Takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)

Advertisements

Usrah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Usrah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

2 Julai 2009, Manek Urai

Naqib : al-Fadhil Ustaz Ismail bin Nuh, YDP PAS Kawasan Pasir Mas

usrah020709

  • Anak-anak muda di dalam perjuangan pada hari ini  ialah penerus kepada perjuangan yang diwarisi oleh para ulama terdahulu.
  • Nabi Muhammad SAW semasa menyebut berkenaan tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah SWT pada hari kiamat, menyatakan golongan yang kedua ialah pemuda yang membesar dalam ibadat kepada Allah SWT. Ini menunjukkan kemuliaan pemuda yang berkhidmat untuk ubudiyyah demi Allah SWT.
  • Kita perlu cari pemuda-pemuda untuk meneruskan perjuangan ini bukan hanya menunggu pemuda-pemuda datang kepada kita. Usaha ini perlu diteruskan ke seluruh dunia agar tidak nanti mereka ini berjaya direbut oleh musuh-musuh terlebih dahulu.
  • Ketika al-fadhil Ustaz pulang ke tanah air tahun 80-an, ramai rakan-rakan yang turut sama di dalam perjuangan ini. Ada yang telah meninggal dunia dalam perjuangan dan ramai di kalangan mereka yang telah berundur dari perjuangan ini. Tidak kurang juga yang menyertai musuh untuk turut sama melawan perjuangan ini.
  • Dalam perjuangan kita berparti, benar-benar kita seperti berada di atas jalan raya. Ada ketikanya kita berjumpa lorong yang sempit, kadang-kadang kita dirempuh dari belakang, ada juga ketikanya orang yang kita turuti tiba-tiba membrek (berhenti) tanpa isyarat. Tetapi tugas kita ialah meneruskan perjalanan ini.
  • Perjuangan ini adalah satu perjuangan yang tidak senang. Jika sekiranya ia satu perjuangan yang mudah, nescaya ia akan diterima oleh kebanyakan manusia.
  • Samada kita merasakan susah atau mudah, hendaklah dengan ikhlas perlu untuk kita teruskan perjalanan ini.
  • Kalaulah tidak kerana pahala Allah SWT, nescaya tidak sampai kita ke tahap ini.

Semoga dengan tarbiyah yang berterusan, akan lahir generasi pemuda yang sentiasa thabat dan istiqomah di atas landasan perjuangan ini, insya-allah.

Salam Aidiladha

SELAMAT MENYAMBUT EID ADHA 1429H KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. SEMOGA PENGORBANAN KITA DITERIMA OLEH ALLAH

BUAT TETAMU-TETAMU ALLAH DI BUMI HARAM, HAJJAM MABRUR WA SA’YAM MASYKUR

Kami Akan Teruskan Peperangan Ini…

Kami akan meneruskan peperangan bersama mereka

Kami semua akan terus melawan mereka

Kami akan mengembalikan hak yang telah tercabul

Dengan segala kekuatan, kami akan menentang mereka

 

Dengan bersenjatakann hak yang telah dinafikan,

Kami akan membebaskan bumi itu agar merdeka,

Kami akan mengembalikan kesucian kepada al-Quds,

Selepas segala kehinaan dan keaiban

 

Kami akan meneruskan penghancuran mereka

Dengan segenap tenaga kita mengekang mereka

Membersihkan segala keaiban dengan tangan-tangan kita

Dengan sepenuh kekuatan kita melawan mereka

 

Tidak akan kita redha seinci tanah terjajah

Tidak akan kita tinggalkan selangkah tanah yang terhina

Bumi akan bergegar menghancurkan mereka

Menjadi gunung berapi yang akan membakar mereka…

 

ALLAHU AKBAR!

Kelebihan 10 Hari Pertama di Bulan Zulhijjah

Sepuluh hari yang pertama di bulam Zulhijjah jarang-jarang sekali diperkatakan mengenai kelebihannya. Sedangkan tempoh ini mempunyai nilai yang sangat besar kemuliannya berbanding dengan masa-masa yang lain. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Fajr, ayat 1-3 :

وَالْفَجْرِ . وَلَيَالٍ عَشْرٍ . وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ

yang bermaksud : Demi fajar,  Dan malam yang sepuluh, Dan yang genap dan yang ganjil

 

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil tersebut ialah hari arafah.

 

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Nabi SAW telah bersabda :

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام (يعني العشر)، قالوا: “يا رسول الله، ولا الجهاد في سبيل الله؟” قال -صلى الله عليه وسلم-: “ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء”.

Yang bermaksud :

Tidak ada amalan soleh yang lebih disukai oleh Allah SWT lebih daripada (amalan) pada hari-hari ini (iaitu sepuluh hari bulan zulhijjah). Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, sekalipun dengan jihad di jalan Allah?”. Rasulullah SAW menjawab, ”Sekalipun dengan jihad. Kecuali jika seseorang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak kembali lagi (mati syahid)”

 

Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah ini sehingga tidah dapat ditandingi oleh mana-mana amalan pun kecuali mati syahid.

 

Manakala kelebihan hari arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah SAW ketika menafsirkan ayat ke 3 dari Surah al-Buruj :

الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ

Yang bermaksud : Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat. (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

 

Di dalam hadis yang lain, baginda SAW bersabda :

أفضل الأيام يوم عرفة

Yang bermaksud : Sebaik-baik hari ialah hari arafah (Riwayat Ibnu Hibban di dalam sahihnya)

 

Di dalam hadis yang lain pula, sabda baginda SAW lagi :

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Yang bermaksud : Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SAW akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari arafah. (Riwayat Muslim)

 

Bagaimana beribadat pada 10 Hari Pertama Zulhijjah Ini?

 

Di antara ibadat yang boleh diperbanyakkan pada tempoh ini ialah puasa sunat khususnya pada hari wukuf di arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Yang bermaksud : Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang (Riwayat Muslim)

 

Selain itu, seseorang muslim digalakkan untuk memperbanyakkan zikir, bacaan al-Quran, qiyam dan sebagainya untuk mendapatkan ganjaran sebanyak mungkin di dalam tempoh yang amat berharga ini.

 

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

29 November 2008

 

Jalan Sejahtera Menuju Ke Syurga (Bahagian I)

Jika kelmarin posting saya berkaitan dengan pendorong ke neraka, hari ini marilah pula merenungi nas-nas daripada al-Quran dan Hadis yang menyatakan amalan-amalan yang boleh memasukkan seseorang ke dalam syurga. Hakikatnya, jalan ke syurga sebenarnya jauh lebih luas daripada lorong-lorong ke neraka. Apa yang disenaraikan ini hanyalah sebahagian kecil dari lautan luas rahmat Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Bahkan Nabi SAW sendiri pernah bersabda :

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلاَّ مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

 

yang bermaksud : Semua umatku akan memasuki syurga kecuali sesiapa yang enggan. Para sahabat bertanya, “Siapakah yang enggan?” Rasulullah SAW menjawab, “Sesiapa yang mentaatiku memasuki syurga, sesiapa yang tidak mentaatiku, maka dialah yang enggan. (Hadis riwayat Bukhari, al-Nasa’I dan Ahmad)

  Continue reading

Pembuka Lorong Kepada Neraka

Allah SWT mengingatkan mengenai kejayaan sebenar seorang hamba iaitu apabila ia telah selamat dari azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ (185)

Yang bermaksud : 185.  Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran, ayat 185)

 

Ayat ini jelas menyatakan bahawa kejayaan yang sebenar bukanlah apabila seseorang itu mendapat harta yang bertimbun-timbun, tidak juga apabila memenangi pilihan raya, dan apa jua kemegahan yang manusia dambakan di dunia. Tetapi kejayaan yang sebenar ialah apabila manusia dapat menyelamatkan diri daripada api neraka dan sekali gus melayakkan diri untuk menghuni syurga Allah SWT. Inilah kejayaan yang besar. Sesungguhnya kejayaan inilah yang benar-benar didambakan oleh manusia apabila tibanya mereka di hadapan Allah SWT.

Continue reading