Kenapa Karpal Melatah?

 Dalam kesibukan dan belenggu masalah peribadi yang mencengkam, saya cuba untuk menulis sedikit mengenai perkembangan semasa sebagai satu ulasan dan pandangan di tengah-tengah gelombang badai politik yang agak kuat kebelakangan ini….

 

Cadangan dari YAB Tuan Guru Nik Aziz mudah sahaja. Tidak perlu kepada pemerhatian yang mendalam dan tidak berhajat kepada penyelidikan terperinci, mudah difahami tanpa lenggok bahasa yang memeningkan. Bubar sahaja PAS, bubar juga UMNO, kita tubuhkan parti baru yang berteraskan Islam. Mengejutkan, tapi tidak bagi mereka yang memahami dasar dan perjuangan PAS.

 

PAS hanyalah satu wadah. Apa yang menyebabkan perjuangannya mulia bukanlah kerana bulan purnama di benderanya, tidak juga pada jumlah kehadiran pendengar di setiap majlis ceramahnya. Apa yang menyebabkan perjuangan ini mulia ialah Islam sebagai dasar. Tanpa Islam, sama sekali tidak berharga perjuangan ini sekalipun ada pendokong dan pemegang jawatan sibuk menukar kenderaan baru saban bulan!

 

Apa yang menyebabkan Karpal Singh melatah apabila YAB Tuan Guru Nik Aziz bercakap soal perpaduan umat Islam? Adakah dengan bersatunya umat Islam, Karpal akan terancam? Atau apakah reaksi yang ditunjukkan oleh Karpal ini hanyalah satu respon dari dirinya sahaja dan tidak mewakili DAP secara keseluruhannya. Tetapi kerana yang mengeluarkan kenyataan tersebut ialah Karpal Singh, maka ia disalah tanggap mewakili keseluruhan anggota DAP?

 

Karpal atau sesiapa sahaja perlulah sentiasa ingat bahawa penyatuan umat Islam tidak pernah menjadi ancaman kepada sesiapa. Tambahan pula syarat yang dikenakan Nik Aziz tentunya sangat berat untuk dipatuhi oleh UMNO. Karpal pun sedia maklum bahawa UMNO ialah parti sekular yang amat mustahil menerima Islam sebagai dasar.

 

Kalau bagi Karpal, kekuatan PAS menjadi ancaman kepada bukan Islam, maka buktikanlah di sudut mana dasar kerajaan Kelantan pada hari ini menzalimi masyarakat bukan Islam? Bukan 18 hari atau 18 bulan, tetapi sudah 18 tahun kerajaan ini berdiri di atas dasar Membangun Bersama Islam, maka tunjukkanlah barang sekelumit apa yang difahami sebagai kezaliman. Tentu sekali Karpal akan teraba-raba bahkan tidak akan sekalipun menjumpainya!

 

Itulah dia Islam. Dan itulah dasar PAS. Dasar inilah yang tidak pernah menghalang PAS untuk duduk semeja dengan UMNO sebagaimana PAS duduk semeja dengan DAP. Sepatutnya inilah yang lebih memberikan keyakinan kepada Karpal terhadap keteguhan PAS dalam mempertahankan prinsipnya. Lihatlah di Selangor, sekalipun PAS ditawarkan jaweatan Menteri Besar sekalipun oleh Khir Toyo, tidaklah pimpinan PAS gelap mata. Hakikatnya, PAS terus bersama PKR dan DAP sekalipun tidak mendapat jawatan Menteri Besar.

 

Rasanya, kalau Karpal terus bersikap anti yang melampau terhadap penyatuan, maka dibimbangi Karpal sendiri menjadi tidak relevan nanti!

Leave a comment