Tidak wajarkah wanita berjemaah di masjid?

Isu ini sekalipun merupakan isu terpencil di tengah-tengah pergolakan politik negera pasca tsunami PRU12, namun ia merupakan isu yang juga penting untuk dibcarakan. Sekali pandang, isu ini nampak remeh. Namun apabila ada beberapa pihak yang mempertikaikan secara lantang keharusan wanita untuk berjemaah di majsid, penulis tergerak untuk memperkatakan sedikit mengenai isu ini. Tambahan pula, apabila ia dilebarkan pula hingga di mimbar-mimbar kuliah maghrib dan sebagainya.

Memanglah, terdapat hadis-hadis yang seolah-olah mendatangkan larangan terhadap pemergian wanita ke masjid. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Seseorang wanita itu bersolat di tempat tidurnya lebih bak dari bersolat di dalam biliknya. Dia bersolat di dalam biliknya lebih baik dari bersolat di dalam rumahnya. Dia bersolat di dalam rumahnya lebih baiik dari bersolat di masjid” (Riwayat Baihaqi da disahihkan oleh al-Albani)

Bagaimanapun, hadis ini perlu dilihat bersama dengan hadis yang lain yang bermaksud : “Daripada Ibnu Umar RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW : Jangan sesekali kamu melarang wanita-wanita kamu daripada pergi ke masjid” (Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh al-Albani)

Di dalam persoalan ini, perlulah diingat bahawa hukum solat berjemaah bagi wanita sangat berbeza dengan lelaki. Mereka tidak dituntut untuk mengerjakan solat jemaah sebagaimana tuntutan ke atas kaum lelaki. Namun demikian, menjadi hak dan kebebasan mereka untuk sama-sama datang berjemaah di masjid apatah lagi untuk mendengar pengisian ilmu yang disampaikan. Dr. Soleh Fauzan, seorang ulama Saudi semasa ditanya mengenai hukum wanita ke masjid mendatangkan beberapa dalil yang mengharuskannya. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sebaik-baik sag bagi kaum lelaki ialah di hadapan dan seburuk-buruknya ialah di belakang. Manakala sebaik-baik saf kaum wanita ialah di belakang dan seburuk-buruknya ialah di hadapan.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi). Hadis ini mendatankan petunjuk Nabi SAW kepada kaum muslimin ketika mengatur saf di dalam solat berjemaah. Sekiranya wanita dilarang untuk ke masjid, apakah gunanya Nabi SAW memberikan petunjuk mengenai saf wanita?

Selain dari itu, Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud : “Apabila istei-isteri kamu memohon izin untuk ke masjid pada waktu malam, hendaklah kamu izinkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Kesemua ini merupakan dalil yang jelas menunjukkan keharus wanita untuk ke masjid sekiranya mereka berminat. Oleh yang demikian, hendaklah bagi kaum suami memahami persoalan ini agar tidak timbul soal halangan ke atas para isteri untuk ke majsid dengan bersandarkan kepada alasan fitnah.

Sekiranya wanita ke masjid dibimbangi berlaku fitnah, kenapakah pada zaman moden hari ini wanita dibenarkan untuk ke semua tempat termasuk pusat-pusta pengajian, pejabat-pejabat malah hanya sekadar untuk ‘melihat-lihat’ di pasaraya pun dipenuhi dengan wanita. Adakah di semua lokasi tersebut tidak belakunya fitnah sebagaimana kononnya berlaku di masjid? Lantaran itu, sepatutnya semua tanggapan-tanggapan yang tidak bersandarkan kepada nas perlulah diketepikan semasa berbicara tentang agama.