Anak Angkat : Bertuahkah Manek Urai?

SH210609

Hari ini 21 Jun 2009 di dalam akhbar Sinar Harian tersiar janji yang dibuat oleh ‘bekas bakal’ Menteri Besar Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin bahawa kononnya Manek Urai akan dijadikan sebagai ‘anak angkat’ jika Barisan Nasional memenangi pilihanraya kecil 14 Julai ini.

Nampaknya UMNO masih belum puas-puas untuk menaburkan janji demi janji menjelang pilihanraya umum atau kecil. Kali ini menerusi Awang Adek yang pernah satu ketika dulu dijulang sebagai bakal menteri besar Kelantan. Bahkan di seluruh pelusuk negeri Kelantan digantung sepanduk yang mengesahkan status ini. Dengan usaha agresif sepanjang kempen pilihanraya umum ke-12 tahun lepas, Awang Adek masih belum berjaya untuk menduduki kerusi Menteri Besar di pejabat SUK negeri Kelantan. Tidaklah diketahui di mana beliau menghilangkan diri selepas mengalami kekalahan 2-0 di Parlimen Bachok dan Dun Perupok tahun lepas. Apa yang jelas, keputusan pilihanraya itu memberikan pukulan yang hebat kepada UMNO Kelantan.

Hari ini, di Manek Urai sekali lagi UMNO menaburkan janji. Cuma kali ini dengan istilah ‘anak angkat’. Tidak pasti adakah status sebenar Manek Urai pada pandangan UMNO sekarang hanyalah sekadar ‘anak orang lain’ atau ‘anak tiri’? Jika hanya berstatus anak tiri, saya rasa ini benar-benar menyedihkan penduduk Manek Urai khususnya. Jika statusnya ialah anak sendiri, maka apa perlunya diisytiharkan sebagai anak angkat? Tidakkan jika anak sendiri disebut anak angkat merupakan satu penindasan dan diskriminasi?

Sepatutnya, UMNO/BN perlu sedar, mereka telah berjaya merampas Manek Urai pada tahun 2004 dan terlepasnya kembali pada tahun 2008. Sepanjang 4 tahun mereka berkuasa di situ, apakah yang mereka lakukan untuk anak angkat ini? Atau adakah pada masa itu, Manek Urai masih belum menjadi anak angkat hatta anak saudara sekalipun? Apa yang dapat dilihat usaha UMNO di situ ialah mewujudkan satu kompleks pentadbiran UMNO Manek Urai di atas tanah milik persendirian pemimpin UMNO kawasan tersebut! Adapaun yang lain, nehil!

Mari kita sorot kembali janji UMNO/BN semasa pilihanraya kecil Dun Pengkalan Pasir pada 6 Disember 2006 yang lepas. Perlu diingat, UMNO memenangai pilihanraya kecil tersebut. Nilailah adakah janji-jani manis itu dilaksanakan selepas pilihanraya.

Janji universiti, pembangunan bukti kesungguhan PM – apa cerita kampus di Bachok dan cawangannya di Jeli? Jadi ke tak jadi?

Pasar baru di Pasir Mas jika BN menang – Najib – Sehingga hari ini, pasar Pasir Mas masih belum bertukar wajah.

Projek Lebuhraya Pantai Timur Ke Sempadan Thailand Menerusi Kota Bharu – Tak ada nampak bayang.

Projek kesihatan RM811 juta di Kelantan dalam RMK-9

Jalan lebar Kota Bharu – Pasir Mas, empat lorong – Batu sebiji pun takde angkut lagi untuk projek ni.

Kesimpulannya, penduduk Manek Urai jangan terpedaya dengan janji manis di musim-musim begini.

UMNO Sedia Meraih Keuntungan Dengan Perundingan

sh200609

Hari ini terpampang di muka depan akhbar Sinar Harian ajakan ‘ikhlas’ Tan Sri Muhyidin Yasin terhadap PAS untuk sama-sama membentuk kerajaan perpaduan. Kata Muhyidin, UMNO bersedia untuk berunding dengan tidak meletakkan sebarang syarat. Dan yang paling istimewa ialah kesediaan UMNO untuk akur kepada sebarang syarat yang dikenakan oleh PAS.

Benarkah UMNO demikian? Sudah terbalikkkah dunia ini? Atau sememangnya UMNO sudah bertaubat dan insaf dengan perpecahan umat Melayu Islam lantas bertindak akur dengan sebarang syarat yang akan dikenakan oleh PAS?

Alangkah jauh sekali sebenarnya jika sesiapa yang beranggapan demikian. Andainya UMNO benar-benar ingin berdamai, seelok-eloknya jangan diletakkan calon di Manek Urai sebagai langkah pertama. Apa yang memelikkan ialah, di saat Muhyidin mengatakan ‘kita lupakan sengketa lama’, masih lagi bersemangat untuk bertempur di Manek Urai! Boleh dilihat di sini semangat berkobar-kobar UMNO di Manek Urai.

Apa sebenarnya niat  UMNO? Kita bukanlah pakar di dalam meneliti niat di hati masing-masing, namun berdasarkan sikap UMNO pada hari ini yang masih jelas meneruskan dasar-dasar permusuhan dengan pembangkang khususnya di Perak, jelas sekali mereka sama sekali tidak berniat untuk berdamai. Bahkan perdamaian melalui apa yang dinamakan sebagai kerajaan perpaduan ini hanyalah merupakan batuu loncatan UMNO/BN untuk meraih kembali sokongan rakyat dengan cara menanam rasa tidak yakin rakyat terhadap PAS.

Jangan dibimbangi reaksi rakan-rakan komponen mereka dalam Barisan Nasional. Semuanya sudah maklum bahawa reaksi UMNO dalam isu kerajaan perpaduan ini hanyalah alat untuk melemahkan PAS, bukannya untuk menyatukan umat Melayu Islam. Jika tidak, masakan MCA pun beria-ia menyokong! Lihat di sini keikhlasan MCA.

Saya melihat, sikap UMNO dalam isu ini hanyalah sebagai alat kempen di Manek Urai sahaja. Manipulasi tahap maksimum akan dilaksanakan seolah-olah kerajaan perpaduan akan terbentuk esok hari sebelum ayam berkokok! Percayalah, selepas Manek Urai, isu kerajaan perpaduan akan terburai.. yang mungkin tinggal hanyalah syak wasangka sesama kita yang entah bila akan habis. Harap-harapnya tidak.