Maruah : Hak Yang Perlu Dijaga

Sehari dua ini heboh akhbar-akhbar harian menjaja berita keretakan rumah tangga artis ternama ekoran tangkapan khalwat pada minggu lepas. Malah hari ini pula Utusan Malaysia meletakkan gambar sepasang suami isteri tersebut sedang bertengkar di khalayak ramai. Bahkan dialog pertengkarannya ditulis satu persatu oleh wartawan akhbar terbabit. Mungkin pihak editor merasakan rakyat sudah muak dimomokkan dengan berita pencalonan parti politik tertentu yang kadang-kadang memualkan kerana hanya asyik berbicara soal perebutan kuasa dan persaingan pengaruh menjelang Mac 2009. Benar atau tidak demikian, hanya Allah yang Maha Mengetahui

 

Bagaimanapun, di dalam isu mendedahkan hal-hal rumahtangga individu lain yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan ummah seluruhnya ialah satu perkara yang ditegah di dalam Islam. Apatah lagi sekiranya ia benar-benar dapat menjatuhkan maruah individu terbabit. Meletakkan gambar sejengkal di muka hadapan akhbar tentulah menyebabkan maruah tercalar, bukan setakat individu, bahkan ia akan melibatkan keluarga, anak-anak, ibubapa, sanak saudara dan sebagainya. Akhbar hari ini tentunya akan dapat diulang baca sehingga bertahun-tahun lamanya. Tidakkah editor akhbar yang terlibat melakukan perkara ini tidak mempunyai lintasan hati terhadap perkara ini?

 

Menjaja maruah orang lain tanpa sebaranga alasan syar’i benar-benar merupakan satu dosa di dalam Islam. Sukakah pihak wartawan atau editor akhbar sekiranya cerita rumahtangga mereka dijaja sedemikian rupa? Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’, seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah SAW lalu bertanya, ”Apakah dia ghibah (mengumpat)?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, ”Kamu menyebut sesuatu mengenai seseorang yang dia benci sekiranya dia mendengarnya.” Lalu lelaki tersebut bertanya, ”Sekalipun sesuatu yang benar?” Jawab Rasulullah SAW, ”Sekiranya ia batil, ia telah menjadi fitnah.”

 

Sekiranya disenaraikan hadis-hadis yang melarang mengenai perkara ini sememangnya terlalu banyak. Bahkan ia menjadi satu perkara terlarang yang telah diketahui secara umum di dalam Islam. Namun, kenapakah saban hari akhbar masih lagi asyik untuk memburu kisah negatif tentang artis untuk dihidangkan kepada masyarakat. Mungkin jika akhbar-akhbar nyamuk yang berorientasikan hiburan melakukan perkara ini, satu benda yang agak munasabah walaupun ia tetap dilarang. Namun jika akhabr yang dianggap memperjuangkan agenda Melayu dan Islam pun ke hadapan, saya kira ia satu lagi bukti bahawa akhbar-akhbar harian di Malaysia hanyalah bertujuan memupuk minda rendah kelas ketiga. Justeru itulah, saya benar-benar hairan apabila timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Hanafi Mamat menyatakan semasa menutup Mesyuarat UMNO Bahagiannya, ” “Yang memperkasakan dan mempelopori bahasa Melayu adalah Utusan, sumber maklumat orang Melayu adalah Utusan, mempertahankan Islam adalah Utusan…” (rujuk di sini).

 

Saya kira sudah sampai masanya untuk akhbar-akhbar bersikap lebih profesional dalam menyalurkan berita. Editor-editor mungkin perlu lebih banyak belajar mengenai apa yang patut dan apa yang tidak di dalam menapis maklumat yang mahu disebarkan kepada umum. Bukanlah saya mahu mempertahankan artis-artis, tetapi mereka juga manusia yang mempunyai maruah untuk dijaga. Mungkin ia boleh dimaafkan jika pendedahan ini mempunyai manfaat untuk ummah dan merbahaya jika disembunyikan. Namun, jika hanya bertujuan komersial, sangatlah memalukan jika ia digelar sebagai akhbar yang mempertahankan Islam…

 

AHMAD FADHLI SHAARI

04 November 2008

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: