Pembuka Lorong Kepada Neraka

Allah SWT mengingatkan mengenai kejayaan sebenar seorang hamba iaitu apabila ia telah selamat dari azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ (185)

Yang bermaksud : 185.  Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran, ayat 185)

 

Ayat ini jelas menyatakan bahawa kejayaan yang sebenar bukanlah apabila seseorang itu mendapat harta yang bertimbun-timbun, tidak juga apabila memenangi pilihan raya, dan apa jua kemegahan yang manusia dambakan di dunia. Tetapi kejayaan yang sebenar ialah apabila manusia dapat menyelamatkan diri daripada api neraka dan sekali gus melayakkan diri untuk menghuni syurga Allah SWT. Inilah kejayaan yang besar. Sesungguhnya kejayaan inilah yang benar-benar didambakan oleh manusia apabila tibanya mereka di hadapan Allah SWT.

Sesungguhnya akan tiba juga saat di mana penghuni neraka akan mengemis setitis air daripada penghuni syurga yang barangkali penghuni syurga inilah golongan yang sering kali mereka tindas dan keji ketika berada di dunia. Firman Allah SWT :

وَنَادَى أَصْحَابُ النَّارِ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا عَلَيْنَا مِنَ الْمَاءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى الْكَافِرِينَ (50)

Yang bermaksud : Dan penghuni neraka menyeru penghuni syurga: ” limpahkanlah kepada kami sedikit air atau makanan yang Telah dirizkikan Allah kepadamu”. mereka (penghuni surga) menjawab: “Sesungguhnya Allah Telah mengharamkan keduanya itu atas orang-orang kafir (Surah al-A’raf)

 

Lantas apakah sebab-sebab yang menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka. Ketahuilah, sesungguhnya penghuni neraka itu terbahagi kepada dua golongan yang memasuki neraka kerana sebab-sebabnya yang tersendiri. Kategori pertama ialah mereka yang akan menghuni neraka buat selama-lamanya. Mereka ialah :

 

1. Orang-orang yang syirik kepada Allah SWT samada dari sudut uluhiyah, rububiyah atau sifat. Tidak ada ruang kemaafan bagi golongan seperti ini apabila berdepan dengan Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Yang bermaksud : Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, Maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun. (Surah al-Maidah, ayat 72)

 

2. Kufur sama ada kepada Allah SWT, malaikat, para rasul, hari kiamat, kitab-kitab Allah atau qadha’ dan qadr daripada Allah SWT. Mengkufurkan salah satu daripada perkara-perkara ini dianggap sebagai menolak satu satu asas iman. Firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا[150]أُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا[151]

Yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan bermaksud membezakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: “Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)”, serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. kami Telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan. (Surah an-Nisa’, ayat 150-151)

 

3. Mengingkari kefardhuan salah satu daripada rukun-rukun Islam dengan menyatakan bahawa ia tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Demikian juga dengan mengingkari pengharaman perkara-perkara yang jelas haram melalui nas yang sahih serta ijma’ muslimin seperti mengingkari pengharaman zina, arak, mencuri dan sebagainya. Mengingkari kefardhuan dan pengharaman yang jelas ini boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam. Namun sekiranya ia mengingkari dengan sebab kejahilannya semata-mata, ia masih belum dikategorikan sebagai keluar daripada Islam.

 

4. Mempermainkan ketetapan atau apa jua yang berkaitan dengan Allah SWT samada dalam bentuk kata-kata atau perbuatan. Pelakuan ini boleh menyebabkan tergelincirnya aqidah dan menjadi pelorong untuk terjun selama-lamanya di dalam neraka. Firman Allah SWT :

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ[65]لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ[66]

Yang bermaksud : Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.” Katakanlah: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” Tidak usah kamu minta maaf, Karena kamu kafir sesudah beriman. jika kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), niscaya kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa. (Surah at-Taubah, ayat 65-66)

 

5. Mencela Allah SWT, agama yang diturunkanNya atau nabiNya. Samada ia dilakukan dengan iktikad atau hanya sekadar permainan kata sahaja, ia tetap dikira sebagai satu dosa yang besar. Bahkan menyebabkan orang lain mencela Allah SWT pun ditegah apatah lagi sekiranya diri sendiri yang mencela. Firman Allah SWT :

وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Yang bermaksud : Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. (Surah al-An’am, ayat 108)

 

6. Menghukum dengan selain daripada hukum Allah dengan keyakinan bahawa hukum manusia lebih baik daripada hukum Allah SWT. Firman Allah :

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ[44]

Yang bermaksud : Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (Surah al-Maidah, ayat 44)

 

Adapun golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana kejahilan atau kepentingan tertentu dengan tetap yakin bahawa hukum Allah jualah yang terbaik tidaklah tergolong sebagai golongan yang terkeluar daripada Islam. Namun ia tidak dimasukkan ke dalam golongan fasik atau zalim berdasarkan firman Allah dalam dua ayat selepasnya.

 

7. Orang-orang munafik iaitu yang menzahirkan Islam tetapi kufur di dalam hati mereka. Golongan ini lebih merbahaya daripada orang-orang kafir itu sendiri. Firman Allah SWT :

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا (145)

Yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka.

