Ibrahim Abu Shah Berterima Kasih Kepada Khalid

Tidaklah saya mengetahui apakah alasan yang tepat daripada ’cadangan bijaksana’ Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung dengan kuota kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM. Akhbar-akhbar perdana sebagaimana biasa bukanlah sejenis makhluk yang boleh dipercayai dalam kes ini. Bahkan sekiranya anda bersua dengan seekor ular dan senaskhah akhbar, tidak mustahil dalam keadaan tertentu anda perlu membakar akhbar terlebih dahulu sebelum memukul ular….

 

Adapun berkenaan dengan cadangan Khalid, sememangnya mengundang kontroversi. Apatah lagi kalau sekiranya memang niat beliau untuk mencetuskan kontroversi, beliau sudah boleh dianggap sebagai berjaya. Menurut akhbar, lebih kurang 5 ribu mahasiswa UiTM berarak dan berdemonstrasi (tentunya tanpa halangan dari FRU) ke pejabat MB Selangor untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap cadangan MB Selangor itu.

 

Paling hebat beraksi dalam Buletin Utama TV3 malam tadi ialah Naib Canselor UiTM, Dato’ Seri Prof Ibrahim Abu Shah. Ketara sangat semangat cintakan bangsa dan tanah air dalam kecamannya terhadap cadangan Khalid. Sehingga terlupa untuk berbicara dalam bahasa Melayu, nampaknya Ibrahim benar-benar marah dengan cadangan dari seorang yang tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kuota pelajar di UiTM.

 

Cadangan Khalid sebenarnya memberikan peluang kepada orang seperti Ibrahim menonjolkan diri semula. Siapakah lagi yang tidak kenal dengan orang kuat UiTM ini yang begitu tegar mempertahankan kepentingan UMNO/BN? Bahkan sejarah kenaikan pangkat serta penempatan para pensyarah di UiTM sendiri banyak dibayangi oleh kepentingan politik murahan UMNO yang didalangi oleh Ibrahim Abu Shah.

 

Lantas, tidak pelik apabila Ibrahim pantas bersuara dalam isu ini. Demikian juga dengan reaksi segera pimpinan UMNO yang kononnya bersuara di atas kepentingan Melayu. Mereka lupa bahawa Khalid hanya memberikan cadangan sahaja bahkan beliau sendiri pun tidak mempunyai barang sekelumit kuasa untuk menguatkuasakan cadangan tersebut. Tetapi UMNO, begitu kuat menjaga kepentingan negara sehingga hampir tergadai sebuah lagi pulau selepas Batu Putih, di mana pula reaksi pendekar-pendekar bangsa ini? Sewaktu UMNO/BN memperkenalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2004 yang menyaksikan ketiadaan kawasan tambahan di negeri-negeri bermajoriti Melayu, di manakah pergi pendekar-pendekar bangsa ini? Demikian juga apabila Sains dan Matematik diajar di dalam bahasa Inggeris, tidak pula kelihatan mana-mana pemimpin UMNO bangun berdiri sebagai pahlawan gagah berani!

 

Kuota bumiputera di UiTM isu yang penting. Tetapi tidak kurang pentingnya ialah kuota penyertaan bumiputera di dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar. Apa khabar bumiputera di sana?

 

Kerana itu, Ibrahim Abu Shah cukup beruntung dengan cadangan Khalid ini. Dalam kekalutan ini, dia mampu muncul sebagai hero. Cuma yang lebih memelikkan ialah langkah Khalid Ibrahim yang membuat cadangan ini…..

 

13 Ogos 2008