Kenapa Wadah Bangsa Juga Yang Diperbesarkan?

Walaupun saya di dalam banyak perkara mempunyai pandangan yang berbeza dengan Senator Datuk Zaid Ibrahim, namun di dalam isu Ketuanan Melayu yang disentuhnya kelmarin, saya kira ialah satu pandangan yang tepat. Beliau antara lainnya menyifatkan bahawa ketuanan Melayu ialah satu slogan yang telah gagal dan membuang masa. Menurutnya, “It has resulted in waste of crucial resources, energy and time and has distracted from the real issues confronting the country..”

 

Ucapannya yang dibuat di Persidangan LawAsia 2008 itu tentunya mengundang pelbagai persepsi dari banyak pihak. Saya tidak tahu apakah di sana adanya agenda tersembunyi atau tidak di sebalik kenyataan Zaid, namun secara asasnya, saya sependapat dengannya bahawa slogan Ketuanan Melayu ialah satu slogan yang gagal dan membuang masa.

 

Namun tentu sahaja pejuang-pejuang bangsa akan tampil ke depan mempertahankan talian hayat UMNO itu. Hari ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Zaid tersebut keterlaluan. “Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,” kata Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno. (kenyataan di sini) Demikianlah dahsyatnya penilaian sesetengah pihak terhadap isu ketuanan Melayu, mempertikaikan Ketuanan Melayu ertinya perlu bertaubat. Nampaknya pemimpin UMNO sudah mula menunjukkan kecelaruan di antara isu agama dan bangsa.  

 

Saya bukanlah anti-Melayu. Bahkan saya menyayangi bangsa ini kerana saya juga seorang Melayu. Mencintai tanah air dan bangsa bukanlah satu perkara yang dilarang di dalam Islam. Bahkan Nabi Ibrahim AS berdoa kepada Allah SWT agar memberkati bumi Makkah sebagai tanda cintanya kepada tanah itu. Sehingga Rasulullah SAW keberatan hatinya untuk meninggalkan bumi Makkah di dalam peristiwa hijrah membayangkan cinta mendalamnya kepada tanah tumpah darahnya. Walaupun di sana terdapat justifikasi yang menyatakan bahawa cinta itu kerana Makkah yang merupakan bumi haram, namun sekurang-kurangnya mencintai tanah air tetap tidak dilarang.

 

Bagaimanapun, menjadikan bangsa dan tanah air semata-mata sebagai matlamat ialah satu sikap yang tidak direstui oleh Islam. Jika semuanya bercakap soal ketuanan bangsa masing-masing, maka di atas dasar apakah nanti manusia akan bersatu? Lihatlah Bilal bin Rabah seorang habsyi berkulit hitam yang tinggi nilainya di hadapan Rasulullah SAW kerana ketaqwaannya. Salman al-Farisi yang jauh berkelana dari tanah farsi, asing di tengah-tengah bangsa Arab, namun tidak pernah dipinggirkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Sesungguhnya kemuliaan sesuatu bangsa bukan kerana darahnya, tetapi taqwanya kepada Allah SWT. UMNO sendiri pun yang mendakwa memperjuangkan Melayu sehingga hari ini masih gagal bahkan sering kali hanya bergelumang dengan retorik. Di tegah-tengah laungan hidup Melayu itulah, WPI di Johor tergadai kepada bangsa asing, Sains dan Matematik diajar di dalam bahasa Inggeris dan bangsa Melayu terus gagal menjuarai ekonomi di negera sendiri. Lalu, di manakah berjayanya slogan Ketuanan Melayu itu?

 

Zaid Ibrahim saya kira sudah mengeluarkan kenyataan yang rasional berkenaan isu ketuanan Melayu ini. Cuma tinggal lagi, alternatif terhadap ketuanan Melayu ini ialah ketuanan Islam. Manusia perlu diajak untuk bersatu di atas dasar yang mulia ini. Di sini, saya kira Zaid mungkin kurang bersetuju.

 

02 November 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: