Penasihat Agama MB Terengganu Perlu Cermin Diri Dahulu

SH220609-3

kamalsaidinSaya tertarik untuk mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Saidin seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini, 22 Jun 2009. Beliau berkata, tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang menolak cadangan kerajaan perpaduan seperti menolak ayat yang terkandung di dalam al-Quran. Selain itu, beliau juga mendakwa punca Nik Aziz menolak cadanggan tersebut ialah kerana mementingkan diri ekoran bimbang akan terjejas kedudukannya.

Inilah dakwaan yang paling nakal yang pernah diucapkan oleh penceramah UMNO sepanjang isu kerajaan perpaduan ini. Ada dua isu penting yang diutarakan oleh Kamal Saidin di dalam kenyataan ini. Pertama, menolak kerajaan perpaduan ertinya menolak nas daripada al-Quran. Kedua, mendakwa Tuan Guru Nik Aziz mementingkan kedudukan yang menyebabkannya menolak kerajaan perpaduan.

Kamal Saidin nyata sekali keliru atau sengaja mmengelirukan fakta di dalam membuat kenyataan yang terseleweng ini. Pertama bila disebut bahawa menolak kerajaan perpaduan bermakna menolak nas daripada al-Quran. Saya tidak tahu ayat al-Quran manakah yang dimaksudkan oleh Kamal. Tetapi kalau nas yang diambil ialah suruhan bersatu secara umum, perlulah diingatkan bahawa perpaduan di dalam al-Quran ditegaskan hendaklah di atas tali Allah. Maksud firman Allah SWT : Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai (Surah Ali Imran, ayat 103)

Adakah bersatu dengan UMNO bermakna bersatu di atas tali Allah? Jauh sekali demikian selagi dasar UMNO tidak ditukar kepada al-Quran dan al-Sunnah. Lantas, adakah bersatu dengan DAP dan PKR boleh dikatakan di atas tali Allah. Perlulah diingatkan bahawa ada beza di antara bersatu dan bertahaluf atau menjalinkan persefahaman. Persefahaman dengan PKR dan DAP di atas maslahah yang lebih besar iaitu untuk menumbangkan UMNO/BN yang menjadi punca kemelut dan masalah dalam negara. Jika UMNO/BN bimbang terhadap terhakisnya penguasaan orang-orang Melayu/Islam, mereka boleh bersama dengan PAS bila-bila masa sahaja. Pintu PAS sentiasa terbuka luas untuk ahli-ahli UMNO yang insaf. Namun, bersatu dengan UMNO dalam keadaan UMNO masih meneruskan dasar yang ada sekarang, tidak sekali-kali.

Tohmahan yang mengatakan Tuan Guru Nik Aziz mementingkan kedudukan juga satu tohmahan yang nakal. Sedarkah Kamal, bagaimana kehidupan sederhana Tuan Guru Nik Aziz yang masih kekal sekalipun hampir dua dekad bergelar Menteri Besar? Pentingkan kedudukankah individu seperti ini? Barangkali Kamal ingin menyamakan Tok Guru dengan pimpinan UMNO Terengganu yang bertelagah sehingga ke pagar istana ekoran kemelut jawatan Menteri Besar. Bahkan pertelagahan tersebut hingga mengakibatkan beberapa jawatan penting dalam UMNO Terengganu bertukar tangan kelmarin. Malu UMNO Terengganu terpaksa menerima orang Johor sebagai pengerusi kerana tidak ada lagi orang-orang Terengganu yang boleh menjadi pendamai pihak-pihak yang bertelagah.

Dalam keadaan itu, Kamal Saidin boleh mengatakan Tokguru Nik Aziz pentingkan kedudukan? Lucu sekali.

DPPNK bidas kenyataan Exco Pemuda UMNO

SH210609-2(2)

drrosliKOTA BHARU – Dewan Pemuda PAS negeri membidas kenyataan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Afandi Yusoff yang meminta Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat supaya meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Besar ekoran bantahan mewujudkan kerajaan perpaduan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Dr Rosli Allani Abd Kadir (gambar) berkata, Mohd Afandi sepatutnya cermin dahulu diri beliau sebelum meminta Nik Abdul Aziz meletakkan jawatannya.

“Kenyataan Mohd Afandi hanya menggambarkan beliau hasil berada di dalam UMNO. Beliau seakan lupa yang beliau pernah mengikuti program PAS di luar Negara dan mengenali ramai pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am PAS itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, Mohd Afandi mungkin mengharapkan kerjasama itu akan membuatkan lebih ramai tokoh-tokoh agama yang menuruti beliau bersama UMNO.

“Apa yang nyata sekarang ini bukan sahaja ditolak oleh golongan professional dan golongan muda, tetapi UMNO juga ditolak oloeh golongan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas dakwaaan Mohd Afandi Yusoff yang menyifatkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang diilhamkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan tekanan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz ekoran bantahan beliau terhadapa cadangan itu.

Mohd Afandi berkara, majoriti ahli PAS menyokong gagasan tersebut, kecuali segelintir penyokong PAS yang taksub kepada Mursyidul Am parti itu.

Beliau dilaporkan berkata, pemuda UMNO melihat kedegilan Nik Aziz berpunca daripada dirinya sendiri yang diberi nasihat songsang oleh para penasihat kanannya supaya menolak idea Presiden.

Katanya, perkara ini bukan perkara baru, bahkan ia bermula sejak gelombang pemilihan pucuk pimpinan pada muktamar PAS yang lalu dan barangkali sudah tiba masanya Datuk Nik Aziz memikirkan untuk bersara dari jawatan menteri besar.

Sumber : Sinar Harian, 22 Jun 2009.