Syarahan Agama Pada Persembahan Catwalk KBMall

Diminta menyampaikan ceramah ringkas di pertunjukan Catwalk anjuran MPKB dan KBMall saya anggap bukanlah satu tugas yang mudah. Di tengah-tengah khalayak yang jarang sekali saya depani, bagaiamana untuk ungkapkan hadis-hadis dan nas berkenaan Islam? Namun, itulah dakwah. Bukan senang sebenarnya melaungkan dakwah di tengah-tengah medan, tidak semudah memberikan kuliah di atas masjid. Aduuh, patutnya di sinilah sebenarnya medan da’ie. Dapat saya lihat betapa ramai yang ‘mengundurkan’ diri bila saya naik ke pentas menyampaikan ceramah. Saya hanya menyentuh isu tujuan hidup manusia, ke manakah manusia akan pergi selepas mati dan sebagainya. Bagi saya, itu sudah cukup baik kalau difahami di saat ini. Cukuplah satu hadis menjadi bekal kepada para du’at : “Sekiranya Allah memberikan hidayah kepada seorang lelaki kerana usaha kamu, itu lebih baik dari kamu mendapat dunia dan segala isi kandungannya…..”

 

 

saya bergambar dengan salah seorang peminat…. 🙂

Selamat Ulang Tahun TV3

1 Jun 2008 merupakan tarikh lahir ke-23 stesen televisyen swasta yang pertama di negara iaitu TV3. Sambutan ulang tahun diiringi dengan ‘doa selamat’ oleh satu konsert jom Heboh yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen. TV3 kelihatan semakin matang dalam usia 23 tahun yang menyaksikan pelbagai perubahan dan suntikan dilakukan dari masa ke semasa. Tidak dapat dinafikan, berbanding RTM, TV3 masih menjadi siaran yang diminati berbanding dengan siaran RTM yang merudum jatuh imejnya khususnya sebelum piliharanya umum ke-12 lalu di bawah kendalian ZAM. Apapun, usia 23 tahun merupakan sepatutnya memulakan tempoh kematangan TV3. Dalam usia ini, TV3 sudah meninggalkan usia mumayyiz dan tentu sekali sudah akil baligh dengan senario bidang penyiaran.

Bagaimanapun, dalam dunia global yang menyaksikan tumbuhnya blog-blog sebagai alternatif kepada media massa utama, TV3 masih lagi dengan stailnya ; menjadi alat kepada Barisan Nasional dalam mengukuhkan empayar rejim mereka. Bukan menjadi rahsia betapa condongnya TV3 kepada UMNO/BN khususnya semasa kempen pilihanraya ke 12 yang lepas. Bahkan pada malam pengumuman keputusan PRU12, sempat lagi pengacara membahasakan Barisan Nasional sebagai ‘kita’ dan pembangkang sebagai ‘mereka’.

Perlu disedari, masyarakat hari ini tidak sama dengan 20-30 tahun yang lepas, jauh sekali berbeza dengan masyarakat era 60-an. Politik Malaysia sudah berubah dengan begitu hebat, sudah tidak lagi laku di tengah masyarakat sebarang idea perkauman dan politik sempit ‘mengangkat keris’. Apa yang akan mengambil tempat ialah politik perpaduan yang tidak memandang darah dan warna kulit.

TV3 sebagai sebuah media eletronik yang diminati nampaknya masih lagi gagal mengesan arus ini. Walaupun serangan telahpun reda khususnya selepas pilihanraya, namun sikap bermusuh dengan Pakatan Rakyat masih lagi ketara dengan jelas. Itupun mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan rumah tangga UMNO, serangan-serangan menjadi agak tumpul. Kalau tidak, nescaya akan digegak gempitakan kegagalan Pakatan Rakyat mentadbir 5 negeri. Pasti tidak menang tangan Bersamamu menjelajah mencari mana-mana individu yang terpaksa berteduh di bawah langit akibat tidak mampu membina rumah hasil kegagalan Pakatan Rakyat!

Politik sedemikian sudah tidak relevan lagi dalam suasana hari ini. Kesedaran rakyat semakin meningkat. Walau apa jua maklumat palsu yang cuba disumbat, mereka tidak mudah menelan bulat-bulat sebagaimana masa yang lalu. TV3 dan Media Prima perlu sensitif dengan senario ini. Sekurang-kurangnya, biarlah sempat menyambut hari lahir ke-50. Bimbang juga pada masa itu kalau-kalau TV3 sudah bergelar arwah.

2 Jun 2008