Pelawaan Rasmi Kepada Saudara Affendi Yusof Untuk Berdebat

surat untuk afendi

Assalamualaikum wmt. wbr.

Kepada,

Sdr.  Mohd Affendi Yusof,

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

PT 72, Seksyen 46,

Kampung Dusun Raja

16400 Kota Bharu, Kelantan.


Tuan,

PELAWAAN MENYERTAI DEBAT DENGAN WAKIL DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PASIR MAS (DPPKPM)

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Pihak kami dengan ini merujuk kepada kenyataan tuan di dalam akhbar Sinar Harian, 29 Jun 2009 dan Berita Harian, 30 Jun 2009 yang menyarankan agar YAB Menteri Besar Kelantan memasuki debat pra-kelayakan dengan Pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum berdebat dengan YAB Perdana Menteri. Kenyataan tersebut juga disiarkan di laman web Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di alamat : http://www.pemudaumno.org.my

Sehubungan dengan itu, pihak kami berbesar hati untuk menjemput tuan agar dapat berdebat secara terbuka dengan wakil kami iaitu naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari di atas isu agama dan politik khususnya melibatkan pertembungan di antara UMNO dan PAS.

Jika pihak tuan bersetuju, tarikh, tempat dan kaedah perdebatan boleh ditentukan selepas ini.  Kami boleh dihubungi di alamat di atas atau talian terus 019-9070868.

Segala kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan, kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Sekian, wassalam.

“ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN”

Dengan hormatnya,

( MOHD SUAZHAR BIN ABDULLAH )

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas.

S.k  :  Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Kenyataan Rasmi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat : Menafikan Laporan Kerjasama dengan UMNO

1. Saya menafikan laporan yang dibuat secara salah dari kenyataan dan maksud Dewan Pemuda PAS Pusat sewaktu menyerahkan surat rasmi meminta Pergerakan Pemuda UMNO mengadakan ” Wacana Ilmiah secara Terbuka atas isu : Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan dengan Islam ” . sebagai menubuhkan sekteriat untuk bekerjasama dengan UMNO .

2. Terdapat laporan dan salah faham berkait dengan tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat mengajak Pergerakan Pemuda UMNO untuk mengadakan wacana Ilmiah secara terbuka .

3. Wacana Ilmiah ini satu mekanisme untuk berhujjah seperti debat [ mujadalah ] dan muzakarah . Apa yang penting ialah Pemuda PAS Pusat mahu menyediakan medan dan ruang untuk berhujjah dan tentunya hujjah kita ialah untuk mencari kebenaran berpaksi kepada al Quran dan Sunnah .

4. Wacana Ilmiah lebih kepada satu mekanisme untuk mempertemukan dua pihak dan saling berhujjah secara terbuka untuk mencari kebenaran . Semua mesti tunduk kepada kebenaran dan tiada siapa yang boleh lari dan mengelak diri dari kebenaran dan tentunya yang benar itu ialah apabila ia selaras dengan al quran dan sunnah .

5. Apabila Pemuda UMNO membuat report polis terhadap kenyataan atau dakwaan Al Mursyidul Am yang mengatakan UMNO sesat ertinya UMNO tidak setuju mereka dilabelkan sebagai sesat . Maka Pemuda PAS Pusat menganjurkan wacana Ilmiah sebagai satu medan dan mekanisme untuk berhujjah bagi mencari kebenaran .

6. Laporan yang mengatakan Dewan Pemuda PAS Pusat akan mmenubuhkan seketeriat bagi mengadakan kerjasama dengan Pergerakan Pemuda UMNO adalah laporan yang salah dan tidak benar .

Sekian

Nasrudin bin Hj. Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .

dipetik dari : http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/07/menafikan-laporan-kerjasama-dengan-umno.html

Pemuda Luar Diminta Turut Kempen

SH010709-4

Manek Urai – Golongan muda penyokong PAS di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai diharap dapat turut memberikan sokongan dan kerjasaman kepada jentera parti bagi menghadapi pilihan raya keci DUN itu pada 14 Julai ini.

Yang diPertua  PAS Kawasan Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul rahman berkatam walaupun tidak mengundi pada pilihan raya kecil itu nanti, golongan berkenaan masih boleh memainkan peranan penting membantu jentera parti dan rakan-rakan mereka di Manek Urai.

“Walaupun sebagai orang luar dan tidak boleh mengundi, tetapi saya harap pemuda dari DUN lain dapat turut serta membantu jentera dan kempen parti terutama dalam usaha menarik sokongan pengundi muda,” katanya.

Abdul Latiff yang juda Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Bakat Baru DUN Manek Urai anjuran Pemuda PAS Lepan Kabu, dekat sini semalam.

Hadir sama Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan, Wan Azimin Wan Adnan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai,  Mahadi Mat Zain dan Ketua Pemuda PAS Cawangan Lepan Kabu, Mohd Nasir Ibrahim.

Turut hadir pada perasmian kejohanan yang disertai 16 pasukan itu Penghulu Mukim Pahi, Ahmad Mohd Ariffin dan penganjur, Abang Kob atau nama sebenarnya, Ahmad Salleh.

Pada ucapan sama, Abdul Latiff yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan berkata, seperti juga kejohanan Sepak Takraw yang memerlukan kerjasama semua ahli pasukan, kejayaan memerintah sebuah negeri juga memerlukan semangat yang sama.

Menurutnya, hanya dengan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk golongan muda sebagai golongan pewaris kepimpinan, pemerintahan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama sekarang akan lebih kukuh dan mantap.

Sumber : Sinar Harian edisi Kelantan, 1 Julai 2009

Anuar Safian Dinasihat Belajar Sekolah Pondok

SH010709-3Kota Bharu – Pemuda PAS Kelantan Anuar Safian meletak jawatan dan memasuki mana-mana pondok untuk mendalami ilmu agama berikutan kekeliruannya terhadap perkara asas yang dimaksudkan Mursyidul Am PAS baru-baru ini.

Saranan itu dibuat oleh Naib Ketuanya Hisham Fauzi yang merujuk kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan yang disiarkan dalam akhbar ini pada 30 Jun muka surat K3 bertajuk : ”Nik Aziz Usah Beretorik”.

”Kenyataan yang dikeluarkan Anuar seolah-olah tidak faham dengan segala penjelasan yang diberikan oleh Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

”Beliau juga seolah-olah ingin terus berdegil, apa yang difahaminya itulah yang betul tanpa langsung ingin menyelami maksud ucapan Menteri Besar itu,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Hisham berkata, perkara yang ditimbulkan Nik Abdul Aziz adalah perkara asas dalam akidah islam dan jika isu itu pun Anuar masih keliru beliau dicadangkan meletak jawatan dan mendaftarkan diri ke mana-mana pondok di Kelantan.

“Dalam kata lain, yang benar ialah fikrah Islam, selain fikrah Islam, tak kiralah ia fikrah kebangsaan, fikrah komunis, fikrah ayah pin atau fikrah-fikrah lain, semuanya dikira sama dan tertolak daripada ajaran Islam yang sebenar”

“Lebih baik beliau (Anuar) mendaftar di Pondok Sungai Durian  dan menjadi anak murid kepada Ketua Pemuda PAS Kelantan yang merupakan pengerusi pondok berkenaan.” Katanya.

Hisham turut meminta Pemuda UMNO menunjukkan pembangunan yang berlaku sejak Barisan Nasional (BN) memegang kerusi DUN Manek Urai dari 2004 hingga 2008.

Menurutnya banyak lagi perkarra yang lebih berfaedah boleh dilakukan Pemuda UMNO seperti isu tuntutan royalti minyak dan dengan sikap itu menunjukkan Pemuda UMNO kelantan sebenarnya yang lebih berminat beretorik.

Sumber  : Sinar Harian Edisi Kelantan, 1 Julai 2009

SH010709-2

Jangan Berdolak Dalik Isu Royalti : Pemuda PAS

SH010709-1

Kota Bharu – Dewan Pemuda PAS Kelantan mendesak Kerajaan Pusat supaya tidak berdolak dalik dalam isu pembayaran royalti minyak kepada negeri Kelantan yang kini didakwa mencecah RM1 billion.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya hairan kenapa pembayaran boleh dibuat kepada negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain sedangkan Kelantan dianak tirikan sejak sekian lama.

“Pemuda PAS berpendapat tidak wajar Kerajaan Pusat memberi bermacam-macam alasan semata-mata mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab memberikan royalti ini.

“Wang yang dituntut adalah wang rakyat dan bukannya haki milik kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia sepatutnya diagihkan kepada rakyat dengan adil dan bukannya dijadikan alat politik BN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, melalui sayap perundangannya iaitu Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)  dipengerusikan Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan yang  juga seorang peguam, mereka sedang meneliti perkara itu dari sudut perundangan.

Katanya, pihaknya tidak mahu rakyat Kelantan menjadi mangsa sentimen politik BN kerana laporan yang diperolehi menunjukkan Kelantan antara negeri pengeluar minyak negara.

Abdul Latif yang juga ADUN Mengkebang berkata, pihaknya kesal dengan sikap Ketua Perhubungan UMNO Kelantan yang secara jelas menentang pembayaran royalti tersebut sedangkan pada masa yang sama beliau bercakap mengenai pembelaan hak rakyat Kelantan khususnya di Manek Urai.

“Oleh itu, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Kelantan bangkit tanpa mengira fahaman politik mendesak kerajaan Pusat menyegerakan pembayaran royalti minyak, “ katanya.

Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan, 1 Julai 2009