DPPNK jawab Pemuda UMNO

13 Jun 2009 – Pemuda Umno disifatkan sebagai melampau dan buta sejarah apabila mendakwa bahawa perpaduan di antara Pas dan Umno seperti persaudaraan di antara Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar. Dakwaan ini menunjukkan kejahilan atau sengaja ingin mengaburi pandangan masyarakat, kata Ketua Dewan Pemjda Pas Negeri Kelantan, Abdul Latiff bin Abd Rahman.

Beliau berkata, persaudaraan di antara Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar di atas dasar untuk sama-sama mendokong penubuhan negara Islam Madinah namun Umno sudah diketahui umum merupakan pergerakan yang sama sekali tidak berhasrat untuk melaksanakan Islam.

Abdul Latif menyatakan demikian semasa mengulas kenyataan Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Mohd Apandi Yusof seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian semalam yang menyelar kenyataan Menteri Besar Kelantan yang menyifatkan golongan yang bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan sebagai ‘boneka Umno’.

“Dakwaan Apandi yang menyebut bahawa sikap Menteri Besar Kelantan tersebut sebagai pengkhianatan terhadap Islam merupakan kenyataan yang melampau dan bertujuan mengaburi sejarah. Tidakkah Apandi sebagai seorang yang berkelulusan agama menyedari betapa besarnya perbezaan di antara persaudaraan Muhajirin dan Ansar di zaman Rasulullah Saw dengan persekongkolan dengan Umno pada hari ini?”

“Jika benar Umno benar-benar berhasrat untuk menegakkan Islam,tanpa perpaduan dengan Pas pun,mereka sudah boleh melaksanakannya. Bahkan Menteri besar kelantan berkali-kali membuat penegasan sekiranya UMNO menukar dasar kepada Islam, Pas sudah boleh dibubarkan.”

“Tetapi hakikatnya, Umno sendiri tidak pernah berhasrat melaksanakan Islam. Bahkan Islam Hadhari yang diwar-warkan satu masa dulupun sydah berkubur, yang ada ialah mazhab One Malaysia.”ujar beliau lagi.

“Sanjungan Apandi terhadap presiden Pas di dalam isu ini juga jelas kelihatan berniat serong. Jika benar Apandi betul-betul menyanjungi presiden Pas, kita mempelawanya agar bersama-sama dengan Pas dan meninggalkan parti Umno yang jelas sudah ditolak oleh rakyat.” tegas beliau.