Kenapa ISA Digunakan Secara Terpilih?

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terbukti sekali lagi disalahgunakan oleh pihak berkuasa apabila membuat penahanan terhadap tiga individu yang dikatakan mengancam sensitiviti kaum. Penahanan yang dibuat Jumaat lepas terhadap Raja Petra, YB Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dilihat sebagai tindakan terbaru UMNO/BN untuk menyambung talian hayat selepas dijangka terputus bila-bila masa sahaja dari sekarang.

 

Walau apa jua alasan sekalipun, ISA bukanlah satu akta yang baik. Penahanan tanpa sebarang bicara sehingga 60 hari dan sehingga 2 tahun ini adalah satu bentuk kekejaman yang sekaligus menafikan hak seseorang untuk dibicara. Berhubung dengan penahanan Raja Petra, kita sendiri sudah maklum mengenai laporan polis yang dibuat oleh JAKIM dan lain-lain agensi terhadapnya. Tidakkah lebih adil sekiranya dia didakwa di bawah undang-undang yang sedia ada, dihadapkan dan dibicarakan di mahkamah dengan adil seterusnya dijatuhkan hukuman sekiranya didapati bersalah? Kenapakah perlunya menggunakan ISA untuk seorang manusia yang tidak punya apa-apa senjata melainkan blognya yang kadang-kadang disekat aksesnya. Saya langsung tidak bersetuju dengan penulisan Raja Petra khususnya di dalam melibatkan isu tudung, namun menggunakan ISA adalah merupakan satu kezaliman dan menafikan haknya untuk diadili.

 

Keadaan yang sama juga berlaku kepada YB Teresa Kok. Sehingga hari ini, masih belum benarkah dakwaan bahawa dia mempertikaikan laungan azan? Di manakah kedudukan kes yang sebenar masih menjadi satu misteri kepada rakyat Malaysia. Apatah lagi apabila tersebar dakwaan bahawa petisyen yang diterima oleh Teresa hanyalah merupakan salinan daripada petisyen asal yang turut sama disokong oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum lagi!

 

Paling lucu sekali ialah apabila wartawan yang membuat laporan berkenaan kenyataan perkauman pun turut sama ditahan. Sedangkan di dalam masa yang sama Datuk Ahmad Ismail yang dikatakan membuat kenyataan tersebut langsung tidak disentuh oleh ISA. Dan Menteri Dalam Negeri selamba sahaja menjawab apabila ditanya oleh wartawan berhubung kedudukan Ahmad Ismail, ”Beliau sudah dihukum oleh UMNO dari memegang jawatan selama 3 tahun”!! Hebatnya, dihukum oleh UMNO sahaja bererti terlepas dari undang-undang yang lain? Kalau demikian, mana-mana pengedar dadah atau penyeludup yang menjadi ahli UMNO cukup dengan hanya dihukum oleh Lembaga Tatatertib UMNO dan mereka akan terlepas daripada tindakan undang-undang negara!

 

14 September 2008

3 Responses

  1. salam,apa khabr ust? hrp sht. ada masa ziarahilah blog ana utk mdptkn info2 dr acheh dan pjuangn umt Islam disini.slm ramadhan.

  2. salam..alhamdulillah,apa khabar pelajar2 kat sana. tima kasih bagi link blog..kalau ada blog kengkawan lain cakap la..nak tengok

  3. Ini undang2 rimba.. Law of the jungle.

    Kesian RPK. harap2 dia dpt menulis dari penjara.

Leave a comment