Abdullah Tidak Sepatutnya Menyindir Najib

“Ada orang yang buat salah tetapi tidak mengaku…”, demikian sindiran yang dibuat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membuat pembentangan bajet petang tadi. Ternyata sekali sindiran yang sedemikian tajam ditujukan kepada timbalannya sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukankah satu Malaysia sudah pun mengetahui tuduhan yang dilemparkan kepada Najib berhubung dengan isu pembunuhan Altantuya? Isu pembunuhan model Moggolia itu bukan lagi rahsia mempunyai kaitan dengan Razak Baginda yang merupakan orang kanan Najib. Meleret pula kepada isu komisyen pembelian kapal selam, nama Najib dan Altantuya bagaikan tidak dapat dipisahkan sama sekali. Sebut sahaja Altantuya, tersebut juga nama Najib. Sebut sahaja nama Najib, terkait juga perkataan Monggolia.

Bermula dengan pilihanraya kecil Ijok, sehingga kepada pilihanraya umum yang lepas, bahkan dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh pun, tidak habis-habis nama Najib dikaitkan dengan Altantuya. Sehingga Najib bukan sekali bersumpah dengan nama Allah menafikan hubungannya dengan gadis Monggolia itu. Sumpah Najib dibuat lama sebelum sumpah mubahalah Saiful bahkan selepas sumpah mubahalah itupun, Najib terus mengekori Saiful dengan turut bersumpah sekali lagi, dan sumpah kali kedua ini dibuat di atas masjid. Maknanya kalau mengikut mufti Wilayah Persekutuan yang ’mempunyai kredibiliti membaca kitab-kitab arab’, sumpah Najib tidak harus dipandang ringan, bahkan sepatutnya setiap yang bernama Islam perlu mempercayainya kerana ia dibuat di atas nama Allah.

Sayangnya, Abdullah bagaikan menafikan sumpah ini. Secara terbuka Abdullah menyindir Najib, sesuatu yang hanya dilakukan oleh Dr Mahathir semasa menyindir Anwar Ibrahim dengan cerita Brutus satu ketika yang lampau. Tidaklah dapat dipastikan apakah reaksi Najib pada masa itu. Samada Najib tersenyum atau masam mencuka, ia tidaklah membayangkan apa yang ada di hati kecilnya. Samalah ketika Najib mengatakan UMNO mempunyai harapan cerah untuk menang di Permatang Pauh, tentulah di sudut hatinya sudah merasakan peluang UMNO untuk menang amat tipis sama sekali. Masakan harapan cerah bertukar kepada kekalahan dengan 15,000 majoriti!

Abdullah perlulah sedar bahawa seseorang itu tidak dikatakan bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Dalam hal ini, Najib belum pernah dikaitkan secara pasti di dalam mahkamah mengenai kaitannya dengan Altantuya. Tidak ada mana-mana mahkamah yang telah mebuat pengesahan terhadap kaitan Najib sekalipun Razak Baginda merupakan orang kanannya. Lantas, langkah Abdullah membuat sindiran terbuka kepada Najib haruslah dikesali sama sekali. Ia telah membuka satu lagi medan fitnah yang amat dahsyat kepada Najib.

Seharusnya Abdullah lebih berhati-hati di dalam soal ini. Persepsi masyarakat terhadap hubungan baik Abdullah-Najib boleh berubah apabila Abdullah menepuk-nepuk bahu Najib apabila mengatakan ‘kawan semasa susah sukar untuk dicari’. Apakah motif Abdullah kalaulah tidak untuk membuat sindiran kepada bakal penggantinya itu?

Oleh yang demikian, kita berharap agar janganlan Najib disindir sedemikian rupa pada masa-masa yang akan datang. Jika sindiran seperti ini dibiarkan berleluasa, orang awam akan mula meyakini bahawa Najib bersalah sekalipun belum dibuktikan sebagai bersalah!

29 Ogos 2008

Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu

http://www.arkibkelantan.pas.org.my/kj/kj290808a.wmv