Pemimpin yang Beriman Rahmat Bagi Rakyat

 

Seorang wanita melintasi deretan kereta terpakai yang tersadai tanpa pembeli. Industri jualan kereta dikatakan akan mengalami kemerosotan jualan yang ketara akibat peningkatan harga minyak

 

Allah SWT berfirman di dalam surah Yusuf (yang bermaksud) :

Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan dimasa itu mereka memeras anggur.” (Ayat 47-49)

 

          Tafsiran mimpi seorang raja oleh Nabi Yusuf ini akhirnya membawa dirinya bebas dari penjara bahkan dilantik menjadi orang yang bertanggungjawab untuk menjaga perbendaharaan negara. Pengakuannya sebagai hafiz dan alim ialah satu ciri-ciri yang paling utama yang melayakkannya ke jawatan tersebut. Kemudiannya, Nabi Yusuf bertanggungjawab untuk membahagikan stok makanan negara kepada rakyat yang memohon bantun di musim kemarau, termasuklah adik beradiknya yang datang dari bumi Palestin.

          Demikianlah, harta negara untuk dinikmati oleh rakyat. Beruntunglah rakyat yang mempunyai pemimpin yang soleh serta diapit oleh menteri yang bijak dan bertanggungjawab. Benarlah sabda Rasulullah SAW :

مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ وَفَقْرِهِ

Yang bermaksud : Sesiapa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT (untuk memikul) urusan kaum muslimin, lau tidak berpaling daripada hajat, keperluan dan kefakiran mereka, Allah SWT berpaling daripada hajar, keperluan dan kefakirannya (di hari kiamat kelak) – Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh al-Bani

 

Hari ini di tengah-tengah kemelut kenaikan harga minyak yang mencengkan urat sarat rakyat terbanyak, dalam keadaan membilang butiran beras untuk dimakan, adakah sebenarnya sudah kering kantung negara dari nikmat kekayaan? Kenaikan harga minyak yang menyebabkan seluruh barangang keperluan meningkat, menyebabkan rakyat terpaksa hidup dalam kemiskinan yang mencengkam. Bayangkanlah pula, kalau hidup di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur yang memerlukan belanja sebanyak RM250 untuk seorang anak berulang-alik ke sekolah dengan menaiki bas, bagaimanakah ibubapa boleh meneruskan hidup. Bayangkanlah pula, dengan bekerja kampung secara kecil-kecilan, bolehkah seorang isteri membantu suaminya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji hanya RM600 sebulan?

 

Sungguh, perit memikirkan kantung hidup yang semakin sempit yang terpaksa dihadapi oleh rakyat jelata. Kenaikan harga minyak menyebabkan premis perniagaan mengecilkan operasi, mengecilkan bilangan pekerja dan akhirnya menyebabkan pengangguran. Kerja boleh dihentikan tetapi mulut anak-anak tidak boleh dihentikan suapan mereka. Sewa rumah serta bayaran bil tidak kenal erti tangguh dan henti, akhirnya meningkatlah kadar jenayah.

Sayangnya, di dalam Dewan Rakyat masih lagi terdengar jawapan mengenai kos baik pulih rumah Perdana Menteri dan Timbalannya. satu fakta yang cukup jelas dalam satu jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohammed Nazri Aziz dalam sidang Dewan Rakyat penggal ke-11 yang lalu. Dinyatakan bahawa kos pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya yang dilaksanakan tahun tersebut berjumlah RM15.81 juta. Kerja pengubahsuaian itu meliputi kerja membaik pulih dan menaik taraf sistem penyaman udara, pendawaian elektrik, lanskap serta pengubahsuaian dalaman termasuk ruang dapur dan bayaran juruperunding, katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh).  Mohamed Nazri berkata kos penyelenggaraan bulanan yang melibatkan keseluruhan kompleks kediaman Perdana Menteri termasuk blok rumah persendirian beliau hanya berjumlah RM2.9 juta setahun iaitu dengan purata RM242,991.50 sebulan. Beliau berkata kos asal pembinaan kediaman rasmi Perdana Menteri dengan merujuk khusus kepada blok rumah persendirian di mana Perdana Menteri dan keluarga tinggal berjumlah RM24.17 juta.

Mohamed Nazri berkata kos asal kontrak pembinaan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dengan merujuk kepada blok rumah persendirian di mana Timbalan Perdana Menteri dan keluarga tinggal berjumlah RM13.51 juta. Beliau berkata kos penyelenggaraan tahunan kompleks kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri berjumlah RM1.46 juta setahun iaitu dengan purata RM122,267 sebulan.

          Demikianlah sebuah kerajaan yang berjimat cermat…..

Misykat al-Masabih oleh al-Imam al-Tabrizi

Pengenalan ringkas Imam al-Tabrizi

Nama penuh beliau ialah Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi. Digelarkan al-Tabrizi kerana dinisbahkan kepada Tibriz iaitu satu kampung yang terletak di Azerbaijan sekarang ini. Beliau merupakan seorang ulama yang mahir di dalam permasalahan hadith yang sering dipuji oleh orang-orang sezamannya. [1]

Tidak banyak dapat diperkatakan mengenai beliau kerana terlalu sedikit maklumat mengenai latar belakangnya. Cuma apa yang dapat diperkatakan ialah mengenai pujian beberapa orang ulama kepadanya. Antaranya Syeikh al-Allamah Hassan bin Muahmmad al-Tibu di dalam kitab beliau Baqiyyah al-Auliya’ wa Qatb al-Sulha’ meanggap beliau sebagai seorang alim yang sukar ditandingi.[2] Begitu juga tanggapan al-Mala Ali al-Qari dan al-Kittani.

Di antara karangan yang sampai ke tangan generasi terkemudian ialah Misykat al-Masabih dan al-Ikmal fi Asma’ al-Rijal

Beliau wafat pada 737H iaitu pada tahun beliau menyempurnakan penulisan kitab Misykat al-Masabih pada hari Jumaat terakhir di bulan Ramadhan.

 

Pengenalan al-Imam al-Baghawi

          Oleh kerana kitab ini merupakan syarah kepada kitab Masobih al-Sunah karangan Imam Baghawi, maka penulis merasakan amat perlu untuk turut diperkenalkan beliau selaku penulis asal kepada kitab yang disyarahkan oleh Imam Tabrizi.

          Beliau ialah Abu Muhammad al-Husayn bin Mas’ud bin Muhamad bin al-Farra’ al-Baghawi. Digelar sebagai Muhyissunnah atau orang yang menghidupkan sunnah kerana kesungguhannya di dalam mempertahankan sunnah Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan pada 433H di satu kampung bernama ‘Bagh’ yang terletak di Khurasan. Oleh kerana itu, nama beliau dinisbahkan kepada kampung ini dan digelar sebagai al-Baghawi.

          Ketika berumur 27 tahun, beliau bermusafir ke Marwu al-Ruzz[3] untuk menuntut ilmu daripada syeikh-syeikh hadis di sana. Beliau merupakan seorang pelajar yang tekun di dalam menuntut ilmu. Berkata Imam al-Zahabi mengenai dirinya, “Beliau tidak akan belajar kecuali di dalam keadaan suci (berwudhuk)..”[4]

          Di antara guru-gurunya ialah Abu Salih Ahmad bin Abdul Malik al-Naysaburi (m. 470H), Abu Ali al-Husayn bin Muhammad bin Ahmad al-Maruzi (m.352H), Abu Turab Abd al-Baqi bin Yusof bin Ali bin Salih bin Abd al-Mulk al-Maraghi (m492H) dan ramai lagi. Manakala di antara murid-muridnya ialah saudaranya Hassan bin Mas’ud al-Baghawi (m529H) dan  Umar bin Hassan bin Husayn al-Razi (m606H) iaitu ayah kepada al-Imam al-Razi penulis al-Tafsir al-Kabir.

          Beliau menghasilkan banyak karya, antaranya 40 Hadis, al-Anwar fi Syamail al-Nabiyy al-Mukhtar, Turjumah al-Ahkam fi al-Furu’ (bahasa farsi), al-Tahzib fi al-Fiqh, al-Jam’u bayna al-Sahihain dan lain-lain. Beliau akhirnya meninggal dunia pada bulan Syawwal tahun 510H.[5]

 

Pengenalan Kitab Misykat al-Masabih

          Kitab ini merupakan huraian kepada kitab Masabih al-Sunnah yang disusun oleh Imam Baghawi. Ia merupakan kitab hadith yang agak memuatkan hadis-hadis berkaitan persoalan iman[6], ilmu dan seterusnya persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Di dalam menyusun kitab ini, Imam Baghawi pada asalnya meletakkan hadis-hadis tanpa sanad dan tidak dijelaskan sumber ambilannya. Menyedari hakikat ini, Imam Tabrizi yang dilahirkan beberapa ratus kemudian telah mengambil inisiatif untuk menyusun semula hadis-hadis ini, diletakkan sanad, dinyatakan sumber ambilannya dan diberikan sedikit komentar. [7] Karya ini dicetak di dalam pelbagai edisi. Manakala karya yang terdapat di tangan penulis berjudul Misykat al-Masabih  karangan Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi. Ia diterbitkan sebanyak 3 jilid pada 2003 oleh Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan dan telah ditahkik oleh al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya.

 

Isi Kandungan Kitab

          Kitab yang telah ditahkik ini dimulakan dengan muqaddimah daripada pentahkik yang juga menyebut pengenalan ringkas kitab Misykat al-Masabih. Seterusnya ia diikuti dengan riwayat hidup Imam Baghawi dan Imam Tibrizi. Seterusnya pentahkik menjelaskan metodologinya di dalam mentahkik kitab ini. Antara metodologinya ialah :

  1. Membuat perbandingan naskhah asal (makhtutat) kitab ini dengan kitab yang telah dicetak yang terdapat di perpustakaan.
  2. Membuat perbandingan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini dengan naskhah asal Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih oleh al-Malla Ali al-Qari al-Harwi. Menurut pentahkik, beliau menemui beberapa perbezaan.
  3. Membuat takhrij hadith-hadith yang terdapat di dalam kitab ini
  4. Meletakkan tanda baca.
  5. Meletakkan nombor bilangan hadith.[8]

Kemudian ia diikuti dengan muqaddimah daripada Imam Tibrizi yang menjelaskan sedikit sebanyak faktor-faktor yang mendorong penulisan kitab ini. Beliau seterusnya meletakkan hadith yang berkaitan dengan niat yang berbunyi :

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى[9]

sebagai hadis yang pertama sekalipun ia bukanlah merupakan yang pertama di dalam naskhah asal Masabih al-Sunnah.

            Mengenai penyusunan bab-bab di dalam kitab ini, Imam Tibrizi mengekalkan susunan yang dilakukan oleh Imam Baghawi. Ia dimulakan dengan kitab Iman diikuti dengan kitab ilmu, taharah, solat, janaiz, zakat, puasa, kelebihan al-Quran, doa, manasik, jual beli, faraid dan wasiat, nikah, ‘itq, sumpah dan nazar, qashash, hudud, imarah dan qadha’, jihad, buruan dan sembelihan, makanan, minuman, pakaian, perubatan, mimpi, adab, riqaq, fitan, hal ehwal kiamat, fadhilat dan akhir sekali manaqib.

          Secara keseluruhannya, Misykat al-Masabih ini mengandungi 30 kitab yang dipecahkan masing-masing kepada beberapa bab. Jumlah keseluruhan bab yang terdapat di dalam karya ini lebih kurang 350 buah bab. Manakala jumlah keseluruhan hadith di dalam karya ini ialah 6285 buah hadith.

 

Kelebihan Kitab

          Kitab ini boleh diibaratkan sebagai ringkasan kepada Sahih Bukhari di mana penyusunan isi kandungannya hampir sama dengan sahih tersebut. Apa yang membezakan di antara keduanya ialah bilangan hadis yang lebih banyak terdapat di dalam Sahih Bukhari dan juga taraf hadis. Pembaca kitab ini akan dapat menghayati tuntutan hidup seorang muslim berdasarkan sunnah Rasulullah SAW.

Selain dari itu, perbahasan dipecahkan kepada beberapa fasal mengikut orientasi isi kandungan hadith memudahkan pembaca membuat rujukan kepada mana-mana hadith yang dikehendaki.

 

Kelemahan

          Penulis iaitu Imam Imam Baghawi dan Imam Tibrizi ternyata tidak meletakkan hadith-hadith yang dianggap sahih sahaja di dalam kitab mereka. Ini menyebabkan bercampurnya hadith-hadith yang dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah dengan hadith-hadith yang sahih. Menurut Sheikh Nasiruddin al-Albani, jumlah hadith dhaif di dalam kitab ini ialah sebanyak 773 buah hadith dan hadith maudhu’ pula sebanyak 19 buah [10] Ini boleh menyebabkan pembaca yang tidak mempunyai asas ilmu hadith akan terpengaruh dan menjadikan sandaran mereka ke atas hadith-hadith yang lemah malah palsu.


[2] Ibid, j.1 hal 12

[3] Tempat ini terletak lebih kurang 5 hari perjalanan dari kampung asalnya

[4] Muhamad bin Husayn al-Zahabi (t.t) Siyar a’lam al-Nubala’, j.19, hal 441

[5] Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-‘Amri al-Tabrizi (2003), Misykat al-Masabih, tahkik : al-Syeikh Jamal ‘Ainaiya , Dar Kutub al-Ilmiah, Beirut, Lubnan, j.1, hal 10

[6] Penyusunan bab di dalam kitab ini mirip kepada penyusunan Imam Bukhari di dalam sahihnya.

[7] Ini dinyatakan sendiri oleh Imam Tabrizi di dalam mukaddimahnya.

[8] Metod-metod ini dijelaskan sendiri oleh pentahkik di dalam muqaddimahnya

[9] Hadith ini diriwayatkan hampir kesemua ulama hadis dan ia mencapai taraf sahih mutawatir.

[10] Merujuk kepada perisian Maktabah Syamilah