21 OKTOBER … GENAP 18 TAHUN KELANTAN DIPAYUNGI ULAMA

Hari ini 21 Oktober 2008. Genap 18 tahun setelah pilihanraya umum 1990 pada 20 Oktober 1990 yang menyaksikan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menyapu bersih semua kerusi DUN di Kelantan. Genap 18 tahun Kelantan dipayungi oleh pimpinan ulama yang diterajui oleh YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Juga genaplah jua 18 tahun Barisan Nasional melalui pelbagai usaha terus kempunan untuk menawan negeri Serambi Mekah ini.

 

Ketika PRU 1990, saya baru berusia 10 tahun. Masih segar di ingatan ketika ayahanda membawa saya mengikuti beberapa siri ceramah kempen pilihanraya dalam kawasan parlimen Pasir Mas. Ketika itu, sentimen anti-Mahathir sangat hebat selepas berlakunya perpecahan UMNO pada 1987. Penubuhan Semangat 46 dan penyatuan dengan PAS di dalam ikatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) telah diyakini akan dapat menawan Kelantan semenjak sebelum pilihanraya lagi. Bahkan, ramai yang merupakan penyokong UMNO di kampung-kampung beralih angin untuk menyokong Semangat 46 ekoran kekalahan Tengku Razaleigh merebut jawatan Presiden UMNO pada 1987 dalam perlawanan yang disifatkan sebagai berat sebelah.

Nyata sekali, takdir Allah SWT sungguh sempurna. PAS melalui perundingan dengan Semangat 46 diberikan lebihan kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Semangat 46 menumpukan kepada kerusi-kerusi Parlimen dengan matlamat untuk menawan Malaysia. Natijahnya, Kelantan berjaya dirampas daripada UMNO walaupun dalam masa yang sama Malaysia terus kekal di bawah Barisan Nasional.

 

TUAN GURU NIK AZIZ SEBAGAI PEMIMPIN

Ekoran kemenangan inilah, timbulnya nama Tuan Guru Nik Aziz sebagai pemimpin baru negeri Kelantan. Persoalannya, bolehkah ulama memimpin? Stigma ulama hanya sesuai di pondok dan di masjid membicarakan soal haid dan nifas mula terhakis sedikit demi sedikit dengan kehadiran Nik Aziz sebagai Menteri Besar. Bukan mudah untuk membuang persepsi negatif terhadap agamawan khususnya dari benak pemikiran orang Islam sendiri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, ulama menjadi pemimpin negeri atau negara. Walaupun dunia menyaksikan Khomenei selaku pemimpin agama bermazhab Syiah dan juga kehadiran Pak Natsir di Indonesia, tetapi secara realitinya, di Malaysia tidak pernah dilihat senario demikian.

Lantas, tidak keterlaluan jika dikatakan, kehadiran Nik Aziz selaku Menteri Besar mula merubah paradigma ini. Saya masih ingat, kehadiran ke kuliah pagi Jumaat tok guru di Dewan Zulkifli mula berlipat kali ganda. Demikian jua khabarnya di Masjid Pulau Melaka. Masyarakat mula ingin mengenali siapakah batang tubuh yang melakar sejarah ini.

Dalam masa yang sama, bukan sedikit tohmah dan kejian yang dilemparkan terhadap kerajaan baru di negeri Kelantan ini. Ada yang meramalkan ia hanya akan bertahan 3 bulan sahaja. Bahkan ada yang menyebut hanya beberapa minggu sahaja. Ternyata sekali, kata-kata ini semuanya tidak berasas. Hari ini, ia sudah tegak berdiri selama 18 tahun! Bahkan individu yang mengungkapkan kata-kata demikian pun samada sudah kembali ke rahmatullah atau tersingkir dari arus politik perdana.

Nyata sekali, kepimpinan ulama membuka mata masyarakat. Satu demi satu perubahan dibuat di negeri Kelantan ke arah kebaikan rakyat. Ada yang dipandang sinis oleh kerajaan Pusat namun akhirnya tetap ditiru. Sekadar menyebut beberapa contoh seperti penubuhan Ar-Rahn, cuti dua hari seminggu, cuti bersalin 60 hari, penubuhan maahad-mahad tahfiz, pengiktirafan sistem perbankan Islam dan banyak lagi dinilai oleh rakyat sebagai usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan kebajikan berteraskan ajaran Islam.

 

RAMUAN RAHSIA KERAJAAN PAS KELANTAN

Jika ada yang bertanya, kenapa kerajaan PAS Kelantan dapat terus tegak berdiri sekalipun diasak bertalu-talu? Bahkan pernah satu ketika hanya tinggal majoriti satu kerusi, dengan kelebihan dua undi! Apakah rahsianya ia terus tegak berdiri?

Tentu sahaja kita menjawab ianya kurniaan daripada Allah SWT. Tetapi faktor-faktor yang zahir bagi saya ialah kebijaksanaan pemimpin dalam menangani isu. Di Kelantan, banyak pihak perlu didepani secara bijaksana. Di sini ada istana, pegawai tadbir negeri (PTN), kakitangan kerajaan yang masih berfikrah UMNO dan sebagainya. Semuanya ditangani oleh pimpinan dengan cara yang bijaksana. Bahkan, apa yang saya nampak, kelembutan ini kadang-kadang diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu. Namun, itulah rahsianya kerajaan ini terus tegak berdiri.

Selain itu, faktor tokguru sebagai pemimpin juga tidak dapat dinafikan. Sekeras mana hati seorang penyokong UMNO sekalipun, mereka boleh lembut bila berdepan dengan insan yang digelar tokguru ini. Keikhlasannya dalam memimpin terpancar dari sinar jernih wajahnya. Beliau tidak hidup di banglo besar bernilai jutaan ringgit. Bahkan beliau boleh sahaja ditemui dengan mudahnya ketika mengerjakan solat berjemaah di masjid berdekatan rumahnya. Tanpa pengawal, tanpa kawalan keselamatan yang selayaknya, kesederhanaan beliau hakikatnya menundukkan hati pihak lawan. Bahkan setitis air mata tokguru jualah mungkin menarik puluhan ribu anak Kelantan pulang untuk menolak bakal menteri besar dari Bachok pada pilihanraya yang lepas.

 

CABARAN UNTUK MENGEKALKAN KERAJAAN PAS KELANTAN

Hari ini Menteri Besar Kelantan sudah semakin berusia. Bukan menjadi rahsia lagi hasrat beliau untuk berundur. Sayangnya, mungkin pengganti yang sesuai masih belum ditemui. Hakikatnya, tempoh 18 tahun sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk melatih seorang pengganti yang boleh memikul amanah kepimpinan. Namun, dari satu sudut, kita masih belum berjaya melahirkan generasi pengganti setanding tokguru.

Mungkin silap untuk berfikir agar pengganti sehebat tokguru. Tokguru ialah tokguru. Tiada dua dan tiganya. Tetapi itulah dia hasrat rakyat. Bakal Menteri Besar selepas tokguru akan memikul bebanan yang berat untuk mencontohi beliau.

Bagi pimpinan parti, itu mungkin tidak menjadi masalah. Kita pernah melihat kepimpinan Allahyarhan Datuk Asri yang dikatakan hebat sehingga tidak mungkin dapat diganti, tetapi akhirnya Allah datangkan Nik Aziz yang nyata lebih hebat. Tidak mustahil, bintang yang dicari sebenarnya ada tetapi cahayanya masih belum bersinar sepenuhnya. Bagi ahli-ahli parti PAS, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai pengganti oleh pimpinan akan dipatuhi sebaik mungkin. Tetapi bagi rakyat, mereka mahukan insan sehebat dan setanding tokguru.

Siapapun yang muncul selepas ini, hakikatnya dia perlu memikul amanah yang besar dalam meneruskan legasi tokguru. Percayalah, hari demi hari kita akan menghadapi saat kehilangan kepimpinan tokguru nanti. Individu boleh datang dan pergi, tapi perjuangan akan terus tegak berdiri hendaknya.

Selain itu, kita juga berdepan dengan cabaran perebutan kepentingan yang semakin hebat. Generasi yang sedang menikmati kemenangan hari ini bukanlah generasi yang sama menebas dan membuka hutan meraih sokongan rakyat. Generasi hari ini ialah yang lahir dalam keadaan buah-buah kemenangan sedang masak ranum. Lalu, berlakulah perebutan kepentingan sehingga menyamai tabiat sekular UMNO. Jawatan penghulu, lantikan politik malah untuk menjadi calon sekalipun, kita sudah tidak malu untuk berarak ke pejabat MB. Lebih teruk lagi, perangai sebegini disiarkan pula dalam akhbar untuk ditonton oleh masyarakat. Kita semakin sibuk berbicara soal siapakah yang mendapat projek itu dan ini sehingga melupai asas perjuangan kita yang sebenar. Mujurkan ada UMNO yang jauh lebih buruk dari kita, maka tidaklah kelihatan jerawat dan jeragat batu yang semakin menghodohkan wajah kita!

Sungguh bimbang sekali, andai keadaan ini tidak dikawal, maka PAS dan UMNO hanya akan berbeza dan sudut ejaannya sahaja!

 

HARAPAN

Semoga kerajaan ini terus tegak berdiri. Bukan untuk 18 tahun lagi, bukan jua untuk 180 tahun lagi. Tetapi untuk selama-lamanya. Tokguru akan pergi, kita akan pergi, anak-anak kita hari ini pun akan pergi. Tetapi, tonggak kepada perjuangan inilah yang sedang kita semai sekarang. Kerajaan ini hanya akan kekal jika Islam yang menjadi intipati perjuangannya terus dijunjung oleh segenap lapisan pendokong.

Semoga Allah melindungi kerajaan PAS Kelantan.

 

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

21 OKTOBER 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: