Tok Guru Lawat Warga Emas Kurang Pendengaran

sh050709-2

MANEK URAI – Biar pun mengahadapi masalah pendegaran, seorang warga emas dari Kampung Sungai Rek, dekat sini, Raja Omar Raja Puteh, 78, tidak boleh ‘duduk diam’ dan masih keluar menorah, pekerjaan yang telah dilakukannya sejak usia muda.

Anak ketiga Raja Omar, Nik Wil, 47 berkata, walaupun pernah beberapa kali dia melarang ayahnya daripada keluar menorah kerana bimbang keselamatannya ketika menaiki motosikal untuk ke kebun, namun ayahnya tetap berkeras meneruskan rutin harian itu.

“Risau juga bila dia naik motosikal untuk ke kebun sebab bahaya takut-takut nanti kalau ada orang bunyikan hon, dia tak dengar. Tapi kalau larang, kita pula kena marah.

“Sebab itu, saya minta isteri saya (Samsiah Daud, 43) temankan dia pergi menorah. Lagipun isteri saya sudah biasa kerana hari-hari duduk mengasuh dia,” kata Nik Wil ketika ditemui di rumah ayahnya di Kampung Sungai Rek, di sini, semalam.

Nik Wil berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat Raja Omar sekeluarga.

Nik Abdul Aziz yang temani Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman sempat bertanyakan khabar dan berbual mengenai keadaan kesihatan Raja Omar serta menyatakan sumbangan peribadi kepda warga emas itu.

Turut sama pada lawatan itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Md Ramli dan calon Pas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Nik Wil berkata, ayahnya yang kini tinggal bersama ibunya, Mek Minah Ali, 72, mula menghadapi masalah pendengaran sejak lebih 10 tahun lalu dan semenjak itu mereka yang bercakap dengannya mesti meninggikan suara.

Menurutnya, walaupun ayahnya menggunakan alat pendengaran yang bernilai lebih RM1000 bagi mengatasi masalah itu, namun dia tetap hanya boleh mendengar nada suara tinggi.

Katanya, biar pun dia dan empat adik-beradik yang lain tidak tinggal bersama dengan ayah dan ibu mereka, kedudukan rumah masing-masing yang terletak di kampong sama memudahkan mereka menjaga kedua-duanya.


Sumber : Sinar Harian edisi Kelantan, 5 Julai 2009

Kerajaan Negeri Bantu Belia Kembangkan Perniagaan

sh050709-1

MANEK URAI – Kemeriahan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai digunakan sebaik mungkin oleh Kerajaan Negeri dengan tampil menghulurkan bantuan kepada peniaga di DUN itu terutama belia bagi perniagaan mereka.

Bantuan di bawah Program Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan itu disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri (ADUN) Kota Lama, Datuk Anuar Tan.

Pegawai Khas Anuar, Wan Azimin Wan Adnan berkata, bantuan berupa kemudahan dan peralatan perniagaan itu diharap dapat membantu perniaga kecil terbabit menambah pendapatan sepanjang musim pilihan raya kecil berkenaan.

Menurutnya, selain mengembangkan perniagaan sedia ada, bantuan juga memberi peluang kepada peniaga berkenaan membuka cabang niaga baru yang boleh terus diusahakan walaupun selepa musim pilihan raya kecil itu berakhir.

“Selain bantuan seperti mesin ait batu campur, kita juga mengagihkan khemah yang sudah ada pengalaman berniaga khususnya belia bagi membolehkan mereka membuka gerai di tepi-tepi jalan.

“Setakat ini kita telah agihkan sebanyak 10 khemah yang kebanyakannya sudah mula beroperasi dan kita harap peneriama bantuan ini tidak akan berniaga hanya pada musim pilihan raya kecil ini sahaja tetapi sampai  bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis penyerahan sumbangan mesin pengisar ais kepada seorang belia, Wan Mohamad Izaki Wan Ahmad, 26, di Kampung Peria, dekat sini, semalam.

Hadir sama Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai yang juga Pengetua Sekolah Menengah Ugama Arab As-Shukuriah Bukit Sireh, Mahadi Mat Zain.

Sementara itu, Wan Mohd Izaki yang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak berkenaan atas sumbangan itu berkata, dia berhasrat membuka perniagaan membual air batu campur secepat mungkin.

Menurutnya, walaupun masih muda dan ‘mentah’ dalam selok-belok perniagaan, sumbangan itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap belia seperti dirinya yang terlibat dalam bidang itu.

Katanya, dia bercadang membuka perniagaan itu dihadapan kedai makan milik ibu bapanya di Kampung Peria, dekat sini, yang menjadi tempat dia bekerja sejak dua tahun lalu.

Sumber : Sinar Harian, 05 Julai 2009

Bila Ibrahim Ali Mahu Isytihar Masuk UMNO?

utusan050709

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pada hakikatnya sudah merupakan ahli UMNO. Status sebagai ’bebas’ yang dipakai sebenarnya hanyalah tiket untuk menyeberang sedikit demi sedikit ke arah UMNO. Masakan tidak, Manek Urai yang langsung tiada kaitan dengan Pasir Mas pun dijelalahi oleh Ibrahim untuk berkempen memburuk-burukkan parti yang meminjamkan lambang bulan kepadanya.

Lihatlah hari ini Mingguan Malaysia 5 Julai 2009 yang memaparkan kempen Ibrahim di Manek Urai yang menyerang Menteri Besar Kelantan. Katanya, kenyataan Nik Aziz yang mempelawa Perdana Menteri berdebat hanyalah untuk menutup kesilapannya dalam isu kerajaan perpaduan.

Ibrahim samada baru tersedar dari tidur atau masih lagi tidur. Ini kerana umum mengetahui bahawa cadangan debat timbul ekoran laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO di bawah pimpinan Anuar Safian. Ini berikutan kenyataan Nik Aziz yang membuat perumpamaan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan komunis. Nik Aziz mempunyai hujahnya sendiri, dan hujah inilah yang mahu didengar dalam medan debat. Apakah yang menjadi masalah sangat hendak berdebat dengan Nik Aziz? Bukankah selama ini media massa yang dimiliki UMNO/BN sering menghentam Nik Aziz siang dan malam tanpa henti? Takut sangatkah ingin mendengar hujah balas?

Ibrahim berkata, PAS perlu berdebat dulu dengan DAP kerana DAP menolak Islam. Ibrahim lupakah bahawa jalinan PAS dengan DAP masih baru dan muda. Jahil sangatkah Ibrahim untuk mengkaji sejarah bagaimana jalinan persahabatan UMNO dengan parti komponen BN sudah terjalin setengah abad, tetapi sudahkah mereka menerima Islam. Bukan sahaja mereka tidak menerima Islam, bahkan UMNO sendiri pun sudah menjadi sama dengan mereka! Lihat di sini pendirian parti Gerakan sebagai contoh di dalam isu cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan isu hudud.

Saya cadangkan, Ibrahim isytiharkanlah cepat-cepat masuk UMNO. Rakyat Pasir Mas menunggu hari sahaja untuk menghukum Ibrahim dalam pilihanraya umum nanti. Itupun kalau Ibrahim boleh menjadi calon UMNO. Kalau tidak, nampaknya berteduh sekali lagilah Ibrahim di bawah lambang payung….