Tunggu Kubur : Relevankah?

Kurang pasti saya adakah amalan ini masih subur atau tidak pada hari ini. Namun di sesetengah tempat, saya mendapati ia masih diamalkan dengan begitu meluas. Khususnya di Kelantan, beberapa lokasi boleh dianggap sebagai lokasi yang ‘makruf’ dengan amalan ini. Saya ajukan persoalan kepada beberapa orang individu yang begitu kuat mempertahankan amalan menunggu kubur, jawapannya mudah, agar si mati tidak kesunyian apabila berada di alam yang baru. Benarkah demikian?

Hakikatnya, kubur adalah merupakan salah satu bayangan persinggahan kepada tempat yang kekal abadi di akhirat. Penghuni-penghuni kubur pastinya akan melalui pengalaman samada diazab atau sebaliknya. Ia merupakan perkara yang thabit di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda, “Sesungguhnya kubur itu adalah persinggahan pertama daripada persinggahan-persinggahan akhirat, sesiapa yang terselamat daripadanya, maka yang datang selepasnya lebih mudah daripada itu. Barangsiapa yang tidak terselamat dari azabnya, maka yang datang selepasnya lebih dahsyat daripada itu.” (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah, al-Bani menyatakan ia sebagai hadis hasan)

Persoalannya, adakah dengan menunggu kubur dengan duduk di atasnya berhari-hari dapat memberikan syafaat kepada penghuni kubur agar terlepas dari azab? Jika demikian, perlulah didatangkan sebarang bukti yang menyokong kenyataan tersebut. Jika tujuan untuk menunggu kubur ialah dengan membaca al-Quran dan berdoa, apakah ia tidak akan tercapai melainkan di atas kubur semata-mata?

Perlu diingatkan bahawa di dalam menanggapi sesuatu sebagai ibadat, perlulah mempunyai dalil daripada al-Quran ataupun sunnah Nabi Muhammad SAW. Matlamat daripada ziarah kubur tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengingatkan si penziarah kepada akhirat sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Sesungguhnya aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahilah ia sekarang kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat,”

Jelas sekali tujuan daripada amalan ziarah kubur ialah semata-mata untuk memperingatkan manusia kepada kematian yang menjelang bila-bila masa sahaja. Tetapi adakah ia terlaksana dengan duduk di atas kubur sepanjang malam sebagaimana yang difahami oleh sebahagian individu masyarakat? Kalau benar demikian, nescaya Rasulullah SAW dan para sahabat ialah golongan yang pertama melakukannya dengan kesungguhan untuk mendapatkan pahala berlipat ganda daripada Allah SWT. Namun, terbukti ia tidak pernah diriwayatkan oleh mana-mana nas yang boleh diterima.

Dari sudut lain, pernah juga beberapa orang individu memaklumkan bahawa tujuan daripada amalan ini ialah untuk menghalang niat jahat segolongan tertentu yang ingin mencuri kain kafan. Jika demikianlah tujuannya, ia adalah sesuatu yang wajar. Namun demikian, menunggu kubur bukanlah jawapan yang mutlak terhadap isu ini. Masyarakat perlu dididik dari masa ke semasa supaya tidak muncul individu yang sanggup bertindak kejam sampai ke tahap ini. Mencuri kain kafan ialah perbuatan golongan yang sudah terlampau terdesak, kezaliman yang berlaku bukan lagi kepada manusia yang hidup malah kepada manusia yang sudah mati. Menunggu kubur dalam isu ini mungkin salah satu mekanisma tetapi bukanlah satu penyelesaian yang terbaik!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: