ini.

01

Kami bertolak pada 3 Oktober 2009 (Sabtu) sekitar jam 9.00 pagi dari pejabat JHEAIK, Lundang. Rombongan seramai lebih kurang 70 orang ini turut disertai oleh beberapa orang naqib seperti Ustaz Ismail bin Nuh, Prof Madya Dr. Shukeri Mohamad, YB Ustaz Muhammad bin Mustafa dan Dr Abdul Baasit bin Abd Rahman. Dari KIAS, selain saya sendiri, 4 orang lagi pensyarah dan kakitangan yang terlibat iaitu Ustaz Azhar Abdullah, Ustaz Zulqarnain Hassan, Ustaz Asri Daud dan Ustaz Ilyas (Unit HEP). Antara lain agensi-agensi yang yang diwakili oleh anggota masing-masing ialah Unit Halaqat, MPKB, YIK, MAIK dan sebagainya.

Di Pulau Perhentian, Flora Bay Resort menjadi lokasi penginapan kami. Di tengah-tengah pakaian pelancong asing yang menyenakkan mata, program pelancaran Jentera Daie ini berjalan dengan lancar. Pulau Perhentian merupakan pulau yang cantik, namun sudah tercemar dengan budaya asing yang membimbangkan. Malah, turut kelihatan beberapa anak muda lelaki dan perempuan, berpakaian persis pelancong asing tetapi bercakap menggunakan bahasa ’budu’! Bukan pelik suasana ini berlaku di sini, kata seorang penjaga resort.

Di sini kami ber’brainstorming’, kami bermesyuarat dan bertukar-tukar fikiran. Fakta demi fakta tahap penghayatan Islam di Kelantan didedahkan untuk hidangan kami para pengkuliah agar mampu memahai keperluan dakwah di Kelantan. Rupanya, Kelantan tidak terkecuali menghadapi arus pengaruh barat dan keruntuhan akhlak.

Kami turut ber’snorkeling’, beriadah, berusrah dan bersolat di atas pasir pantai. Tenang sekali bersama para ulama yang murabbi seperti Ustaz Ismail Nuh dan faqih yang tajam pengamatan seperti Dr Abdul Baasit. Tiga hari bersama para ulama lebih berharga dari tiga ratus hari bersama orang-orang yang jahil. Benarkah demikian?

5 Oktober 2009, kami pulang semula meninggalkan Pulau Perhentian dengan seribu satu kenangan. Ilmu dan pengalaman ialah harta yang paling berharga yang ditimba di sini. Itulah cenderamata dari Pulau Perhentian. Ia jauh lebih bernilai sebenarnya daripada 2 helai baju t-shirt yang bercop Pulau Perhentian yang saya belikan untuk anak-anak saya!

Terima kasih. Semoga kita berjumpa lagi di kesempatan yang akan datang, Insya-Allah.

Rakaman Ceramah di Pohon Buluh, Pasir Mas

Baru sekejap tadi saya mempengerusikan majlis ceramah umum di Pusat Tarbiah PAS Pohon Buluh, Pasir Mas. Asalnya YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar sendiri yang sepatutnya hadir menyampaikan ceramah, tetapi khabarnya terpaksa dibatalkan di saat akhir kerana Tuan Guru menghadiri majlis hari raya di Konsul Thailand di Kota Bharu. Apapun, ceramah malam ini yang dibarisi oleh Ustaz Kamal Ashaari, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan YB Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Machang sudah cukup bertenaga dan memaku hadirin hingga ke tengah malam. Kepada yang berminat untuk mendapatkan rakaman ceramah tersebut boleh dimuat turun di http://www.mediafire.com/download.php?myjcqgqtvye (Ustaz Kamal Ashaari) dan di http://www.mediafire.com/download.php?mn4zyj1ydjr (YB Saifudin Nasution).

Rakaman Khutbah Aidilfitri 1430H

1 Syawwal yang lepas saya telah diminta menyampaikan khutbah Aidilftiri di masjid al-Ain, Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas.  Saya mengambil isi kandungan teks khutbah yang saya sediakan untuk Dewan Ulama PAS Kelantan dengan beberapa tambahan. Rakaman khutbah tersebut boleh dimuat turun di :

http://www.mediafire.com/download.php?e0zhxmo0v2t

ceramah motivasi di putik

07092009012
adik dan abi

Teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri 1430

6 September 2009 – Berbanyak kemaafan dipohon kepada pengunjung blog kerana tidak membiarkannya usang tanpa update. Kesibukan sepanjang Ramadhan menyebabkan luang masa menjadi sempit untuk menurunkan walau sepatah kalimah di dalam blog ini. Ditambah pula dengan jaringan Facebook yang baru dikuasai (baru dikuasai 🙂 orang lain dah lama…). Alamat facebook saya ialah : ahmadfadhli1980

Kali ini saya mahu berkongsi teks khutbah Aidilfitri 1430 H dengan sahabat-sahabat sekalian. Saya menulisnya untuk Dewan Ulama PAS Kelantan. Khutbah ini sesuai untuk dibaca di masjid-masjid dan madrasah yang beraliran hijau sahaja. Tak kisah ‘hijau pekat’ atau ‘hijau sikit-sikit’…

Harap dapat dielakkan dari membacanya di lokasi panas beraliran biru gelap.

Sila download khutbah di sini : TEKS KHUTBAH AIDILFITRI 1430H

Takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)