Semoga Kemenangan Permatang Pauh Satu Kemenangan Kepada Islam

Sebentar tadi bertalu-talu sms hadir ke telefon bimbit saya mengesahkan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Walaupun kemenangannya sudah dijangka awal sebaik saja masa pengundian tamat, namun mendapat majoriti sehingga 15 ribu ialah satu kejayaan yang di luar dugaan sama sekali. Ditambah dengan jentera kerajaan bekerja sepenuhnya serta jampi serapah pak-pak menteri yang tidak putus-putus turun di Permatang Pauh, majoriti mengatasi pilihan raya umum yang lalu benar-benar merupakan satu kemenangan yang cukup bergaya.

Hilang sudah segala ‘peluang cerah’ yang dihebohkan oleh Najib, demikian juga ‘yakin menang’ oleh Ariff Shah juga turut hanyut bersama senarai angka bertuahnya, jelas sekali rakyat sudah berada di kemuncak tertinggi kebencian terhadap kerajaan UMNO/BN sehingga pilihan raya kecil ini menyaksikan majoriti kekalahan buat UMNO/BN yang tertinggi di dalam sejarah Malaysia. Pilihanraya kecil yang biasanya menyaksikan kelebihan kepada kerajaan hari ini melakar rekod yang sama sekali tidak diduga. Mungkin sekiranya Anwar yang bertanding di dalam pilihanraya umum yang lalu, majoriti melebihi 20 ribu tidak sukar untuk dicapai.

Tidaklah dapat dipastikan apakah tajuk berita utama yang akan terpampang di dada-dada akhbar esok hari. Mungkinkah ‘Ariff Shah Kalah Tipis’ atau ‘Keganasan Pembangkang Punca UMNO Kalah’atau juga ‘Anwar GAGAL Meraih Majoriti 20 Ribu’. Entahlah, sifir akhbar-akhbar yang meloyakan ini sukar untuk ditelah dengan akal logik dan rasional. Mungkin juga berita Permatang Pauh ini akan menjadi lebih kecil dari Senyum Kambing, tidak mustahil dalam arena kewartawanan di Malaysia. Entahlah apa pula perasaan Saiful Mubahalah dan Ezam pada saat ini.

Apa pun, dalam kegembiraan menyambut kemenangan ini yang mungkin sekali akan merebak ke Putrajaya, apakah ia memberikan kredit kepada ketuanan Islam? Di dalam keadaan hubungan ‘kahwin tidak mesra’ PAS dan DAP sebagaimana hari ini, apakah natijah yang akan dicetuskan oleh kemenangan di Permatang Pauh hari ini?

Seorang pejuang tentu sekali tidak hanya sekadar berpuas hati dengan sebuah kemenangan di dalam pilihan raya, kerana ia hanya berpuas hati apabila kemenangan itu memberikan sumbangan kepada perjuangan yang didokong selama ini. Fikirkanlah sewaktu masa masih berbaki….

10.15pm

26 Ogos 2008

Kenapa Sekarang Saiful?

Melihat kepada media-media massa yang semakin menjadi-jadi sikap berpihak kepada UMNO/BN khususnya dalam kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh menjadikan kita semakin benci dan meluat. Jelas sekali media massa utama ini masih belum serik dengan penolakan rakyat jelata yang ditunjukkan dalam pilihan raya ke 12 yang lalu.

 

Hari ini, Utusan Malaysia sekali lagi berusaha memesongkan minda rakyat dengan tulisan-tulisan murahan yang bertujuan tidak lain hanyalah untuk menjadi pencacai kepada rejim UMNO/Barisan Nasional. Tulisan yang bertajuk Kenapa Baru Sekarang Ramlang Porigi? itu jelas sekali dirangka dan disiarkan untuk memahat sokongan kepada UMNO di dalam akhbar yang mendakwa diri mereka sebagai Penyebar Fikiran Rakyat.

 

Nampaknya, terpukul benar kempen UMNO di Permatang Pauh dengan kehadiran imam tersebut di atas pentas PKR. Kalau tidak, masakan pula orang nombor dua sendiri yang bertindak memberikan ulasan. Bukan setakat orang nombor dua, bahkan Mufti Wilayah Persekutuan yang khabarnya turut menjadi tukang kempen UMNO/BN di Permatang Pauh pun tidak ketinggalan memberikan pandangan. Bersungguh benar Sohibus Samahah ini mempertahankan sumpah Saiful seolah-olah teringin benar untuk menyertai dunia politik. Harapnya di dalam pilihan raya ke 13 nanti, mufti ini boleh terjun bertanding di Wilayah Persekutuan. Manalah tahu, dengan takdir Allah boleh menjadi menteri bahagian agama, dapat juga peluang untuk menyampaikan hadiah di pertandingan tilawah al-Quran.

 

Tulisan di dalam Utusan Malaysia tersebut seolah-olah mempertikaikan kenapa baru sekarang Ramlang Porigi mengeluarkan kenyataan. Lupakah Utusan Malaysia terhadap isu yang lebih besar iaitu kenapa sekarang Saiful bertindak melafazkan sumpah? Bersungguh benar Saiful menyatakan sumpahnya tiada kaitan dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh, benarkah demikian? Adakah secara kebetulan sahaja sumpah Saiful berlaku sehari sebelum penamaan calon, lantas para menteri yang ’berfikir di luar kotak’ itu menyatakan ia bukan isu politik? Kalau demikian, kenapa isu liwat dicanangkan sampai bergegar Jambatan Pulau Pinang dalam masa kempen pilihanraya ini? Kerana itu, daripada Utusan sibuk mempertikaikan kenyataan Ramlang Porigi, lebih baik pertikaikan niat sebenar Saiful bersumpah ketika kempen pilihanraya Permatang Pauh. Tidak bolehkah ditunggu barang seketika untuk bersumpah supaya ia tidak menjadi isu?

 

Bodoh sangatkan rakyat ingin percaya kepada penafian Saiful bahawa sumpahnya tiada kaitan dengan politik? Bodoh sangatkan rakyat ingin percaya seorang tua boleh meliwat seorang muda yang gagah perkasa dengan secara paksa? Kalaupun Wan Zahidi mahu percaya, silakanlah. Tapi tolonglah, janganlah diheret rakyat untuk menjadi bodoh bersama.

 

Paling penting, Ramlang Porigi menyatakan bahawa majlis sumpah tersebut diatur oleh seorang pegawai Najib. Hai.. Najib pun turut terbabit sekali lagi dalam kronologi kes liwat ini. Lantas, siapakah yang sedang bermain politik dengan isu liwat…

 

26 Ogos 2008