SUBUL AL-SALAM OLEH AL-SON’ANI

 

Pengenalan Ringkas Pengarang

          Beliau ialah Sayyid Muhammad bin Ismail bin Solah al-Amir al-Kahlani al-Son’ani. Beliau dilahirkan pada 1050H di Kahlan kemudian berpindah bersama bapanya ke bandar Son’a` iaitu ibu negeri Yaman. Di sana beliau mempelajari hadith daripada ulama Yaman. Seterusnya beliau bermusafir ke Mekah dan Madinah untuk mempelajari hadith daripada ulama-ulama di sana. Sikap beliau yang tidak jemu-jemu belajar menjadikannya mahir di dalam ilmu hadith.

          Apabila beliau kembali ke Son’a`, beliau bersungguh-sungguh memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW dan mengajak rakyat jelata agar menolak fahaman-fahaman karut yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Usaha beliau ini mendapat tentangan daripada golongan tradisional tempatan yang menabur fitnah kepada beliau bahawa kononnya beliau ingin menjadi penguasa. Namun, beliau diselamatkan oleh Allah dari tuduhan-tuduhan ini. Akhirnya beliau dilantik oleh Al-Mansur iaitu pemimpin Yaman pada masa itu sebagai khatib di Masjid Son’a` serta menjadi mufti dan pakar rujuk di sana.

          Beliau mengarang banyak karya di dalam pelbagai bidang. Antaranya di dalam bidang hadith ialah kitab Subul al-Salam yang merupakan syarah kepada Bulughul Maram karangan Ibnu Hajar al-Asqalani. Selain dari itu beliau juga merupakan pengarang kitab Minhah al-Ghaffar, al-‘Iddah dan Syarh al-Tanqih fi Ulum al-Hadith. Selain dari itu, beliau juga banyak mengarang makalah-makalah yang sekiranya dikumpul menyamai kitab yang berjilid-jilid.

          Pada 3 Sya’ban 1182 H, beliau meninggal dunia dengan meninggalkan jasa-jasa yang cukup banyak kepada ummah.[1]

 

Pengenalan Ibnu Hajar al-Asqalani, Pengarang Bulugh al-Maram

          Beliau ialah al-Hafiz al-Din Abi al-Fadl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Ahmad. Beliau terkenal dengan nama Ibnu Hajar al-Kinani al-Asqalani al-Syafie. Dikatakan gelaran Ibnu Hajar sempena mengambil nama neneknya. Manakala ada yang berpandangan bahawa nama Ibnu Hajar ialah nisbah kepada hajar (batu) kerana kaumnya tinggal di atas bukit batu yang panas. Keturunan beliau ialah dari bangsa Arab kabilah Kinanah. Manakalah gelaran al-Asqalani ialah nisbah kepada satu bandar di tebing negeri Syam di dalam negara Palestin.

          Beliau lahir pada 15 Sya’ban 773 H di rumahnya di tebing Sungai Nil, Mesir. Ibunya meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil dan ayahnya pula meninggal semasa usianya empat tahun. Beliau dipelihara oleh seorang saudagar bernama Zaki al-Din Abi Bakr al-Kharubi yang kemudianya menyekolahkannya di sebuah Maktab (sekolah rendah) semas beliau berusia 5 tahun.

          Semasa berusia 9 tahun, beliau sudah menghafaz al-Quran dengan bergurukan Muhammad bin Abd Razak al-Safti. Semasa berusia 19 tahun, beliau dibawa oleh bapa angkatnya untuk mengerjakan haji di Mekah dan tinggal di sana beberapa bulan. Beliau kemudiannya mempelajari hadis-hadis nabi dan menghafal beberapa buah kitab.

          Apabila bapa angkatnya meninggal dunia, beliau mengambil alih perniagaan dan turut melibatkan diri di dalam bidang sastera. Setelah beberapa lama, beliau meninggalkan bidang perniagaan untuk menumpukan perhatian kepada pengajian ilmu dan penulisan. Beliau merantau ke merata tempat seperti Hijjaz, Yaman, Syam, Damsyik dan lain-lain. Di antara guru-gurunya ialah al-Haithami, al-Burhan al-Tanuji, al-Zain al-Iraqi, Ibnu Mulqan dan lain-lain. Diceritakan jumlah guru-guru beliau menjangkau hingga 450 orang.

          Beliau juga banyak mengarang di dalam pelbagai cabang ilmu. Antara karangannya yang masyhur iaitu Fathul Bari. Selain dari itu, beliau turut mengarang kitab al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah dan Bulughul Baram iaitu kitab yang dihuraikan oleh Imam Son’ani di dalam Subul al-Salam. Jumlah karangan beliau mencapai bilangan melebihi 150 buah.

Imam yang alim dan tekun ini akhirnya dipanggil mengadap Allah pada tahun 852H. Beliau meninggalkan dua orang isteri dan 7 orang anak.

 

Pengenalan Kitab Subul al-Salam

          Sesuai dengan namanya Subul al-Salam yang bermaksud ‘Jalan-jalan Kesejahteraan’, kitab ini mengandungi kata-kata nasihat dan juga panduan untuk menjalani hidup berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Ia adalah huraian kepada hadis-hadis yang dimasukkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Bulugh al-Maram. Ia merupakan koleksi hadis-hadis hukum yang mencangkup perkara-perkara asas di dalam ibadah dan kehidupan. Sesuai dengan Ibnu Hajar yang bermazhab Syafei, dapat dilihat hadis-hadis yang dikumpulkan di dalam kitab Bulugh al-Maram juga menjurus kepada menyokong pandangan mazhab Syafei. Di dalam koleksi karya-karya Islam, kitab ini dimasukkan di dalam kategori fiqh. Namun kerana ia banyak mengandungi hadis-hadis Rasulullah SAW, ia juga boleh dikategorikan sebagai kitab hadis.

 

Terbitan dan Cetakan

          Kitab yang menjadi rujukan penulis ialah kitab Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram Min Jam’i Adillah al-Ahkam oleh Muhammad bin Ismail bin Solah al-Amir al-Kahlani al-Son’ani. Naskhah ini diterbitkan oleh Dar al-Jayl, Beirut dan telah ditahkik oleh Muhammad Abdul Aziz al-Khauli. Tidak terdapat sebarang tarikh cetakan. Naskhah ini diterbitkan dengan 3 jilid.

 

Isi Kandungan Kitab

          Al-Son’ani memulakan kitab ini dengan memberikan huraian panjang lebar ke atas muqaddimah yang ringkas oleh Ibnu Hajar. Di dalam muqaddimah ini, huraian al-Son’ani merangkumi pengetian al-Hamdu dan lafaz jalalah, pengertian lafaz nabi dan rasul, sahabat dan kedudukan ilmu sebagai warisan para nabi. Selain dari itu, turut dimuatkan di dalam muqaddimah ini sedikit pengenalan imam-imam kutub al-sittah sepeti Imam Bukhari, Muslim, Ahmad bin Hanbal, Tirmidzi, Abu Dawud, al-Nasa’i dan Ibnu Majah. Di samping itu turut dinyatakan maksud-maksud istilah-istilah yang penting yang akan digunakan di dalam penulisan nanti. Sebagai contoh istilah Sittah merujuk kepada enam orang perawi-perawi hadith.

          Kemudian didatangkan satu persatu hadith sebagaimana turutan yang terdapat di dalam kitab Bulugh al-Maram. Ia dimulakan dengan Kitab Taharah, Kitab Solat, Kitab Janaiz, Kitab Zakat, Kitab al-Shiyam, Kitab al-Hajj, Kitab al-Nikah, Kitab al-Talak, Kitab al-Raj’ah, Kitab al-Jinayat, Kitab al-Hudud, Kitab al-Jihad, Kitab al-At’imah, Kitab al-Aiman dan al-Nazar, Kitab al-Qadha’, Kitab al-‘itq dan Kitab al-Jami’. Keseluruhan jumlah kitab yang terdapat di dalam karya ini ialah 17 buah dan setiap kitab dipecahkan pula kepada bab-bab yang tertentu. Manakala setiap bab mengandungi hadis-hadis yang berkaitan dengan tajuk bab.

 

Metodologi al-Son’ani Di Dalam Menghuraikan Hadis

          Di dalam menghuraikan hadis-hadis nabi yang terdapat di dalam Bulugh al-Maram, al-Son’ani memulakan dengan memberikan pengenalan mengenai rawi terlebih dahulu. Butiran ringkas perawi dihidangkan kepada pembaca agar mudah dibuat penilaian terhadap hadith. Sebagai contoh, pada hadith yang kedua yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, beliau menulis :

اسمه سعد بن مالك بن سنان الخزرجي الأنصاري الخدري . بضم الخاء المعجمة ودال مهملة ساكنة نسبة إلى خدرة حي من الأنصار كما في القاموس . قال الذهبي : كان من علماء الصحابة وممن شهد بيعة الشجرة وروى حديثاً كثيراً وأفتى مدة . عاش أبو سعيد ستاً وثمانين سنة ومات في أول سنة أربع وسبعين وحديثه كثير وحدث عنه جماعة من الصحابة وله في الصحيحين أربعة وثمانون حديثا[2]ً

          Selepas itu, beliau akan mensyarah hadith tersebut satu persatu termasuklah memperkenalkan satu persatu imam hadith yang disebut oleh Ibnu Hajar. Selain dari itu beliau juga tidak keberatan menyatakan pandangan-pandangan ulama yang berbeza dengan pandangan mazhab Syafie di dalam masalah-masalah tertentu. Ini menjadikan kitab Subul al-Salam bukan lagi merupakan kitab hadis fiqh Syafie tetapi lebih luas lagi merangkumi fiqh empat mazhab.

 

Kekuatan Kitab Subul al-Salam

          Kitab ini selaku sebuah kitab hadith fiqh merupakan kitab yang sesuai bagi pembaca dan pengkaji ilmu fiqh yang bersandarkan kepada sumber yang sahih. Bilangan hadith yang tidak begitu banyak ditambah dengan huraian oleh al-Son’ani memberikan gambaran yang jelas kaedah istidlal atau pengambilan hukum daripada hadith-hadith Nabi Muhammad SAW. Pembaca kitab ini pastinya akan lebih jelas mengenai ilmu fiqh dan mengetahui bagaimanakah para ulama mengistinbat hukum daripada nas-nas yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

 

Kelemahan

          Bilangan hadith yang disebut di dalam karya ini yang kurang menyebabkan kemungkinan para pembaca tidak mendapat gambaran menyeluruh mengenai satu-satu masalah. Ini adalah kerana kemungkinan satu hukum yang berlaku tidak hanya diputuskan oleh satu hadtih sahaja tetapi turut dibantu kefahamannya oleh hadith-hadith yang lain. Akibat kitab ini yang agak ringkas, ia tentunya kurang sesuai bagi para pengkaji yang ingin melangkah jauh di dalam mempelajari bidang fiqh yang berasaskan kepada sunnah.


[1] Muhammad bin Ismail bin Solah al-Amir al-Kahlani al-Son’ani. (t.t), Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Darul Jayl, Beirut, j.1, hal 5.

[2] Ibid, j. 1, hal 18

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: