Anuar Safian Terus Keliru dan Mengelirukan

sh300609Hari ini (30 Jun 2009), tersiar serangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan terhadap Menteri Besar, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz di dalam Sinar Harian (Edisi Kelantan). Kata Anuar, Nik Aziz usah beretorik lagi dengan rakyat Kelantan dengan menyamakan UMNO seperti komunis, sosialis, Chin Peng dan ajaran sesat Ayah Pin sebagai kata-kata kiasan.

Anuar Safian nyata keliru lagi atau sengaja memilih untuk mengelirukan. Mungkinkah Pemuda UMNO Kelantan khususnya tertekan untuk memenangi pilihanraya kecil di Manek Urai? Ini kerana terlampau hebat benar serangan kebelakangan ini terhadap Menteri Besar secara peribadi dan juga kepada pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Siapakah yang beretorik? Baiklah, apa maksud retorik? Kamus Dewan menyenaraikan tiga makna bagi retorik :- 1. Kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan ; 2. Seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah atau menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar, seni berpidato. 3. bahasa yang dibuat-buat atau dibesar-besarkan, bahasa retorik

Itulah riwayat Kamus Dewan berkenaan dengan retorik. Apa pula maksud Anuar Safian bila menuduh Nik Aziz beretorik? Rasanya makna 1 dan 2 agak tidak sesuai. Mungkin juga makna ketiga, iaitu bahasa yang dibuat-buat atau diperbesar-besarkan.

Anuar Safian dan pemuda UMNO perlu menyedari. Siapakah yang kuat beretorik? Tentu sekali jika dijawab dengan jujur, jawapan yang keluar ialah pemimpin-pemimpin UMNO. Pada saat mereka menjulang keris yang mereka gelarkan sebagai Sang Saka Bangsa untuk membela bangsa Melayu, mereka bersungguh-sungguh pula membunuh bahasa Melayu melalui PPSMI. Pada masa mereka berdegar-degar menyeru kepada perpaduan Melayu, mereka mengubah status banyak tanah rizab Melayu kepada pegangan bebas semasa mereka memerintah Kelantan. Pada masa mereka berkata ingin membelas rakyat Kelantan, mereka menyekat bantuan kepada rakyat Kelantan ketika ingin disalurkan oleh kerajaan pusat. Fakta ini telah disahkan oleh bos Anuar Safian, Datuk Mustapha Muhammad sendiri di dalam Sidang DUN Kelantan satu ketika dulu! Banyak lagi senarai kezaliman UMNO jika ingin dihuraikan.

Mengenai retorik UMNO untuk membela Islam, cukuplah dengan meluluskan lesen judi sahaja untuk mengesahkan parti Anuar Safian gagal mendapat gelaran gerakan Islam! Jika Islam tidak menjadi perjuangan UMNO, maka atas asas apa UMNO berjuang? Tidakkah hanya Islam sahaja yang selamat dan selainnya ialah sesat?

Di antara kata-kata Anuar, ”Adakah wujud kerajaan Islam yang sebenarnya di sebalik banyak premis haram arak dan judi yang ditutup mata oleh kerajaan negeri…” Saya kurang faham dengan dakwaan Anuar ini. Adakah Anuar bermaksud bahawa wujudnya premis haram arak dan judi di Kelantan dengan jumlah yang banyak? Jika ya, sila datangkan bukti, jangan bercakap sahaja. Dan pastinya tindakan akan diambil. Ini kerana, premis judi semuanya sudah ditarik lesennya dan arak juga dikawal hanya untuk bukan Islam sahaja. Bahkan Anuar sendiri menyebut ia adalah premis haram. Jika premis haram, bermakna ia beroperasi bukan dengan izin kerajaan negeri. Soalnya, bagaimana pula dengan premis halal arak dan judi yang diizinkan oleh UMNO dan Barisan Nasional?

Anuar Safian dan pemuda UMNO terus keliru nampaknya.

Pemuda PAS Pilih Muzakarah

utusan300609

Kuala Lumpur 29 Jun – Dewan Pemuda PAS mahu bermuzakarah dengan Pergerakan Pemuda UMNO bagi membincangkan dakwaan yang dibangkitkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat bahawa UMNO sama dengan parti komunis dan ajaran sesat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, muzakarah adalah medan terbaik berbanding dengan pendekatan lain seperti berdebat kerana pelaksanaannya berdasarkan semangat musyawarah.

Beliau berkata, melalui muzakarah mereka yang terbabit dengan perbincangan itu boleh mengemukakan hujah serta pendapat masing-masing dengan lebih selesa dan kondusif.

“Apabila disebut muzakarah, masing-masing boleh kemukakan hujah dan pendapat masing-masing dengan berpaksikan kebenaran. Maksud saya melalui muzakarah tiada pihak yang cuba menegakkan benang yang basah.

“Ketika bermuzakarah kebenaranan tetap kebenaran dan ia tidak berubah. bagi kami muzakarah lebih berbentuk wacana keilmuan yang sepatutnya disebarkan demi kepentingan ummah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Nik Aziz dalam ceramahnya di Kuala Krai baru-baru ini telah menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat Ajaran Ayah Pin.

Selain itu,, Nasrudin berkata, perbincangan melalui muzakarah lebih rasional tanpa ada pihak yang bertindak secara emosional mengikut perasaan.

“Ini yang menyebabkan kami memilih pendekatan untuk bermuzakarah dengan Pemuda UMNO bagi menyelesaikan isu yang timbul ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, sekiranya muzakarah itu berjaya, ia merupakan satu titik permulaan bagi pemuda PAS untuk mengadakan lebih banyak perbincangan berbentuk keilmuan antara kedua-dua belah pihak.


Sumber : Utusan Malaysia, 30 Jun 2009

Instituti Masjid Dan Peranan Pendakwah Terhadapnya

Pendahuluan

Persepsi sesetengah individu Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di tempat itu.

Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam untuk mengunjungi masjid-masjid.

Masyarakat perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat.

Continue reading