 

Demikianlah sebahagian golongan yang akan menghuni neraka selama-lamanya. Manakala kategori kedua pula ialah golongan yang menghuni neraka dengan sementara. Mereka ini ialah orang-orang Islam yang sempurna akidahnya tetapi bergelumang dengan dosa-dosa yang tidak diampunkan melainkan perlu dihukum di dalam neraka terlebih dahulu. Tempoh masa menjalani hukuman tersebut hanya diketahui oleh Allah SWT. Walaupun hanya sementara, tetapi hukuman ini tetap merupakan satu hukuman yang berat dan menyiksakan. Di antara golongan yang disebut sebagai penghuni neraka sementara itu ialah :

 

1. Penderhaka kepada kedua ibubapa. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari berbunyi :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْكَبَائِرُ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ عُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ..

Yang bermaksud : Daripada Abdullah bin Umar RA berkata datang seorang badwi kepada Nabi SAW lalu bertanya, wahai Rasulullah, apakah dia dosa-dosa besar? Rasulullah SAW menjawab, syirik kepada Allah. Dia bertanya lagi, kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab, menderhakai kedua ibubapa. (Hadis riwayat Bukhari)

 

2. Memutuskan hubungan silaturrahm. Ini juga dianggap sebagai dosa yang serius kerana boleh mengakibatkan hururara yang berpanjangan di dalam masyarakat. Nabi SAW bersabda :

لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ

Yang bermaksud : Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silatturahm) (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT juga berfirman :

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ[22]أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ[23]

Yang bermaksud : Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?  Mereka Itulah orang-orang yang dila’nati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka. (Surah Muhammad)

 

Kadang-kadang ada di antara individu masyarakat yang hanya akan menyambung hubungan silaturrahm dengan orang yang berusaha menyambungkannya dengan mereka. Jila tiada inisiatif dari orang lain, maka dia sendiri tidak akan bergerak untuk memulakannya. Ini adalah satu sikap yang salah. Rasulullah SAW bersabda :

لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنْ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

Yang bermaksud : Tidaklah yang menyambungkan silaturrahm itu orang-orang yang merasa cukup dengan apa yang ada, tetapi yang menyambungkan itu ialah orang-orang yang apabila terputus hubungan, akan berusaha menyambungkannya. (Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ahmad)

 

3. Memakan riba yang dianggap satu perang kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah SWT :

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ (279)

Yang bermaksud : Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahwa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. (Surah al-Baqarah)

 

Firman Allah SWT lagi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ[130]وَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ[131] وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ[132]

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Dan peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir. Dan taatilah Allah dan rasul, supaya kamu diberi rahmat. (Surah ali Imran, ayat 130-132)

 

4. Makan harta anak yatim sebagaimana firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا[10]

Yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). (Surah an-Nisa’ ayat 10)

 

5. Penyaksian bohong. Ini kerana penyaksian seorang mukmin ialah sesuatu yang mulia. Maka mencemarkan kemuliaan ini dianggap sebagai satu dosa yang serius. Oleh yang demikian hendaklah setiap mukmin berhati-hati memberikan penyaksian terhadap apa jua perkara samada penyaksian berbentuk kata-kata atau tulisan. Rasulullah SAW bersabda :

لَنْ تَزُولَ قَدَمَا شَاهِدِ الزُّورِ حَتَّى يُوجِبَ اللَّهُ لَهُ النَّارَ

Yang bermaksud : Tidak akan berganjak kaki penyaksi yang bohong kecuali Allah akan mewajibkannya masuk ke neraka (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim dengan katanya, hadis ini sahih isnad)

 

6. Rasuah, khususnya dalam penghakiman agar memihak kepadanya sekalipun ia berada di pihak yang salah. Nabi SAW bersabda :

الرَّاشِي والْمُرْتَشِي فِي النّار

Yang bermaksud : Orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah, berada di dalam neraka (Riwayat Tabrani dengan perawi-perawi yang thiqat) Nasiruddin al-Bani menyatakan hadis ini dhaif namun beliau mensahihkan satu hadis lain iaitu : Allah SWT melaknat pemberi dan penerima rasuah.

 

7. Sumpah bohong khususnya yang mengkhianati hak orang lain. Nabi SAW bersabda :

مَنْ اقْتَطَعَ مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينٍ كَاذِبَةٍ لَقِيَ اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ

Yang bermaksud : Sesiapa yang mengkhianati harta seseorang muslim dengan sumpah yang bohong, akan berjumpa dengan Allah SWT dalam keadaan Allah marah kepadanya (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

8. Menghakimi sesuatu tanpa maklumat yang jelas atau dengan sikap memihak. Rasulullah SAW bersabda :

الْقُضَاةُ ثَلاثَةٌ وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِي النَّارِ فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ

Yang bermaksud : Hakim itu ada tiga golongan. Satu golongan ke syurga dan dua golongan ke neraka. Adapun yang ke syurga ialah orang yang mengetahui kebenaran dan memutuskan dengannya. Kedua ialah yang mengetahui kebenaran tetapi melanggarnya maka ia ke neraka dan ketiga yang menghakimi dengan kejahilan, dia juga akan ke neraka. (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah. Disahihkan oleh al-Albani)

 

9. Pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menindas dan menipu rakyat berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Yang bermaksud : Tidak ada mana-mana hamba yang diamahkan oleh Allah untuk menjaga rakyatnya lalu mati dalam keadaan ia membohongi rakyatnya kecuali Allah mengharamkannya untuk ke syurga. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Demikianlah sebab-sebab yang boleh menjerumuskan seseorang ke neraka. Marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhi daripada sifat-sifat yang disebutkan di atas.

 

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

09 November 2008

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: