TELAH BERLALU 47 TAHUN, KE ARAH MANA KITA?

Suatu petang, saya minum teh di sebuah kedai makan dalam bandar Kota Bharu. Kanan saya ialah sepasang kekasih sedang minum bersama. Anak muda yang sedang bercinta seringkali tidak hiraukan keadaan sekeliling. Lelaki umurnya sekitar 20 tahun memakai baju t-shirt dan bertopi manakala perempuan dalam lingkungan umur yang sama memakai tudung tiga segi dan berseluar jean. Sekadar menunggu untuk menjemput isteri yang baru pulang mengajar, saya cuba mengambil masa untuk duduk lebih lama.

Rancak sekarang di bulan Ogos kemeriahan sambutan ulang tahun hari kemerdekaan. Sekalipun masih berbaki 20 hari lagi, lagu-lagu patriotik sudahpun menjadi rutin di dalam siaran radio. Saya paling meminati lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Tanpa sebarang retorik cinta monyet dan lawak bodoh, saya seringkali memutarkan volume apabila kedengaran lagu tersebut di dalam kereta.

Dari sini, saya dapat melihat kedai-kedai mula dihiasi (sekalipun mungkin secara paksa) dengan Jalur Gemilang. Kempen kibarkan Jalur Gemilang semakin bersemarak di seluruh negara. Lagipun, Dato’ Kadir Sheikh Fadzil khabarnya sedang bersiap sedia untuk mengamuk andainya kempen ini tidak berjaya.

Hari ini, kemerdekaan jauh bezanya dengan 47 tahun yang lampau. Dua anak muda di sebelah saya mungkin tidak lagi merasai lagi perit maungnya perjuangan generasi dahulu mengangkat senjata mendambakan perjuangan. Malah saya sendiri, generasi pasca kemerdekaan, lahir selepas dua dekad Malaysia bebas merdeka, tentunya sama sekali tidak pernah merasai pahitnya ubi kayu di zaman pemerintahan Jepun. Namun, pembacaan dan penceritaan generasi dulu membuka mata kita bahawa bumi yang kita huni ini bukan percuma kedamaiannya.

Meninggalkan abad 20 membuka satu ruang baru bagi kita di Malaysia. Kita bukan lagi di zaman darurat untuk berlindung dari keganasan Bintang Tiga. Jepun dan Inggeris sudah tidak menjadi ancaman keselamatan untuk kita lari menyembunyikan diri. Malah generasi yang pernah merasai kepedihan di bawah pemerintahan penjajah kebanyakannya kini sudah berada dalam lingkungan usia emas. Generasi yang berada dalam arus perdana pada hari ini ialah yang lahir selepas kemerdekaan. Dalam erti kata lain, acuan kita 20-40 tahun yang lepas, hasilnya sudah kelihatan pada hari ini.

Selepas merdeka, dasar-dasar yang diperkenalkan mula membuahkan hasilnya. Maka sekarang ialah masanya untuk menyemak kembali sudahkah kita berjaya membentuk generasi yang benar-benar merdeka? Atau sekadar kita memperkenalkan perjuangan kemerdekaan sebagai catatan sejarah lantas menyamatarafkan sejarah kemerdekaan seperti kewujudan dinosaur yang langsung tiada nilainya?

Hari ini, penjajah sudahpun pergi. Inggeris, Jepun dan Bintang Tiga tidak lagi menjadi ancaman kepada kita. Namun, bagaimana pula dengan kebangkitan budaya hiburan? Bagaimana pula dengan amalan demokrasi? Pencapaian ekonomi orang Melayu selepas 20 tahun Dasar Ekonomi Baru bagaimana? Apa pula khabarnya dengan indeks jenayah? Semuanya adalah kayu ukur kepada kemerdekaan.

Hanya tiga minggu saya bermukim di bumi Malaysia ini sudah memperlihatkan kepada saya betapa runtuhnya nilai-nilai murni yang ingin dibina dalam diri generasi muda. Betapa anak-anak muda sudah terlalu jarang yang mengalir dalam darahnya kecintaan kepada tanah air, apatah lagi kesanggupan untuk bekerja dan berkorban demi agama! Anak-anak muda dihanyutkan dengan Akademi Fantasia, Malaysia Idol, Who Will Win dan entah berapa lagi rancangan berbentuk hiburan. Bagi yang sudah lama bermastautin di perlembahan Nil tentunya tidak mengetahui budaya baru dalam dunia hiburan di tanah air. Program berbentuk pertandingan bertujuan mencari dan membentuk generasi tunas bagi menyemarakkan dunia hiburan (bukan untuk bekerja demi agama dan negara) semakin mendapat sambutan. Malah setiap kali terdapat peserta yang diundi keluar dari saingan, penonton-penonton rela menitiskan air mata kesedihan dan meraung bagaikan histeria! Saya kadang-kadang termenung, sanggupkah mereka menangis begitu apabila melihat saudara seagama terseksa di Penjara Abu Gharib? Atau apabila mengenang semula pejuang-pejuang yang gugur demi sebuah kebebasan?

Mufti-mufti kadang-kadang bersuara juga. Karnival dan program yang dianggap melalaikan diisytiharkan sebagai haram. Namun, ‘orang-orang tua yang memegang amanah’ pula yang melenting. Mufti-mufti diserang dam nasihat mereka dikesampingkan. Bagaimana anak-anak muda tidak naik lemak andainya pemimpin sendiri bersuara membela mereka? Apakah harganya jawatan mufti andainya pandangan yang mereka utarakan tidak diambil kira? Saya berani mengatakan, tiada bezanya harga mufti di zaman penjajah dengan zaman kita sekarang ini.

Jenayah pula dilaporkan semakin meningkat. Pembunuhan demi pembunuhan yang dilaporkan dan disensasikan secara tidak langsung mendedahkan kepada kita kepincangan moral yang sedang melanda generasi pasca merdeka. Perbicaraan kes bunuh seorang peragawati sambilan baru-baru ini menceritakan secara terperinci bagaimana hubungan seks rambang tidak lagi dianggap sebagai perkara yang pelik. Seorang wanita Islam boleh saja menjalinkan hubungan dengan beberapa orang lelaki pada satu malam di negara kita. Masih di zaman penjajahkah pegawai-pegawai Jabatan Agama kita? Bagaimana pula dengan kes perbicaraan seorang bekas pramugara yang dilaporkan merakam video lucah? Inikah gaya hidup masyarakat Malaysia di zaman Islam Hadhari?

Saya juga tidak lupa dakwaan seorang pemimpin yang dikatakan pro kerajaan bahawa di Lembah Klang terdapat sekitar 13,000 gadis Kelantan berkhidmat sebagai GRO di kelab-kelab malam. Katakan saja dakwaan itu benar, lalu berapakah jumlah sebenarnya kelab malam di Lembah Klang? Berapa pula jumlah pelanggannya? Dakwaan yang seterusnya diperbesarkan oleh media arus perdana itu hingga kini gagal dibuktikan. Kalaulah dakwaan itu benar, saya malu menjadi rakyat Kelantan, namun saya lebih malu menjadi penduduk Lembah Klang!

Akhbar hari ini (10 Ogos 2004) menyiarkan pula beberapa kelemahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu dibaiki. Setelah 47 tahun merdeka, ternyata kita masih gagal meletakkan perkhidmatan PDRM berada di tempat terbaik. Satu suruhanjaya terpaksa ditubuhkan bagi meningkatkan taraf perkhidmatan PDRM.

Kegagalan kita masih banyak untuk diperkatakan. Ya, kita telah berjaya membina Malaysia yang makmur merdeka. Kita tidak diancam oleh bencana yang besar, namun siapakah yang boleh memberikan jaminan bahawa bumi ini masih selamat untuk didiami sekurang-kurangnya 50 tahun dari sekarang? Generasi asuhan Akademi Fantasia hari ini akan menjadi pemimpin 30 tahun akan datang, ke arah manakah negara kita nanti?

Saya sudah lewat untuk menjemput isteri saya, namun kita masih belum terlewat membaiki keadaan. Sementara sepasang kekasih di sebelah saya masih rancak berbual, saya dan anda perlu bangun. Pakcik, kira, roti canai dan teh ais!

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

10 OGOS 2004