PAS Sahajakah Perlu Terbuka?

Tulisan Zulkiflee Bakar hari ini di dalam Mingguan Malaysia (saya tidak beli akhbar, cuma baca online dan kepunyaan pejabat sahaja) amat menarik untuk diulas. Wartawan ni yang saya rasa pandai bermain emosi dan lengguk bahasa sekali lagi menulis memperlihatkan keikhlasannya yang cukup mendalam untuk melihat terhasilnya perpaduan Melayu-Islam. Sekali lagi, beliau memberikan nasihat yang cukup bernas untuk PAS agar menjalinkan kerjasama dengan UMNO demi ketuanan Melayu Islam. Indah sungguh bahasa seperti ini disulam pula dengan kebimbangan kononnya ketuanan Melayu (ketuanan UMNO?) sedang tergugat hebat.

 

Zulkiffle di dalam tulisannya mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan beberapa hari lepas yang menurutnya telah menutup pintu kerjasama dengan UMNO. Baginya, ini adalah pandangan yang tertutup dan akhirnya akan merugikan bangsa Melayu Islam di Malaysia. Menurut Zulkiflee, hanya PAS dan UMNO sahaja boleh diharapkan sebagai penyatu bangsa Melayu, berbanding PKR yang katanya rela menggadaikan masa depan bangsa demi kepentingan politik.

 

Ikhlas sungguh bunyinya gendang Zulkiflee memalu muzik perpaduan. Tentunya sambil melemparkan jarum sengketa antara PAS-PKR, berlapikkan seloka perpaduan dan pujian terhadap perjuangan PAS (baru minggu lepas Zulkiffle melabelkan PAS sebagai parti hilang prinsip), tulisan beliau mengajak agar PAS duduk semeja dengan UMNO khusus untuk kepentingan Melayu. Tinggalkan sahaja PKR yang katanya suka bermain retorik sahaja.

 

Tulisan seperti ini timbul pada saat-saat seperti sekarang. Ketika UMNO sedang kelemasan bertarung dengan perpecahan dalaman dan ancaman runtuhnya rejim yang dibina selama separuh abad, maka berdegar-degarlah slogan perpaduan. Sedangkan sebelum pilihan raya ke 12 baru-baru ini, agaknya Melayu berkuasa penuh di Malaysia. Segala gedung-gedung perniagaan semuanya milik orang Melayu. Bahkan senarai orang-orang kaya di Malaysia dipenuhi dengan nama Melayu. Vincent Tan ialah Melayu, bahkan nama sebenar Patrick Lim mungkin Ahmad Patrick yang lahir di tengah Pulau Wan Man dalam sebuah keluarga nelayan Melayu. Ananda Krishnan pula ialah seorang budak Melayu yang berjaya di dalam perniagaan komunikasi hasil perjuangan UMNO, manakala Kok Tsu Koon pula sebenarnya seorang melayu yang sepet matanya, lalu apabila dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, orang Melayu berjaya membina bangunan pencakar langit hingga entah ke langit berapa….!!  Begitukah? Hai..dongengnya lakaran sejarah UMNO. Percayakan kisah Cik Siti Wan Kembang menunggang burung petalawati dari Kota Bharu ke Gunung Reng lebih baik dari menghadam tawarikh tulisan ahli-ahli sejarawan UMNO.

 

Kita hairan sebenarnya, kenapa tulisan Zulkifflee hanya ditujukan kepada PAS?  Adakah tanggungjawab untuk bersatu ini hanya terletak di atas bahu PAS. Sudah berapa kalikah PAS mengajak UMNO bermuzakarah, duduk semeja namun sehingga ke hari ini masih belum menjadi kenyataan? Lalu setelah pilihan raya umum yang menyaksikan rejim Barisan Nasional hanya bergantung dengan talian hayat dari seberang laut, maka dibuka kembali khazanah gendang lama untuk dialunkan semula?

 

Sebenarnya, kaedah mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat ialah kaedah kuno yang digunakan oleh pemerintah terdahulu untuk mengekalkan kuasa mereka. Dengan rasa takut, rakyat akan bergantung dengan pemerintah yang semberono meratah hak rakyat. Lihatlah maksud kata-kata Firaun kepada kaumnya :

 

“Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khawatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi”. (Surah Ghafir, ayat 26)

 

Lihatlah bagaimana cara Firaun menanamkan perasaan takut di hati rakyatnya dalam usaha untuk menangkis dakwah Nabi Musa. Bukankah yang melakukan kerosakan ialah Firaun? Tidakkan yang menyembelih anak-anak lelaki Bani Israel ialah Firaun? Tetapi menurut media massa Firaun, Nabi Musa yang berpotensi untuk melakukan kerosakan! Maha suci Allah yang menurunkan al-Quran yang kandungannya tidak pernah ketinggalan zaman dalam berbicara mengenai perangan manusia! Lihatlah pula bagaimana bicara orang-orang munafik yang disebut oleh Allah SWT :

 

Dan bila dikatakan kepada mereka:”Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi. Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.”  Ingatlah, Sesungguhnya mereka Itulah orang-orang yang membuat kerusakan, tetapi mereka tidak sadar. (Surah al-Baqarah, ayat 11-12)

 

Bukanlah maksud saya untuk menyamakan UMNO dengan Firaun atau golongan munafik ini, tetapi seruan UMNO pada hari ini untuk ketuanan Melayu wajar dilihat dengan kaca mata yang bijaksana. Marilah kita lihat rekod UMNO dalam mempertahankan ketuanan Melayu Islam :

  1. Menghapuskan tulisan jawi
  2. Menghadkan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat yang kebanyakan pelajarnya ialah Melayu.
  3. Menafikan royalti minyak untuk penduduk Terengganu yang kebanyakannya Melayu dari tahun 1999-2008
  4. Meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun 2004 yang tidak memberikan kelebihan kerusi kepada Melayu.
  5. Mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris
  6. Mengisytihar pegangan bebas tanah yang akhirnya hanya mampu dimiliki oleh bangsa asing
  7. Gagal mencapat matlamat Dasar Ekonomi Baru dengan 30% penguasaan bangsa Melayu
  8. Dan banyak lagi

 

Itu hanya senarai pendek yang diperturunkan sedikit dari berkontena (tidak kotak, kerana kotak hanya milik Ezam) lagi jenayah UMNO terhadap bangsa Melayu. Kalaulah Zulkiflee menyatakan bahawa dengan senario pada hari ini, Melayu terancam, kenapa tidak cadangkan sahaja agar ahli-ahli parlimen UMNO berhijrah ke dalam PAS? Kalau itu berlaku, maka di Perak PAS akan menjadi tulang belakang utama dengan orang Melayu sebagai Menteri Besar. Di Pulau Pinang juga demikian, begitu juga di Selangor. Bahkan parlimen pun boleh dikuasai oleh bangsa Melayu kalau UMNO sanggup berhijrah ke dalam PAS. Tapi, untuk menyatakan bahawa hanya dengan PAS bergabung dengan UMNO dan mengukuhkan kuasa UMNO selaku rejim yang terbukti gagal, barulah Melayu terjamin, maka Zulkiflee hanya menulis sambil bermimpi sahaja.

 

 

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

29 Jun 2008

Tragedi 1999 Berulang Kembali?

29 Jun 2008 – Semacam kurang percaya saya apabila terbaca laporan dari Malaysiakini tentang satu laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat malam tadi. Laporan kes liwat yang dilaporkan secara ‘berkias’ oleh akhbar-akhbar utama pada hari ini seolah-olah mengulangi semula krisis pada tahun 1999 apabila Tun Dr Mahathir pada masa itu turut bertindak memecat Anwar selaku timbalannya juga kerana kes moral.

 

Benar atau tidak berlakunya kes liwat sebagaimana laporan tersebut, tidaklah kita ketahui hakikatnya. Namun, berdasarkan kepada krisis hampir satu dekad yang lalu, rakyat Malaysia tidak mungkin dapat ditipu sekali lagi. Lihatlah selepas Mahathir meletakkan jawatan, satu persatu krisis kehakiman yang menjadi misteri terbongkar satu demi satu. Adakah pendedahan demi pendedahan hari ini adalah untuk menegakkan keadilan atau hanya sekadar untuk menutup mulut Tun Dr Mahathir yang sudah mengambil alih jawatan ‘ketua pembangkang’ di luar parlimen?

 

Malaysia masih belum lupa dengan gelombang arus reformasi ekoran tuduhan moral yang dilemparkan terhadap Anwar Ibrahim. Sekalipun beliau dipecat di atas dasar moral, kemudiannya pelbagai tuduhan pula dilemparkan sekalipun belum pernah dibuktikan di mahkamah. Tuduhan kononnya beliau akan bersekongkol dengan IMF sering kali digunakan oleh Mahathir tetapi hakikat sebenarnya tidak pernah diungkap melalui proses mahkamah. Tragedi ‘usung tilam’ yang berlaku pada tahun 1999 sehingga hari ini masih segar dalam ruang ingatan rakyat Malaysia yang tidak mudah lupa. Misteri itu masih belum terungkap sedangkan pengarah lakon layarnya sudah berada di hujung usia.

 

Kini, setelah Mahathir berundur, sejarah menyaksikan bagaimana hujung hidup manusia ini tidak pernah tenang. Satu demi satu diungkap semula seolah-olah tidak akan ada lagi kebaikan yang akan mengiringinya ke persemadian nanti. Wallahua’lam, adakah Mahathir masih belum sedar akan petunjuk ini atau masih tegar berdiri tegak mempertahankan egonya. Wajarkah Mahathir menoleh semula melihat apakah yang dilakukan semasa dua dekad memimpin Malaysia. Bantuan kepada SAR disekat, tragedi memali, penghinaan terhadap tokoh-tokoh agama dan sebagainya seolah-olah mimpi yang masih belum sampai ke penghujung buat Mahathir. Bahkan memenjarakan Anwar selama 6 tahun di sebalik jerjak besi hingga kini masih belum dapat diterima oleh rakyat Malaysia. Semoga hidayah Allah menyinari jiwanya untuk bertaubat sebelum kakinya melangkah ke alam lain.

 

Kini, tuduhan liwat bergema sekali lagi. Di tengah-tengah hiruk pikuk pertelingkahan dalaman UMNO serta sedikit kegusaran orang nombor dua hasil kerenah Raja Petra Kamaruddin, tiba-tiba datang pula laporan kes liwat Anwar Ibrahim. Ia berlaku tepat pada masanya jika untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia. Maka tidak perlu lagi sibuk persoalan minyak yang naik melangit ketujuh, usah bicara soal pengeboman Tantuya yang kononnya disaksikan oleh orang-orang penting, tidak perlu sibuk-sibuk menilik rumah tangga UMNO yang kian retak. Akhbar-akhbar sudah ada modal baru iaitu kes liwat Anwar Ibrahim. Kebetulan pula ia berlaku ketika Anwar dikatakan akan mengetuai gerakan membentuk kerajaan baru 16 September ini.

Plot cerita hampir sama. Kalau ia sebuah lakon layar, Pak Lah diharapkan mengambil iktibar dari kegagalam arahan Mahathir sebelumnya. Filem Liwat arahan Mahathir gagal mendapat sebarang anugerah sekalipun peringkat kampung kerana ia hanya dibintangi oleh saksi yang kerap merubah kenyataannya. Paling hebatpun dialog penjahat utamanya ialah Not Relevan!

 

Harapnya Pak Lah tidak mengulangi plot yang sama. Jelas ia lebih longgar dari filem Mahathir, masakan tidak, pelakon utamanya ialah bekas pembantu Najib. Namun, kalau ia bukan sebuah lakon layar bahkan cerita realiti yang berlaku, kita harap ia dapat diselesaikan dengan seadil mungkin tanpa campur tangan oleh Linggam!

 

29 Jun 2008

 yang mana calon pelakon pembantu lelaki terbaik?