Siapakah Pengamal Hukum Rimba?

SH17609

Hari ini, 17 Jun 2009, Sinar Harian menyiarkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Saudara Anuar Safian yang menyelar tindakan Menteri Besar Perak yang sah, YAB Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang melaungkan ‘hidup rakyat’ dan ‘bubar dun’ di dalam Parlimen Isnin lepas. Anuar Safian menyifatkan tindakan Nizar itu sebagai ‘mengamalkan hukum rimba’ dan ‘tindakan luar batasan.’

Dalam hal ini, Pemuda UMNO Kelantan perlulah berfikir sejenak dengan anugerah fikiran yang diberikan oleh Allah SWT. Kalaulah tindakan Nizar dianggap sebagai hukum rimba, maka apakah pula jenis tindakan segerombolan ADUN UMNO/BN yang tidak mematuhi arahan Speaker DUN Perak tempoh hari? Nizar dilaporkan terus keluar apabila diarahkan oleh Speaker Pandikar Amin Mulia. Tetapi gerombolan Zambry dan kawan-kawan enggan keluar sekalipun diarah oleh speaker bagaimana pula hukumnya?

Sedarkah Anuar bahawa dengan tindakan Nizar ini mendedahkan bahawa speaker mempunyai kuasa mutlak di dalam persidangan dewan? Bagaimanapun, jika kuasa ini tidak dipatuhi, siapakah yang bersalah? Bahkah di Perak, speaker Sivakumar diheret keluar dari kerusinya dan dikurung selama selama 2 jam. Bukankah ini lebih rimba hukumnya?

Lebih dari itu lagi, bagaimana dengan akta ISA? Kekangan terhadap media massa serta tindakan kerajaan Pusat yang menafikan hak rakyat memilih kerajaan mereka sendiri dengan menganaktirikan bantuan kepada kerajaan Pakatan Rakyat? Ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan di dalam sidang DUN Kelantan satu ketika dulu bahawa dia di antara pemimpin yang menyekat peruntukan dari mengalir ke Kelantan. Ini hukum apa kalau bukan hukum rimba?

Pemuda UMNO Kelantan tentulah boleh faham isu semudah ini.