Kes Anwar Ibrahim : Isu Lebih Besar Berjaya Diselindung

 Hari ini apabila kes laporan polis terbaru terhadap Anwar Ibrahim oleh bekas pekerjanya, seluruh akhbar nampaknya tidak melepaskan peluang mahu meraih jualan maksimum hasil daripada isu ini. Dada-dada akhbar dan ruang-ruang berita televisyen menjadikan kes ini seolah-olah sebagai segmen khas yang perlu diulas oleh setiap pemimpin negara yang hampir-hampir tidak laku selepas pilihanraya. Maka bergegaslah para wartawan mengejar bapak-bapak menteri sehinggalah barangkali kepada pemimpin cawangan sekalipun ingin melontarkan idea mengenai kes Anwar.

 

Kata Perdana Menteri, biar polis jalankan siasatan. Bila Anwar menafikan tuduhan tersebut, kata Abdullah, “Biasalah, semua orang akan nafikan”. Ya, semua orang akan menafikan dan penafian itu belum tentu betul. Sama seperti Abdullah menafikan parlimen akan dibubar 13 Mac, menafikan minyak akan naik selepas pilihan raya, menafikan yuran persekolahan 2008 akan dikenakan dan juga menafikan perancangan konspirasi oleh kerajaan. Sama juga dengan penafian Rosmah yang dikatakan terlibat dengan pembunhan Altantuya.

 

Kata Khairy Jamaluddin, Anwar mungkin menyuruh laporan polis dibuat untuk meraih populariti dan simpati. Betul juga, semuanya ada kemungkinan. Sama seperti Khairy yang mungkin sengaja mereka-reka cerita skandal dengan Maya Karin untuk meraih simpati. Skandal ECM Libra juga mungkin merupakan rekaan Khairy agar dirinya dikenakan hukuman penjara untuk meraih simpati rakyat. Atau lebih hebat lagi, Khairy sengaja mereka-reka isu ‘angkat keris’ untuk menyingkir ketuanya sendiri, Hishamuddin. Mungkin juga, semuanya serba kemungkinan.

 

Kata Hishamuddin Husein pula, campur tangan Amerika Syarikat dalam kes Anwar ditentang sehebat-hebatnya kerana menjatuhkan maruah negara. Bagus, kita bangga dengan ketua pemuda yang cukup berani. Dalam kes ini, pihak AS hanya mengeluarkan pandangan, tapi Hishamuddin tidak berlengah pertahankan maruah negara. Kerana itu bila kita menyaksikan Pulau Batu Putih terlepas kepada Singapura, Pemuda UMNO paling lantang bersuara kerana ini mengancam maruah. Apabila Wilayah Pembangunan Iskandar diberikan hak pegangan bebas, Pemuda UMNO pasti bermandi darah pertahankan maruah. Begitu juga apabila ruang udara dan air digadaikan dengan cukup murah kepada Singapura, Hishamuddin tidak pernah berdiam diri, bahkan tampil ke depan bersilat gaya anak jantan kerana ia melibatkan maruah negara.

 

 

Kata Syed Hamid Albar, Anwar tidak perlu takut sekiranya tidak bersalah, ini kerana hukuman hanya akan dikenakan kepada mereka yang bersalah. Benar kata Syed Hamid, kerana itu tatkala pukulan tinju hinggap di mata Anwar pada malam 23 September 1998, mahkamah sebenarnya telah bersidang dalam kegelapan penjara memutuskan Anwar bersalah. Apabila Anwar mengambil keputusan untuk tidak berlindung di mana-mana kedutaan, tangkapan polis jugalah yang menyaksikan peristiwa mata lebam. Pada masa itu sebenarnya Anwar telah didapati bersalah. Tinggal lagi peristiwa ‘turun naik’ tilam’ hanya untuk mengesahkan keputusan yang dibuat. Mahkamah kemudiannya melepaskan Anwar pada tahun 2004, namun manusia ini sudah 6 tahun terpenjara di atas tuduhan rasuah yang entah apa-apa. Kata-kata Syed Hamid, tidak payah takut kalau tidak bersalah, ia sebenarnya perlu dibaca dengan tidak perlu takut kalau anda berkuasa…

 

Besok atau lusa, akhbar-akhbar akan sibuk bertanya ahli-ahli politik sana sini termasuklah mungkin ketua-ketua kampung dan ahli-ahli UMNO peringkat cawangan. Semuanya akan memberikan ulasan. Semuanya akan sibuk dan menunjuk sibuk.

 

Akhirnya.. isu lebih besar terlindung. Rakyat yang tertekan dengan kenaikan minyak, sedikit pun tidak lega hidup mereka dengan tuduhan liwat ini. Harga-harga barang yang naik mengejut, sedikit pun tidak turun dengan komen-komen bapak menteri yang dipotong 10 peratus elaun keraian mereka. Yuran sekolah yang membebankan, tambang bas sekolah, tol dan panjang lagi senarai keperitan rakyat sedikit pun tidak berkurang dengan hebohnya akhbar dengan kes liwat. Manakala yang dikaitkan dengan Altantuya juga boleh senyum seketika. Bahkan untuk berikhtiar agar hantu Altantuya tidak jadi bangkit pun masih ada sedikit masa. Ini kerana hantu pun mungkin sedang sibuk mengikuti kes Anwar. Manakala yang terancam akan dicabar jawatan mereka, bolehlah menarik nafas lega sambil menyusun strategi, kerana semua pihak sibuk berbisik hal Anwar. Manakala yang baru keluar parti nampaknya masih diam membisu. Apa nak dikata, pengganti nampaknya menurut jejak langkah satu persatu……

 

2 Julai 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: