Laporan Utusan Malaysia Berunsur Prejudis

Hari ini terpampang di muka depan akhbar Utusan Malaysia gambar seorang petani di Afghanistan yang dikatakan telah dicungkil matanya oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai pejuang Taliban kerana disyaki sebagai perisik kerajaan dan tentera antarabangsa. Petani dari wilayah Helmand itu, Sayed Ghulam memberitahu, matanya dicungkil dengan pisau lewat Khamis lalu di depan ahli keluarganya.

 

Dengan tajuk berita ‘Taliban cungkil mata petani dituduh perisik kerajaan’, Utusan Malaysia sebenar telah cuba menanam prejudis khususnya kepada pergerakan Taliban agar dituduh sebagai pergerakan ganas, kejam dan sadis. Sedarkah Utusan Malaysia bahawa tajuk berita sedemikian telah menggambarkan bahawa pihak Taliban telah dipastikan dengan sebenar-benarnya telah melakukan jenayah tersebut. Mungkin bersumberkan daripada agensi berita barat yang sering kali bersikap bias, Utusan Malaysia tanpa sebarang penapisan terus memuatkannya di muka hadapan tanpa memikirkan kesan terhadap psikologi rakyat Malaysia yang berbilang agama.

 

Pergerakan Taliban tentunya tidaklah mewakili Islam. Namun, setidak-tidaknya Taliban sentiasa mendakwa mereka berjuang untuk ketuanan Islam di tanah tempat lahir mereka. Sebarang prejudis terhadap mereka boleh membawa kepada prejudis terhadap Islam itu sendiri. Bukankah Utusan Malaysia sendiri pun berusaha untuk menjadi pejuang Islam yang sejati sehingga menubuhkan Tabung Azan semata-mata untuk memastikan laungan azan dapat terus dikumandangkan?

 

Taliban hanya disyaki sahaja. Itu pun oleh pihak ketiga. Petani tersebut sendiri pun enggan membuat pendedahan siapakah yang bertanggungjawab. Bahkan pihak Taliban sendiri telah membuat penafian sekeras-kerasnya terhadap insiden tersebut. Sila rujuk http://wtop.com/?nid=105&sid=1479035 bahkan menurut kenyataan Taliban, “ “Whenever we carry out an attack we claim responsibility, we didn’t gouge out this man’s eyes.”

 

Jika penjenayah yang bertanggungjawab pun masih belum dapat dipastikan, maka wajarkah Utusan Malaysia memuatkan tajuk seperti itu di muka hadapan? Atau Utusan Malaysia benar-benar mempunyai agenda laiin yang tersembunyi?

 

7.00 am. 27 Oktober 2008

Masjid Cina : Tuan Guru Nik Aziz Telah Mendahului

Tertarik saya apabila membaca komen Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang menyatakan sokongan kerajaan kepada pembinaan masjid Cina Muslim di negara ini. Kenyataan itu dibuat ekoran cadangan Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Noordin di Dewan Rakyat kelmarin mencadangkan agar dibina sebuah masjid untuk kaum itu di atas tapak Penjara Pudu di sini bagi menarik minat masyarakat Tionghua di sekitar kawasan Bukit Bintang memeluk Islam.

 

Ekoran kenyataan Zulkifli, timbullah pandangan yang berupa pro dan kontra di dada-dada akhbar. Ada pihak yang menyatakan pembinaan masjid ini akan membawa kepada perpecahan kerana berunsur perkauman. Bagaimanapun, mungkin dengan kenyataan Zahid hari ini membawa pendirian kerajaan yang bersetuju pada asasnya dengan cadangan Zulkifli tersebut.

 

Untuk rekod, YAB Menteri Besar Kelantan telah lama menimbulkan isu ini. Bahkan, kerajaan negeri Kelantan telah mendahului dengan membina sebuah masjid yang berunsurkan senibina kaum cina di Rantau Panjang. Dengan peruntukan sebanyak RM7.2 juta, Kelantan mengorak langkah yang tidak terlintas di benak pemikiran pemimpin-pemimpin yang lain. Masakah tidak, sewaktu Tuan Guru memikirkan apakah yang dapat disumbangkan kepada Islam, ramai orang lain hanya memikirkan bagaimana mengekalkan kuasa dan mendapatkan pencalonan yang terbanyak!

 

Benar… Islam bukan untuk Melayu sahaja. Melayu, Cina, India dan pelbagai kaum di Malaysia hanya boleh bersatu di atas nama Islam. Jika masing-masing bertekak dan berbalah atas nama ketuanan bangsa, sampai bila pun tidak akan berlaku perpaduan yang sejati di negara ini. Atas asas itulah, Tuan Guru seringkali menegaskan bahawa orang cina boleh menjadi Menteri Besar Kelantan asalkan beriman dan mempunyai kelayakan sepenuhnya. Sekali lagi pemikiran Tuan Guru terbukti berada di hadapan!

 

Untuk maklumat mengenai masjid ini, boleh dirujuk kepada alamat-alamat berikut :

 

http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=37057&start=all&postdays=0&postorder=asc&sid=fe447fdea2612b2b4224551e79b61eb2

http://demoloni.wordpress.com/2008/10/07/masjid-pagoda-di-rantau-panjang/

http://www.youtube.com/watch?v=T-BILxx5pjc

 

26 Oktober 2008