Berhati-hati Dengan UMNO

 

Kalimah muzakarah kembali menguasai media massa hari ini. Nampaknya kali ini mungkin ia akan menjadi kenyataan. Selepas beberapa siri lirikan mata antara PAS-UMNO, proses ke arah muzakarah yang pada mulanya mungkin dianggap sebagai cerita dongengan dan penglipur lara kini seolah-olah mula menjadi realiti.

 

Muzakarah atau apa jua jenis perbincangan sekalipun tidaklah dihalang di dalam Islam. Di atas nama dakwah, Islam perlu disebarkan walau dengan apa jua jalan sekalipun. Bagaimanapun, suasana pada hari ini perlulah dinilai dengan pelbagai persepsi. UMNO dengan sejarahnya yang penuh tipu daya dan perangkap adalah sejenis spesis musuh yang hidup di atas dasar yang sama sekali bertentangan dengan Islam. Meletakkan kepercayaan kepada UMNO samalah seperti mendedahkan tubuh badan kepada sang parasit untuk menghisap darah lantas menggemukkan tubuhnya sendiri sebelum meninggalkan mangsa yang telah pun kehilangan darah.

 

Kenapa isu muzakarah muncul pada saat ini? Kalau sekiranya di atas dasar kepentingan Melayu-Islam, kenapa ia tidak muncul sebelum pilihan raya yang lepas. Pada saat BN masih mempunyai kuasa yang besar dan menguasai seluruh inci Malaysia sehingga meninggalkan hanya dua undi untuk mengekalkan nyawa ikan PAS Kelantan, kenapa tidak ada seruan untuk bermuzakarah?

 

Tidak ada jawapan lain kecuali hanyalah kerana UMNO sudah berada dalam keadaan tertekan. Kekalahan yang dialami dalam pilihan raya menyebabkan mereka terkejut dan hilang arah. Oleh sebab UMNO hidup di atas dasar projek dan habuan, maka kekalahan dalam pilihan raya akan menatijahkan kegagalan untuk menguasai projek dan mengenyangkan perut-perut pembiaya kempen pilihan raya. Inilah yang akhirnya membawa kepada krisis kepimpinan pada di dalam UMNO pada hari ini. Apabila Pak Lah mengumumkan tarikh pencennya, tidak ada mana-mana pencacai UMNO yang menghalang niat suci Pak Lah. Tidak ada mana-mana pimpinan wanita UMNO yang menangis-nangis berlari menahan Pak Lah daripada berhenti sehingga tercabut tumit kasut. Seolah-olah masing-masing mengalu-alukan niat Pak Lah.

 

UMNO sungguh berbeza dengan PAS dalam menerima kekalahan. PAS ketika mengalami kemerosotan undi di dalam  tahun 2004 tidak pernah melatah untuk memberontak terhadap kepimpinan. Sungguh, ketertiban dalam PAS adalah satu perkara yang sangat-sangat ganjil dalam budaya UMNO. Dalam kekalutan UMNO berdepan dengan saat-saat kehancuran inilah, tiba-tiba kedengaran suara untuk bermuzakarah. Pada saat di mana UMNO sudah tidak lagi dipercayai untuk membela nasib Melayu dan Islam. Pada saat di mana PAS sudah mula diterima sebagai organisasi yang paling dipercayai untuk memperjuangkan agenda Islam, tiba-tiba lahirlah cadangan untuk bermuzakarah. Baguslah, muzakarah bukannya satu perkara yang yang dihalang, namun apa yang menjadi kebimbangan ialah ia hanya sebagai satu talian hayat untuk UMNO menyambung sisa-sisa hidupnya yang masih berbaki. Lalu yang membantunya menyambung talian hayat ialah PAS!

 

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, al-Fadhil kekanda Ustaz Nik Abduh di dalam isu ini membawa firman Allah SWT di dalam surah al-Anfaal, ayat 61 yang bermaksud : Dan jika mereka condong kepada perdamaian, Maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya dialah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

Saya ingin menambah bahawa menurut Ibnu Kathir, ayat tersebut turun sewaktu perang Badar yang menyaksikan umat Islam telah mendapat kemenangan yang besar. Pada masa itu, Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya menawan sebilangan tentera musyrikin yang ingin ditebus oleh kaum keluarga mereka di Mekah. Itulah saat kemenangan yang tidak pernah menghilangkan sifat ihsan di dalam Islam. Hari ini, pilihan raya umum masih belum memberikan kemenangan total kepada PAS lagi. Saat kemenangan masih lagi jauh, ianya masih di dalam perjalanan. Alangkah ruginya di dalam perjalanan inilah, kita memberikan kekuatan kepada musuh untuk bernafas kembali dan mengatur kekuatan yang akhirnya akan memberikan pukulan maut kepada kita.

 

Berhati-hatilah terhadap tipudaya. Bahkan di dalam ayat yang berikutnya iaitu ayat 62, Surah al-Anfaal, Allah SWT berfirman yang bermaksud : Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka Sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin. Bahkan menurut sebahagian mufassirin termasuk Ibnu Abbas, Mujahid, Zaid bin Aslam, Ato’ al-Khurasani, Ikrimah, al-Hassan dan Qotadah, ayat 61 surah al-Anfal itu telah dinasakhkan oleh ayat 29 surah al-Taubah yang bermaksud : Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari Kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah[638] dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk. (Rujuk Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibnu Kathir)

 

Sesungguhnya telah terjadi ajakan perdamaian yang berakhir dengan pengkhiatan. Rasulullah SAW pernah dihadiahkan daging kambing yang telah diracuni di atas nama persahabatan (Sahih Bukhari, Kitab al-Tib, Bab Nabi Diracun). Di atas nama perdamaian, pernah Rasulullah SAW menaiki rumah seorang Yahudi Bani Nadhir yang kemudiannya hampir-hampir dijatuhkan sebuah batu yang besar dari atas bumbung untuk membunuh baginda. Lantas, khabar dari langit telah menyelamatkan nyawa Rasulullah SAW. (Rujuk Dalail Nubuwwah oleh al-Baihaqi & Tarikh al-Tabari)

 

Oleh yang demikian, PAS perlu berhati-hati. Tulisan ini bukanlah bermaksud untuk menentang kecenderungan pucuk pimpinan tetapi cuma ingin memberi awas. Tatkala Pakatan Rakyat mula dilihat sebagai alternatif, maka isu muzakarah boleh digunakan sebagai pemecah belah kepada kesatuan Pakatan Rakyat. Jika Islam menjadi pokok persoalan, maka kenapa tidak dilumatkan isu kedudukan Islam di dalam Pakatan Rakyat daripada berunding dengan UMNO yang sudah jelas penentangan terhadap Islam?

 

Apa yang dibimbangkan ialah, tatkala PAS mula berjinak untuk berunding, UMNO sudah bersedia dengan ‘batu yang cukup besar’ bagi menamatkan ancaman yang boleh menghapuskan mereka…..

 

20 Julai 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: