Debat : Dimensi Baru Politik Malaysia

 

Baru berlangsung sekejap tadi Debat anjuran Agendadaily.Com di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Datuk Shabery Chik. Debat yang bertajuk Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak itu saya yakin ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia yang mungkin rindukan kehadiran wajah Anwar di kaca televisyen setelah 10 tahun berada di luar kerajaan.

 

Apapun natijah daripada debat tersebut, ternyata ia satu perkembangan yang baik di dalam politik Malaysia. Seingat saya, inilah kali pertama debat seumpama ini diadakan secara langsung di hadapan khalayak dan disiarkan di dalam media arus perdana. Rakyat khususnya akan dapat menilai tahap intelektual pemimpin yang dilantik khususnya di dalam mempertahankan pendirian masing-masing.

 

Bagi saya, Anwar telah berjaya mengemukakan teori turun minyak dengan angka-angka yang munasabah sekaligus mengenepikan usikan Shabery terhadap peribadi Anwar. Kekangan Shabery selaku Menteri Penerangan dalam kabinet Pak Lah memestikannya mempertahankan langkah kerajaan dalam apa jua keadaan sekalipun. Senario ini mungkin menyebabkannya agak tersasar dari persoalan yang diutarakan, namun boleh diakui bahawa beliau merupakan seorang ahli komunikasi yang tidak kurang hebatnya.

 

Apapun, syabas buat Anwar dan tahniah kepada Shabery di atas keberanian menghadiri program seperti ini. Semoga debat ini menjadi satu satu noktah mula kepada anjakan baru paradigma politik khususnya buat rakyat yang sudah muak menerima bahan media yang terlampau berpihak. Cuma, alangkah baiknya kalau debat ini diadakan antara Anwar dan Abdullah Badawi, tentu melepasi rating Euro2008!

10.30 pm

15 Julai 2008

 

 

Pemimpin Perlu Bersih dan Dilihat Bersih

Perkahwinan dan perceraian bukanlah satu perkara yang dihalang di dalam Islam. Sebagaimana Islam menggariskan panduan di dalam mendirikan rumah tangga, perceraian juga dibenarkan dengan garis panduannya yang jelas di dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri membenarkan permohonan cerai yang ‘difail’kan oleh seorang wanita iaitu isteri kepada Thabit bin Qais yang apabila datang bertemu dengan baginda lalu menyatakan, “Wahai Rasulullah, Thabit bin Qais tidaklah dapat aku mengktirik agama dan akhlaknya, tetapi aku bimbangkan kekufuran di dalam Islam (tidak mampu mentaati kerana tidak menyintainya)”. Lalu Rasulullah SAW bertanya, “Adakah kamu boleh mengembalikan kebun (yang menjadi maskahwin)?” Wanita itu menjawab, “Ya.”  Mendengar jawapan tersebut, Rasulullah SAW menyatakan kepada Thabit, “Terimalah kebun itu dan ceraikanlah ia dengan satu talak”. (Diriwayatkan oleh Bukhari, Nasai dan Ibnu Majah)

          Betapa indahnya akhlak wanita tersebut yang walaupun di dalam keadaan tidak lagi menyintai suaminya dan berkehendakkan cerai, masih tidak membawa cerita-cerita buruk tentang suaminya. Dijaga maruah suami bahkan diberikan pujian pula di hadapan Rasulullah SAW. Namun, Rasulullah SAW tetap mengizinkan cerai kerana hubungan yang tiada lagi rasa cinta sebenarnya sudah tidak membawa apa-apa makna lagi.

          Perceraian merupakan perkara yang dibolehkan. Walaupun ia merupakan perkara halal yang paling dibenci oleh Allah (hadis riwayat Abu Daud), namun ia tetap merupakan penyelesaian yang dibenarkan di dalam Islam. Namun, apabila ia disensasikan dengan beberapa unsur-unsur lain, jadilah ia buah mulut yang akhirnya boleh menjatuhkan aib seseorang.

          Hari ini apabila heboh cerita seorang ADUN di Kelantan menceraikan isteri keduanya, seolah-olah ia satu perkara yang pelik. Pelik sangatkah sebuah perceraian yang tidaklah merupakan satu kesalahan jika dibandingkan dengan kes kahwin lari seorang anak raja melibatkan tokoh UMNO di Selangor satu ketika dulu. Itu pun, apabila bercerai khabarnya melibatkan pampasan berjuta-juta ringgit!

          Tidaklah pelik cerita perceraian ADUN ini, tetapi dalam masyarakat, ia menjadi satu perkara sensitif. Ditambah pula apabila akhbar mengwar-warkan kisah perkahwinan yang menggunakan sijil palsu, ia amatlah dikesali jika melibatkan pimpinan sebuah parti Islam. Secara adilnya, tidak wajar menjatuhkan apa-apa hukuman sebelum jelas butiran kes ini kepada masyarakat. Namun, realititnya, masyarakat akan cepat membuat label terhadap sesuatu hanya berdasarkan keapda first impression.

          Perlulah diingat, antara dua perkara ; fakta dan tanggapan, kedua-duanya punya pengaruh yang besar dalam masyarakat. Apabila melibatkan insan bernama pemimpin, kedua-duanya perlu untuk dijaga. Penggunaan sijil palsu (sekalipun belum dibuktikan) yang dilaporkan oleh akhbar boleh menjejaskan dengan teruk imej pimpinan parti di mata masyarakat. Jangan diberikan peluru kepada musuh untuk menembak kepala kita.

          Dalam hal ini, pemimpin tidak cukup hanya seorang yang bersih, tetapi ia harus dilihat sebagai seorang bersih.

 

3 Julai 2008