HUFFAZ GENERASI PELAPIS HARAPAN NEGARA

Kelahiran instituti tahfiz yang tumbuh dengan rancak pada hari ini ialah satu fenomena baru dalam masyarakat umat Islam di Malaysia. Jika diundur kembali 10 hingga 20 tahun ke belakang, kita akan menyaksikan senario yang tentu sekali berlainan degan apa yang disaksikan pada hari ini. Mungkin di waktu itu, ibu bapa khususnya masih lagi memandang masa depan sebagai seorang hafiz tidak sesuai untuk anak-anak mereka yang diharapkan untuk terjun ke bidang profesional semata-mata. Ditambah pula dengan sikap prejudis sebahagian warga masyarakat yang memandang bahawa menjadi seorang hafiz sangat kurang berpotensi dari sudut kerjaya dan sebagainya

Hari ini, keadaan sama sekali sudah berubah. Satu demi satu madrasah-madrasah dan maahad-maahad tahfiz ditubuhkan di seluruh negara ekoran minat yang semakin tinggi di kalangan masyarakat untuk mendalami ilmu al-Quran. Ditambah pula dengan kejayaan generasi huffaz menempatkan diri di tengah-tengah masyarakat bukan sahaja sebagai seorang ulama tetapi tidak kurang juga di bidang-bidang yang dianggap profesional. Lahirnya sistem pendidikan yang menggunakan kaedah serampang dua mata (tahfiz + akademik) sekitar dua dekad lalu telah mencatat rekod cemerlang di kalangan masyarakat akhirnya membuka mata dan meruntuhkan tembok prejudis yang terbina selama ini. Bahkan tidak pelik jika hari ini kita imam-imam hafiz solat tarawih di masjid-masjid turut menjadi pelajar cemerlang yang menghiasi dada-dada akhbar ketika pengumuman keputusan peperiksaan.

Bagaimanapun, adakah senario ini akan kekal atau hanyalah merupakan satu perkembangan yang sementara? Ia bergantung kepada bagaimanakah generasi huffaz ini berjaya membawa manfaat kepada masyarakat. Dibimbangi jika generasi huffaz yang saban tahun dilahirkan di tengah masyarakat gagal memainkan fungsi yang sepatutnya, masyarakat akan mengalih semula minat dan arah kepada bidang yang lain.

Oleh yang demikian, di tengah-tengah kemelut moral dan akhlak yang melanda golongan remaja pada hari ini, golongan huffaz wajib berada di tengah-tengah gelanggang masyarakat menghidupkan budaya al-Quran. Ia bukan setakat dibaca, dihafal, dipertandingkan bahkan dihayati makna dan isi kandungannya. Huffaz perlulah menyedari isi kandungan al-Quran yang tersemat di dada-dada mereka bukan sahaja untuk disimpan dan diluahkan ketika tibanya bulan Ramadhan semata-mata tetapi untuk dihidupkan pengajarannya di tengah-tengah masyarakat. Oleh yang demikian, golongan huffaz perlu mengisi ruang-ruang majlis ilmu di masjid-masjid dan madrasah agar masyarakat didekatkan dengan pengajian ilmu al-Quran yang sebenar oleh ahli di dalam bidangnya.

Selain itu, golongan huffaz perlulah mempunyai identiti yang membezakan mereka dari orang lain. Ini kerana apabila seseorang itu dikenali dengan identiti al-hafiz, dengan sendirinya ia akan menjadi perhatian masyarakat. Samada negatif atau positif, bergantung kepada bagaimanakah seseorang hafiz itu berjaya mengekalkan identitinya sebagai seorang penghafal al-Quran.

Akhir sekali, perlulah golongan huffaz menyedari bahawa mereka merupakan pemimpin masyarakat di masa hadapan. Hari ini, instituti- instituti tahfiz yang berkembang mekar bolehlah diibaratkan seperti benih-benih yang sedang ditanam dan dibaja. Suatu hari nanti ia akan menjadi pokok yang berbuah lebat dan memberikan manfaat kepada masyarakat. Oleh yang demikian, kita menaruh harapan agar ’benih-benih’ generasi huffaz yang sedang disemai pada hari ini suatu hari nanti akan berada di barisan hadapan memimpin masyarakat dengan berpandukan sumber wahyu daripada Allah SWT.

USTAZ AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Penulis merupakan bekas pelajar di Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat, Pulai Chondong dan sekarang bertugas sebagai Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah, KIAS, Nilam Puri.

artikel ini dimuatkan di dalam Buku Cenderamata Himpunan Huffaz Negeri Kelantan pada 14 Mei 2009

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: