16 September : PAS Tidak Hipokrit

Saya tertarik mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Penerangan -yang tewas dalam perdebatan isu minyak- di Buletin Pagi TV3, 3 September yang menyatakan PAS khususnya kerajaan Kelantan telah bersikap hipokrit apabila menyokong 16 September dijadikan cuti umum seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, sejarah menyaksikan bagaimana PAS telah menentang usaha pembentukan Malaysia ini sehingga membawanya ke mahkamah yang akhirnya ditolak. Lantas katanya, PAS langsung tidak layak untuk berbicara mengenai 16 September.

Memang seronok berhujah dengan menggunakan fakta sejarah yang sekerat. Apatah lagi kalau anda merupakan Menteri Penerangan yang menguasai segenap media. Sekalipun anda kalah berdebat dan berjanji untuk meletakkan jawatan sebelumnya, tiada siapa yang akan mengingati janji anda kerana anda seorang Menteri Penerangan. Cuma, berbanding dengan Menteri Penerangan sebelum ini –yang menterjemahkan pilihan raya sebagai erection-, anda sedikit lebih baik daripadanya.

PAS tidak hipokrit di dalam soal cuti 16 September ini. Di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, hipokrit diertikan sebagai (orang yg) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, (orang yg) memperlihatkan keadaan diri yg berlainan drpd yg sebenarnya, munafik. Adakah PAS sedemikian?

PAS Di Era Pembentukan Malaysia

Benar, Parti Islam Se-Malaya (PAS) mengambil pendirian untuk menentang gagasan pembentukan Malaysia yang dijadualkan pada 31 Ogos 1963 yang akhirnya ditangguhkan ke 16 September 1963. Betulkan saya kalau silap, namun seingat saya, sejarah mencatatkan, bukan sahaja PAS yang tidak bersetuju dengan gagasan Malaysia, bahkan kesemua parti-parti pembangkang di kesemua wilayah yang terlibat bangun menentang. Gagasan Malaysia menyaksikan penentangan hebat Partai Rakyat dan Parti Buruh Malaya yang bergabung dengan Front Socialist Rakyat Malaya, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Parti Konvensyen bersama-sama dengan PAS. Di Singapura, Barisan Sosialis, Partai Rakyat Singapura dan Parti Pekerja juga menentang. Di Brunei, Sabah dan Sarawak, Partai Rakyat Brunei bergabung dengan Parti Pasok Momongun di Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) turut sama menentang gagasan ini.

Tokoh-tokoh yang terdiri daripada Dr Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman, Lim Kean Siew, S.R Seenivasagam dan Abdul Aziz Ishak ialah di antara nama-nama yang masyhur di Malaya sebagai penentang kuat kepada gagasan pembentukan Malaysia. Kenapakah mereka mengambil sikap sedemikian?

Hakikatnya, idea pembentukan Malaysia tidak lain hanyalah merupakan strategi British yang ingin mengekalkan penguasaan di Asia Tenggara selepas bagi mereka Indonesia telah dikuasai komunis melalui Seokarno. Mimpi yang dicipta oleh British inilah yang akhirnya ditelan oleh sebahagian daripada pemimpin-pemimpin yang merupakan anak didik penjajah.

Ia bermula selepas Perang Dunia Kedua di mana kuasa-kuasa Barat mula bimbang akan kehilangan kepentingannya di rantau Asia Pasifik. Ekoran itu, mereka mencipta satu teori yang dinamakan teori domino. Teori yang cepat merebak dan menghantui kepala sebahagian pemimpin di Asia Tenggara ini mengandaikan kemaraan komunis dari utara. Kalau Vietnam ditakdirkan menjadi komunis, Kampuchea dan Laos juga pastinya akan turut sama menjadi komunis. Thailand pula akan turut sama menjadi komunis dan akhirnya akan merebak ke Selatan dengan Malaya dan Singapura juga pasti menjadi negera komunis. Teori domino ini diperkuatkan dengan tanggapan bahawa Indonesia pada masa itu sendiripun sudah menjadi negara komunis.

Oleh yang demikian, British melihat perlunya wilayah-wilayah yang di bawah takluknya bersatu di bawah satu panji-panji agar mudah dikendalikan. Dengan pengkalan tentera British masih megah berdiri di Singapura, Malaysia yang dirancangkan itu akan lebih mudah dikendalikan terus di bawah pengaruh British. Lalu terbitlah cadangan pembentukan Malaysia yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Sekalipun PBB telah menetapkan bahawa pungutan suara di kalangan rakyat yang terlibat perlu dijalankan terlebih dahulu, British awal-awal lagi menyatakan, Malaysia tetap akan lahir pada 31 Ogos 1963 walau apa pun yang terjadi!

Inilah yang ditentang oleh PAS dan barisan pembangkang yang lain. Bukan penyatuan Malaysia yang menjadi isu, isu yang sebenar bagi PAS ialah penguasaan yang berterusan oleh British ke atas Tanah Melayu. Dengan menjadikan komunis sebagai mimpi buruk, British telah berjaya mempengaruhi Tunku Abdul Rahman dan Lee Kuan Yew untuk bergabung seterusnya berada di perlindungan British bagi menghindari merebaknya fahaman komunis.

Penentangan PAS terhadap gagasan Malaysia bukan bermakna menyokong komunis. Tetapi ancaman yang dikatakan itu masih terlalu awal untuk ditangani dengan pembentukan Malaysia. Bahkan lebih jauh lagi sebenarnya dakwaan komunis itu hanyalah satu tuduhan sebenarnya bagi menidakkan kebnagkitan nasionalis Melayu yang dipimpin oleh Seokarno. PAS dan barisan pembangkang lebih menggemari konsep Melayu Raya yang akan menggabungkan seluruh Kepulauan Tanah Melayu. Bukan sahaja wilayah yang dikatakan akan membentuk Malaysia, bahkan ia termasuk Indonesia, melebar sehingga Filipina. Bahkan, pada masa itu, idea pembentukan Maphilindo (Malaya-Philipina-Indonesia) sedang hebat dibicarakan.

Inilah yang dibenci oleh British. Membenarkan nasionalis tulen menguasai bekas tanah jajahan bererti menidakkan terus kawalan langsung dari penjajah. British lebih gemar agar anak didik mereka sendiri yang menjadi pemerintah. Justeru itulah, saya berpandangan sebenarnya UMNO yang menerima kemerdekaan daripada British bukanlah nasionalis yang sebenar. Islam pun tidak, nasionalis pun tidak… entah apa sebenarnya status surat beranak UMNO ini.

Sokongan terhadap gagasan Melayu Raya dan penentangan terhadap pembentukan Malaysia ini sebenarnya satu bukti jatidiri Melayu sejagat. Penentangan ini bersatu dengan orang-orang bukan Melayu yang membenci boneka-boneka penjajah. Implikasinya, Dr Burhanuddin, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestaman dan Aziz Ishak di Malaya serta Lim Chin Song, Lim Hock Siew dan Poh Soo Kai di Singapura disumbat ke dalam penjara. Tidak termasuk di dalam senarai pemimpin-pemimpin UMNO kerana mereka bersedia sahaja menjadi alat kepada penjajah meneruskan dominasi penguasaan politik di tanah bekas jajahan.

Malaysia terbentuk jua akhirnya. Walaupun Seokarno melancarkan konfrontasi Ganyang Malaysia, ia berjaya ditumbangkan dengan bantuan seluruh jentera perisik, politik dan ketenteraan milik British, Amerika dan Australia. Beratus-ratus ribu rakyat Indonesia diborong bunuh di atas alasan memerangi komunisa hanya kerana menyokong Seokarno. Pergolakan yang menyaksikan Seokarno tumbang akhirnya dan tertegaknya sebuah kuasa neokolonialisme pimpinan Suharto.

Sejarah Telah Terlakar

Malaysia telah terbentuk dengan kegagalan Melayu Raya dan gagasan Maphilindo. Hari ini kita menyaksikan tumbuhnya negara seperti Singapura yang lahir ekoran kegagalan umat Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia bersatu. Sejarah mungkin berubah sekiranya Tanah Melayu dan Indonesia disatukan, hari ini mungkin kita tidak mendengar sebarang ancaman atau masalah dengan Singapura yang tentunya termasuk di dalam gugusan negara besar ini.

Apapun, sejarah telah terlakar. Penentangan PAS terhadap gagasan Malaysia telahpun tinggal sejarah. Ia merupakan penentangan yang berprinsip. Apapun, tarikh 16 September 1963 tetap dianggap sebagai sebagai tarikh bersejarah yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai Tanah Melayu. Apa yang ditentang PAS bukannya penyertaan dua buah negeri ini, tetapi agenda di sebalik pembentukan Malaysia pada masa itu.

Lantas, sikap YAB Tuan Guru Nik Aziz yang menyokong 16 September dijadikan cuti umum sama sekali bukan sikap hipokrit. Ia merupakan satu bentuk solidariti dan sokongan serta penghargaan kepada Sabah dan Sarawak yang tidak pernah PAS menjadi anti kepada keduanya. Sewajarnya Shabery Chik perlu mememahami susur galur ini sebelum melemparkan tuduhan sebarangan.

PAS mempunyai prinsip dahulu dan kini. Kalaupun Shabey Chik ingin mencari ornag yang hipokrit, mungkin kita boleh tunjukkan individu-individu yang dulunya kuat berjuang menentang kerajaan dalam Semangat 46 tetapi kini sudah menjadi menteri..

3 September 2008

2 Responses

  1. Sejak bila hang start amik kira dgn menteri buih mulut nih?

    Tak yah layan dah dia ni. Cukuplah dgn DSAI malukan dia kat debat hari tu, disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia bagaimana berbuihnya mulut dia untuk mempertahankan yg batil…

    “Lagikan Naga kita dah lawan, inikan pula cicak mengkarung ”

    Re-For-Ma-Si !
    Re-For-Ma-Si !
    Re-For-Ma-Si !

  2. tulisan ambo ni nok suruh masyarakat tahu fakta sebenar dalam sejarah. tu je niat ambo………….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: