Perbezaan Pandangan : Cabaran Kepada Kepimpinan

 

Malam semalam, pulang dari masjid dan selepas seisi rumah sunyi dan sepi, tangan saya gatal untuk memicit butang televisyen menyaksikan berita larut malam TV3. Kemudiannya, satu filem hollywood Crimson Tide menghiasi kaca televisyen. Jarang sekali saya menonton televisyen sehingga larut malam, tetapi kali ini memandangkan beberapa minit pertama, tiada unsur cinta dan ’mengarut’ dipaparkan, rasanya elok juga untuk saya menatap satu lagi propaganda Amerika Syarikat yang berjaya diimport masuk ke negara umat Islam. Benar sekali telahan saya, ia tidak lain hanyalah satu filem propaganda yang memaparkan kehebatan sebuah negara pengganas, Amerika Syarikat di dalam berdepan musuh perang dinginnya, Rusia.

 

Filem yang diterbitkan pada tahun 1995 ini mengisahkan bagaimana dua orang pegawai tertinggi Tentera Laut Amerika di dalam sebuah kapal selam, USS Alabama mengendalikan misi meronda ketika krisis rampasan kuasa di Rusia yang dipimpin oleh seorang pemimpin pemberontak, Vladimir Radchenko. Ancaman serangan nuklear terhadap Amerika daripada pemberontak Rusia menyebakan pelayaran USS Alabama dikendalikan dengan penuh berhati-hati dan taktikal.

 

Dua orang pegawai tersebut, Kapten Frank Ramsey (lakonan Gene Hackman) dan Pegawai Eksekutif, Lieutenant Commander Ron Hunter (Denzel Washington) akhirnya bertelagah selepas hubungan komunikasi USS Alabama terputus akibat serangan musuh. Perselisihan berlaku ekoran keputusan Ramsey untuk meneruskan serangan ke arah kedudukan musuh sementara Hunter berpandangan agar komunikasi diperbaiki terlebih dahulu untuk mendapatkan arahan terkini daripada pihak atasan adakah serangan perlu dilancarkan atau tidak. Menurutnya, sekiranya serangan dilancarkan sedangkan ia sudah diarahkan untuk ditarik balik, ia pastinya akan mencetuskan konflik peperangan nuklear yang akan menyaksikan berjuta-juta manusia menjadi korban.

 

Kemuncak ketegangan ialah apabila Hunter mengarahkan agar Ramsey ditahan dan pentadbiran USS Alabama diambil alih bagi menunggu hubungan komunkasi diperbaiki seterusnya menerima arahan selanjutnya dari pihak atasan. Ramsey pula bertindak balas dengan mempengaruhi beberapa pegawai kanan agar membelot seterusnya mengambil langkah menawan Hunter dan penyokong-penyokongnya.

 

USS Alabama, sebuah kapal selam canggih yang berupaya melancarkan serangan nuklear kini dikendalikan oleh dua nakhoda. Anak-anak kapalnya berpecah kepada dua kumpulan hasil kegagalan dua orang ketua yang berbeza pandangan. Walaupun natijah akhirnya menyaksikan ketepatan pandangan Hunter, hakikatnya perbezaan pandangan di antaranya dengan Ramsey hampir-hampir menyebabkan pertumpahan darah dan mengakibatkan seluruh anak kapal dalam keadaan keliru untuk berpihak di sebelah mana.

 

Itulah dia cabaran dalam kepimpinan. Walaupun Crimson Tide ini bukanlah contoh yang terbaik untuk mengutarakan persoalan ini, namun sebagai satu pelajaran, kepimpinan bukan sahaja persoalan bagaimana untuk memimpin tetapi bagaimana untuk mengendalikan perbezaan pandangan.

Di dalam sebuah gerakan Islam, tentunya perbezaan pandangan juga merupakan satu lumrah. Bahkan perbezaan pandangan bukan sahaja berlaku hari ini, ia telah berlaku semenjak Rasulullah SAW memimpin sahabat-sahabatnya. Perbezaan di dalam menentukan kedudukan tentera Islam di medan Badar, perbezaan sekitar isu tawanan Badar yang akhirnya diputuskan oleh wahyu sehinggalah kepada perbezaan sikap para sahabat di dalam menerima perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tentulah ia dapat dikendalikan dengan sebaiknya memandangkan pemimpinnya ialah nabi yang mendapat petunjuk wahyu.

 

Bagaimana pula selepas wahyu terputus? Masih lagi berlaku perbezaan pandangan dan masih dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Lihatlah Abu Bakar ketika dibantah keputusannya untuk memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Orang yang membantah bukanlah individu sebarangan, ia tidak lain ialah Umar al-Khattab. Namun, perbezaan pandangan ini bukan alasan untuk berpecah. Umar patuh kepada keputusan orang yang telah diangkat olehnya sebagai pemimpin. Mengikut selepasnya ialah zaman fitnah yang melanda para sahabat, perbezaan pandangan yang ditambah peranan golongan syiah menyebabkan berlakunya peperangan saudara yang memakan korban. Kebanyakan para sahabat mengambil sikap untuk tidak berpihak kerana meyakini itulah sebaik-baik pendirian ketika menghadapi fitnah ini. Ternyata, sikap kebanyakan sahabat ini menyelamatkan sebahagian besar umat Islam dari turut terjebak dengan perang saudara.

 

Demikianlah cabaran di dalam kepimpinan. Seorang pemimpin yang baik bukanlah yang berjaya mewujudkan rakyat yang ‘dengar dan patuh’ sahaja, tetapi seorang yang berjaya mewujukan rakyat yang ‘patuh dan berfikir’. Gerakan Islam tentunya tidak menyekat anggotanya berfikir, tetapi tidak pula menggalakkan mereka sentiasa memberontak melawan kepimpinan. Kepimpinan yang baik sekalipun tidak akan berhasil sekiranya mempunyai ahli yang tidak berkualiti. Demikian jugalah ahli yang berkualiti tidak bermakna sekiranya dipimpin oleh kepimpinan yang gagal. Apatah lagi kalau kedua-duanya ; kepimpinan dan ahli sama-sama gagal untuk berfungsi!

 

PAS di era pasca PRU 12 sepatutnya lebih matang mendepani isu-isu perbezaan pandangan. Kita berdiri bukan setahun, bukan sepuluh tahun, bahkan sudah melepasi separuh abad. Janganlah hanya kerana gagal merebut tempat di Majlis Daerah, kita sudah mengangkat kepala berkata ‘tidak’ kepada kepimpinan. Jangan jua hanya kerana gagal merebut projek dan tender, sudah berbakul sumpah seranah kita lemparkan kepada pimpinan yang selama ini kita sanjungi. Pedih telinga mendengar kata-kata, “Pemimpin kita sudah kaya, mereka sudah puas hati dengan jawatan. Kita yang di bawah ini tidak mendapat apa-apa..” Saudaraku, untuk apa perjuanganmu selama ini? Untuk mendapat tempat di majlis daerahkah? Atau mendapat di syurga? Pohonlah berlindung dari Allah, janganlah kemenangan yang secebis ini sudah menggadaikan niat suci kita dalam perjuangan ini.

 

Pada saat-saat genting seperti inilah, kepatuhan kepada kepimpinan benar-benar teruji. Bahkan kepimpinan pun seringkali diuji dengan pelbagai isu yang menyaksikan perbezaan pandangan yang kadang-kadang kelihatan dengan ketara. Namun harapan saya, ia tidaklah menyebabkan berlakunya perpecahan di antara kita.

 

Kerana itu, apabila kelmarin YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menyebut kenyataan yang bagi saya mengejutkan, bahawa terdapat segelintir pihak di kalangan Pakatan Rakyat dengki dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya berharap pihak yang dimaksudkan oleh Tuan Guru bukanlah saf kepimpinan yang kita hormati. Saya kira kenyataan ini satu perkara yang mengejutkan, bahkan beberapa pihak meminta pandangan saya di dalam isu ini, saya hanya mampu mengelengkan kepala menyatakan tidak tahu. Harapnya, Tuan Guru tidak memaksudkan pihak yang turut berada di saf kepimpinan. Apatah lagi selepas Tuan Guru Presiden menyatakan komitmen PAS untuk membantu kempen Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Lalu, siapakah yang dimaksudkan itu? Harapnya tidaklah nanti senario ini memecah belahkan kita. Mungkin USS Alabama boleh selamat selepas perbezaan pandangan, namun PAS belum tentu.

 

10 Ogos 2008.

One Response

  1. kepimpinan yg baik akan menjadikan rakyat selamat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: