Amanah : Persoalan Yang Akan Dijawab di Akhirat Kelak

Saya menulis posting ini ketika sedang menunggu penerbangan Kota Bharu – Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 3.00 petang ini. Sekarang sudah jam 2.45 petang. ‘Delay’ ialah satu perkataan yang sangat terkenal di sini.

Pagi tadi, saya dijemput untuk menyampaikan satu ceramah bertajuk Huffaz Generasi Pelapis Harapan Negara di Balai Islam, Lundang. Ia sempena Majlis Himpunan Huffaz Seluruh Negeri Kelantan sempena 30 tahun pemerintahan DYMM Sultan Kelantan. Berada di tengah-tengah golongan huffaz membawa kembali kenangan sewaktu berada di peringkat sekolah menengah di Maahad Tahfiz al-Quran, Pulai Chondong 10 tahun yang lampau… alangkah, jika masa dapat diputar semula.

Sebenarnya, sudah lama saya ingin menulis. Kerana blog ini rasanya sudah usang kerana lama tidak dibaiki. Umpama rumah tidak bertuan. Dikekang oleh kesibukan yang menyerang dari pelbagai sudut, saya tidak punya masa dan upaya yang cukup untuk sekadar ’log in’ ke blog ini.

Namun, hari ini rasa ingin mencoretkan sesuatu. Apatah lagi bila usai muktamar dewan pemuda PAS negeri Kelantan pada 9 Mei yang lalu, dengan jawatan baru sebagai AJK Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, terasa di sudut hati saya betapa beratnya amanah yang bakal dipikul. Apatah lagi apabila di peringkat kawasan Pasir Mas, saya diminta menggalas tugas sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda, bebanan rasanya semakin bertambah. (tiba-tiba ada pengumuman, flight ke KL delay ke pukul 4.15 petang…..)

Amanah menggalas tugas di dalam parti ini bukan satu kerja mencari keuntungan. Ia tugas yang tidak bergaji. Ia menuntut satu pengorbanan, bukan sahaja dari penggalas tugas, tetapi dari isteri dan keluarga. Jika anda seorang bapa, maka isteri anda perlulah bersedia menjadi ibu dan juga menjadi bapa pada masa-masa tertentu. Pukul 12.00 malam biasanya tidak menjadi detik di mana seorang penggalas tugas berada di rumah. Pukul 12.00 malam ialah saat di mana si ayah masih berada di meja mesyuarat, pentas ceramah atau di dalam perjalanan. Sedangkan ibu dan anak-anak terpaksa bangun keesokan hari bergegas menunaikan tanggungjawab masing-masing, dan si ayah juga tidak terkecuali. Maka, tidaklah dihairankan jika tanggungjawab ini sudah banyak menyaksikan keguguran di tengah-tengah medan perjuangan.

Namun, untuk menggalas amanah ini, sudah ramai yang sanggup bertempur. Bukan di medan perang, tapi di medan ukhuwwah. Kadang-kadang menyentuh peribadi dan maruah. Tidak kurang yang melobi persis ’rakan kita di seberang sana’. Adakah di sebalik kejayaan menggalas tugas, adanya habuan duniawi yang turut dikejar? Hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Amanah… ia akan ditanya di hadapan Allah.

– 14 Mei 2009,  Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, KB.