DPPKPM Kesal Insiden Sabotaj Sepanduk

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM)

Berikutan Insiden Sabotaj Sepanduk Program Liga DUN

Di Gelang Mas, Tendong, Pasir Mas

  • Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM) telah menerima maklumat dari orang ramai berkenaan dengan sabotaj yang telah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap sepanduk DPPKPM yang digantung di hadapan Masjid Gelang Mas, Tendong, Pasir Mas.

  • Sepanduk tersebut merupakan sepanduk iklan dan pemakluman program pertandingan bola sepak Liga Dun yang diseliakan oleh Dewan Pemuda di semua kawasan di negeri Kelantan.

  • Melalui tinjauan yang dibuat, sepanduk tersebut telah disabotaj dengan membuang gambar Ketua DPPKPM, Ustaz Mohd Su Azhar bin Abdullah sementara dua lagi gambar iaitu Ketua Pemuda DUN, Saudara Mukhriz dan ADUN Tendong, YB Dr Muhammad bin Daud tidak diusik.

  • DPPKPM memandang perbuatan ini sebagai satu sabotaj yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk menjatuhkan maruah kepimpinan DPPKPM khususnya peribadi Ketua DPPKPM sendiri.

  • DPPKPM ingin melahirkan rasa kesal dengan perbuatan sabotaj berkenaan dan berharap jika ia dilakukan oleh unsur-unsur dalaman parti, ia dapat diselesaikan dengan rundingan dan perbincangan.

  • Tidak ada masalah dan konflik yang tidak dapat diselesaikan melalui rundingan. Berikutan itu, DPPKPM mengajak pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap apa jua isu supaya dapat tampil ke hadapan dan berunding dengan cara yang terbaik dengan kepimpinan parti di peringkat DUN atau kawasan khususnya kepimpinan DPPKPM sendiri.

  • Manakala jika sabotaj berkenaan dilakukan oleh pihak-pihak luar dari parti, DPPKPM ingin mengingatkan bahawa perbuatan tersebut ialah satu tindakan yang tidak melambangkan amalan demokrasi yang sihat.

  • DPPKPM juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan lanjut melalui apa jua cara yang dibolehkan jika bagi mengelakkan insiden ini berulang di masa-masa akan datang.

    Sekian.

    AHMAD FADHLI BIN SHAARI

    Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM)

    Bertarikh : 28 Jun 2009 / 5 Rejab 1430

  • Impian Memiliki Rumah Akhirnya Tercapai

    SH280609

    Manek Urai – Impian sebuah keluarga susah untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila seorang dermawan menghulurkan sumbangan bagi membina sebuah rumah baru untuk mereka di Kampung Peria, dekat sini.

    Mohd Zulkifli Hussin, 33 dan isteri, Haiza Suzanna Mohd Nawi, 29 yang mempunyai tiga anak yang berusia antara sembilan hinga 12 tahun selama ini terpaksa tinggal di rumah sewa di kampung itu sejak mula mendirikan rumah tangga.

     

    Mohd Zulkifli berkata, dia ada membuat permohonan untuk mendapatkan bantuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) tetapi sehinga kini masih tiada jawapan.

     

    “Saya sudah minta rumah PPRT sejak lapan tahun lalu dan kali terakhir saya bertanyakan tentang status permohonan itu pada tahun lepas, mereka (KESEDAR) kata sudah lulus tetapi sampai sekarang tidak ada apa-apa.

    “Semenjak saya buat permohonan, bolah katakan dua tiga bulan sekali saya pergi ke pejabat KESEDAR untuk bertanyakan perkara ini kerana orang kata kalau nak cepat dapat, kena pergi kerap ke pejabat, tetapi semuanya sia-sia,” katanya kepada Sinar Harian.

     

    Mohd Zulkifli yang menyara keluarganya dengan bekerja sebagai penoreh berkata demikian ketika ditemui pada program gotong royong membina rumah barunya di Kampung Peria, dekat sini, semalam.

    Turut hadir Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan, Wan Azimin Wan Adnan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zain dan Penghulu Mukim Peria, Mohamad Zain Rani.

    Hadir sama dermawan yang menampung sepenuhnya kos pembinaa rumah baru untuk Mohd Zulkifli sekeluarga, Suhaimi Mat, 50.

     

    Mohd Zulkifli berkata, dia merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Suhaimi kerana sanggup membiayai kos pembinaan serta penduduk kampung yang bergotong royong membina rumah barunya.

     

    Sementara itu, Suhaimi berkata, rumah Mohd Zulkifli itu ialah kediaman ke 46 yang menerima sumbangan untuk membina rumah bau dan membaiki rumah lama daripadanya.

     

    Menurutnya, dia terus bersetuju untuk menampung kos pembinaan rumah baru itu selepas Mohd Zulkifli datang berjumpa dan mengadu masalah yang dihadapinya tiga hari lalu.

     

    Katanya, dia sanggup mengeluarkan wang sendiri kerana berasa malu apabila dimaklumkan sudah empat kali Mohd Zulkifli membuat permohonan kepada KESEDAR untuk mendapatkan rumah PPRT tetapi gagal sedangkan ibunya (Mohd Zulkifli) merupakan Ketua Wanita UMNO cawangan kampung itu.

    Sumber : Sinar Harian, 28 Jun 2009